Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Menggapai Bahagia

Marissa melepaskan pen yang berada di tangannya lalu memicit-micit kepalanya yang terasa begitu penat setelah seharian bertungkus-lumus menyiapkan kerja. Dia merenung ke luar jendela. Kelihatan hujan belum berhenti sepenuhnya. Mug yang berisi kopi panas yang dibuat sejak lima belas minit tadi sudah suam tapi dicapai juga lalu dihirup perlahan-lahan. Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Tidak lama selepas dia menyahut kelihatan wajah pembantu peribadinya Azura di muka pintu.

"Cik Marissa belum mahu pulang ke?" soalnya.

"Belum lagi. Sekejap lagi saya baliklah. Azura baliklah dulu. Dah pukul 6.30 ni!" ujar Marissa sambil tersenyum lembut. Wajahnya yang dihiasi mekap tipis dan tudung berwarna biru laut itu menaikkan seri wajahnya.

"Baiklah Cik Marissa. Tapi Cik Marissa pun jangan la balik lambat-lambat sangat. Bawa-bawalah berehat juga. Dah seminggu Cik Marissa asyik balik larut malam. Saya bimbang nanti kesihatan Cik Marissa terjejas," nasihat pembantu peribadinya.

"Baiklah Zura. Saya akan ikut cakap awak tu. Saya akan balik sekejap lagi. Tunggu Salina datang jemput saya. Sejak kereta saya masuk bengkel ni terpaksalah dia jadi driver saya", balas Marissa.

"OKlah kalau macam tu, saya balik dulu ye! Kita jumpa esok".

"Bye and take care Zura," ucap Marissa.

Marissa kemudiannya membuka RealOne Playernya. Lagu Hero nyanyian Mariah Carey berkumandang. Lagu yang amat disukainya kerana lagu itulah menaikkan kembali semangatnya untuk meneruskan hidup setelah cintanya musnah di tengah jalan. Wajah Daniel Iskandar tiba-tiba tergambar di mindanya. Satu-satunya lelaki yang pernah dicintai sepanjang hidupnya itu berdiri di hadapannya petang tadi setelah hampir tiga tahun tidak pernah bersua muka. Jelas riak wajah Daniel Iskandar juga berubah dalam pertemuan yang tidak disangka-sangka itu. Dia sendiri tergamam berhadapan dengan lelaki yang amat dicintainya suatu masa dahulu kini berdiri di hadapannya. Ternyata lelaki itu masih kacak seperti dahulu. Cuma kelihatan agak berisi sedikit.

"Riss, apa khabar? Tak sangka kita berjumpa lagi.” tegur lelaki itu lembut.

Marissa berdebar-debar. Perasaannya menjadi tidak keruan. Kenapalah setelah aku berjaya lenyapkan wajahnya dari hatiku dia mesti muncul kembali? Bisik hati kecilnya dengan perasaan yang bercampur-baur.

"Aku baik sahaja. Dah lama ke kau balik dari UK?" Soal Marissa cuba menutup keresahan di hati.

"Dah hampir setahun aku balik Malaysia. Lepas habiskan master kat UK dulu aku kerja kat sana setahun untuk cari pengalaman bekerja di negara orang."

"Oh ye! Tak sangka kaulah rupa-rupanya CEO Warisan Holding yang bagi tender pada syarikat aku," ujar Marissa. Daniel Iskandar tersenyum.

"Actually, company tu milik keluarga wife aku,” jelasnya.

"Isteri? Dah berapa orang anak kau sekarang?" Hati Marissa terlalu tersentuh ketika menanyakan soalan itu kerana ternyata lelaki itu belum mampu dilupakan. Pedih ditinggalkan masih terasa sehingga sekarang.

Setelah bercinta lebih tiga tahun dia ditinggalkan Daniel yang mengahwini perempuan lain ketika menyambung pelajaran peringkat masternya di UK. Daniel yang merupakan seniornya yang setahun lebih tua telah dikenalinya sejak di tahun pertama universiti. Setelah tamat belajar Daniel mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UK selama setahun.

Walaupun berat hati Marissa untuk melepaskan jejaka yang paling dicintainya itu pergi namun dia tidak terdaya menghalang kerana Daniel beria-ia mahu pergi. Alasannya tawaran sebegitu baik tak sepatutnya dilepaskan. Setelah berjanji sepenuh hati bahawa hanya Marissa di hatinya dan kesetiaannya tidak akan pernah tergugat, Marissa membenarkan kekasih hatinya itu pergi. Marissa cuba menanam kepercayaan bahawa Daniel akan setia dengan janji-janjinya. Lagipun selama ini mereka saling menyintai antara satu sama lain dan begitu memahami diri masing-masing.

Tetapi ternyata perhitungannya salah kerana tidak lama selepas itu warkah yang meminta perpisahan diterimanya. Daniel memberi alasan dia ingin mengahwini rakan seuniversitinya anak seorang jutawan Melayu kerana wanita itu sentiasa ada di sisinya ketika dia memerlukan dorongan dan semangat.

Hati Marissa terlalu sakit dan terluka. Dia tahu Daniel sukakan wanita itu kerana kekayaan keluarganya. Cita-cita Daniel yang tinggi dan mahu menjadi lelaki berjaya memungkinkan telahannya itu. Cintanya terasa begitu murah sekali di mata Daniel. Setelah pelbagai pengorbanan termasuklah maruah diserahkan pada lelaki itu, dia ditinggalkan pergi. Dia terpaksa berjuang dengan perasaan dan juga peperiksaan tahun akhirnya yang bakal menjelang. Mujur dia masih mampu mencatat kejayaan cemerlang dan menjawat jawatan yang baik.

"Kau masih cantik macam dulu Riss. Malah lebih cantik lagi. Riss, selama ini aku masih rindukan engkau. Riss, aku rindukan panggilan abang daripada kau seperti dulu dan aku teringin nak panggil kau sayang macam dulu," ujar Daniel tanpa menjawab soalan Marissa tadi.

"Daniel, kau dah kahwin! Segala-galanya sudah berubah termasuklah cinta kita. Aku tak mahu mengganggu kebahagiaan rumahtangga kau. Biarkanlah aku sendirian tanpamu. Setelah sekian lama aku merindui kehadiranmu aku dapat menerima hakikat kini yang kau bukan ditakdirkan untukku. Aku mungkin tak ditakdirkan untuk sesiapa," ujar Marissa dengan hati yang sebak.

Mana mungkin dia dapat melupakan terus lelaki pertama yang menyentuh dan mengambil segala miliknya yang disimpan selama ini. Dia terlalu kesal dengan kebodohannya itu. Cinta membuatnya buta. Pegangan agama yang kuat selama ini runtuh dengan rayuan seorang lelaki yang terlalu dicintainya. Tetapi dia tidak mahu terus buta lagi.

Dia mahu menebus segala kesalahannya dengan bekerja bersungguh-sungguh dan menyara kehidupan keluarganya yang hidup sederhana selama ini. Sebagai anak sulung dia mesti bekerja keras untuk menanggung persekolahan tiga orang adiknya setelah bapanya meninggal dua tahun lalu akibat sakit jantung.

"Maksud kau, kau tiada pengganti aku?" Soal Daniel terkejut dengan kesetiaan Marissa kepadanya.

"Aku serik Daniel apabila kepercayaanku dikhianati. Aku terlalu terluka."

Daniel terkedu mendengar jawapan itu. Terasa berdosanya dia terhadap gadis itu. Perbualan mereka terhenti apabila orang lain mula memasuki bilik mesyuarat itu untuk memulakan mesyuarat. Sepanjang mesyuarat itu berlangsung Marissa tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian, begitu juga dengan Daniel. Fikiran Marissa terganggu sehinggalah sekarang. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila Salina tiba untuk menjemputnya pulang.


******


Kelihatan jambangan bunga mawar di atas mejanya ketika Marissa sampai ke pejabatnya pagi itu. Marissa membuka kad yang tersisip di celah jambangan bunga itu.


Riss,

I still love you! I realize now that you are the lost that I cannot replace. I hoping that love would bring back you to me. I love you sayang!"

Daniel

Marissa mencampakkan kad itu ke atas meja. Apa lagi lelaki ini mahu! Ujar hatinya geram. Setelah senang-senang dia buang aku kini senang-senang dia nak kutip aku balik! Rungut hatinya lagi. Dari sehari ke sehari Daniel ternyata semakin galak cuba menawan hatinya kembali. Sengaja dia mencipta pelbagai alasan untuk berjumpa dengan Marissa.

"Apa yang kau mahu lagi ni Daniel? Tak puas-puas lagi ke kau nak ganggu aku. Leave me alone!" Luah Marissa tak puas hati ketika keluar makan tengahari bersama Daniel. Dia keluar dengan lelaki itu setelah bosan diganggu terus-terusan.

"Tak cukup ke kau dah lukakan hati aku dulu? Kenapa kau masih tak serik-serik nak sakitkan hati aku?" sambung Marissa lagi. Dia malu kerana rakan-rakan sepejabatnya mula menyedari bahawa CEO Warisan Holding itu cuba memikatnya tanpa mengetahui hal yang sebenarnya.

"Abang nak mengahwinimu sayang.Please jangan hampakan abang! Kita bina hidup baru ok."

Tersentap Marissa mendengar kata-kata Daniel itu. "Kau dah gila? Isteri kau nak letak kat mana? Fikirkanlah anak-anak kau," balas Marissa geram dengan perangai lelaki itu.

"Abang tiada anak dengan Sabrina, Riss! Dia tak mampu melahirkan zuriat untuk abang. Dia mandul. Please, jadi isteri kedua abang."

Kenyataan yang keluar dari mulut Daniel itu begitu mengejutkan Marissa. "So, kau nak ambil aku semula sebab isteri kau tak dapat lahirkan anak untuk kau? Lelaki jenis apa kau ni Daniel? Dulu kau tinggalkan aku terkontang-kanting kerana gilakan Sabrina anak jutawan tu, sekarang kau nak tinggalkan dia dan kembali pada aku semata-mata kerana dia tak boleh melahirkan zuriat kau?" Marissa melontarkan kata-kata dengan perasaan marah yang mula meluap-luap.

"Sayang, itu abang tahu tapi abang perlukan Riss di sisi abang," rayunya lagi.

"Riss tak mahu! Riss tak sanggup lukakan hati Sabrina," Marissa dengan tegas menolak permintaan itu.

"Please sayang, fikirlah masak-masak dahulu," pinta Daniel lagi masih tidak putus asa.

"Aku tak perlu berfikir lagi. Jawapan aku tetap sama," ujar Marissa tegas.

"Riss dah tak ada apa-apa lagi. Riss patut bersyukur abang nak ambil Riss balik," ujar Daniel sinis. Terbeliak mata Marissa mendengar kata-kata Daniel yang dirasakan menghina dirinya itu.

"Excuse me! Riss tak pernah mengharap untuk kembali kepada kau, Daniel! Jangan nak diungkit-ungkit lagi hal lama," marah Marissa.

"Tiada lelaki akan terima kau lagi Marissa. Tiada lelaki yang sanggup menerima perempuan yang sudah tercemar. Abang tak akan biarkan Riss kahwin dengan lelaki lain. Abang akan beritahu cerita silam ini kepada sesiapa saja yang ada niat nak mengahwini Riss," ugut Daniel.

"Berani kau ugut aku Daniel! You don't have any right to ruin my life! Kau ingat aku tak dapat hidup tanpa lelaki? Aku tak kisah kalau tak ditakdirkan berkahwin dengan sesiapa pun tapi untuk mengahwini lelaki macam kau tidak sekali-kali. Jangan berani ganggu aku lagi. Aku kesal kerana pernah mengenali dan mencintai lelaki yang bernama Daniel,” ujar Marissa lalu beredar meninggalkan tempat itu. Hatinya bercampur-aduk.

Sedih, geram, marah dan kesal bersilih-ganti. Dia pulang ke pejabat dengan hati yang tidak keruan sehingga tanpa disedari kereta Satrianya terlanggar satu kereta lain. Dia panik apabila mendapati tuan punya kereta itu keluar dari kereta Mercedes S-class itu. Lelaki kacak yang diagaknya berusia dalam lingkungan 30-an itu menghampirinya.

"Maafkan saya encik! Saya tak sengaja. Saya akan bertanggungjawab atas segala kerosakan," ujar Marissa sambil mengesat sisa-sisa air mata yang masih ada di wajahnya. Lelaki itu hanya tersenyum.

"Tak apa. Saya bukan nak marah awak. Awak tak apa-apa ke?" soal lelaki itu penuh berhemah.

"Saya ok! Maafkan saya sekali lagi," pinta Marissa lagi.

"Ah, tak apa! Tak adalah teruk sangat pun kereta saya. Kereta puan..."

"Cik Marissa. Marissa Muhammad!" beritahu Marissa lembut.

"...a.. kereta cik Marissa yang kelihatan teruk. Boleh start tak?"Soalnya lagi. "Oh ya, saya Ikmal. Ikmal Hisyam Shaharuddin," sambung lelaki itu lagi.

"Tak boleh start nampaknya!" balas Marissa selepas beberapa kali cuba menghidupkan enjin keretanya. Ikmal Hisyam selepas itu menawarkan pertolongan dengan cuba memanggil mekanik dan membereskan segala urusan menghantar kereta ke bengkel. Malah dia juga menawarkan diri untuk menghantar Marissa pulang. Marissa terpaksa juga menerima pelawaan itu setelah berkali-kali didesak. Dia juga menawarkan diri untuk membawa Marissa ke klinik namun ditolak secara baik oleh Marissa.

"Terima kasih kerana hantarkan saya balik," ucap Marissa sambil tersenyum manis.

"Sama-sama. Boleh saya minta kad nama Cik Marissa," pinta Ikmal lembut. Marissa angguk lalu mengeluarkan kad namanya dan menyerahkan kepada Ikmal.

"Terima kasih. Ala... saya lupalah nak bawa name card saya. Tak apa nanti saya call Cik Marissa," ujar Ikmal. Ternyata lelaki itu mengotakan janjinya dengan menelefon Marissa dan akhirnya mengajak dia makan malam.

Hubungan mereka mula mekar selepas itu. Ikmal ternyata sudah jatuh cinta dengan gadis itu dan begitu juga dengan Marissa yang mula terpikat dengan sikap sopan santun dan baik hati lelaki itu namun dia tidak mahu terlalu melayan perasaan yang baru berputik itu


******

Hari ini Marissa ada mesyuarat di Warisan Holding mengenai projek usahasama dengan syarikatnya yang bakal berakhir tidak lama lagi. Marissa terasa malas untuk berhadapan dengan Daniel lagi tetapi apa nak buat kerana sebagai pengurus projek kehadirannya diperlukan. Mata Daniel tidak lepas-lepas dari memandang wajah Daniel. Marissa cuma buat-buat tak tahu.

"Minta maaf semua kerana kita terpaksa memulakan mesyuarat lambat sedikit sebab menunggu kedatangan chairman baru kita," beritahu pengerusi majlis. Sepanjang menunggu kedatangan chairman Warisan Holdings yang baru Marissa hanya menundukkan wajah kerana tidak mahu bertentang mata dengan Daniel.

"Maafkan saya sebab lambat. Terpaksa layan call client dari Jepun tadi," ujar satu suara. Marissa mengangkat wajahnya lalu matanya bertembung dengan wajah yang amat dikenalinya. Ikmal? Dia Pengerusi Warisan Holdings yang baru rupa-rupanya!

Kenapa aku tak pernah tahu dia anak Tan Sri Shaharudin. Ya Allah! Kenapalah aku tak pernah terfikir bahawa dia anak jutawan tersebut dan abang ipar kepada Daniel? Marissa berkata-kata dalam hati. Ikmal juga memandangnya. Tapi lelaki itu tidak menunjukkan riak terkejut di wajahnya.

Dia perasan mata Ikmal sering mencuri pandang ke arahnya sepanjang mesyuarat berlangsung. Daniel juga menyedari keadaan itu dan hatinya mula berasa tidak sedap tapi dia tidak mahu mengesyaki yang bukan-bukan.

"Kenapa awak tidak beritahu saya yang awak pengerusi baru Warisan Holdings? Beria-ia saya cerita pasal projek ni selama ni. Patutlah awak senyum je bila saya cerita. Rupa-rupanya..." Marissa tidak menghabiskan ayatnya. Dia merenung tepat ke wajah Ikmal yang tengah menjamah makanan tengahari meminta penjelasan. Ikmal tersenyum lalu menjawab, "saja nak surprisekan awak."

"Yelah tu, memang berjaya pun!" ujar Marissa bengang.

"Ala dahlah tu. Saya minta maaf ok!" Pinta Ikmal bersungguh-sungguh.

Marissa cuma tersenyum lalu mengangguk perlahan-lahan. Lega hati Ikmal.

Tanpa diduga selepas makan tengahari itu Ikmal meluahkan hasrat hatinya mahu memperisterikan Marissa. Marissa terkedu. Kebimbangannya selama ini muncul kembali. Menerima Ikmal bermakna dia harus menerima Sabrina sebagai iparnya dan Daniel sebagai birasnya.

"Ikmal, saya nak beritahu awak sesuatu."

"Beritahu apa?"

"Beritahu sesuatu yang awak patut tahu," ujar Marissa lalu menarik nafas panjang. "Ingat tak pada hari kita accident tu?"

"Mana boleh saya lupa kerana pada hari itulah saya telah menemui bakal permaisuri saya," balas Ikmal dengan penuh rasa cinta.

"Kan saya tengah menangis pada hari itu." Ikmal angguk.

"Saya menangis bukan pasal accident tapi ada sebab lain."

"Sebab lain? Sebab apa?" soal Ikmal ingin tahu. Lalu Marissa menceritakan segala-galanya sambil sesekali mengesat airmatanya yang tumpah. Ikmal menarik nafas panjang.

"Saya tahu awak tak dapat terima kenyataan ini. Tiada lelaki yang sudi mengahwini wanita yang sudah tercemar macam saya ni. Saya faham Ikmal. Tak perlu awak minta maaf. Saya dah bersedia dengan perpisahan. Awak layak untuk dapat wanita yang lebih baik," ujar Marissa sedih bercampur ikhlas.

"Marissa, saya tak kisah dengan apa yang dah berlaku. Awak dah bertaubat jadi awak suci di mata Allah dan saya! Daniel yang tak bertanggungjawab. Kasihan adik saya dapat suami macam dia. Saya sedia terima awak kerana saya terlalu sayang dan cintakan awak. Awak seorang yang tabah. Saya terlalu mengkagumi awak. Sudikah awak jadi isteri saya," pinta Ikmal lagi. Marissa terlalu terharu.

Airmata berjuraian di pipinya tanda gembira sambil memandang Ikmal yang begitu dihormatinya. Dengan perlahan-lahan dia mengangguk tanda setuju. Ikmal berasa begitu gembira lalu menarik Marissa ke dalam pelukannya.


*******

"Papa, mama, adik dan Daniel kenalkan ini bakal isteri saya, Marissa."

"Kami dah buat keputusan nak kahwin tidak lama lagi," beritahu Ikmal sambil memperkenalkan Marissa kepada ahli keluarganya. Ternyata bakal mertua Marissa menerima kehadirannya dengan begitu mesra. Begitu juga dengan Sabrina yang telah mengetahui segala-galanya daripada Ikmal dan dia turut menyatakan rasa kesalnya kerana merampas Daniel daripada Marissa dahulu dan kesal dengan sikap Daniel yang memperlakukan perempuan sesuka hatinya.

Manakala Daniel terlalu terkejut dengan berita tersebut dan terasa bahawa dia telah kalah. Terasa pahit untuk dia terima kenyataan bahawa wanita yang amat dicintainya itu akan dimiliki lelaki lain. Terasa separuh daripada dirinya telah mati tatkala cintanya dirampas pergi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home