Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

kau Pergi Jua Yassrina

Langkahku laju menuju ke wad 7D, CCU di Hospital Ipoh. Suasana petang agak mendung. Semendung hati dan perasaanku. Dari jauh aku lihat kelibat saudara-maraku. Aku merapati Wan Cik yang sedang berjalan ke arahku. Segera tubuh berisi ibu saudaraku itu kurakul erat. Air mata yang cuba kutahan semenjak semalam terhambur keluar. Semuanya kerana Yassrina.

"Sabarlah. Kita berdoa saja pada Tuhan. Pergilah masuk jumpa Ina," pujuknya. Aku lepaskan pelukannya lalu kuhayun langkah menuju ke pintu masuk. Aku biarkan setiap mata yang memandang ke arahku. Suasana wad begitu hening dan menyebakkan. Dari pintu masuk, aku dapat lihat Ayah Cik menggamitku menghampirinya. Aku kuatkan langkah walaupun terasa bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata.

"Bagi salam pada Ina. Bisik kat telinga dia," pinta pakcikku. Aku usap lengan Ina yang sudah dipenuhi lebam dan berselirat dengan saluran tiub ke tubuhnya. Pernafasannya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Aku hampirkan wajahku ke telinganya.

"Assalamualaikum, Ina. Akak datang ni. Ina buka mata ye?" bisikku.

Namun Ina tetap kaku. Hanya turutan nafasnya turun dan naik dalam keadaan yang lemah. Dengan penuh kasih dan sayang, aku usap pula rambutnya yang masih lagi selebat dulu. Ina tetap kaku. Air mata yang turun sudah diselangi dengan sendu tidak mampu aku tahan lagi. Aku berlari perlahan keluar dari wad menuju ke hujung sudut beranda wad yang agak lengang. Aku hamburkan air mata yang cuba kutahan sebelumnya. Perasaanku sebak. Air mata yang mengalir tidak mampu aku hentikan. Pipiku sudah lenjun dengan air mata. Mataku sudah sembab dan merah.

Mengapa aku harus terima keadaan ini di saat aku belum bersedia sepenuhnya? Mengapa aku tidak mampu setenang dan setabah Wan Cik dan Ayah Cik? Ina sekadar adik sepupu perempuan yang paling rapat denganku semenjak kami kecil lagi. Dia hanya tinggal denganku semenjak setahun yang dulu. Mengapa begini perit kesedihan yang harus aku tanggung?

Apa akan jadi denganku kalau benar hayatnya akan berakhir? Siapa yang akan menjadi pendengar setiaku selepas ini? Dengan siapa aku ingin berbual sebelum masuk tidur? Dengan siapa aku ingin menumpang kasih adik perempuan setelah dia tiada nanti? Ah! Aku terlalu berfikir yang bukan-bukan.

Inikah hakikat yang harus kuterima setelah semenjak kebelakangan ini fikiranku dihantui persoalan andai Ina akan pergi? Tidak! Ina akan sihat. Dia akan kembali dalam kehidupan kami seperti biasa. Tidak! Aku tidak harus sesedih ini. Kuasa doktor tidak mampu melangkaui kuasa Yang Maha Esa. Aku melepaskan nafas yakin lalu menyeka sisa air mata yang ada. Aku hampiri Wan Cik yang sedang bercerita dengan emak.

Kata Wan Cik, sehari sebelum diserang koma, Ina makan dengan banyaknya walhal selalunya dia hanya makan ala kadar saja. Seleranya bagaikan telah mati sejak lima tahun dulu. Malamnya, dia muntah teruk sehingga ke awal pagi. Keesokan harinya, Ina begitu lemah. Sekejap saja ditinggalkan oleh ibunya, darah mula membuak keluar dari hidung dan mulutnya. Dia tidak lagi bersuara semenjak itu. Ambulans dipanggil dan Ina dibawa ke Hospital Kuala Kangsar. Kemudian, dipindahkan pula ke hospital ini. Sejenak, fikiranku menerawang memikirkan perubahan pada sikap Ina sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.

Tiga bulan lebih bersamaan dengan seratus hari sebelum kematian kita. Saat itu sebenarnya Ina telah tahu dia akan pergi cuma tidak terluah. Sikap Ina selalu buat aku marah dan bengang. Tapi, aku tidak balas sikapnya. Aku cuma biarkan. Paling tidak pun, aku kurangkan bercakap dengannya. Kami tidak lagi semesra dulu. Dia selalu termenung. Kata-katanya adakalanya menyakitkan hatiku. Perbuatannya seringkali buat aku mengeluh berat. Ada saja yang buat aku rasa kurang senang. Mengapa begitu sekali perubahannya?

Puas aku bersoal jawab. Namun, kehampaan jua yang kuterima. Akhirnya kubiarkan sahaja soalan itu berlalu tidak berjawab. Kami tidak lagi berbual sebelum tidur. Kami tidak lagi keluar bersama-sama menonton wayang atau paling tidak pun ke pasar malam bersama seperti dulu. Ina mula tidur awal. Sangkaku dia keletihan dan sakitnya datang semula.

Terasa seperti sudah ada jurang di antara kami. Aku cuba untuk membuang prasangka yang ada di fikiranku ternyata gagal. Antara kami tidak lagi saling meluahkan. Aku keliru sebenarnya dengan perubahan mendadak Ina. Akhirnya, aku biarkan dia begitu saja. Kami bagaikan sedang berbalah.

Tapi, setiap kali aku membuat kek coklat kegemarannya, dia tetap tidak akan segan memakannya. Sempat dia membawa bekalan sewaktu pulang ke kampung di awal pagi Aidil Adha. Kami bersalaman lalu tanganku dan pipiku diciumnya. Seingatku, itulah kali terakhir pipi dan tanganku diciumnya.

"Inilah kakak saudara Ina yang tinggal sekali di KL tu," kata-kata itu mengejutkanku. Aku berpaling ke sisiku. Ayah Cik memperkenalkan aku kepada saudara sebelah Wan Cik. Aku hanya tersenyum walaupun pipiku masih digenangi dengan air mata.

Petang sudah merangkak pergi. Diganti pula dengan kedatangan Maghrib. Azan kedengaran jelas di ruang udara. Emak dan Abah sudah ke rumah adik Abah di Jelapang. Aku menuju ke surau bersama Wan Cik dan saudara yang lain.

Sekalung doa kupohon dari Ilahi moga Ina dianugerahkan laluan yang paling mudah untuknya kembali menghadap-Nya andai benar itu kesudahan yang bakal kutempuhi. Aku kembali menjenguk Ina di wad. Kali ini ada sedikit kekuatan bersamaku.

Lengan Ina kuusap perlahan. Kulit tangannya agak kasar kurasakan berbanding biasa. Dahinya masih suam-suam kuku walaupun tangan dan kakinya agak sejuk berbanding petang tadi. Aku tatap lama wajah Ina. Tenang bagaikan sedang lena tidurnya. Sudah dua hari Ina koma di wad ini akibat pembuluh darahnya sudah pecah dan merebak ke bahagian otak dan perutnya.

Tiub saluran di masukkan ke hidungnya agar dapat mengeluarkan darah yang masih mengalir. Penyakit ITP yang dihidapinya semenjak lima tahun lalu sudah di peringkat kritikal.

"Ina, akak datang ni. Ina sembuh cepat ye? Akak sayangkan Ina. Akak rindukan masa-masa gembira kita dulu," bisikku. Kali ini air mataku sudah bertakung di kelopak mata. Aku seka cepat. Aku cium pipi Ina lembut. Ina masih kaku. Tiada tindak balas yang mampu aku jadikan bukti Ina akan kembali seperti biasa.

Aku tenung monitor kawalan di sisi Ina. Degupan jantungnya semakin lemah. Tekanan darahnya juga semakin turun. Sudah hampir sangatkah masanya untuk pergi? Tidak! Aku belum bersedia untuk kehilangannya. Aku kembali keluar dari wad.

Jam di lenganku sudah ke pukul sebelas malam. Aku akan pulang sebentar lagi. Untuk kali terakhir hari ini, aku menjenguk Ina lagi. Tiada perubahan seperti dua jam yang lepas.

"Ina, akak balik dulu. Esok akak datang lagi. Akak nak Ina tahu akak sayangkan Ina. Akak rindukan adik akak yang degil ni," bisikku lalu mencium pipi dan dahinya. Aku melangkah keluar dari wad. Aku tinggalkan Ina. Esok aku akan datang lagi.


***************

Jam di dinding sudah ke angka satu tengahari. Aku duduk berteleku di atas sofa di dapur. Aku termenung jauh memikirkan Ina. Inikah makna perubahan Ina selama ini? Mengapa tidak aku sedari setiap perubahan gerak-gerinya selama ini? Kata-kata Acu kembali bermain di fikiranku.

"Relakan dia pergi. Acu tahu Lia sayangkan dia tapi Lia kena lepaskan dia pergi. Kalau Lia tak lepaskan, siksa dia nanti. Biarlah dia pergi kalau itu jalan yang terbaik untuk dia. Ina dah cukup tersiksa macam tu. Jangan kita tambah lagi siksa yang dia ada," pujuk Acu. Aku hanya menyeka air mata yang semakin laju turun tanpa bersuara. Bahuku Acu gosok perlahan.

"Lia doakanlah semoga dia tenang dan senang menghadap-Nya. Banyak-banyakkan bersabar," sambung Acu lagi. Kali ini air mataku semakin lebat membanjiri pipiku. Buat pertama kalinya setelah pemergian Opah, aku lihat Acu menangis lagi. Anak saudara kesayangan Acu akan jadi kurang seorang.

Kenapa aku terlalu sedih melebihi mereka semua? Kenapa aku orang yang paling berat untuk melepaskannya pergi melebihi keluarganya sendiri? Adakah kerana aku terlalu sayangkannya seperti arwah adikku sendiri? Mengapa aku harus jadi begini? Mengapa aku tidak tabah dan kuat?

Aku selami hati dan perasaanku sendiri. Aku terkilan sebenarnya. Perubahan yang berlaku telah merenggangkan hubungan kami sebenarnya. Membuatkan aku kurang peka terhadap perubahan emosi dan kesihatannya. Jika dulu, akulah yang kerap melawatnya di hospital. Semenjak tahun ini, aku tidak lagi seperti itu. Aku hanya melihat dan mendengar hanya kerana aku terasa hati dengan sikap dan kata-katanya. Terlalu emosikah aku?

Kata Ayah Cik, alat bantuan pernafasan Ina akan dicabut jam enam petang nanti. Doktor tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Tiada sebarang perubahan pada Ina. Komanya tidak berkesudahan. Hanya kuasa Tuhan yang mampu mengubah namun harapan yang ada tidak seperti yang dijangka dek akal kami. Apa gunanya Ina masih bernafas jika otaknya sudah tidak berfungsi lagi.

Aku menjeling jam sekilas. Cuma tinggal lima jam saja untuk kami merasai degupan jantungnya. Selepas itu, dia akan pergi jauh. Jauh dari kehidupan kami.

"Ina, akak redha. Akak rela lepaskan Ina pergi kalau itu jalan yang terbaik untuk Ina hentikan penderitaan yang sedang Ina tanggung. Akak tak mahu siksa Ina dengan ketidakrelaan akak. Pergilah, sayang. Walau apapun yang telah berlaku, akak tetap sayangkan Ina. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempat Ina dalam hidup akak," putusku lalu melepaskan keluhan lega. Aku beransur ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku ingin berdoa untuk Ina.


***************

Jam di dinding sudah ke angka lapan setengah malam. Tiada sebarang berita dari hospital semenjak Acu pulang dari hospital petang tadi. Sudah sejam lebih alat bantuan pernafasan Ina diramalkan akan dicabut. Apa beritanya?

Mampukah Ina bertahan tanpa alat bantuan itu? Aku mencapai telefon bimbitku lalu menghantar mesej kepada abang Ina di hospital. Lima minit telah berlalu. Tiada jawapan yang kuterima. Aku masih duduk di sofa di dapur sambil melihat Makcu dan Mak sedang menyediakan makan malam.

Seleraku telah hilang semenjak siang tadi lagi. Aku lebih senang membisu dan termenung. Aku terkenangkan kenangan manis kami bersama. Terlalu banyak untuk aku kenang sehinggakan aku masih merasai kehadirannya di dalam kehidupanku.

Deringan telefon menghentikan lamunanku. Nama abang Ina yang terpapar mendebarkan aku.

"Hello, assalamualaikum kak."

"Waalaikumsalam," jawabku pendek. Aku takut untuk menerima berita yang bakal kudengar sebentar lagi.

"Akak, Ina dah tak ada. Ina dah pergi," jelas abangnya bergetar menahan sebak. Aku terkedu seketika. Talian telah terputus. Tangisku mula bergema.

Tiada lagi segan dan silu.

"Lia, kenapa ni?" tegur Acu.

"Acu, Ina dah tak ada," luahku dalam tangisan. Masing-masing membisu.

Innalillahiwainnaillahirojiun.


***************

Jam di dinding sudah ke angka sepuluh malam. Jenazah arwah masih belum tiba. Aku menanti di sofa ruang tamu. Aku bengang dan geram sebenarnya dengan saudara-maraku yang datang. Bukan mereka tidak tahu bagaimana rapatnya aku dan arwah. Mengapa tidak mereka fahami tekanan perasaan yang sedang aku tanggung tatkala ini? Kenapa tidak berikan aku sedikit ruang untuk tidak terlalu merasai kesedihan ini? Mengapa harus diungkit kenangan kami pada orang yang tidak mengenali kami?

"Itulah, kakak sepupu arwah yang duduk sekali di KL tu. Mestilah terasa arwah dah tak ada. Duduk pula sebilik. Berkongsi banyak benda. Dari si arwah kecil lagi dah rapat. Dia pun bukan tidur di rumah opahnya. Rumah arwah tulah tempatnya tak kira siang malam,” makcik saudaraku bersuara lagi entah untuk yang keberapa kali.

"Tengoklah, muka depa berdua tu pun memang seiras. Sebab tulah boleh serasi. Dari si arwah kecil sampai la ni memang depa rapat. Dah macam kakak dengan adik," nenek saudaraku pula bersaudara. Aku bangun dari sofa lalu menuju ke dapur. Sekali lagi kata-kata yang sama kedengaran. Kali ini lebih panjang perbualan mereka menyingkap hubunganku dan arwah semenjak dari kecil lagi. Aku beredar menuju ke bilik. Barangkali di sini hidupku lebih tenang.


***************

Orang ramai sudah mula membanjiri rumah Acu dan Wan Cik. Aku baru pulang dari pekan membeli barang bagaikan tiada peristiwa sedih sedang berlaku di dalam hidupku. Aku segera ke bilik menukar pakaian lalu ditemani sepupuku, Mariam aku menuju ke rumah Wan Cik. Aku lihat jenazah Ina diletakkan di ruang tamu. Tempat di mana kami selalu duduk berbual sambil menonton cd dari komputer yang berdekatan. Aku menuju ke dapur.

"Akak dah tengok arwah?" tegur Mariam. Aku hanya menggelengkan kepalaku perlahan. Aku toleh keadaan di ruang tamu yang sudah dipenuhi kaum wanita.

Mariam memimpin tanganku.

"Kita jumpa Ina sekejap, ye? Kejap lagi Ina dah nak dimandikan." Aku hanya menurut tanpa membantah. Di tengah-tengah ruang tamu, aku dapat lihat jenazah Ina terbaring kaku dilitupi kain batik lepas. Aku genggam jemari Mariam erat. Aku tahan air mata yang sudah mula bertakung. Aku mula menjadi perhatian mereka yang sedang duduk di ruang tamu. Langkah kakiku semakin lemah.

"Akak, tahan air mata tu. Nanti arwah sedih tengok akak macam ni," pujuknya tapi air mata tidak mampu aku tahan lagi. Ia gugur juga. Kali ini aku benar-benar lemah. Langkahku hampir kaku namun Mariam sempat mengheretku ke bilik arwah. Bilik yang sering menjadi saksi lena kami berdua. Tubuhku dipeluknya erat. Aku dipujuk bagaikan kanak-kanak kecil.

Senduku semakin kuat. Hilang rasa maluku. Hilang segala ketegasan yang sering mereka lihat dalam diriku selama ini.

Aku hanya mampu mengintai dari langsir yang jarang, tubuh arwah dibawa ke dapur untuk dimandikan. Ditemani Mariam, aku melangkah perlahan dengan kudrat kekuatan yang ada untuk melihat arwah dimandikan untuk kali terakhir. Aku hanya melihat dari jauh dengan air mata masih berlinangan.

Kata-kata arwah kembali berkumandang di mindaku.

"Akak, Ina rasa Ina dah banyak menyusahkan mak dengan abah. Ina rasa kalau Ina dah mati nanti mesti mak dan abah tak payah susah hati pikir pasal Ina lagi kan?" luahnya satu malam. Aku terdiam. Sejenak aku berfikir.

"Kita sama je, Ina. Akak sakit, Ina pun sakit. Bezanya, sakit Ina dah pasti tapi sakit akak tak pasti. Sakit Ina teruk dan sakit akak tak seteruk Ina tapi berlarutan macam ni. Akak lagi menyusahkan mak dan abah akak sebab dari kecik lagi dah selalu sakit. Kan best kalau kita sihat macam orang lain. Boleh buat itu ini," luahku pula.

"Kalau Ina mati nanti, Ina nak kubur Ina sebelah Opah."

"Mana aci! Tak kira! Akak pun nak gak. Apa kata kita apit Opah, nak tak? Ina sebelah kanan akak lak sebelah kiri. Kita kan cucu kesayangan Opah. Mestilah duduk dekat dengan Opah," cadangku.

"Set!" jawabnya lalu ibu jari kanan kami bersatu lalu diselangi dengan ketawa. Untuk apa aku sendiri keliru waktu itu. Impian Ina telah tertunai. Bagaimana pula dengan impianku? Tertunaikah?

"Ahli keluarga boleh jirus arwah kalau nak," suara ustazah kedengaran menghentikan lamunanku. Aku hanya melihat Wan Cik dan Ayah Cik serta abang dan adik arwah menjirus. Aku berundur ke belakang. Aku tidak mampu bertahan lebih lama lagi.

"Jenuh Wan Cik cari akak tak nampak dari tadi,” tegur Wan Cik. Aku hanya membisu.

"Kenapa tak jirus tadi?" tanya Wan Cik namun tangisanku melebihi kata-kata yang ingin kuluahkan. Senduku semakin menjadi-jadi. Tubuhku Wan Cik peluk erat. Aku gagal mengawal senduku yang semakin galak.

"Janganlah nangis. Wan Cik pun tak nangis. Ina mesti tak suka tengok akak macam ni," pujuk Wan Cik lagi. Aku cuba mengawal diri dan perasaan. Aku raup wajahku yang semakin sembap dek tangisan yang tidak berhenti semenjak kelmarin. Aku tatap wajah tenang Ina.

"Seronok dia tidur. Tenang je. Ramai orang mandikan dia," Ayah Cik bersuara bagaikan Ina masih bernyawa. Aku renung wajah Ina. Aku bakal merinduinya. Aku pasti akan merindui wajahnya sedang tidur apabila aku bangun dari tidur awal untuk ke pejabat.

Aku pasti akan merasai kehilangan apabila gelak senda gurau Ina tidak lagi menjadi sebahagian dari masaku akan datang. Aku sememangnya akan merindui segala-galanya tentang Ina bermula hari ini. Aku ingin tatap wajah Ina sepuasnya. Selepas ini wajah itu tidak lagi menghiasi pandanganku buat selamanya.

Selepas dimandikan, jenazah dibawa ke ruang tamu untuk dikafankan. Aku menurut dari belakang. Kali ini aku ditemani Sufiya, adik Ina. Aku tatap lagi wajah Ina. Walau berat hati untuk melepaskannya pergi, aku harus redha dan pasrah. Setiap yang datang pasti akan pergi. Hanya kenangan yang tinggal untuk renungan di ingatan. Satu persatu kain putih membalut tubuh Ina.

"Ahli keluarga boleh cium pipi arwah," ustazah yang bertanggungjawab menguruskan jenazah bersuara.

"Akak," panggil Sufiya lembut mengejutkan aku dari terus menatap wajah Ina. Jemariku Sufiya genggam erat lalu kuatur langkah dengan semangat yang nipis menuju ke sisi Ina. Kucium pipi kiri dan kanan Ina. Kemudian, kucium pula dahi Ina.

"Akak lepaskan Ina pergi. Akak maafkan segala dosa Ina pada akak selama ini. Akak mohon Ina maafkan juga dosa akak selama kita mula mengenali," bisikku di dalam hati lalu wajah Ina mula ditutup dengan lapisan kain putih yang paling akhir. Aku berundur ke belakang lalu duduk bersandar di dinding.


***************

Tanah pusara yang terletak di tepi Lebuhraya Utara Selatan begitu suram suasananya. Air mataku sudah mula berhenti semenjak Ina dibawa keluar dari rumah menuju ke tanah perkuburan. Di sebelah pusara Ina, terletak pusara opah. Akhirnya, permintaan Ina terlaksana juga. Aku? Masih terlalu jauh untuk aku menemani Opah dan Ina di situ. Bacaan talkin dan doa sudah berakhir. Air mawar dan hirisan daun pandan kutabur di pusara Opah dan Ina setelah kubacakan surah al-Fatihah.

Opah, Ina sudah temankan Opah. Opah tak sunyi lagi. Nanti Lia menyusul pula ye. Tapi Lia tak tahu bila. Lia dah tak ada kawan. Ina dah tinggalkan Lia. Nanti Lia datang jenguk opah dan Ina lagi ye.

"Sebelah opah Acu nak tempah untuk Acu punya", terang Wan Cik apabila kutanya kenapa tidak ditempatkan benar-benar di sebelah opah.

"Kalau macam tu, Lia nak sebelah Inalah. Lia nak tempah dari awal," jawabku selamba. Mereka yang mendengar hanya memandangku tanpa dapat aku fahami ertinya.

Antara aku dan Ina segalanya telah terhenti di sini. Yang tinggal hanyalah secalit kesedihan dan segunung kenangan. Hanya itu harta yang Ina tinggalkan. Sebaris senyuman, setebal kedegilan dan sejuta kemesraan. Moga rohmu di cucuri rahmat olehNya. Al-Fatihah.



Wajahmu.......Seindah serinya pelangi yang indah Seharum mawar putih segar berkembang Wajahmu.......Mengapa sering terbayang dimataku Sehingga terbawa didalam mimpiku

Sayangku.......Tahukah kau didalam hatiku ini Tersimpan perasaan cinta nan suci Kau bunga.......Ingin kusuntingmu menjadi milikku Lantas kuabadikan dalam jiwaku

Sayangnya.......Harapan yang selama ini kubawa Hancur berkecai musnah jua akhirnya Semuanya bagaikan sebuah mimpi

Kau pergi jua

Setelah cinta ku kini membara

Belum sempat kucurahkan kasihku

Kau pergi tak kembali.....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home