Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Menggapai Bahagia

Marissa melepaskan pen yang berada di tangannya lalu memicit-micit kepalanya yang terasa begitu penat setelah seharian bertungkus-lumus menyiapkan kerja. Dia merenung ke luar jendela. Kelihatan hujan belum berhenti sepenuhnya. Mug yang berisi kopi panas yang dibuat sejak lima belas minit tadi sudah suam tapi dicapai juga lalu dihirup perlahan-lahan. Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Tidak lama selepas dia menyahut kelihatan wajah pembantu peribadinya Azura di muka pintu.

"Cik Marissa belum mahu pulang ke?" soalnya.

"Belum lagi. Sekejap lagi saya baliklah. Azura baliklah dulu. Dah pukul 6.30 ni!" ujar Marissa sambil tersenyum lembut. Wajahnya yang dihiasi mekap tipis dan tudung berwarna biru laut itu menaikkan seri wajahnya.

"Baiklah Cik Marissa. Tapi Cik Marissa pun jangan la balik lambat-lambat sangat. Bawa-bawalah berehat juga. Dah seminggu Cik Marissa asyik balik larut malam. Saya bimbang nanti kesihatan Cik Marissa terjejas," nasihat pembantu peribadinya.

"Baiklah Zura. Saya akan ikut cakap awak tu. Saya akan balik sekejap lagi. Tunggu Salina datang jemput saya. Sejak kereta saya masuk bengkel ni terpaksalah dia jadi driver saya", balas Marissa.

"OKlah kalau macam tu, saya balik dulu ye! Kita jumpa esok".

"Bye and take care Zura," ucap Marissa.

Marissa kemudiannya membuka RealOne Playernya. Lagu Hero nyanyian Mariah Carey berkumandang. Lagu yang amat disukainya kerana lagu itulah menaikkan kembali semangatnya untuk meneruskan hidup setelah cintanya musnah di tengah jalan. Wajah Daniel Iskandar tiba-tiba tergambar di mindanya. Satu-satunya lelaki yang pernah dicintai sepanjang hidupnya itu berdiri di hadapannya petang tadi setelah hampir tiga tahun tidak pernah bersua muka. Jelas riak wajah Daniel Iskandar juga berubah dalam pertemuan yang tidak disangka-sangka itu. Dia sendiri tergamam berhadapan dengan lelaki yang amat dicintainya suatu masa dahulu kini berdiri di hadapannya. Ternyata lelaki itu masih kacak seperti dahulu. Cuma kelihatan agak berisi sedikit.

"Riss, apa khabar? Tak sangka kita berjumpa lagi.” tegur lelaki itu lembut.

Marissa berdebar-debar. Perasaannya menjadi tidak keruan. Kenapalah setelah aku berjaya lenyapkan wajahnya dari hatiku dia mesti muncul kembali? Bisik hati kecilnya dengan perasaan yang bercampur-baur.

"Aku baik sahaja. Dah lama ke kau balik dari UK?" Soal Marissa cuba menutup keresahan di hati.

"Dah hampir setahun aku balik Malaysia. Lepas habiskan master kat UK dulu aku kerja kat sana setahun untuk cari pengalaman bekerja di negara orang."

"Oh ye! Tak sangka kaulah rupa-rupanya CEO Warisan Holding yang bagi tender pada syarikat aku," ujar Marissa. Daniel Iskandar tersenyum.

"Actually, company tu milik keluarga wife aku,” jelasnya.

"Isteri? Dah berapa orang anak kau sekarang?" Hati Marissa terlalu tersentuh ketika menanyakan soalan itu kerana ternyata lelaki itu belum mampu dilupakan. Pedih ditinggalkan masih terasa sehingga sekarang.

Setelah bercinta lebih tiga tahun dia ditinggalkan Daniel yang mengahwini perempuan lain ketika menyambung pelajaran peringkat masternya di UK. Daniel yang merupakan seniornya yang setahun lebih tua telah dikenalinya sejak di tahun pertama universiti. Setelah tamat belajar Daniel mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UK selama setahun.

Walaupun berat hati Marissa untuk melepaskan jejaka yang paling dicintainya itu pergi namun dia tidak terdaya menghalang kerana Daniel beria-ia mahu pergi. Alasannya tawaran sebegitu baik tak sepatutnya dilepaskan. Setelah berjanji sepenuh hati bahawa hanya Marissa di hatinya dan kesetiaannya tidak akan pernah tergugat, Marissa membenarkan kekasih hatinya itu pergi. Marissa cuba menanam kepercayaan bahawa Daniel akan setia dengan janji-janjinya. Lagipun selama ini mereka saling menyintai antara satu sama lain dan begitu memahami diri masing-masing.

Tetapi ternyata perhitungannya salah kerana tidak lama selepas itu warkah yang meminta perpisahan diterimanya. Daniel memberi alasan dia ingin mengahwini rakan seuniversitinya anak seorang jutawan Melayu kerana wanita itu sentiasa ada di sisinya ketika dia memerlukan dorongan dan semangat.

Hati Marissa terlalu sakit dan terluka. Dia tahu Daniel sukakan wanita itu kerana kekayaan keluarganya. Cita-cita Daniel yang tinggi dan mahu menjadi lelaki berjaya memungkinkan telahannya itu. Cintanya terasa begitu murah sekali di mata Daniel. Setelah pelbagai pengorbanan termasuklah maruah diserahkan pada lelaki itu, dia ditinggalkan pergi. Dia terpaksa berjuang dengan perasaan dan juga peperiksaan tahun akhirnya yang bakal menjelang. Mujur dia masih mampu mencatat kejayaan cemerlang dan menjawat jawatan yang baik.

"Kau masih cantik macam dulu Riss. Malah lebih cantik lagi. Riss, selama ini aku masih rindukan engkau. Riss, aku rindukan panggilan abang daripada kau seperti dulu dan aku teringin nak panggil kau sayang macam dulu," ujar Daniel tanpa menjawab soalan Marissa tadi.

"Daniel, kau dah kahwin! Segala-galanya sudah berubah termasuklah cinta kita. Aku tak mahu mengganggu kebahagiaan rumahtangga kau. Biarkanlah aku sendirian tanpamu. Setelah sekian lama aku merindui kehadiranmu aku dapat menerima hakikat kini yang kau bukan ditakdirkan untukku. Aku mungkin tak ditakdirkan untuk sesiapa," ujar Marissa dengan hati yang sebak.

Mana mungkin dia dapat melupakan terus lelaki pertama yang menyentuh dan mengambil segala miliknya yang disimpan selama ini. Dia terlalu kesal dengan kebodohannya itu. Cinta membuatnya buta. Pegangan agama yang kuat selama ini runtuh dengan rayuan seorang lelaki yang terlalu dicintainya. Tetapi dia tidak mahu terus buta lagi.

Dia mahu menebus segala kesalahannya dengan bekerja bersungguh-sungguh dan menyara kehidupan keluarganya yang hidup sederhana selama ini. Sebagai anak sulung dia mesti bekerja keras untuk menanggung persekolahan tiga orang adiknya setelah bapanya meninggal dua tahun lalu akibat sakit jantung.

"Maksud kau, kau tiada pengganti aku?" Soal Daniel terkejut dengan kesetiaan Marissa kepadanya.

"Aku serik Daniel apabila kepercayaanku dikhianati. Aku terlalu terluka."

Daniel terkedu mendengar jawapan itu. Terasa berdosanya dia terhadap gadis itu. Perbualan mereka terhenti apabila orang lain mula memasuki bilik mesyuarat itu untuk memulakan mesyuarat. Sepanjang mesyuarat itu berlangsung Marissa tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian, begitu juga dengan Daniel. Fikiran Marissa terganggu sehinggalah sekarang. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila Salina tiba untuk menjemputnya pulang.


******


Kelihatan jambangan bunga mawar di atas mejanya ketika Marissa sampai ke pejabatnya pagi itu. Marissa membuka kad yang tersisip di celah jambangan bunga itu.


Riss,

I still love you! I realize now that you are the lost that I cannot replace. I hoping that love would bring back you to me. I love you sayang!"

Daniel

Marissa mencampakkan kad itu ke atas meja. Apa lagi lelaki ini mahu! Ujar hatinya geram. Setelah senang-senang dia buang aku kini senang-senang dia nak kutip aku balik! Rungut hatinya lagi. Dari sehari ke sehari Daniel ternyata semakin galak cuba menawan hatinya kembali. Sengaja dia mencipta pelbagai alasan untuk berjumpa dengan Marissa.

"Apa yang kau mahu lagi ni Daniel? Tak puas-puas lagi ke kau nak ganggu aku. Leave me alone!" Luah Marissa tak puas hati ketika keluar makan tengahari bersama Daniel. Dia keluar dengan lelaki itu setelah bosan diganggu terus-terusan.

"Tak cukup ke kau dah lukakan hati aku dulu? Kenapa kau masih tak serik-serik nak sakitkan hati aku?" sambung Marissa lagi. Dia malu kerana rakan-rakan sepejabatnya mula menyedari bahawa CEO Warisan Holding itu cuba memikatnya tanpa mengetahui hal yang sebenarnya.

"Abang nak mengahwinimu sayang.Please jangan hampakan abang! Kita bina hidup baru ok."

Tersentap Marissa mendengar kata-kata Daniel itu. "Kau dah gila? Isteri kau nak letak kat mana? Fikirkanlah anak-anak kau," balas Marissa geram dengan perangai lelaki itu.

"Abang tiada anak dengan Sabrina, Riss! Dia tak mampu melahirkan zuriat untuk abang. Dia mandul. Please, jadi isteri kedua abang."

Kenyataan yang keluar dari mulut Daniel itu begitu mengejutkan Marissa. "So, kau nak ambil aku semula sebab isteri kau tak dapat lahirkan anak untuk kau? Lelaki jenis apa kau ni Daniel? Dulu kau tinggalkan aku terkontang-kanting kerana gilakan Sabrina anak jutawan tu, sekarang kau nak tinggalkan dia dan kembali pada aku semata-mata kerana dia tak boleh melahirkan zuriat kau?" Marissa melontarkan kata-kata dengan perasaan marah yang mula meluap-luap.

"Sayang, itu abang tahu tapi abang perlukan Riss di sisi abang," rayunya lagi.

"Riss tak mahu! Riss tak sanggup lukakan hati Sabrina," Marissa dengan tegas menolak permintaan itu.

"Please sayang, fikirlah masak-masak dahulu," pinta Daniel lagi masih tidak putus asa.

"Aku tak perlu berfikir lagi. Jawapan aku tetap sama," ujar Marissa tegas.

"Riss dah tak ada apa-apa lagi. Riss patut bersyukur abang nak ambil Riss balik," ujar Daniel sinis. Terbeliak mata Marissa mendengar kata-kata Daniel yang dirasakan menghina dirinya itu.

"Excuse me! Riss tak pernah mengharap untuk kembali kepada kau, Daniel! Jangan nak diungkit-ungkit lagi hal lama," marah Marissa.

"Tiada lelaki akan terima kau lagi Marissa. Tiada lelaki yang sanggup menerima perempuan yang sudah tercemar. Abang tak akan biarkan Riss kahwin dengan lelaki lain. Abang akan beritahu cerita silam ini kepada sesiapa saja yang ada niat nak mengahwini Riss," ugut Daniel.

"Berani kau ugut aku Daniel! You don't have any right to ruin my life! Kau ingat aku tak dapat hidup tanpa lelaki? Aku tak kisah kalau tak ditakdirkan berkahwin dengan sesiapa pun tapi untuk mengahwini lelaki macam kau tidak sekali-kali. Jangan berani ganggu aku lagi. Aku kesal kerana pernah mengenali dan mencintai lelaki yang bernama Daniel,” ujar Marissa lalu beredar meninggalkan tempat itu. Hatinya bercampur-aduk.

Sedih, geram, marah dan kesal bersilih-ganti. Dia pulang ke pejabat dengan hati yang tidak keruan sehingga tanpa disedari kereta Satrianya terlanggar satu kereta lain. Dia panik apabila mendapati tuan punya kereta itu keluar dari kereta Mercedes S-class itu. Lelaki kacak yang diagaknya berusia dalam lingkungan 30-an itu menghampirinya.

"Maafkan saya encik! Saya tak sengaja. Saya akan bertanggungjawab atas segala kerosakan," ujar Marissa sambil mengesat sisa-sisa air mata yang masih ada di wajahnya. Lelaki itu hanya tersenyum.

"Tak apa. Saya bukan nak marah awak. Awak tak apa-apa ke?" soal lelaki itu penuh berhemah.

"Saya ok! Maafkan saya sekali lagi," pinta Marissa lagi.

"Ah, tak apa! Tak adalah teruk sangat pun kereta saya. Kereta puan..."

"Cik Marissa. Marissa Muhammad!" beritahu Marissa lembut.

"...a.. kereta cik Marissa yang kelihatan teruk. Boleh start tak?"Soalnya lagi. "Oh ya, saya Ikmal. Ikmal Hisyam Shaharuddin," sambung lelaki itu lagi.

"Tak boleh start nampaknya!" balas Marissa selepas beberapa kali cuba menghidupkan enjin keretanya. Ikmal Hisyam selepas itu menawarkan pertolongan dengan cuba memanggil mekanik dan membereskan segala urusan menghantar kereta ke bengkel. Malah dia juga menawarkan diri untuk menghantar Marissa pulang. Marissa terpaksa juga menerima pelawaan itu setelah berkali-kali didesak. Dia juga menawarkan diri untuk membawa Marissa ke klinik namun ditolak secara baik oleh Marissa.

"Terima kasih kerana hantarkan saya balik," ucap Marissa sambil tersenyum manis.

"Sama-sama. Boleh saya minta kad nama Cik Marissa," pinta Ikmal lembut. Marissa angguk lalu mengeluarkan kad namanya dan menyerahkan kepada Ikmal.

"Terima kasih. Ala... saya lupalah nak bawa name card saya. Tak apa nanti saya call Cik Marissa," ujar Ikmal. Ternyata lelaki itu mengotakan janjinya dengan menelefon Marissa dan akhirnya mengajak dia makan malam.

Hubungan mereka mula mekar selepas itu. Ikmal ternyata sudah jatuh cinta dengan gadis itu dan begitu juga dengan Marissa yang mula terpikat dengan sikap sopan santun dan baik hati lelaki itu namun dia tidak mahu terlalu melayan perasaan yang baru berputik itu


******

Hari ini Marissa ada mesyuarat di Warisan Holding mengenai projek usahasama dengan syarikatnya yang bakal berakhir tidak lama lagi. Marissa terasa malas untuk berhadapan dengan Daniel lagi tetapi apa nak buat kerana sebagai pengurus projek kehadirannya diperlukan. Mata Daniel tidak lepas-lepas dari memandang wajah Daniel. Marissa cuma buat-buat tak tahu.

"Minta maaf semua kerana kita terpaksa memulakan mesyuarat lambat sedikit sebab menunggu kedatangan chairman baru kita," beritahu pengerusi majlis. Sepanjang menunggu kedatangan chairman Warisan Holdings yang baru Marissa hanya menundukkan wajah kerana tidak mahu bertentang mata dengan Daniel.

"Maafkan saya sebab lambat. Terpaksa layan call client dari Jepun tadi," ujar satu suara. Marissa mengangkat wajahnya lalu matanya bertembung dengan wajah yang amat dikenalinya. Ikmal? Dia Pengerusi Warisan Holdings yang baru rupa-rupanya!

Kenapa aku tak pernah tahu dia anak Tan Sri Shaharudin. Ya Allah! Kenapalah aku tak pernah terfikir bahawa dia anak jutawan tersebut dan abang ipar kepada Daniel? Marissa berkata-kata dalam hati. Ikmal juga memandangnya. Tapi lelaki itu tidak menunjukkan riak terkejut di wajahnya.

Dia perasan mata Ikmal sering mencuri pandang ke arahnya sepanjang mesyuarat berlangsung. Daniel juga menyedari keadaan itu dan hatinya mula berasa tidak sedap tapi dia tidak mahu mengesyaki yang bukan-bukan.

"Kenapa awak tidak beritahu saya yang awak pengerusi baru Warisan Holdings? Beria-ia saya cerita pasal projek ni selama ni. Patutlah awak senyum je bila saya cerita. Rupa-rupanya..." Marissa tidak menghabiskan ayatnya. Dia merenung tepat ke wajah Ikmal yang tengah menjamah makanan tengahari meminta penjelasan. Ikmal tersenyum lalu menjawab, "saja nak surprisekan awak."

"Yelah tu, memang berjaya pun!" ujar Marissa bengang.

"Ala dahlah tu. Saya minta maaf ok!" Pinta Ikmal bersungguh-sungguh.

Marissa cuma tersenyum lalu mengangguk perlahan-lahan. Lega hati Ikmal.

Tanpa diduga selepas makan tengahari itu Ikmal meluahkan hasrat hatinya mahu memperisterikan Marissa. Marissa terkedu. Kebimbangannya selama ini muncul kembali. Menerima Ikmal bermakna dia harus menerima Sabrina sebagai iparnya dan Daniel sebagai birasnya.

"Ikmal, saya nak beritahu awak sesuatu."

"Beritahu apa?"

"Beritahu sesuatu yang awak patut tahu," ujar Marissa lalu menarik nafas panjang. "Ingat tak pada hari kita accident tu?"

"Mana boleh saya lupa kerana pada hari itulah saya telah menemui bakal permaisuri saya," balas Ikmal dengan penuh rasa cinta.

"Kan saya tengah menangis pada hari itu." Ikmal angguk.

"Saya menangis bukan pasal accident tapi ada sebab lain."

"Sebab lain? Sebab apa?" soal Ikmal ingin tahu. Lalu Marissa menceritakan segala-galanya sambil sesekali mengesat airmatanya yang tumpah. Ikmal menarik nafas panjang.

"Saya tahu awak tak dapat terima kenyataan ini. Tiada lelaki yang sudi mengahwini wanita yang sudah tercemar macam saya ni. Saya faham Ikmal. Tak perlu awak minta maaf. Saya dah bersedia dengan perpisahan. Awak layak untuk dapat wanita yang lebih baik," ujar Marissa sedih bercampur ikhlas.

"Marissa, saya tak kisah dengan apa yang dah berlaku. Awak dah bertaubat jadi awak suci di mata Allah dan saya! Daniel yang tak bertanggungjawab. Kasihan adik saya dapat suami macam dia. Saya sedia terima awak kerana saya terlalu sayang dan cintakan awak. Awak seorang yang tabah. Saya terlalu mengkagumi awak. Sudikah awak jadi isteri saya," pinta Ikmal lagi. Marissa terlalu terharu.

Airmata berjuraian di pipinya tanda gembira sambil memandang Ikmal yang begitu dihormatinya. Dengan perlahan-lahan dia mengangguk tanda setuju. Ikmal berasa begitu gembira lalu menarik Marissa ke dalam pelukannya.


*******

"Papa, mama, adik dan Daniel kenalkan ini bakal isteri saya, Marissa."

"Kami dah buat keputusan nak kahwin tidak lama lagi," beritahu Ikmal sambil memperkenalkan Marissa kepada ahli keluarganya. Ternyata bakal mertua Marissa menerima kehadirannya dengan begitu mesra. Begitu juga dengan Sabrina yang telah mengetahui segala-galanya daripada Ikmal dan dia turut menyatakan rasa kesalnya kerana merampas Daniel daripada Marissa dahulu dan kesal dengan sikap Daniel yang memperlakukan perempuan sesuka hatinya.

Manakala Daniel terlalu terkejut dengan berita tersebut dan terasa bahawa dia telah kalah. Terasa pahit untuk dia terima kenyataan bahawa wanita yang amat dicintainya itu akan dimiliki lelaki lain. Terasa separuh daripada dirinya telah mati tatkala cintanya dirampas pergi.

Kawan ,Sahabat atau kekasih?

“Rynn, kau ada plan tak petang ni?” Rizal bertanya.

“Plan? Tak de. Kenapa?”

“Macam biasa lah, padang! Okay?” Rizal meminta persetujuan.

Rynn memandang wajah Rizal yang seiras abangnya. Sememangnya dia dan Rizal berkawan baik setelah hubungan mereka sebagai kekasih terputus. Padanya, Rizal bagaikan abangnya yang sentiasa melindunginya.

Tidak terbalas jasa Rizal kepadanya. “Okay. Tapi aku mungkin lambat sikit.”

“All right!” Rizal tersenyum riang.

Nampaknya, dia tidak keseorangan petang itu. Tidak lama kemudian, Irah, awek kesayangan Rizal mendekati Rynn. “Rynn, kau ada pergi mana-mana ke hari ni? Aku ingat nak ajak kau beli barang kelas sikit,” Rynn serba salah.

Mahu tak mahu, dia terpaksa bersetuju. “Okay. Aku tunggu kat depan Best Choice Shop pukul 3. Jangan lambat!” Irah tersengih. Dia tahu dia sering lambat ketika berjanji.

“Irah, kau sayang kat Riez tak?” Rynn bertanya tiba-tiba ketika mereka sedang menikmati minum petang di Strawberry Café.

“Mestilah. Kalau tak, aku takkan jadi awek dia. Kenapa kau tanya ni?” Irah berasa agak pelik dengan pertanyaan Rynn.

“Tak de lah. Kalau kau sayang, baguslah. Jagalah si Riez tu baik-baik. Kau takkan jumpa lelaki sebaik dia lagi.”

”Kalau ada pun, satu dalam seribu, tau!” Irah tersenyum bangga.

“Kau cakap orang, kau dengan Am macam mana?”

Rynn terdiam. Dia merenung ke luar tingkap. Dia benar-benar buntu dengan soalan Irah. “Entahlah, Irah. Aku sendiri tak tahu. Aku rasa, dia bukan untuk aku. Dia terlalu baik untuk aku.”

Irah terkedu. “Kenapa ni, Rynn? Aku tengok Am sikit punya baik dengan kau. Kalau dapat sembang dalam kelas, aku tengok macam tak nak renggang je dengan kau.”

“Itu kata kau. Tapi, aku yang rasa, aku tahu. Aku tahu dia malu kawan dengan aku. Yelah, aku ni kan joreng nak mampus! Kau faham-faham lah aku ni….” Rasa sebak menerjah di hati Rynn. Dia cuba untuk menahan air matanya dari tumpah.

“Sudahlah, Rynn. Perasaan kau je. Dia okay.” Irah menenangkan Rynn. Rynn membisu. Keadaannya tetap serupa sehingga mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Hei, Rynn! Kenapa ni? Macam muka tenuk belakang rumah aku je.” Rizal cuba untuk mengembalikan senyuman di wajah Rynn. Namun, wajahnya tetap sebegitu. Rynn tunduk menyembunyikan rasa sedihnya.

Rizal melabuhkan punggungnya di sebelah Rynn. “Rynn, aku tak suka tengok kau macam ni. Apasal ni? Pasal Am, ye?” Rynn mengalihkan pandangannya. “Rynn, pandang aku. Cuba cerita masalah kau. Aku bukan kawan kau ke?”

Perlahan-lahan Rynn memandang Rizal. Ada mutiara jernih di wajahnya. “Rynn, kenapa nangis ni? Cerita kat aku.” Rizal menjadi kurang sabar.

“Riez, aku…. Aku takut hilang Am.”

Rizal memandang wajah Rynn. Lama. “Rynn, kau jangan risau. Am tetap untuk kau” Rizal cuba untuk menyedapkan hati Rynn. “Rynn, aku respect kau. Kau sanggup menangis pasal Am walaupun kau rasa Am bukan untuk kau. Aku rasa, kau dengan Am akan lama. Kau jangan risau. Dia tetap untuk kau,” Rizal cuba memujuk Rynn.

“Riez, aku minta maaf sebab banyak susahkan kau selama ni. Aku rasa, baik kita jangan rapat sangat sekarang ni. Ye lah… kau dah ada Irah. Aku pulak…. Kau tau, lah kan? Aku takut nanti Irah fikir aku nak rampas kau dari dia. Al-maklumlah, aku ni bukannya baik pun…” Ada nada sebak di hujung suaranya.

Rizal terkejut dengan kata-kata Rynn. “Rynn, kau jangan kata macam tu! Kau tetap kawan aku! Aku pasti, Irah mesti faham!” Rizal cuba meyakinkan Rynn.

“Nope! Irah takkan faham. Aku tau, sebab aku pun perempuan. Kau kena faham tu. Aku tau apa yang dia rasa bila tengok pak we dia rapat dengan perempuan lain. Kalau kau, apa kau rasa kalau Irah rapat dengan lelaki lain?”

Rizal terdiam. Lama kemudian, dia kembali bersuara. “Rynn, kau buat aku rasa serba salah. Kalau aku tahu macam ni, aku takkan couple dengan Irah. Aku menyesal!” Suaranya bergetar menahan sebak.

“Riez, sudahlah. Benda dah lepas. Kau tak boleh biarkan Irah macam tu je. Okay, sekarang ni aku nak kau janji dengan aku kau takkan sia-siakan Irah.”

Rizal menggeleng. Lagaknya seperti anak kecil yang merajuk dengan ibunya. “Riez… kau sayang Irah tak?” Okay, kalau bukan pasal Irah, janji dengan aku atas nama persahabatan kita.” Giliran Rizal pula membatu.

Rynn menyeka air matanya. “Riez, aku anggap kebisuan kau tu sebagai setuju. Okay? Aku harap kau pegang pada janji kau. Kau takkan dapat perempuan lain sebaik Irah. Jaga dia baik-baik. Aku nak balik ni. Esok pagi, perkara pertama yang perlu kau ingat sebaik saja kau buka mata, adalah Irah. Bukan Irah DAN aku. Hanya Irah. Bye.”

Belum sempat Rynn melangkah, tangannya ditarik Rizal. “Rynn, terima kasih. Aku harap kau dengan Am berkekalan.” Rynn tersenyum sambil meregangkan pegangan Rizal.

Rynn melangkah dengan seribu rasa. Pelbagai perasaan bersarang di hatinya. Dia benar-benar sayangkan persahabatan dia dan Rizal. Tetapi dia harus berbuat begitu demi menjaga hati Irah. Dia tahu Irah begitu terluka dengan kemesraan dia dan Rizal.

Biarlah dia mengalah demi kebahagiaan Irah. Dia sudah puas mengecapi bahagia selama ini. Dia ingin Irah menikmati rasa cinta pertama dengan tenang tanpa gangguan. Memang itulah impian setiap insan di dunia. Ingin mencintai dan dicintai dengan aman.

Tetapi, tidak semua orang bernasib baik, seperti juga dirinya. Rynn ingin menjadikan Irah antara orang yang paling bernasib baik di antara yang bernasib baik, kerana Irah berhak mendapatkannya.

‘Aku harap apa yang aku buat tadi betul. Maafkan aku, Riez. Semoga kau bahagia dengan Irah….’

****************************

Pagi yang suram. Hujan turun mencurah-curah. Terasa malas untuk ke sekolah. Tetapi memandangkan hari persekolahan tinggal sebulan lebih, dipaksa dirinya ke sekolah. Setelah bersiap, dia duduk di meja makan untuk menikmati sarapan. Tetapi seleranya tertutup. Aroma nasi lemak ibunya gagal membuka pintu seleranya.

“Kenapa, Rynn? Biasanya Rynn suka makan nasi tu. Makanlah sikit. Nanti lapar.” Ibunya bersuara setelah mendapati Rynn hanya merenung nasi yang telah terhidang di dalam pinggan.

“Tak apalah, ibu. Rynn malas nak makan. Rynn dah minum cukuplah. Rynn pergi sekolah, ye bu?” Rynn mencium pipi ibunya selepas menyambar beg merahnya.

“Rynn, awal lagi ni!”

“Rynn kena pergi awal, bu. Rynn pegang kunci kelas. Budak-budak Kampung Baru datang awal. Bising pulak diorang nanti.” Rynn memberi alasan yang difikirnya cukup kukuh. Hujan di luar semakin reda.

Ibunya menggelengkan kepala melihat gelagat anaknya. Kebelakangan ini anaknya itu menjadi pendiam. Dia juga kurang bermesra dengan adik-beradiknya. Sifatnya yang kuat makan juga semakin berkurang. Dia tahu Rynn menghadapi masalah yang agak berat, kerana selama ini Rynn mampu menangani masalahnya dengan bijak.

“Rynn, kau pergi Pangkor tak, Sabtu ni?” Mira bertanya.

“Aku tak tahu lagi. Mungkin tak. Ada hal.” Rynn menjadi semakin malas dengan sebarang aktiviti.

“Alah, Rynn! Takkan Am tak pergi kau pun tak nak pergi?” Mira mengusik nakal.

Rynn menjadi berang mendengarkan kata-kata Mira. “Oi, Mira! Aku tak heranlah kalau dia tak pergi! Tak bermakna dia tak pergi aku pun mesti tak pergi! I’m independent, okay?” Rynn membalas pedas.

“Am, nekad Am!” tiba-tiba kedengaran suara Daus berkata kepada Am.

‘Ah!!! Bodoh betul aku! Apa Am kata nanti??? Kenapa aku tak tengok dulu??? Bodoh!!!” Rynn memarahi diri setelah menyedari Am berada di sebelahnya ketika itu. Dia begitu menyesal dengan tindakannya yang melulu itu.

“Irah, kali ni aku rasa, antara aku dengan Am betul-betul dah habis.” Irah agak terkejut dengan kenyataan Rynn. Irah memandang Rynn dengan penuh pertanyaan. “Kau nak tau ceritanya? Aku dah sakitkan hati Am hari ni. Tanpa aku sedar.” Rynn diam sebentar. Kesunyian petang itu terserlah.

Hanya kedengaran bunyi kipas berpusing ligat. Masing-masing memikirkan kata-kata yang harus diucapkan. “Aku rasa, cukuplah setakat ni. Aku dah penat.”

“Cepatnya kau mengalah, Rynn? Aku tak sangka kau selemah ni.” Kata-kata sinis Irah benar-benar membakar semangatnya. Tetapi, tiada apa yang boleh dilakukannya lagi.

“Irah, menyerah bukan bermakna kalah. Aku tau aku hanya tambahkan sakit dalam hati dia kalau aku terus sayangkan dia. Biarlah dia bebas. Aku tak mampu nak…”

“Rynn! Rynn yang aku kenal dulu bukan macam ni. Aku tak tau nak kata apa lagi. Terpulanglah pada kau nak buat apa. Asalkan kau bahagia.” Irah terus berlalu. Dia malas mendengar Rynn berkata yang bukan-bukan lagi. Rynn masih tidak mahu meninggalkan kelas itu. Kelas itu banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit buatnya. Semuanya kerana Am.

Dia mengenali Am sejak dia masuk ke kelas itu. Kelas yang dianggapnya paling ceria dan nakal. 4Sc2 menyimpan banyak suka dan duka. Dan hari ini juga dia mendapat tahu dia akan bertukar ke kelas yang paling baik di sekolah itu tahun hadapan. Kelas RK, dia begitu anti dengan kelas itu.

Dia sendiri tidak tahu kenapa. Sejak Alia, salah seorang pelajar RK memberitahunya bahawa pelajar kelas RK tidak menyukainya, hatinya begitu tawar terhadap kelas itu. Itu semua adalah kerana Lin dan Asriah yang juga teman baik Rynn satu ketika dahulu. Tetapi semua itu musnah akibat ego yang melanda diri masing-masing. Masing-masing tidak mahu mengalah. Rynn begitu tertekan dengan kemusnahan persahabatan yang terjalin antara mereka.

Dia tidak menyangka sahabatnya sendiri sanggup menikamnya dari belakang. Tetapi kemudian muncul Irah dan Yati. Merekalah pengubat luka Rynn. Rynn gembira dengan kehadiran mereka. Tetapi kini Yati kurang rapat dengannya dan Irah. Mungkin kerana berada dalam kelas yang berlainan. Kursus yang diambil juga berlainan. Rynn mengambil Lukisan Kejuruteraan, manakala Yati mengambil Biologi.


***************************

Rynn pulang ketika loceng sekolah yang terakhir untuk pelajar sesi petang berbunyi pada pukul 6.30 petang. Rynn termangu di meja belajarnya. Kertas putih yang asalnya untuk ditulis nota fizik habis dicemari dengan contengan yang dilakukan di luar sedarnya.

“Rynn! Telefon!!” Ibunya terus memanggil buat ke berapa kali. Setelah bosan memanggil dari jauh, ibunya pergi ke biliknya. Pintu yang berkunci diketuk keras. Rynn terkejut. Dengan pantas tangannya memulas tombol pintu.

Terpacul wajah ibunya yang agak marah. “Kenapa lambat sangat? Ibu panggil pun tak dengar. Tido ke?” Rynn menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Ni, telefon!”

“Siapa, bu?”

“Rizal.” Ringkas jawapan ibunya. Ibunya menyerahkan telefon bimbit kepadanya sebelum berlalu ke dapur.

“Hello, Rynn bercakap.”

“Rynn! Kenapa kau? Lain macam je.” Rynn menarik nafas panjang sebelum memulakan percakapannya. Dia menghempaskan badan ke atas katil.

“Aku? Okay je.” Rynn cuba berdalih.

“Kau tipu. Dengar suara pun aku dah tau. Kau tak reti simpan perasaan kau tu. Cerita kat aku cepat!” Rizal mendesak.

“Riez… aku dah tak larat fikir hal-hal ni. Biarlah.”

Kedengaran dengusan Rizal di hujung talian. Terdapat rasa tidak puas hati dalam nadanya. “Rynn, aku kawan kau. Kau tak sayang aku ke?” Rasa sebak menerjah dalam hati Rynn. Dia memutuskan talian setelah agak lama mendiamkan diri.

Jemarinya ligat menaip setelah talian diputuskan. “Aku minta maaf. Dari kau buang duit telefon aku, baik kau telefon Irah. Kau dah ada tanggungjawab. Tanggungjawab ambil tahu pasal Irah. Aku tak penting lagi buat kau. Sori.” Rynn menekup mukanya dengan teddy bear pemberian pak ciknya. Dia menangis untuk kesekian kalinya.

Biarlah dia menangis sendirian. Dia puas. Puas kerana dapat mengekspresi perasaannya, biarpun tiada yang tahu. Sebentar kemudian, telefon berbunyi, menandakan terdapat mesej masuk. ‘Rynn, aku tak tau kenapa kau fikir macam tu, dan aku tak mahu tau. Walau macam mana pun, aku nak kau tau aku tetap sayang kau. Sayang seorang kawan. Sekarang ni aku nak kau sabar, dan jangan fikir banyak-banyak. Buatlah apa yang kau nak, asalkan kau puas hati. Jangan lupa hari Sabtu ni, Pangkor.’ Panjang pesanan Rizal.

Kata-kata itu memberi kesan yang mendalam dalam diri Rynn. ‘Nak pergi ke tak? Ah! Baik aku pergi! Boleh jugak release tension aku.’

If it’s wrong to tell the truth
What am I supposed to do?
When all I want to do is speak my mind…

Lagu ‘Guilty’ dendangan Blue menyentuh pangkal rasa Rynn. Kedinginan pagi itu begitu terasa. Pagi itu dia akan ke Pangkor bersama rakan sekelasnya yang lain. Dia sudah agak kuat untuk menerima kenyataan. Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi. Sebentar lagi Irah akan datang menjemputnya. Irah… dia iri hati dengan kebahagiaan yang dikecapi Irah.

Rasa menyesal muncul sedikit. Menyesal kerana meninggalkan Rizal. Ketika itu dia terlalu mentah untuk menerima lelaki dalam hidupnya. Dia tidak mengerti makna cinta yang sebenarnya. Pada waktu itu, dia fikir, wajah adalah aset yang penting dalam mencari cinta. Rynn meninggalkan Rizal untuk bersama seorang senior yang agak kacak, tetapi mempunyai perangai yang buruk.

Setelah hubungannya dengan senior itu terputus, barulah dia sedar bahawa sikap adalah segala-galanya. Tetapi, segalanya sudah terlambat. Rizal begitu membencinya ketika itu. Setelah agak lama menjalani ‘proses pembaikan’, barulah mereka berkawan kembali, walaupun tidak seintim dulu. Rynn bersyukur, sekurang-kurangnya Rizal masih sudi berkawan dengannya. Lamunan Rynn terganggu apabila loceng rumahnya ditekan berkali-kali. Irah sudah sampai. Setelah mencium ibunya, dia menjinjit begnya dan terus berlari keluar setelah menyarung kasutnya.

Sehari di Pangkor memang memenatkan. Dia berasa gembira, tetapi terselit rasa kehilangan di sebalik kegembiraannya. Dia banyak termenung dari bersuka ria bersama rakan yang lain. Hal ini amat disedari Irah dan Rizal, terutamanya. Malam itu, ketika waktu barbeku, Rynn banyak menyindiri. Dia hanya duduk di dalam chalet. Apabila ditanya, dia hanya berkata bahawa dia menemani Aryss yang kebetulan pada malam itu sakit perut. Dia hanya keluar setelah diajak berkali-kali oleh Zua dan Mira untuk menikmati barbeku yang dibuat oleh Sham dan Zua. Setelah semuanya selesai, rakan-rakannya masuk ke dalam chalet. Yang tinggal hanya Roy, Zul, Zua dan Epic yang masih bersembang.

Rizal mendekati Rynn yang duduk sendirian. “Rynn, kenapa tak tidur lagi?” Rizal menyapa Rynn.

Rynn hanya senyum tawar. Dia tidak ada mood untuk membuka mulut. “Irah cakap kau telefon Am petang tadi. Betul ke?” Rynn hanya mengangguk. “Rynn… kau masih nak hubungi dia?” Rynn masih dengan pendiriannya. “Rynn, pandang aku. Cakap dengan aku. Kenapa ni? Kau marah kat aku?” Rizal agak berang apabila kata-katanya tidak diendahkan Rynn.

“Kau nak aku cakap apa? Aku dah tak ada apa nak cakap dah. Okay, betul aku telefon dia. So, what?” Rynn agak terganggu.

“Rynn, sorry ‘coz aku buat kau marah. Aku tak bermaksud nak sakitkan hati kau. Cuma aku nak cakap dengan kau, jangan jatuhkan maruah kau sebagai perempuan. Kau pun ada harga diri, kan? Dulu kau yang kata Am tak perlukan kau dah. So, buat apa kau perlukan dia lagi?” Rynn mencuka.

“Rynn, kau jangan salah anggap apa yang aku cakap ni. Aku cuma nak kau fikir balik. Kau masih ada aku dan Irah. Kalau kau masih harapkan dia, kau takkan ke mana. Listen, kau tak boleh kekal macam ni. Kau kena ingat tahun depan kita ada perang. Kita kena berperang dengan buku. Tahun depan SPM, Rynn! Kau jangan ingat hidup kau dah selesai.” Rizal menekan Rynn. Rynn tertunduk. Air matanya seakan mahu berlinang.

“Riez, cakap memang senang. Aku pun boleh cakap, aku tak perlukan Am lagi tapi, semua tu hanya dalam fikiran! Dalam hati aku, siapa tahu? Aku tak boleh kawal diri aku dari terus hubungi dia. Lainlah…”

“Lainlah apa? Lainlah kalau Am ada di sisi kau?” Rizal senyum sinis.

Rynn memandang Rizal dengan rasa tidak puas hati. “Sudahlah. Aku malas nak dengar kau cakap.”

“Rynn, kau sayang aku tak? Kalau kau sayang aku, tolonglah… tolong jangan buat macam tu lagi.”

“Sayang? Kalau aku sayang sekalipun, buat apa? Bukan sayang tu boleh bawak ke mana. Tak ada makna pun.” Giliran Rynn pula sinis.

Rizal menggeleng. “Rynn, kenapa dengan kau ni? Apa yang dah merasuk kau? Setan mana dah masuk dalam badan kau ni? Rynn, kau kena ingat. Setiap apa yang kau buat ada yang melihat. Kau nak ke Lin dengan Asriah gelakkan kau kerana kejar orang yang tak nak kat kau? Kau tak rasa malu ke?” Rynn kembali menyepi.

Rizal merenung Rynn. Dia tunduk kerana tak sanggup memandang wajah Rizal lebih lama. Wajah Rizal bagaikan bayangan abangnya yang telah pergi 3 tahun lalu.

“Rynn, aku tak tau sama ada apa yang aku cakap ni akan kau praktikkan atau tidak. Tapi kau kena ingat. Kau kena jaga harga diri kau dalam apa sekalipun yang kau buat. Walaupun kau tak punya apa-apa, sekurang-kurangnya kau punya maruah. Itu yang paling berharga. Kau faham maksud aku, kan?” Rynn mengakui kebenaran kata-kata Rizal.

“Sekarang ni, dengar. Aku tak mahu dengar dari Irah yang kau cuba untuk buat something yang boleh malukan diri kau sendiri.” Rynn sekali lagi menitiskan air mata. Entah mengapa, dia sendiri kurang pasti. Mungkin kerana terharu dengan nasihat Rizal.

“Rynn, sudah tu. Nanti Roy dengan Zul nampak, apa pulak diorang kata. Sekarang ni kau masuk bilik, tidur. Jangan fikir apa-apa lagi, okay?” Rynn menyapu air matanya. Dia menuruti kata ‘abangnya’ itu. Dia begitu menghargai nasihat Rizal. Dia menyimpan azam untuk melupakan Am. Tiada apa yang perlu dia harapkan lagi dari Am.

Sekembalinya dia dari Pangkor, dia menanam azam baru. Dia ingin membina hidup tanpa Am. Dia juga ingin menjalani kehidupan seperti hidupnya ketika di Tingkatan 2. Tenang… aman… tiada gangguan tentang soal hati.

Maisarah

Tak ada apa yang diperlukan dalam hidup ini. Cukuplah sekadar dapat makan dan pakai. Itu sudah memadai. Namun jika tiada kasih sayang bagaimana pula ceritanya. Lengkapkah sebuah kehidupan tanpa kasih sayang? Apa yang pasti setiap kehidupan di muka bumi ini memerlukan kasih dan sayang.

Sedar tak sedar hampir lima tahun Maisarah merantau. Membawa diri yang kecewa akibat ditinggalkan yang tersayang. Perginya tak akan kembali lagi. Dan Maisarah harus akur dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan untuknya. Lima tahun itu bukanlah satu jangka masa yang panjang. Buktinya, Maisarah masih tidak mampu untuk melupakan insan yang tersayang.

Pemergiannya membuatkan jiwa Maisarah tertekan dan kecewa. Bukannya tidak ada yang sudi untuk mengisi kekosongan di hati, namun cintanya hanya satu. Hanya untuk Ashraf, lelaki yang pernah menjadi tunangannya di suatu waktu dulu. Kalau ada pun, mungkin hanya Bakhtiar yang dapat merubah segalanya.

Namun sudah lama Bakhtiar membuang diri Maisarah jauh setelah mengetahui Maisarah adalah tunangan orang. Dan, semenjak itulah Maisarah sering makan hati dengan sikap Bakhtiar. Berita tentang kematian Ashraf pun Baktiar tidak mengetahuinya. Malahan teman karibnya sendiri pun tidak mengetahui berita itu. Bukannya apa, Maisarah terlalu makan hati dengan sikap mereka. Dan yang pasti, perkara itu telah terbongkar sebaik saja dia melangkah kaki masuk ke balai berlepas.

"Mai, aku tahu aku yang bersalah. Aku tak sepatutnya menghukum kau hanya kerana kau tunangan orang. Tolonglah Mai, maafkan lah aku!" Lima tahun dulu Bakhtiar pernah mengungkapkan kata-kata itu. Terlalu mudah Bakhtiar mengungkapkan kata-kata maaf. Maisarah hanya diam. Dia tidak terlalu menyalahkan Bakhtiar, dia sendiri juga ada salahnya. Merahsiakan yang dia telah pun menjadi milik orang.

Maisarah mengeluh mengimbau kembali kenangan silam memang memeritkan. Dan esok bakal menentukan sama ada kepulangannya akan diterima oleh semua orang.

"Mai, dah lama tak nampak kau. Lain benar rasanya..." Atikah memeluk Maisarah. Segala kerinduannya terhadap gadis itu terlerai sudah.

"Mai.. Mai.. Kau bawa diri lama sangat. Rindu tau!" Atikah masih lagi mengomel. Suka benar apabila sahabat karibnya itu sudah kembali. "Kau dah lupakan tanah air ke, Mai?" Atikah masih lagi bersuara. "Hebat sangat ke Paris tu?"

"Engkau ni Ka, bagila aku salam ngan famili aku dulu. Kau ingat kau je yang rindu kat aku? Abih famili aku ni nak campak kat mana?" Maisarah meradang manja. Hari yang begitu menggembirakan Maisarah. Semua orang dirinduinya ada. Bakhtiar pun ada. Tapi Bakhtiar hanya memandangnya dari jauh. Tidak pula lelaki itu mendekatinya. Malu agaknya. Kalau tak pun takut isterinya cemburu. Si Atikah ni kalau cemburu, susah dibuatnya. Duga Maisarah di dalam hati. Namun hanya seorang yang tidak menjemputnya hari itu... Ashraf. Bukankah Ashraf telah meninggal dunia enam tahun yang lepas?

Maisarah cuba melindungi mendung yang menyelubungi dirinya. Khuatir akan merosakkan suasana yang gembira itu. Yang pastinya... pulang ke tanah air mengembalikan memori silam yang tak mungkin dapat dilupakan olehnya.....

"Macam mana kau sekarang? Lama betul aku tak dengar berita dari kau."

"Engkau yang menghilangkan diri. Cerita pasal Ashraf pun aku dapat tahu masa kat airport. Teruk la kau ni. Ada masalah pun tak nak bagi tau member," Atikah melepaskan geram.

"Dah la tu Ka. Benda dah lepas. Dah enam tahun Ashraf meninggalkan aku. Selama itulah aku terasakan pemergiannya."

"Sudahla tu Mai, kau juga yang mengingatkan aku tadi. Benda yang lepas tu, biarla lepas. Tak payah nak ingat-ingat lagi. Bukan kau sorang saja yang rasa kehilangan dia. Semua orang rasa dengan pemergian dia. Lebih-lebih lagi famili dia. Lagi pun dia kan anak sulung. Tentu semua harapan famili, disandarkan pada dia."

"Dah, jangan nak berceramah pula kat sini," Maisarah mematikan kata-kata Atikah. Tak boleh dibiarkan nanti lagi panjang leterannya.

"Mana laki kau? Aku tak nampak pun. Takkan malu ngan aku kut? Tak pun kau tak bagi dia keluar. Takut terpikat kat aku."

"Jangan nak perasanla. Laki aku kerja, seminggu out station."

"Habis yang datang kat airport hari tu sapa. Bukan laki kau ke?"

"Sapa? Bakhtiar? Please. Laki aku lebih handsome dari si Bakhtiar tu..."

Maisarah terlopong. "Habis kalau bukan Bakhtiar..?"


Jodoh

Sudah, mati-mati dia ingatkan Atikah berkahwin dengan Bakhtiar. Sebab itulah dia berani pulang ke Malaysia. Kalaulah dia tahu cerita yang sebenarnya......

"Saya akan berkahwin bila umur dah mencapai dua puluh lapan tahun. Lagi pun apa yang diinginkan oleh saya belum tercapai lagi. Banyak benda yang perlu saya buat sebelum berkahwin. Tapi kalau dah jodoh saya kawin awal apa boleh saya buat. Mana la tau, jodoh saya dengan awak ke?" jelas lagi kata-kata Bakhtiar suatu masa dulu. Dan nyata sekali Bakhtiar membuktikan kata-katanya adalah benar. Sehingga sekarang pun Bakhtiar masih belum mendirikan rumahtangga. Apa lagi yang dia tunggu.

Semuanya dah cukup. Rumah besar dah ada, kereta besar pun ada. Tak pun Bakhtiar mencari isteri yang besar juga? Barulah padan dengan keadaannya yang serba-serbi besar. Maisarah hanya menduga....

"Mai... saya tahu, saya bersalah dulu. Tapi Mai, tu kan cerita lama. Takkan awak masih belum memaafkan saya lagi? Saya tahu.... saya sering menyakitkan hati awak. Walaupun pada masa tu awak sudah kehilangan Ashraf, saya masih lagi menyakitkan hati awak. Tapi, awak pun bersalah juga Mai. Kenapa tak bagi tahu tentang kematian Ashraf kepada kami. Kalau tak, tak mungkin saya akan terus menyakitkan hati awak sehingga awak membawa diri."

"Dah la Bad. Kematiannya bukannya pesta untuk diheboh-hebohkan. Masa tu awak pun tengah bencikan saya. Tak guna juga kalau saya bagitau pada awak. Bukannya awak boleh kembalikan Ashraf pada saya. Mungkin juga awak akan bersorak riang masa tu, ye la... dapat melihat kesedihan saya."

"Mai, awak salah tu. Dari mula saya kenal awak, hinggala sekarang, perangai awak masih tak berubah. Suka sangat merendahkan diri. Sebenar saya tak marahkan awak pada masa tu. Cuma saya marahkan diri saya sendiri. Menyukai seseorang yang tak mungkin akan menjadi milik saya.

”Marahkan keadaan yang tak menemukan saya sebelum Ashraf bertemu dengan awak. Kalau tak, pada masa tu tentu saya dah bahagia dengan awak. Tapi masih belum terlambatkan? Mai... saya betul-betul ikhlas terhadap awak. Saya tak hiraukan siapa awak pada masa dulu. Yang saya tahu, perasaan saya pada awak masih sama macam dulu. Saya sayangkan awak Mai."

Panjang betul berbualannya dengan Bakhtiar lewat petang itu. Tersentuh hati Maisarah mendengar penjelasan daripada Bakhtiar. Perasaannya terhadap Bakhtiar tetap sama. Sama seperti dia mula-mula bertemu dengan pemuda itu. Dan semakin subur.

Bakhtiarlah lelaki kedua yang telah berjaya membuka pintu hatinya selepas Ashraf. Walaupun pada masa itu dia sudah pun bertunang dengan Ashraf. Pertemuannya dengan Bakhtiar telah membuka matanya. Bukanlah Ashraf seorang yang saja yang sempurna di dunia ini. Dan semakin banyak perkara yang boleh diperbandingkan antara Ashraf dan Bakhtiar.


Derita

Sejak itulah dia menjadi seorang kekasih dan tunang orang dalam satu masa. Namun setelah kematian Ashraf, barulah dia menyedari Ashraflah yang benar-benar berada di dalam hatinya. Dan apa yang dia dapat dari sebuah kecurangan ialah penderitaan yang mungkin tiada penghujungnya.

"Mai.. Mak bukannya apa, kamu tu semakin hari semakin tua. Bukannya semakin muda. Entahkan esok, entahkan lusa mak tutup mata. Teringin mak nak tengok kau naik pelamin. Si Bakhtiar tu, sejak kamu pergi ke Paris, tiap-tiap hari dia datang bertanyakan khabar kamu. Mak tahu, selain Ashraf dialah yang paling layak untuk dibuat menantu. Baik, berbudi bahasa, pandai ambil hati orang tua, berkedudukan.

”Apa lagi yang kamu mahu? Dah la tu Mai.. Yang pergi tu tak kan kembali. Biarlah arwah Ashraf bersemadi dengan tenang."

"Entahla mak, Mai keliru dengan perasaan Mai sendiri. Rasanya baru semalam Mai bersembang dengan Ashraf. Terdengar lagi suaranya yang beria-ia benar nak kan baju pengantin warna putih. Padahal dia cukup tak suka dengan warna tu. Tup-tup dia dah tak de... Mai betul-betul rasa kehilangan. Kalau la Mai tak berdegil suruh dia tukarkan baju tu, tak kan semua ni terjadi kan mak?"

"Bukan salah kamu Mai, dah takdir yang menentukan macam tu, kalau tak disebabkan kemalangan pun, kalau dah ajal, apa yang boleh kita buat. Tu semua hanya penyebab saja. Kan ke jodoh, pertemuaan dan perpisahan Dia yang tentukan. Kita tak ada hak untuk menghalangNya. Dah bukan jodoh kamu dengan Ashraf."

Maisarah menghela nafas panjang. Berat benar permintaan emaknya itu. Bukan dia tak mahu menerima Bakhtiar, tapi dia takut untuk kecewa lagi. Takut kalau-kalau impian tidak kesampaian. Takut untuk menerima kenyataan, kalau-kalau orang yang tersayang hilang buat kali kedua. Khuatir kalau-kalau dia akan melukakan lagi hati Bakhtiar. Apa lagi yang boleh dia buat....?


Pilihan

"Mai, ikhlaskah awak menerima saya? Saya tak mahu atas desakan keluarga, awak mengorbankan masa depan awak. Saya tak kisah kalau bukan saya yang awak pilih kali ini, umur dah semakin meningkat Mai. Dan saya dah boleh mengawal perasaan supaya jangan terlalu emosional kalau bukan saya yang awak pilih."

"Sebab masa dah terlalu banyak terbuanglah, saya menerima awak. Ikhlas Bad, saya tak mahu lagi jadi budak-budak. Merajuk dan bawa diri jauh. Sedangkan, tak ada apa yang saya dapat melainkan kesorangan.

”Dulu saya pernah bagitau awak, saya akan menerima orang yang sanggup menerima saya dengan seadanya. Dan awaklah orang itu, Bad. Orang yang sanggup menerima saya, walaupun dah tahu tentang kisah silam saya. Sepatutnya saya berterima kasih dengan awak, kerana sudi menerima saya. Setelah apa yang telah saya lakukan pada awak."

Dan itulah kesudahannya. Mungkin dengan menerima Bakhtiar untuk menjadi temannya sehidup semati adalah satu jalan yang paling baik. Maisarah tersenyum puas. Segala impian Ashraf yang belum terlaksana akan dilakukannya pada majlis perkahwinannya dengan Bakhtiar nanti. Mujurlah Bakhtiar tidak banyak soal. Dan dia pasti, tentu lelaki itu faham dengan hasratnya itu.


Bahagia

"Betulke awak tak kisah ni, honey? Tak nak la nanti awak buat muka masa majlis tu. Nanti dalam gambar muka cam cipan."

"Saya tak kisah la darling, asalkan awak sanggup jadi isteri saya. Saya dah rasa bahagia yang teramat sangat."

Bahagianya saat itu. Terasa bagaikan Ashraf telah kembali. Membawa cahaya yang begitu terang dalam hidupnya. Perwatakan Bakhtiar yang mirip Ashraf, kelakar dan mengambil berat. Namun kegigihan Bakhtiar untuk mencapai kesenangan tidak ada pada Ashraf.

Ashraf mudah berpuas hati dengan apa yang telah dikecapinya. Tidak pernah berusaha untuk mencapai yang terbaik. Mengingati Ashraf bagaikan menjerut diri sendiri. Dan dia mengakui, terlalu sukar untuk melupakan Ashraf walaupun Bakhtiar di sisi.

Berdebar-bedar menanti hari bersejarah. Di mana dia akan diijabkabulkan untuk menjadi isteri Bakhtiar yang sah. Bukan dengan Ashraf seperti mana yang pernah dia angan-angankan dulu. Yang paling gembira tentulah emaknya. Sibuk benar orang tua itu. Maklumlah untuk menyambut menantu yang pertama. Semuanya diatur rapi agar tidak ada yang terkecuali.

Mengenangkan Ashraf umpama menyekat dirinya daripada bermenantu. Melihatkan Bakhtiar, seolah-olah lelaki itulah yang akan membawa kebahagiaan di dalam hidup anak perempuannya. Apa yang penting, kebahagiannya anakya itulah yang paling diharapkan.

"Mai, kamu dah pergi ambil tempahan baju tu ke? Nanti esok kelam kabut. Orang pulak dah ramai."

"Belum mak. Tengah tunggu Bad call, dia cakap nak pergi ambil sama. Sampai sekarang tak call lagi pun. Kalau tak pun, Mai pergi ambil sendiri."

"Kalau ya pun telepon Bad tu. Tanya dia betul-betul. Kamu tu dah nak jadi bini dia. Kena berlatih, minta izin ke.."

Geram betul hati Maisarah, dia paling tidak suka kalau janji yang dibuat tidak ditepati. Bukannya dia tidak tahu, Bakhtiar mempunyai banyak kerja untuk dibuat. Tambahan pula untuk menguruskan segalanya. Bukannya Bakhtiar tidak mahu pergi bersama. Cuma minta ditangguhkan ke malam hari. Itu pun sudah cukup untuk membuatkan Maisarah marah. Dia sendiri pun tidak faham dengan emosinya hari itu. Cepat saja naik angin.

Mungkin gemuruh agaknya. Dan dalam kemarahan Miasarah bertekad untuk pergi tanpa ditemankan oleh Bakhtiar.

"Mak cik, Mai dah balik? Dari tadi saya call handphone dia. Tutup pulak. Risau saya dibuatnya."

"Belum Bad, mak cik pun tengah tunggu dia. Dari tadi keluar, sampai sekarang tak balik-balik. Dia merajuk dengan kamu agaknya tu. Jap lagi sejuk, balik la tu."

"Tak pela mak cik, kalau dia balik suruh dia call saya." Talian di sana telah terputus. Puan Mardiah meletakkan ganggang telepon sambil mengintai ke luar kalau-kalau anaknya itu telah pulang.


Milik

"Mai, sanggup tak Mai sehidup semati dengan B?"

"Kenapa B tanya Mai macamtu? B tak percayakan Mai ke?"

"Bukan macam tu Mai, B percayakan Mai, cuma... B tak sanggup Mai menjadi milik orang. Tak sanggup rasanya melihat Mai berada dalam pelukan orang lain."

"Ala, kalau B dah mati, B bukannya boleh nampak lagi."

"Sapa cakap, roh B boleh nampak tau, nanti B jadi antu yang baik. B akan jaga Mai sambil B jadi antu."

"Mulut B ni cabul la..." Bahagianya saat itu, bersama-sama dengan Ashraf memang membuatkan dia berada di awang-awangan. Lelaki itu terlalu memanjakan dirinya. Panggilan 'B' adalah singkatan dari Hubby yang bermaksud kekasihku. Dan dia pasti Ashraf selesa dengan panggilan itu.

"Mai... Kalau B mati dulu, macam mana?"

"B, yang cabul sangat ni apasal? Dah nak mati sangat ke?"

"Orang tanya je.. Itu pun nak marah. Emosional sangat isteri orang ni."

"Oops.. salah tu. Orang belum jadi isteri dia lagi. Perasan betul. B, kalau B dah tak de, Mai pun tak nak tinggal kat dunia ni. Kalau Mai tak boleh pergi sama B, Mai pegi la kemudian. Janji kita boleh sehidup-semati. Mai tak tau macam mana kehidupan Mai bila B tak de. Mai janji B, Bje yang ada dalam hati Mai..."

Semuanya gelap. Kenangan-kenangan silam bersama dengan Ashraf semakin pudar. Maisarah tidak inginkan semua itu berlaku. Tidak mahu kenangan bersama Ashraf padam begitu saja. Biarlah kenangan itu terus subur di dalam ingatannya. Biarlah. Namun, semuanya semakin kabur dan terus menghilang. Dan, Maisarah terkulai dalam kerinduannya terhadap Ashraf.

"Mai, kenapa awak buat macam ni pada saya? Awak dah berjanji tak akan mengecewakan saya lagi, mana janji-janji awak tu? Mai, kalau pun awak marahkan sangat saya, tolonglah jangan hukum saya macam ni. Takkan sebab tak temankan awak pergi ambil baju tu awak buat macam ni? Mai, tolonglah. Jangan buat saya macam ni. Tolonglah Mai. Please, Mai..." Bakhtiar sudah tidak dapat menahan kesedihannya. Harapannya hancur berkecai..

"Sudahlah Bad. Bukan jodoh kamu dengan dia. Relakanlah pemergiaannya."

Suasana begitu muram sekali. Sana sini kelihatan raut wajah yang kesedihan. Sepatutnya hari yang bahagia itu disambut dengan suasana yang riang, tapi kini telah menjadi satu mimpi ngeri bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Kelihatan Bakhtiar masih lagi meratapi pemergian Maisarah. Mengharapkan agar gadis itu kembali ke sisinya.

Meneruskan apa yang diimpikan bersama. Namun hampa. Yang tinggal hanyalah kenangan, tak mungkin Maisarah akan kembali.


would you know my name
if i saw you in heaven
would you feel the same
if i saw you in heaven
i must be strong and carry on
cause i know i don't belong here
in heaven


would you hold my hand
if i saw you in heaven
would you help me stand
if i saw you in heaven

i'll find my way through night and day
cause i know i just can't stay here
in heaven


Maisarah terlibat dalam kemalangan. Dan kemalangan itu jugalah yang telah menyebabkan kematian Maisarah. Tarikh dan tempatnya adalah sama dengan tarikh dan tempat di mana telah meragut nyawa Ashraf dulu. Bakhtiar masih belum puas menyalahkan dirinya lagi. Membuat andaian kiranya dia yang menemankan Maisarah, tentu semua itu tidak akan terjadi.

Seperti mana Maisarah menyalahkan dirinya dulu, menyebabkan kematihan Ashraf. Nyata cinta mereka unggul. Sehidup dan semati. Cuma, Ashraf yang pergi dulu dan kemudian diikuti oleh Maisarah. Dulu Maisarah kehilangan Ashraf di majlis perkahwinan mereka dan kini Bakhtiar pula kehilangan Maisarah di hari yang sama. Cuma tahunnya saja yang berlainan. Mungkin juga pemergian Maisarah untuk menunaikan janjinya yang telah dibuat bersama dengan Ashraf dulu.

"Mai, sanggupkah Mai berjanji yang kita akan sehidup semati?"

"Mai berjanji B, Mai akan tetap bersama walau dalam apa keadaan sekali pun. Kalau B yang pergi dulu, Mai pun tak ingin hidup lagi. Mai mahu teru bersama dengan B. Tak ada apa yang dapat memisahkan kita. Hanya maut yang menentukan segalanya......."


al-Fatihah



----TAMAT----

Terima Kasih Min

Hatiku berbunga. Senyumku mekar keriangan. Kenangan semalam menamani lenaku. Cahaya mentari mula mengintai di celahan tirai kamar, namun aku masih enggan bangkit dan meninggalkan kenangan indah itu.

“Bangun Nadia, awak tak pergi kelas?” terdengar suara halus Min, teman serumahku.

“Hmmm...”

“Kelas awakkan pukul 10, awak tak pergi ke ?” dia bertanya lagi.

“Nadia, are you ok? Kalau awak nak pergi, bolehlah kita pergi sekali,” pelawa Min.

Min memang gadis yang baik, walaupun aku baru mengenalinya tetapi Min mengambil berat terhadapku. Malah jadual waktu kuliahku turut tersimpan dalam memorinya, namun perangai Min yang suka menegur sikapku terutama sekali bab solat, menyebabkan Min aku kategorikan sebagai kaki penyibuk.

“Laa... tak siap lagi, tak pergi ke?”

“Aku M.C lah,” jawabku sambil menarik semula selimut.

“Malam semalamkan awak sihat, atau awak... ?” tekanya. Min mula duduk di tepi katilku.

“You memang the best student, tapi Nadia tengah malas ni,” sempat juga aku berseloroh.

“Awak ada masalah?”

“Minah ni tak pandai letih ke?” tanyaku di dalam hati.

“Lecturer tu tak pandai nak bagi lecture lah,” senang saja aku memprotes.

“Kalau lecturer tu tak pandai, awaklah yang kena belajar dengar lecture,” balasnya.

“Min pergi dulu, esok lusa Nadia pergi pulak,” pujukku agar Min membenarkan aku menikmati tidurku yang tergendala.

“Baiklah, Min pergi dulu.”

Nasib baik minah ni tak berceramah dengan lebih panjang lebar lagi. Sebenarnya bukan lecturer yang membosankan, tetapi aktiviti bersama Kamal budak macho yang baru kukenali malam semalam membuatkan aku enggan bangkit apatah lagi bayangannya masih membuaiku. Malah aku masih terdengar muzik techno yang rancak. Ah.. indahnya malam, kekayaan mama dan papa cukup untuk aku gunakan sepanjang hidupku. Hidup ini mesti enjoy, menjadi sloganku.


Malam Membosankan

Alat hawa dingin yang terpasang tidak dapat menghalang peluhku mengalir. Muzik yang rancak masih tidak menarik perhatianku untuk menari, oleh itu aku hanya memerhatikan teman-temanku menari berpasang-pasangan.

“You tak menari?” tegur seorang jejaka.

“No, thanks for asking,” jawabku sambil tersenyum.

“Azril,” jejaka itu memperkenalkan dirinya sambil menghulur tangan tanda perkenalan.

“Nadia,” balasku ringkas.

Aku tidak berminat berbual panjang dengannya, terlalu agresif, garfunya juga terlalu mudah menjalar. Aku tahu aku bukanlah gadis yang baik tapi aku tidak akan menyerahkan mahkotaku dengan lelaki yang bukan suamiku. Aku meneguk air berbuih sepuas hatiku dan meminta Azril meninggalkan aku sendiri. Malam ini sungguh membosankan.

“Astaghfirullah, apa nak jadi dengan awak ni Nadia?”

“Nak join? Aku belanja,” pandanganku berpinar.

“Oppss... sorry,” hayunan tanganku menjatuhkan koleksi novel Min di tepi meja.

“Salah sendiri apasal letak atas meja tu.” Sempat lagi aku mengutuk di dalam hati.

Entah berapa ratus kali aku melihat Min berteleku di atas tikar sembahyang pada waktu-waktu begini, ah... lantaklah apa dia nak buat, kubur lain-lain.

“Kalau kubur awak sebelah kubur saya, tentu bising,” tiba-tiba suara Ustazah Aida menerpa di mindaku.

“Argh..” sakit yang ku alami menjadi-jadi.

“Nadia are you okay?” tanya Min kebingungan.

“Please Min, awak ada minyak angin?” Pintaku.

“Minyak ni boleh?” tanya Min menunjukkan sebotol Minyak Angin cap Kapak.

“Agaknya... Thanks.”

Sejak beberapa hari yang lalu aku sering merasa sakit di bahagian belakang, malah air kencing juga seolah-olah bercampur darah, agaknya aku tersalah makan, tak kisahlah yang penting hidup mesti enjoy, sakit akan reda bila sapu minyak angin, lebih-lebih ubat cap percuma ni.

“Awak dah okay?” soal Min mengambil berat.

“I think so, awak pergilah tidur, I’m okay,” jawabku untuk menyenangkan hatinya. Sekalipun sakit ini menggila sekali-sekala.

“Min masuk dulu, take care,” Min berpesan sebelum kelibatnya hilang dari pandanganku.


Penantian Satu Penyeksaan

Bilik ini bagaikan Penjara Pudu, aku semakin bosan berperap di dalamnya, seingat aku entah berapa kali peti sejuk aku buka. Keluar? Aku masih belum berapa sihat untuk pergi enjoy seperti selalu, malah aku dah mencipta satu tabiat baru, tandas menjadi persinggahanku.

“Kenapa dengan awak Nadia?” Soalan Min mengejutkanku.

“Letih masuk toilet, Min tolong on kipas tu,” pintaku.

“Nadia kalau awak rasa tak sihat, lepas makan ni kita pergi klinik,” saran Min.

“Awak dah bosan Nadia lekat dekat rumah?” sempat lagi aku mengusik Min dengan pertanyaanku, aku tahu Min amat risaukan aku. Semalaman dia menemaniku, setiap kali aku mengerang Min akan menyapukan minyak angin di belakangku.

“Min nak solat dulu,” suara Min memecahkan suasana.

Aku memerhatikan Min sehingga kelibatnya hilang di bilik mandi.

Solat, hatiku berbisik, entah dah berapa lama aku melupakan tikar sembahyang, agaknya semenjak mama dan papa pergi, kehidupan tanpa mama dan papa mengajar aku hidup berdikari sekaligus melupakan nikmat solat yang pernah ku lakukan dulu. Semuanya hilang bersama mama dan papa.

“Jauh termenung, awak tak nak solat?” tanya Min sambil tersenyum.

“Muda lagi, dah tua esok I will pray,” tungkasku.

“Mati tak kira umur Nadia, bila dah ajal sekarang ni pun kita boleh mati,” panjang lebar ceramah Min kali ini.

“Kalau Min nak, Min matilah dulu,” aku berharap kata-kataku akan mematikan hujahnya.

“Min sanggup, kalau kematian Min boleh membahagiakan Nadia.”

Senang saja Min menyatakan kesanggupannya, aku mula terbayang kematian yang suatu masa dulu pernah berlaku di hadapanku.

Tiga hari lagi umurku genap 21 tahun. Kata orang 21 adalah kunci kebebasan dan kedewasaan, namun bukan hadiah yang aku nantikan, penantianku tertumpu kepada laporan perubatan yang akan keluar pada tarikh yang sama. Aku termakan pujukan Min untuk membuat pemeriksaan beberapa hari yang lalu. Penantian itu satu penyeksaan dan kini aku terseksa dan gementar menanti laporan itu dikeluarkan.

“Nadia, kain sembahyang awak dekat tepi katil, awak akan tenang bila awak mengadu kepada-Nya,” Min mengingatkan aku.

“Alahai membebel pulak makcik ni.” Tapi kata-kata itu hanya berlegar di dalam hatiku.

“Nadia dengar tak?” Min mengulangi pertanyaan, beriya-iya Min mengajak ku solat.

“Dengar.”

“Bulan depan exam, assignment dah siap?” Minah ni banyak soal pulak hari ni.

“Dah,” jawabku pendek, macamlah dia tak tahu aku siapkan assignment guna duit, bayar je kat budak yang rajin ha.. .siaplah.

“Nadia jangan lupa makan ubat tu,” laung Min sebelum meninggalkan aku.


Ketegangan

“Kronik! Ini satu kesilapan, doktor always do that,” luahku kesal.

Aku cuba meyakinkan diriku bahawa laporan itu satu kesilapan. Tetapi mampukah aku menipu diri sendiri. Aku terkenang soalan doktor mengenai lenguh bahagian belakang yang seringku alami.

“Tidak, aku tak akan percaya laporan palsu ni,” kertas tu aku campakkan ke tempat yang sepatutnya, tong sampah.Aku mengambil keputusan yang ku kira terbaik untuk diriku, aku akan menganggap perkara ini tidak pernah terjadi.

“Apa pulak ni?” sambil tanganku membelek-belek bungkusan yang comel di atas katilku.

“Happy Birthday – sesungguhnya Allah S.W.T menyayangimu” - Sahabatmu Nur Anisah Aminah.

Allah, nama suci itu perlahan-lahan meresap ke hatiku yang paling dalam.

Benarkah Dia menyayangiku, mengapa aku bersendirian di dunia ini, mengapa Dia menjemput mama dan papa malah pemergian mereka tanpa pesan, sehingga aku kesunyian? Satu-satunya cara aku menghilangkan kesunyian adalah dengan bergaul dengan kawan-kawan seperti Gee, Erin dan lelaki-lelaki yang hadir setiap kali melihat kelincahanku di pentas.

Ya Allah, sekiranya Engkau menyayangiku berikanlah petunjuk kepadaku, pertama kali aku memohon kepada-Nya selepas berlakunya kemalangan yang melibatkan mama dan papa di hadapan mataku. Itupun penuh keraguan.

Min tersenyum, sungguh ikhlas dan indah. Min sungguh ayu hari ni, baju kurung biru laut dipadankan dengan tudung biru yang agak lembut sungguh sesuai dengan kulit Min yang cerah, apatah lagi Min mengenakan kerongsang yang aku hadiahkan kepadanya.

Min beria-ia mengajak aku keluar setelah Min kerap meninggalkan aku sendiri, namun Min enggan memberitahu tujuannya mengajak aku keluar, agaknya hari ini adalah hari yang istimewa buat Min dan mungkin juga untuk diriku sendiri.

“Nadia tunggu Min!!” Jerit Min sambil menggerakkan tangan sebelum melintas.

“skreettt..... prang...!”

Dentuman yang kuat terdengar, bau getah terbakar mula menusuk hidungku.

“Min... Min...!” entah kenapa Min tidak menjawab panggilanku. Aku melihat tubuh Min terbaring kaku berhampiran lampu isyarat di seberang jalan.

Selepas itu aku tidak mampu untuk melihat atau mengingati apa-apa lagi.

“Mati tak kira umur Nadia,” terngiang-ngiang suara Min tempoh hari.

“Min sanggup kalau kematian Min boleh membahagiakan Nadia,” kesanggupan Min masih berlegar-legar di mindaku.

“Betulkah kematian Min akan menbahagiakan aku?” aku bertanya, sepi...

“Mungkin Allah menunjukkan kasih sayangnya kepadaku dengan cara ini,” teka hatiku.

“Ya Allah bantulah hamba-Mu ini, kuatkanlah hatiku untuk menerima segala dugaan-Mu,” kali ini aku benar-benar pasrah dengan ketentuan-Nya. Min terlalu banyak mengajarku erti kesabaran, aku tidak akan mengecewakannya, tidak sekali-kali.



Disayang

“Nadia bangun nak,” sayup-sayup terdengar suara seorang wanita.

“Siapa wanita ni, wajahnya seiras Min tapi agak berumur,” bisik hatiku.

“Nadia, nama makcik Rahmah, makcik mak Min, dah tiga hari Nadia tak sedarkan diri,” mungkin makcik Rahmah dapat meneka apa yang bermain di fikiranku.

“Makcik, Min mana?” aku teringat sahabatku. Makcik Rahmah tersenyum dan meminta aku berehat. Aku pasti Min selamat, takkan seorang ibu mampu tersenyum sekiranya anaknya terkena musibah, hatiku berkira-kira. Aku berehat sepuas hatiku.

“Nadia setuju?” Makcik Rahmah bertanya.

“Nadia ikut kehendak Min makcik,” aku memberi persetujuan.

“Alhamdulillah, semoga Min aman di sisi-Nya,” makcik Rahmah tersenyum lagi.

“Makcik, boleh Nadia tanya sikit?” Aku takut menyakiti hati seorang ibu yang kehilangan anak.

“Apa dia?” aku melihat wajah makcik Rahmah yang tenang.

“Bagaimana makcik boleh tersenyum setelah kehilangan Min?” terketar-ketar suaraku bertanya.

“Makcik percaya Allah lebih menyayanginya, Allah tidak akan menduga hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapinya. Min tentu lebih tersiksa sekiranya kita bersedih kerananya. Nadia kena ingat, Allah sentiasa mengasihi hamba-hambanya.”

Aku terkesima seketika. Mulianya hati seorang ibu. Aku meninggalkan persemadian Min perlahan-lahan, takku sangka Min menjumpai laporan kesihatanku dan berusaha mencarikan buah pinggang yang sesuai buatku, kau betul Min, sememangnya Allah mengasihiku, aku yang tidak sedar. Aku masih bernafas hari ini untuk mendoakan kesejahteraan mama dan papa di sisi-Nya bukan untuk terus menyalahkan takdir Ilahi, kini aku benar-benar faham dan sedar atas kesilapanku.

Derita Itu Milikku Jua

Kedengaran rintik hujan di luar, saat ini hatiku jua begitu cuma tidak sehebat La Nina yang pernah dulu diperkatakan. Aku kesal dengan sikapnya, mengapa aku yang harus menjadi mangsa. Tidak kusangka sama sekali hakikat pahit ini harus ku tempohi. Mengapa aku? Ibu anakmu masih perlukan dirimu, kembalilah menjadi seorang wanita yang indah seperti dulu, seperti di waktu yang aku masih belum mengenali dunia. Teringat kata-kata nenekku, ”kau memang malang Anis. Terlalu malang untuk menanggung keperitan jiwa yang tak mungkin diubati.”

“Anis, mengapakah hatimu begitu berat menerimaku sayang?” Zakri menyoalku. Aku hanya berdiam diri. Tidak mahu menambah keperitan yang aku sendiri tak mampu menanggungnya. Kudongakkan wajah ke atas, Zakri memandangku penuh mengharap.

“Zack, bukan Anis tak mahu menerima lamaran darimu, cuma Anis tidak berdaya. Anis perlukan kekuatan untuk mengharungi hidup ini. Antara kita terlalu banyak perbezaan, Zack kena teruskan hidup Zack dengan cara Zack dan Anis dengan cara Anis sendiri,” aku membalas.

Aku sedar kata-kataku itu hanya memakan diri, aku sayangkannya namun dapatkah dia menerima hakikat aku ini bukan seperti gadis lain. Aku tidak mahu dia menyesal kerana aku. Apatah lagi ibunya seorang yang amat dikenali.

Aku pernah merasa tamparan hebat dari ibunya, cuma Zakri yang tidak pernah tahu mengenai itu.

“Anis, Zack akan terus menantimu. Walau apapun alasan yang diberi hati ini tak mungkin dapat melupakanmu,” Zakri bangun perlahan meninggalkanku. Aku masih di sini, di tasik ini. Hendak menangis, airmataku sudah kering. Apalagi yang mampu kulakukan selain memendam rasa dan perasaan terluka.

Itu adalah kejadian seminggu yang lalu. Petang ini aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya aku ke rumah nenekku di Kampung Sentosa. Sudah lama aku tidak menatap wajah luka itu, wajah yang sekian hari dimamah usia. Setiap hari hanya menghitung waktu sampai bilakah semua ini akan berakhir.

Dia ibuku, ibu yang tidak pernah kenal anaknya. “Assalamualaikum, nek. Apa khabar nenek sekarang? Dah lama Anis tak ke sini. Ibu bagaimana? Sihatkah dia?” soalku bertalu-talu, tanpa kunantikan jawapan nenekku.

Nenekku hanya tersenyum, “Waalaikumusalam, baik Anis. Ibu juga baik. Dia sudah semakin berisi sekarang, sudah mahu makan. Tambahan pula Anis selalu belikan dia buah-buahan.”

“Ibu di mana nek?” aku menyoal lagi. Lantas nenekku menunjukkan ke arah pokok mempelam tua di belakang rumah nenekku. Tanpa berlengah aku terus mendapatkan ibuku.

“Ibu, apa yang sedang ibu buat ni?” aku menyapa. Ibu hanya asyik memintal-mintal hujung rambutnya yang hampir botak itu, akibat dari ibuku sendiri. Dulu dia memang tidak boleh ditinggalkan sendirian, ada sahaja perkara pelik yang pasti akan dilakukannya. Itulah kerisauan yang nyata menggugat perasaanku. Dia menoleh seketika kepadaku, aku menghadiahkan senyuman paling manisku buatnya, namun ibu tetap menatapku penuh kekeliruan. Dia lantas bangun meninggalkanku.

Hampa sekali. Ibu tidak pernah mahu menegurku. Itu yang pasti. Aku tahu dia masih menyimpan dendam padaku. Dendam yang bukan aku ciptakan. Dendam yang lahir itu hanyalah kerana aku mempunyai darah yang sama dengan lelaki itu. Lelaki yang tidak pernah aku kenal raut mukanya. Benci aku mengingatinya. Mengapa aku harus sedarah dengannya. Terasa seperti mahu mengeluarkan seluruh darah yang ada ini agar tidak menjadi kebencian ibuku.

Asyik memendam rasa nenekku memanggil. Hari sudah hampir maghrib, beristighfar aku seketika. Tidak sedar waktu senja telah mula menampakkan bayangnya. Lantas aku mengatur langkah masuk ke dalam. Sesudah makan malam, aku menghampiri nenekku. Dia hanya tersenyum kepadaku.

“Anis, nenek harap Anis jangan ambil hati sangat dengan ibu ya?” katanya.

Aku hanya menggelengkan kepala seraya berkata, “Nek, ibu tak salah, yang salah hanya lelaki itu.” Perlahan ku melihat airmata nenekku jatuh ke pipinya. “Kenapa nek? Adakah salah kata-kata saya ini?” aku pula yang menjadi hairan.

Nenekku hanya menggeleng, “Anis, lelaki itu hanya terlalu menurut nafsu, janganlah pulak Anis menyimpan dendam terhadapnya.” Aku bertambah hairan, mengapa pula nenek melarang aku dari membenci lelaki itu. Ah, nenek hanya menambah kelukaanku. “Sudahlah Anis, biarkanlah yang dah berlalu itu pergi, kita teruskan sisa hidup yang masih berbaki ini,” nenek menyambung.

“Tapi nek, lelaki itu dah menghancurkan masa depan ibu, masa depan Anis sendiri, Anis malu nak mengaku dia bapa Anis. Masih Anis ingat lagi, semasa sekolah dahulu, rakan-rakan menjauhkan diri. Kenapa? Hanya kerana Anis tiada seorang bapa, mengapa nek? Mengapa? Anis tidak mahu mengalah lagi rasanya. Anis dah penat nek, penat,” aku lantas menjadi berang dengan kenyataan nenek itu. Aku bangun menggapai beg dan lantas berlalu dari rumah kecil itu. Laungan suara nenek menahanku dari pergi tak kuendahkan.

Aku sudah terluka, biarlah hati tua itu juga terluka sama seperti aku. Aku tidak mengerti mengapa aku harus berdiam diri terhadap lelaki jahanam itu.

Kereta kupandu tanpa mengira kelajuannya lagi. Aku mahu cepat sampai ke rumah, kerana di sana lebih banyak kedamaiannya. Semakin laju kereta ku pandu, semakin galak airmataku berjuraian. Aku dah tak kisah lagi.

Tidurku terganggu bila jam berdenting tiga kali. Aku lantas bangun, masih berpakaian seperti sewaktu pulang tadi. Aku terlena dalam luka yang membara ketika pulang malam tadi sehinggakan tidak sempat menyalin baju.

Sedar diri sudah banyak membuat dosa, aku bangun menuju ke bilik air, lantas manik-manik jernih mengalir membasahi pipiku. Selesai mengambil wuduk, aku lantas mengerjakan solat tahajud. Sudah lama aku tidak melakukannya. Dulu itulah perkara yang sering kulakukan. Ketenangan kuperolehi selain kelukaan ini dapat dirawat. Itulah kebesaran-Nya, hanya aku yang terkadang lupa pada kuasa-Nya. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku. Berikanlah kekuatan kepada aku dan ibuku.

Pagi ini aku meneruskan kerja-kerjaku di pejabat, biarpun mataku masih merah penangan tangisan semalam, aku harus menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketuaku. Tengahari ini aku terpaksa memenuhi temujanji dengan pelanggan dari Syarikat Utama. Kata ketuaku, pelanggan yang satu ini amat penting kepada syarikat kami. Terpaksalah jua biarpun aku sudah kehilangan mood. Sudah menjadi prinsipku tidak menjadikan hal peribadi sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawabku sebagai pekerja. Tambahan pula jawatan yang kuperolehi sekarang tidak mudahku miliki.

Masih teringat lagi bagaimana peritnya aku berusaha siang dan malam untuk mendapatkan duit membiayai pelajaranku. Kesusahan itulah yang mengajar aku agar tidak merosakkannya hanya kerana emosi. Kerana tugas jugalah aku terpaksa mengecewakan Zakri yang mahu makan bersama denganku tengahari ini. Bersabarlah Zakri, kiranya ada jodoh kitakan tetap bersama.

Ah, lambat pula aku kali ini, teruklah kalau client aku terlepas lagi. Bukan senang nak dapat peluang yang jarang-jarang begini. Langkah kuatur dengan laju, masa mesti dikejar. Tergesa-gesa mencari kelibat pelanggan yang dikatakan, aku hampir terlanggar pelayan yang kebetulan lalu di situ.

Kesempatan itu kugunakan untuk bertanya di mana letaknya meja client pentingku itu. Dengan keadaan tercungap-cungap aku menghampiri Datuk Kamal, orang yang kucari itu telah kutemui. Belum sempat aku mengenalkan diri seorang pemuda bersuara, “Cik Kartika ya? Saya Iezman dan ini Datuk Kamal, kami dari Syarikat Utama. Silakan duduk.”

Malulah pulak, sudahlah datang lambat siap dipelawa duduk lagi. Tak ada moral betul. Aku hanya tersenyum sambil bersalaman dengan Encik Iezman dan Datuk Kamal. Terasa ada getaran bila aku bersalaman dengan Datuk Kamal, kuingatkan Datuk ni dah botak dan tak kacak lagi tetapi berlainan benar dari sangkaanku. Orangnya memang kacak dengan berkumis nipis dan agak tinggi. Aku mengagak umurnya dalam lingkungan 40-an. Terkedu seketika, senyumannya mengingatkan aku pada seseorang, siapa ya?

“Maafkan saya, Datuk, Encik Iezman. Saya terlambat. Apakata kita mulakan perbincangan,” aku berbicara. Datuk Kamal hanya diam sambil memerhatikan aku. Ah orang tua ni peliklah. Tanpa menghiraukan renungan itu, aku meneruskan usul syarikatku kepada Encik Iezman selaku Pengurus Besar Syarikat Utama. Datuk Kamal sesekali mencelah bila ada sebarang perkara yang tidak menepati prinsip syarikatnya. Sekurang-kurangnya aku selamat dari renungan luar biasanya itu.

“Ala mama, apa salahnya dengan Anis tu, dia wanita yang baik. Kenapa mama menolak pilihan Zack?” Zakri menyoal mamanya. Datin Munirah hanya mencebik muka kepada anaknya. Berita yang didengarnya dari Suzana anak saudaranya semalam amat menyesakkan jiwanya. Memang sebelum ini dia tidak kisah dengan siapapun Zakri berkawan dan ingin berkahwin, tetapi hatinya terusik bila diketahui asal-usul Anis gadis pilihan anaknya itu.

“Sudah Zack! Mama tak mahu mendengar lagi nama perempuan itu dalam rumah ini, Zack boleh lupakan dia atau mama sahaja. Pilih antara dua Zack.” Datin Munirah melampiaskan rasa marahnya pada Zakri.

“Tapi mama…”, Zakri baru hendak bersuara bila mamanya tiba-tiba meninggikan suara, “Stop it Zack, don’t you love your mother? Now you shall go.” Zakri hanya mampu memerhati. Mengapa mamanya bersikap ganjil pada malam ini. Selama ini dia hanya tersenyum bila nama Anis disebut. Kehairanan menerpa di ruang fikirannya.

Datuk Kamal menyendiri di bilik bacaan di rumahnya itu. Fikirannya menerawang kepada pertemuan perniagaan dengan gadis ayu tengahari tadi. Memang cantik. Hatinya terpaut. Namun disebalik itu dia seakan pernah bertemu dengan wajah itu, cuma bila dan di mana dia tidak teringat.

Kepetahannya berbicara menambahkan daya tarikan yang ada pada dirinya. Usianya mungkin dalam 25 tahun. Datuk Kamal mengagak. Dia pasti akan memiliki gadis ini. Sudah lama dia tidak menjamah pucuk muda seperti itu.

Tabiat itu sudah lama ditinggalnya kerana setiap wanita yang ditemui semuanya hanyalah penuh kepuraan. Dia sedar tentang itu bila banyak wangnya dihabiskan kepada wanita materialistik yang pernah dikenalinya sebelum ini.

Malam makin larut bila Anis mula terasa mengantuk. Bebanan kerja di pejabat sedikit sebanyak dapat menutup lukanya. Baru sebentar tadi Zakri menelefonnya, banyak juga yang dibualkan. Zakri masih menagih simpati untuk Anis menerimanya. Namun di akhir ayatnya aku sudah faham, antara aku dan dia memang tak ada jodoh. Zakri lelaki baik bagiku, sayangnya dia muda dua tahun dariku dan aku pula dalam situasi yang tidak sepatutnya. Ah, apa lagi yang harus difikirkan, mata dah lali ni, lebih baik aku masuk tidur sahaja. Kerana terlalu letih akhirnya aku terlena jua. Dibuai mimpi indah bersama Zakri.

“Nenek maafkan Anis ya, pasal minggu lepas. Anis tahu tidak sepatutnya Anis membuat tindakan terburu-buru seperti itu. Anis janji tidak akan melukakan hati nenek lagi,” perlahan aku bersuara memujuk nenekku. Dia hanya tersenyum sambil menjelaskan kepadaku bahawa darah muda memang begitu.

“Anis, nenek teringin nak menerima menantu, bila agaknya hajat nenek tu nak tercapai?” nenek menyoalku. Aku terdiam, apalagi hendak kukatakan. Siapalah yang akan sudi menerima gadis sepertiku. Aku hanya mengeluh. Perkara yang kutakutkan akhirnya menimpa diriku. “Nek, mungkin bukan jodoh Anis lagi, nantilah bila Anis dah berjaya dengan cita-cita Anis, Anis janji akan carikan nenek cucu baru ya?,” kataku memujuk nenek. Dia tersenyum menampakkan sebaris gigi yang sudah tinggal beberapa batang sahaja.

Keesokkan paginya setiba aku di pejabat, aku dikejutkan dengan pesanan yang diberi oleh setiausahaku. Datuk Kamal meminta aku menemaninya makan tengahari di Hotel Singahsana. Ah, kacau betul si tua ni. Apa sahaja yang dimahukannya.

Pernah juga aku terdengar beberapa eksekutif berbual-bual sesama sendiri mengatakan Datuk Kamal kaki perempuan. Seram sejuk aku mendengarnya. Ini menambahkan lagi rasa benciku pada lelaki. Apakah setiap lelaki yang kutemui semuanya hipokrit. Cuma Zakri seorang yang ikhlas, namun aku tidak pasti sampai bilakah semua itu akan bertahan. Hendak menolak, takut nanti dikatakan sombong. Susahkan syarikat aku pulak. Datuk Kamal ni bukannya boleh cari pasal dengannya. Setelah berfikir dengan semasak-masaknya aku mengambil keputusan menerima ajakannya.

Tengahari itu aku memenuhi undangan Datuk Kamal di Hotel Singahsana. Seperti biasa aku melayannya seperti pelanggan lain. Tanpa aku sedari sepasang mata sedang memerhatikan gelagat kami.

Ah, perempuan tak guna. Memang benar kata mamaku kau perempuan murahan. Benarlah anak luar nikah sepertimu tidak kenal dek untung. Aku akan pastikan kau menerima padahnya. Tahulah aku nak mengajar kau perempuan tak guna. Zakri menyumpah di dalam hatinya. Tidak diketahui perkara sebenar yang berlaku antara Anis dengan Datuk Kamal.

Gelak ketawa Anis bagai menusuk ke lubang telinganya. Tambah menyakitkan hati bila dilihatnya Datuk Kamal yang dihormati tersenyum miang dengan Anis gadis pujaan hatinya. Terasa ingin dihumbankan kemarahannya di situ juga namun memikirkan dia berada di kawasan terkenal seperti ini, segera niatnya dibatalkan. Dengan hati terhiris Zakri melangkah meninggalkan Hotel Singahsana yang permai itu. Kemarahan nyata terserlah dengan wajahnya yang merona merah. Anis dan Datuk Kamal juga lantas meninggalkan hotel tersebut.

Suasana petang yang damai di tasik Melati yang sering dikunjungi oleh Anis itu terasa tidak lagi setenang selalu.Suara Zakri yang berbaur kemarahan sewaktu membuat panggilan kepadanya itu menggelisahkan nalurinya. Sudah sepuluh minit ditunggunya, namun bayang Zakri tidak juga muncul. Kenapa agaknya. Telefon bimbit pun tak diangkatnya. Sambil merenung air tasik yang tenang itu, dia asyik terfikir apakah salahnya kali ini. Semalam Zakri masih bersuara lembut tetapi hari ini, suara itu kedengaran lain benar.

Lamunannya terhenti bila tersedar namanya dipanggil seseorang. Anis mendongak, lega hatinya bila orang yang ditunggu telah tiba. Belum sempat Anis memulakan bicara, Zakri terlebih dahulu bersuara, “Anis, cuba cakap betul-betul dengan Zack, siapa Anis sebenarnya? Selama ini Anis anggap Zack ni apa? Tunggul?” Aku terkejut dengan soalan yang bertubi-tubi itu.

Lain yang kuharapkan lain pula yang aku dapat. Terpana aku seketika bila mendengar sumpah seranah Zakri. Kenapa dia ni. “Zack, apa hal yang kau marah sangat ni?,” aku pula beraku engkau dengan Zack, rasanya kesabaranku dah hilang bila Zack menghinaku. Di mana hilangnya kelembutan yang selama ini terpamer.

Aku hairan. “Kenapa kau tanya? Janganlah nak berpura-pura lagi. Memang betul apa yang mama katakan tentang diri kau,” Zakri berkata bengis. Bulat mataku memandangnya. Apa salahku dan apa yang mamanya katakan.Zakri sudah benar-benar membuatkan hatinya panas.

“Zack, Anis tak faham apa yang Zack katakan. Cuba Zack berterus-terang apa yang berlaku sebenarnya? Janganlah cakap berbelit-belit macam ni,” aku masih berlembut.

“Mama cakap Anis ni lahir tanpa bapa? Betul?” Zakri bersuara. Aku tergamam. Macam mana mama Zakri boleh tahu.

Itulah yang sebenarnya. Zakri naik angin hanya kerana aku ni seorang perempuan tak berbapa. Apakah dia tahu, kekecewaanku.

“Zack, selama ini memang Anis merahsiakannya dari Zack, bukan Anis tak mahu bercerita, tetapi keadaan Zack, keadaan yang memaksa Anis berdiam diri,” Zack kulihat seperti menahan marah.

Dengan perlahan dia berkata, “Anis, Zack dah tak sanggup lagi nak bersama Anis, anggaplah antara kita sudah tiada jodoh selepas ini ok. Zack pergi dulu.” Suaranya yang kian mengendur itu buatku mengalirkan airmata. Sampai hati kau Zack. Aku ditinggalkan hanya kerana aku tidak berbapa. Bukan pintaku jadi begini, selama ini kusangkakan kau ikhlas tapi sebenarnya kau seperti lelaki itu jua, kejam.

Malam itu aku puas mengalirkan air mata. Mengapa aku yang menjadi mangsa. Mengapa tidak kaum sejenisnya yang merasai semua ini? Sebentar tadi Datuk Kamal menelefonku. Dia mengajakku makan malam di Restoran Mawar. Niat di hati hendak menolak, namun bila difikirkan kembali, tiada salah aku menurut. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi bersendirian menghadapi kemelut ini. Aku bingkas bangun. Hidup mesti diteruskan. Tiada guna mengenangkan lelaki yang hipokrit seperti itu. Apapun alasannya, aku tetap mendoakan kebahagiaanmu Zakri. Pergilah kau dari hatiku. Semoga aku lebih tenang dari dulu.

Memang indah makan malam bersama Datuk Kamal. Lelaki ini memang hebat, lebih hebat dari Zakri. Ramah bercerita tentang kehidupannya. Rupa-rupanya Datuk Kamal seorang duda. Tanpa berselindung dia mengatakan bahawa sudah jatuh hati terhadapku sejak kali pertama bersua dahulu. Malu aku diperlakukan sedemikian. Bersungguh-sungguh benar nampaknya Datuk Kamal melamarku.

Pulangnya aku ke rumah pada malam itu , hatiku mula gelisah memikirkan apa yang bakal terjadi antara aku dan Datuk Kamal. Aku telah meminta diberikan ruang untukku memikirkan lamarannya itu dengan semasak-masaknya. Datuk Kamal mengatakan dia seorang duda yang tidak sempat mempunyai anak.

Isterinya telah meninggal hanya selepas 6 bulan perkahwinan mereka berlangsung. Simpati melimpah ruah terhadapnya. Datuk Kamal tanpa segan silu menceritakan betapa dia amat menyayangi isterinya itu tapi Allah lebih menyayanginya. Kerana itu jua aku terpesona dengan Datuk Kamal. Keluhuran yang terpamer membuatkan aku makin tertarik.

Sebulan berlalu sudah, kini aku sudah sah bergelar tunang kepada Datuk Iezman. Namun pertunangan aku dengan Datuk Iezman hanyalah antara kami berdua kerana aku tak mahu menyusahkan nenekku membuat kenduri seperti pasangan-pasangan lain, bagiku kesederhanaan itu penting dalam menjalin kebahagiaan. Suasana riuh di rumahku seolah-olah menyatakan bahawa derita yang kulalui sebelum ini telah terpadam. Sebentar lagi bakal suamiku akan dijabkabulkan denganku. Perasaan gementar sudah tidak terbendung lagi.

Keputusan memilih Datuk Iezman kulakukan demi untuk kebahagiaanku sendiri, Zakri telah lama menjadi mimpi lalu buatku. Berita terakhir yang kudengar dia sudah bertunang dengan Suzanna sepupunya sendiri atau lebih kukenali sebagai musuh ketatku ketika di Universiti. Biarkanlah, yang penting kebahagiaannya sebagai teman aku tercapai sudah.

“Anis, bersiap sedia sekarang pengantin dah mula melangkah masuk”, beritahu seorang jiranku yang bertindak sebagai ketua penyambut tetamu di rumahku ini. Hatiku kian berdebar, hilang wajah Zakri timbul wajah ibuku yang tersenyum manis di hadapanku kini, sesungguhnya aku bersyukur ibu telah sembuh kerana perkahwinan aku ini. Apa yang pasti menantunya nanti akan kujadikan hadiah paling teristimewa untuk ibu.

Tiba-tiba keriuhan di luar rumah dan laung kompang tidak lagi kedengaran, Cuma yang terlintas di telingaku hanya suara pekik dan lolong seorang wanita. Ah, kekecohan apa pula yang berlaku di luar sana. Hatiku tiba-tiba jadi tidak tenteram.

“Tepi kau, jantan keparat. Aku mahu kerjakan perempuan gatal tu, sudah tidak dapat anak lelaki aku, suamiku pula mahu dikebasnya”, suara itu jelas di pendengaranku. Aku tidak mampu untuk berdiam diri lagi, tidak kupedulikan lagi suara-suara sumbang melihat aku melangkah keluar dari pintu bilik menuju ke luar rumah. Ibu turut mengekori langkahku. “Hey, perempuan. Keluar kau! Muka tidak tahu malu, ada hati nak merampas suamiku, keluar kau sekarang juga,” suara sadis itu menyentap jiwaku.

Terhenti aku di muka pintu melihat perempuan yang mengamuk itu adalah mama Zakri yang selama ini membenciku. Hairan sekali siapa dia sebenarnya, sedangkan aku tidak pernah mengundang dia ke majlis kahwinku ini. Aku perhatikan jua Zakri dengan wajah merah padamnya itu. Apa erti semua ini.

“Anis, kenapa nak?” ibuku bertanya.

Aku sudah tidak mempunyai jawapan lagi terhadap soalannya itu. Aku pasti kini siapa sebenarnya Datuk Iezman. Dalam kekalutan itu aku terdengar suara ibuku, “Ah, kau Man? Apa yang kau buat disini? Kau yang menghancurkan hidup aku, kau tahu tak? Apa yang kau mahu lagi?”

Aku hairan dengan kata-kata ibuku, siapa pula Datuk Iezman dengan ibuku. “Man, anakku apa kau dah buat ni? Kaukah bakal suami Anis?”

Apa dah jadi ni? Ya Allah, aku hampir melakukan dosa.

”Anis, inilah bapamu dan dia juga adik ibumu.” Aku terpana.

Masih Ada Bahagia

"Eina, terima kasih sayang!"

Jeffri mengucup lembut dahi isterinya sambil merenung si comel dalam dakapannya dan si adik dipangkuan isteri kesayangannya itu.

"Tidak bang, Eina yang patut mengucapkannya pada abang. Terima kasih atas kasih sayang abang, cinta abang dan kehidupan ini. Tanpa abang mungkin Eina masih tercari-cari makna sebenar kehidupan dan kasih-sayang," Eina mengelus lembut tangan suaminya.

"Anak-anak ini adalah tanda mata dan hadiah dari Eina untuk cinta dan kasih sayang abang pada Eina." Mereka merenung sepasang bayi kembar yang baru mengenal dunia itu dengan rasa kasih yang membara. Syaffeina Raiha merenung jauh ke depan, mengimbas kembali kenangan semalam.

**********

"Tiga bulan lagi?" Dia merenung cincin yang baru tersarung di jari manisnya sebentar tadi. Tak percaya dia kini bergelar tunangan orang pada lelaki yang tidak sedikit pun wujud perasaan sayang padanya. Tiga bulan lagi, dia akan disatukan dengan satu ikatan bersama lelaki tersebut.

Apa yang harus aku katakan pada Zaki? Terlukakah dia seandainya mendengar berita ini? Maafkan Eina abang!

*******

"Kenapa Eina sekarang macam dah berubah abang tengok? Abang call susah sangat nak dapat cakap dengan Eina. Ada sesuatu yang Eina rahsiakan dari abang?" Zaki meraup wajahnya perlahan. Wajah gadis kesayangannya direnung dalam. Kata-kata Haris semalam terngiang-ngiang di telinganya.

"Bekas awek kau dah tunang, kau tak rasa apa-apa ke? Ada juga orang yang sanggup ambil bekas kau!" Rasa ingin dilayangkan penumbuknya saat itu juga,tapi bila mengenangkan yang temannya itu tak tahu hubungannya dengan Eina sudah kembali bertaut, ditahannya saja gelodak hati.

Salah dia juga kerana mengata yang bukan-bukan tentang kekasihnya itu sewaktu Eina mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka. Tapi kini dia yang separuh mati menahan derita ekoran perpisahan itu. Lantaran itulah dia merayu-rayu pada wanita itu agar menerimanya kembali. Sebulan berpisah tanpa melihat wajah dan mendengar suaranya sudah cukup menyeksakan hatinya. Dia tak boleh kehilangannya!

"Tak ada apa-apalah. Kenapa abang makin kurus? Abang tak sihat ke?" Dia terasa ingin menangis apabila melihat wajah kusut lelaki di depannya ini. Sudah dua minggu dia menjadi tunang Rahim. Selama itulah dia mengelak dari berjumpa atau menerima panggilan dari Zaki. Cincin tunang milik Rahim tidak disarungkan dijari, sebaliknya hanya digantung pada lehernya.Lelaki itu tidak kucintai, tak mungkin cincinnya aku pakai dijari. Itu prinsipnya.

Sentuhan lembut pada dahinya, membawa Zaki ke alam nyata. Jemari milik Eina diraihnya,dan dielus. Tapi,segera ditarik oleh wanita itu.

"Maafkan Eina! Hubungan kita tak boleh lagi seperti dulu. Eina rasa abang dah tahu yang Eina sudah diikat dan terikat. Bukan Eina tak sayangkan abang, tapi Eina tiada pilihan. Simpan sahaja kasih sayang itu di lubuk hati andai tak mampu abang luahkan.

”Eina tahu abang dah menyesal, tapi kita tak mungkin bersatu. Terlalu banyak yang menanti, terlalu besar pengorbanan yang harus kita lakukan. Hidup bersama abang adalah impian Eina, tapi itu tak akan jadi kenyataan. Biarlah Eina mengalah biarpun Eina sendiri akan terluka.

”Kalau abang rasa keputusan Eina ini mengecewakan abang, abang patut tahu Eina lagi menderita kerana sayang Eina pada abang tak pernah berpaling. Maafkan Eina. Lupakan Eina kerana Eina juga sedang belajar untuk melupakan abang!"

Titisan airmata yang cuba ditahan gugur jua. Kucupan lembut di tangannya terasa hangat dengan airmata. Diangkat perlahan wajah milik gadis itu yang nyata sudah basah.

"Abang faham. Abang impikan kehidupan dengan Eina walaupun abang pernah menghancurkan hati Eina. Abang ingin tebus dosa-dosa abang pada Eina, malangnya peluang itu tiada lagi setelah abang persiakan peluang yang diberi dulu.

”Mungkin ini balasan buat abang. Abang doakan agar Eina bahagia, dan maafkan abang kerana mengambil sesuatu yang bukan hak abang sebelum abang jadi suami Eina. Abang benar-benar menyesal," Zaki sedar yang dia terlalu menyayangi wanita itu biarpun dia pernah menghancurkan hidupnya dan menyakiti hatinya.

"Eina redha. Maafkan Eina. Eina balik dulu,” dia segera menghidupkan motornya. Tak sanggup lagi dia berdepan dengan lelaki itu. Cukup banyak kenangan yang mereka lalui bersama. Semoga ada hikmahnya perpisahan ini.

**************

"Eina tak pasti wajarkah Eina teruskan perkahwinan ini. Tinggal sebulan setengah je. Eina keliru bang!"

"Erm... kalau Eina rasa Eina boleh teruskan, Eina tawakkal pada Allah. Dia yang aturkan semua ini, tentu ada jalan keluarnya," Jeffri memujuk lembut adik angkatnya itu. Hiba hatinya melihat gadis yang dipuja dalam diam itu menerima nasib sebegitu.

Perkenalan yang tak diduga, akhirnya membibitkan rasa kasih dalam hatinya namun dipendamkan sahaja kerana gadis itu adalah kekasih kepada kawan baiknya, Zaki. Disebabkan sering menjadi tempat meluahkan perasaan dan masalah, dia mula menyayangi gadis itu. Ternyata dia tidak seperti yang dikatakan Zaki. Dia cukup baik, malah terlalu naif hingga masuk ke perangkap lelaki buaya seperti Zaki.

"Masalahnya, Eina tak ada perasaan langsung kat tunang Eina tu. Mak dan abah terima dia pun sebab nak elak Eina dari terus berhubung dengan Abang Zaki. Nak ikutkan, dia orang pun tak suka sangat Rahim tu. Sekadar nak lepaskan batuk kat tangga je," dia meluahkan apa yang terpendam.

Memang diakui, keluarganya tidak berapa sukakan Rahim, tapi oleh kerana terpaksa mereka terima juga pinangan anak kepada sepupunya itu. Masalahnya aku, boleh ke aku hidup dengan lelaki itu yang sikit pun aku tak cinta?

"Eina dengar tak apa abang kata?"

"Ha.... apa dia?"

"Kita kahwin?"

Kata-kata Jeffri membuatkan lidahnya kelu seketika sebelum dia tergelak. "Abang ni,orang tengah serius, dia buat lawak bangang pulak. Mengarut je!" Sebenarnya hatinya tercuit juga dengan kata-kata itu. Kerana tanpa sedar jauh di sudut hatinya dia menyayangi lelaki itu lebih dari pertalian yang dia sendiri bina, abang dan adik angkat.

"Abang serius ni. Eina ingat tak, abang pernah cakap yang abang dah jumpa wanita idaman abang, tapi dia dah berpunya? Sifat-sifat wanita pujaan abang sedikit sebanyak ada pada Eina? Einalah wanita yang abang cari selama ini. Beri abang peluang untuk jaga hidup Eina," Jeffri nekad meluahkan perasaannya. Tak sanggup lagi dia mendengar keluh-kesah gadis tersebut.

"Abang...?"

**********

"Aku terima nikahnya Syaffeina Raiha Tajuddin dengan mas kahwinnya....," akad yang meluncur laju dari bibir lelaki tersebut mengalirkan airmata yang bergenang sedari tadi. Akad itu juga memaksanya berpisah dengan keluarganya. Ini masa depanku, aku berhak tentukan. Kerana itulah dia nekad memutuskan pertunangannya dengan Rahim dan menerima lamaran Jeffri biarpun dia terpaksa dibuang keluarga.

"Maafkan Eina kerana tidak mampu beri abang apa yang sepatutnya menjadi hak abang sebagai suami sebagai hadiah malam perkahwinan kita," Eina menitiskan airmata sewaktu dahinya dikucup oleh Jeffri.

"Sudahlah,abang terima Eina seadanya," luah Jeffri ikhlas.

********************

"Eina!" Kuakan pintu memancung lamunannya. Terjengul wajah ibu bapanya.

"Mak, abah!" Tiada kata-kata yang mampu diluahkan selain tangisan gembira. Setelah setahun lebih berjauhan dari keluarganya, hari ini dia miliki kembali kebahagiaan itu.

Terima kasih Tuhan kerana memberi aku peluang menikmati kehidupan ini kembali .

kau Pergi Jua Yassrina

Langkahku laju menuju ke wad 7D, CCU di Hospital Ipoh. Suasana petang agak mendung. Semendung hati dan perasaanku. Dari jauh aku lihat kelibat saudara-maraku. Aku merapati Wan Cik yang sedang berjalan ke arahku. Segera tubuh berisi ibu saudaraku itu kurakul erat. Air mata yang cuba kutahan semenjak semalam terhambur keluar. Semuanya kerana Yassrina.

"Sabarlah. Kita berdoa saja pada Tuhan. Pergilah masuk jumpa Ina," pujuknya. Aku lepaskan pelukannya lalu kuhayun langkah menuju ke pintu masuk. Aku biarkan setiap mata yang memandang ke arahku. Suasana wad begitu hening dan menyebakkan. Dari pintu masuk, aku dapat lihat Ayah Cik menggamitku menghampirinya. Aku kuatkan langkah walaupun terasa bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata.

"Bagi salam pada Ina. Bisik kat telinga dia," pinta pakcikku. Aku usap lengan Ina yang sudah dipenuhi lebam dan berselirat dengan saluran tiub ke tubuhnya. Pernafasannya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Aku hampirkan wajahku ke telinganya.

"Assalamualaikum, Ina. Akak datang ni. Ina buka mata ye?" bisikku.

Namun Ina tetap kaku. Hanya turutan nafasnya turun dan naik dalam keadaan yang lemah. Dengan penuh kasih dan sayang, aku usap pula rambutnya yang masih lagi selebat dulu. Ina tetap kaku. Air mata yang turun sudah diselangi dengan sendu tidak mampu aku tahan lagi. Aku berlari perlahan keluar dari wad menuju ke hujung sudut beranda wad yang agak lengang. Aku hamburkan air mata yang cuba kutahan sebelumnya. Perasaanku sebak. Air mata yang mengalir tidak mampu aku hentikan. Pipiku sudah lenjun dengan air mata. Mataku sudah sembab dan merah.

Mengapa aku harus terima keadaan ini di saat aku belum bersedia sepenuhnya? Mengapa aku tidak mampu setenang dan setabah Wan Cik dan Ayah Cik? Ina sekadar adik sepupu perempuan yang paling rapat denganku semenjak kami kecil lagi. Dia hanya tinggal denganku semenjak setahun yang dulu. Mengapa begini perit kesedihan yang harus aku tanggung?

Apa akan jadi denganku kalau benar hayatnya akan berakhir? Siapa yang akan menjadi pendengar setiaku selepas ini? Dengan siapa aku ingin berbual sebelum masuk tidur? Dengan siapa aku ingin menumpang kasih adik perempuan setelah dia tiada nanti? Ah! Aku terlalu berfikir yang bukan-bukan.

Inikah hakikat yang harus kuterima setelah semenjak kebelakangan ini fikiranku dihantui persoalan andai Ina akan pergi? Tidak! Ina akan sihat. Dia akan kembali dalam kehidupan kami seperti biasa. Tidak! Aku tidak harus sesedih ini. Kuasa doktor tidak mampu melangkaui kuasa Yang Maha Esa. Aku melepaskan nafas yakin lalu menyeka sisa air mata yang ada. Aku hampiri Wan Cik yang sedang bercerita dengan emak.

Kata Wan Cik, sehari sebelum diserang koma, Ina makan dengan banyaknya walhal selalunya dia hanya makan ala kadar saja. Seleranya bagaikan telah mati sejak lima tahun dulu. Malamnya, dia muntah teruk sehingga ke awal pagi. Keesokan harinya, Ina begitu lemah. Sekejap saja ditinggalkan oleh ibunya, darah mula membuak keluar dari hidung dan mulutnya. Dia tidak lagi bersuara semenjak itu. Ambulans dipanggil dan Ina dibawa ke Hospital Kuala Kangsar. Kemudian, dipindahkan pula ke hospital ini. Sejenak, fikiranku menerawang memikirkan perubahan pada sikap Ina sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.

Tiga bulan lebih bersamaan dengan seratus hari sebelum kematian kita. Saat itu sebenarnya Ina telah tahu dia akan pergi cuma tidak terluah. Sikap Ina selalu buat aku marah dan bengang. Tapi, aku tidak balas sikapnya. Aku cuma biarkan. Paling tidak pun, aku kurangkan bercakap dengannya. Kami tidak lagi semesra dulu. Dia selalu termenung. Kata-katanya adakalanya menyakitkan hatiku. Perbuatannya seringkali buat aku mengeluh berat. Ada saja yang buat aku rasa kurang senang. Mengapa begitu sekali perubahannya?

Puas aku bersoal jawab. Namun, kehampaan jua yang kuterima. Akhirnya kubiarkan sahaja soalan itu berlalu tidak berjawab. Kami tidak lagi berbual sebelum tidur. Kami tidak lagi keluar bersama-sama menonton wayang atau paling tidak pun ke pasar malam bersama seperti dulu. Ina mula tidur awal. Sangkaku dia keletihan dan sakitnya datang semula.

Terasa seperti sudah ada jurang di antara kami. Aku cuba untuk membuang prasangka yang ada di fikiranku ternyata gagal. Antara kami tidak lagi saling meluahkan. Aku keliru sebenarnya dengan perubahan mendadak Ina. Akhirnya, aku biarkan dia begitu saja. Kami bagaikan sedang berbalah.

Tapi, setiap kali aku membuat kek coklat kegemarannya, dia tetap tidak akan segan memakannya. Sempat dia membawa bekalan sewaktu pulang ke kampung di awal pagi Aidil Adha. Kami bersalaman lalu tanganku dan pipiku diciumnya. Seingatku, itulah kali terakhir pipi dan tanganku diciumnya.

"Inilah kakak saudara Ina yang tinggal sekali di KL tu," kata-kata itu mengejutkanku. Aku berpaling ke sisiku. Ayah Cik memperkenalkan aku kepada saudara sebelah Wan Cik. Aku hanya tersenyum walaupun pipiku masih digenangi dengan air mata.

Petang sudah merangkak pergi. Diganti pula dengan kedatangan Maghrib. Azan kedengaran jelas di ruang udara. Emak dan Abah sudah ke rumah adik Abah di Jelapang. Aku menuju ke surau bersama Wan Cik dan saudara yang lain.

Sekalung doa kupohon dari Ilahi moga Ina dianugerahkan laluan yang paling mudah untuknya kembali menghadap-Nya andai benar itu kesudahan yang bakal kutempuhi. Aku kembali menjenguk Ina di wad. Kali ini ada sedikit kekuatan bersamaku.

Lengan Ina kuusap perlahan. Kulit tangannya agak kasar kurasakan berbanding biasa. Dahinya masih suam-suam kuku walaupun tangan dan kakinya agak sejuk berbanding petang tadi. Aku tatap lama wajah Ina. Tenang bagaikan sedang lena tidurnya. Sudah dua hari Ina koma di wad ini akibat pembuluh darahnya sudah pecah dan merebak ke bahagian otak dan perutnya.

Tiub saluran di masukkan ke hidungnya agar dapat mengeluarkan darah yang masih mengalir. Penyakit ITP yang dihidapinya semenjak lima tahun lalu sudah di peringkat kritikal.

"Ina, akak datang ni. Ina sembuh cepat ye? Akak sayangkan Ina. Akak rindukan masa-masa gembira kita dulu," bisikku. Kali ini air mataku sudah bertakung di kelopak mata. Aku seka cepat. Aku cium pipi Ina lembut. Ina masih kaku. Tiada tindak balas yang mampu aku jadikan bukti Ina akan kembali seperti biasa.

Aku tenung monitor kawalan di sisi Ina. Degupan jantungnya semakin lemah. Tekanan darahnya juga semakin turun. Sudah hampir sangatkah masanya untuk pergi? Tidak! Aku belum bersedia untuk kehilangannya. Aku kembali keluar dari wad.

Jam di lenganku sudah ke pukul sebelas malam. Aku akan pulang sebentar lagi. Untuk kali terakhir hari ini, aku menjenguk Ina lagi. Tiada perubahan seperti dua jam yang lepas.

"Ina, akak balik dulu. Esok akak datang lagi. Akak nak Ina tahu akak sayangkan Ina. Akak rindukan adik akak yang degil ni," bisikku lalu mencium pipi dan dahinya. Aku melangkah keluar dari wad. Aku tinggalkan Ina. Esok aku akan datang lagi.


***************

Jam di dinding sudah ke angka satu tengahari. Aku duduk berteleku di atas sofa di dapur. Aku termenung jauh memikirkan Ina. Inikah makna perubahan Ina selama ini? Mengapa tidak aku sedari setiap perubahan gerak-gerinya selama ini? Kata-kata Acu kembali bermain di fikiranku.

"Relakan dia pergi. Acu tahu Lia sayangkan dia tapi Lia kena lepaskan dia pergi. Kalau Lia tak lepaskan, siksa dia nanti. Biarlah dia pergi kalau itu jalan yang terbaik untuk dia. Ina dah cukup tersiksa macam tu. Jangan kita tambah lagi siksa yang dia ada," pujuk Acu. Aku hanya menyeka air mata yang semakin laju turun tanpa bersuara. Bahuku Acu gosok perlahan.

"Lia doakanlah semoga dia tenang dan senang menghadap-Nya. Banyak-banyakkan bersabar," sambung Acu lagi. Kali ini air mataku semakin lebat membanjiri pipiku. Buat pertama kalinya setelah pemergian Opah, aku lihat Acu menangis lagi. Anak saudara kesayangan Acu akan jadi kurang seorang.

Kenapa aku terlalu sedih melebihi mereka semua? Kenapa aku orang yang paling berat untuk melepaskannya pergi melebihi keluarganya sendiri? Adakah kerana aku terlalu sayangkannya seperti arwah adikku sendiri? Mengapa aku harus jadi begini? Mengapa aku tidak tabah dan kuat?

Aku selami hati dan perasaanku sendiri. Aku terkilan sebenarnya. Perubahan yang berlaku telah merenggangkan hubungan kami sebenarnya. Membuatkan aku kurang peka terhadap perubahan emosi dan kesihatannya. Jika dulu, akulah yang kerap melawatnya di hospital. Semenjak tahun ini, aku tidak lagi seperti itu. Aku hanya melihat dan mendengar hanya kerana aku terasa hati dengan sikap dan kata-katanya. Terlalu emosikah aku?

Kata Ayah Cik, alat bantuan pernafasan Ina akan dicabut jam enam petang nanti. Doktor tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Tiada sebarang perubahan pada Ina. Komanya tidak berkesudahan. Hanya kuasa Tuhan yang mampu mengubah namun harapan yang ada tidak seperti yang dijangka dek akal kami. Apa gunanya Ina masih bernafas jika otaknya sudah tidak berfungsi lagi.

Aku menjeling jam sekilas. Cuma tinggal lima jam saja untuk kami merasai degupan jantungnya. Selepas itu, dia akan pergi jauh. Jauh dari kehidupan kami.

"Ina, akak redha. Akak rela lepaskan Ina pergi kalau itu jalan yang terbaik untuk Ina hentikan penderitaan yang sedang Ina tanggung. Akak tak mahu siksa Ina dengan ketidakrelaan akak. Pergilah, sayang. Walau apapun yang telah berlaku, akak tetap sayangkan Ina. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempat Ina dalam hidup akak," putusku lalu melepaskan keluhan lega. Aku beransur ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku ingin berdoa untuk Ina.


***************

Jam di dinding sudah ke angka lapan setengah malam. Tiada sebarang berita dari hospital semenjak Acu pulang dari hospital petang tadi. Sudah sejam lebih alat bantuan pernafasan Ina diramalkan akan dicabut. Apa beritanya?

Mampukah Ina bertahan tanpa alat bantuan itu? Aku mencapai telefon bimbitku lalu menghantar mesej kepada abang Ina di hospital. Lima minit telah berlalu. Tiada jawapan yang kuterima. Aku masih duduk di sofa di dapur sambil melihat Makcu dan Mak sedang menyediakan makan malam.

Seleraku telah hilang semenjak siang tadi lagi. Aku lebih senang membisu dan termenung. Aku terkenangkan kenangan manis kami bersama. Terlalu banyak untuk aku kenang sehinggakan aku masih merasai kehadirannya di dalam kehidupanku.

Deringan telefon menghentikan lamunanku. Nama abang Ina yang terpapar mendebarkan aku.

"Hello, assalamualaikum kak."

"Waalaikumsalam," jawabku pendek. Aku takut untuk menerima berita yang bakal kudengar sebentar lagi.

"Akak, Ina dah tak ada. Ina dah pergi," jelas abangnya bergetar menahan sebak. Aku terkedu seketika. Talian telah terputus. Tangisku mula bergema.

Tiada lagi segan dan silu.

"Lia, kenapa ni?" tegur Acu.

"Acu, Ina dah tak ada," luahku dalam tangisan. Masing-masing membisu.

Innalillahiwainnaillahirojiun.


***************

Jam di dinding sudah ke angka sepuluh malam. Jenazah arwah masih belum tiba. Aku menanti di sofa ruang tamu. Aku bengang dan geram sebenarnya dengan saudara-maraku yang datang. Bukan mereka tidak tahu bagaimana rapatnya aku dan arwah. Mengapa tidak mereka fahami tekanan perasaan yang sedang aku tanggung tatkala ini? Kenapa tidak berikan aku sedikit ruang untuk tidak terlalu merasai kesedihan ini? Mengapa harus diungkit kenangan kami pada orang yang tidak mengenali kami?

"Itulah, kakak sepupu arwah yang duduk sekali di KL tu. Mestilah terasa arwah dah tak ada. Duduk pula sebilik. Berkongsi banyak benda. Dari si arwah kecil lagi dah rapat. Dia pun bukan tidur di rumah opahnya. Rumah arwah tulah tempatnya tak kira siang malam,” makcik saudaraku bersuara lagi entah untuk yang keberapa kali.

"Tengoklah, muka depa berdua tu pun memang seiras. Sebab tulah boleh serasi. Dari si arwah kecil sampai la ni memang depa rapat. Dah macam kakak dengan adik," nenek saudaraku pula bersaudara. Aku bangun dari sofa lalu menuju ke dapur. Sekali lagi kata-kata yang sama kedengaran. Kali ini lebih panjang perbualan mereka menyingkap hubunganku dan arwah semenjak dari kecil lagi. Aku beredar menuju ke bilik. Barangkali di sini hidupku lebih tenang.


***************

Orang ramai sudah mula membanjiri rumah Acu dan Wan Cik. Aku baru pulang dari pekan membeli barang bagaikan tiada peristiwa sedih sedang berlaku di dalam hidupku. Aku segera ke bilik menukar pakaian lalu ditemani sepupuku, Mariam aku menuju ke rumah Wan Cik. Aku lihat jenazah Ina diletakkan di ruang tamu. Tempat di mana kami selalu duduk berbual sambil menonton cd dari komputer yang berdekatan. Aku menuju ke dapur.

"Akak dah tengok arwah?" tegur Mariam. Aku hanya menggelengkan kepalaku perlahan. Aku toleh keadaan di ruang tamu yang sudah dipenuhi kaum wanita.

Mariam memimpin tanganku.

"Kita jumpa Ina sekejap, ye? Kejap lagi Ina dah nak dimandikan." Aku hanya menurut tanpa membantah. Di tengah-tengah ruang tamu, aku dapat lihat jenazah Ina terbaring kaku dilitupi kain batik lepas. Aku genggam jemari Mariam erat. Aku tahan air mata yang sudah mula bertakung. Aku mula menjadi perhatian mereka yang sedang duduk di ruang tamu. Langkah kakiku semakin lemah.

"Akak, tahan air mata tu. Nanti arwah sedih tengok akak macam ni," pujuknya tapi air mata tidak mampu aku tahan lagi. Ia gugur juga. Kali ini aku benar-benar lemah. Langkahku hampir kaku namun Mariam sempat mengheretku ke bilik arwah. Bilik yang sering menjadi saksi lena kami berdua. Tubuhku dipeluknya erat. Aku dipujuk bagaikan kanak-kanak kecil.

Senduku semakin kuat. Hilang rasa maluku. Hilang segala ketegasan yang sering mereka lihat dalam diriku selama ini.

Aku hanya mampu mengintai dari langsir yang jarang, tubuh arwah dibawa ke dapur untuk dimandikan. Ditemani Mariam, aku melangkah perlahan dengan kudrat kekuatan yang ada untuk melihat arwah dimandikan untuk kali terakhir. Aku hanya melihat dari jauh dengan air mata masih berlinangan.

Kata-kata arwah kembali berkumandang di mindaku.

"Akak, Ina rasa Ina dah banyak menyusahkan mak dengan abah. Ina rasa kalau Ina dah mati nanti mesti mak dan abah tak payah susah hati pikir pasal Ina lagi kan?" luahnya satu malam. Aku terdiam. Sejenak aku berfikir.

"Kita sama je, Ina. Akak sakit, Ina pun sakit. Bezanya, sakit Ina dah pasti tapi sakit akak tak pasti. Sakit Ina teruk dan sakit akak tak seteruk Ina tapi berlarutan macam ni. Akak lagi menyusahkan mak dan abah akak sebab dari kecik lagi dah selalu sakit. Kan best kalau kita sihat macam orang lain. Boleh buat itu ini," luahku pula.

"Kalau Ina mati nanti, Ina nak kubur Ina sebelah Opah."

"Mana aci! Tak kira! Akak pun nak gak. Apa kata kita apit Opah, nak tak? Ina sebelah kanan akak lak sebelah kiri. Kita kan cucu kesayangan Opah. Mestilah duduk dekat dengan Opah," cadangku.

"Set!" jawabnya lalu ibu jari kanan kami bersatu lalu diselangi dengan ketawa. Untuk apa aku sendiri keliru waktu itu. Impian Ina telah tertunai. Bagaimana pula dengan impianku? Tertunaikah?

"Ahli keluarga boleh jirus arwah kalau nak," suara ustazah kedengaran menghentikan lamunanku. Aku hanya melihat Wan Cik dan Ayah Cik serta abang dan adik arwah menjirus. Aku berundur ke belakang. Aku tidak mampu bertahan lebih lama lagi.

"Jenuh Wan Cik cari akak tak nampak dari tadi,” tegur Wan Cik. Aku hanya membisu.

"Kenapa tak jirus tadi?" tanya Wan Cik namun tangisanku melebihi kata-kata yang ingin kuluahkan. Senduku semakin menjadi-jadi. Tubuhku Wan Cik peluk erat. Aku gagal mengawal senduku yang semakin galak.

"Janganlah nangis. Wan Cik pun tak nangis. Ina mesti tak suka tengok akak macam ni," pujuk Wan Cik lagi. Aku cuba mengawal diri dan perasaan. Aku raup wajahku yang semakin sembap dek tangisan yang tidak berhenti semenjak kelmarin. Aku tatap wajah tenang Ina.

"Seronok dia tidur. Tenang je. Ramai orang mandikan dia," Ayah Cik bersuara bagaikan Ina masih bernyawa. Aku renung wajah Ina. Aku bakal merinduinya. Aku pasti akan merindui wajahnya sedang tidur apabila aku bangun dari tidur awal untuk ke pejabat.

Aku pasti akan merasai kehilangan apabila gelak senda gurau Ina tidak lagi menjadi sebahagian dari masaku akan datang. Aku sememangnya akan merindui segala-galanya tentang Ina bermula hari ini. Aku ingin tatap wajah Ina sepuasnya. Selepas ini wajah itu tidak lagi menghiasi pandanganku buat selamanya.

Selepas dimandikan, jenazah dibawa ke ruang tamu untuk dikafankan. Aku menurut dari belakang. Kali ini aku ditemani Sufiya, adik Ina. Aku tatap lagi wajah Ina. Walau berat hati untuk melepaskannya pergi, aku harus redha dan pasrah. Setiap yang datang pasti akan pergi. Hanya kenangan yang tinggal untuk renungan di ingatan. Satu persatu kain putih membalut tubuh Ina.

"Ahli keluarga boleh cium pipi arwah," ustazah yang bertanggungjawab menguruskan jenazah bersuara.

"Akak," panggil Sufiya lembut mengejutkan aku dari terus menatap wajah Ina. Jemariku Sufiya genggam erat lalu kuatur langkah dengan semangat yang nipis menuju ke sisi Ina. Kucium pipi kiri dan kanan Ina. Kemudian, kucium pula dahi Ina.

"Akak lepaskan Ina pergi. Akak maafkan segala dosa Ina pada akak selama ini. Akak mohon Ina maafkan juga dosa akak selama kita mula mengenali," bisikku di dalam hati lalu wajah Ina mula ditutup dengan lapisan kain putih yang paling akhir. Aku berundur ke belakang lalu duduk bersandar di dinding.


***************

Tanah pusara yang terletak di tepi Lebuhraya Utara Selatan begitu suram suasananya. Air mataku sudah mula berhenti semenjak Ina dibawa keluar dari rumah menuju ke tanah perkuburan. Di sebelah pusara Ina, terletak pusara opah. Akhirnya, permintaan Ina terlaksana juga. Aku? Masih terlalu jauh untuk aku menemani Opah dan Ina di situ. Bacaan talkin dan doa sudah berakhir. Air mawar dan hirisan daun pandan kutabur di pusara Opah dan Ina setelah kubacakan surah al-Fatihah.

Opah, Ina sudah temankan Opah. Opah tak sunyi lagi. Nanti Lia menyusul pula ye. Tapi Lia tak tahu bila. Lia dah tak ada kawan. Ina dah tinggalkan Lia. Nanti Lia datang jenguk opah dan Ina lagi ye.

"Sebelah opah Acu nak tempah untuk Acu punya", terang Wan Cik apabila kutanya kenapa tidak ditempatkan benar-benar di sebelah opah.

"Kalau macam tu, Lia nak sebelah Inalah. Lia nak tempah dari awal," jawabku selamba. Mereka yang mendengar hanya memandangku tanpa dapat aku fahami ertinya.

Antara aku dan Ina segalanya telah terhenti di sini. Yang tinggal hanyalah secalit kesedihan dan segunung kenangan. Hanya itu harta yang Ina tinggalkan. Sebaris senyuman, setebal kedegilan dan sejuta kemesraan. Moga rohmu di cucuri rahmat olehNya. Al-Fatihah.



Wajahmu.......Seindah serinya pelangi yang indah Seharum mawar putih segar berkembang Wajahmu.......Mengapa sering terbayang dimataku Sehingga terbawa didalam mimpiku

Sayangku.......Tahukah kau didalam hatiku ini Tersimpan perasaan cinta nan suci Kau bunga.......Ingin kusuntingmu menjadi milikku Lantas kuabadikan dalam jiwaku

Sayangnya.......Harapan yang selama ini kubawa Hancur berkecai musnah jua akhirnya Semuanya bagaikan sebuah mimpi

Kau pergi jua

Setelah cinta ku kini membara

Belum sempat kucurahkan kasihku

Kau pergi tak kembali.....