Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Betapa Damai Hati Ini

"Along....!!! Selamat pulang.....!!!" Jeritan dari seorang gadis remaja begitu kuat kedengaran. Walaupun terminal ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dibanjiri oleh ribuan manusia, dia masih boleh mengecam suara tersebut.

"Adikkk!!!...." dia membalas ketika melihat kelibat adiknya di celah ribuan manusia.

Mereka saling berpelukan. Seketika tiada kata yang diucapkan, hanya terasa sebak di dada dan kesyahduan mula terasa di hati. Murnirah menarik nafasnya dalam-dalam. Dia memeluk adiknya erat, seakan tidak ingin dilepaskan.

"Along sihat?" soal adiknya perlahan. Murnirah hanya mengangguk. Mengharap agar adiknya faham akan isyaratnya itu.

"Adik, mama dan papa mana?" dia tidak melihat kelibat orang tuanya di celah-celah orang ramai itu. Sambil menolak troli barangnya, dia meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Namun pencariannya hampa.

Murnirah memandang adiknya yang hanya tunduk dan menolongnya menolak troli ke pintu lif. Tiada jawapan atas persoalan yang ditanyakannya tadi. Dia turut diam. Dia sudah dapat mengagak jawapan sebenar. Satu keluhan berat dilepaskan. Pandangannya semakin kabur, terasa airmata bergenang dikelopak mata. Oh Tuhan! Tabahkan hatiku.

Perjalanan dari lapangan terbang ke rumahnya agak jauh. Sudah hampir setengah jam, kereta Kembara milik adiknya melalui lebuh raya ini. Kedengaran lagu irama rancak dari kumpulan Linkin Park bergema dari stereo kereta. Hanya itu sahaja bunyian yang kedengaran. Tiada bicara dan pertanyaan dari adiknya. Murnirah memandang keluar. Pemandangan luar yang menghijau, merupakan satu pemandangan yang amat dirinduinya. Sudah 9 tahun dia tidak pulang ke tanahair. Berada di negara asing, yang mana hampir setengah tahun buminya diliputi salji, benar-benar membuatnya rindu akan kehangatan mentari dan kelembapan udara Malaysia.

"Along cadang nak bersalin di mana?" tiba-tiba adiknya bersuara. Namun pandangan tetap tertumpu ke hadapan. Tangannya begitu cekap mengendalikan stering kereta.

Murnirah hanya berdiam. Satu lagi keluhan dilepaskan. Kali ini dia benar-benar ingin menangis. Perlahan-lahan, tangannya mengusap perutnya yang sudah membusung. Terasa gerakan halus dari dalam. Ternyata, gerakan itu semakin kerap semenjak semalam. Anak ku... bisik hatinya. Mungkin anaknya juga turut merasa letih seperti dirinya, setelah hampir 23 jam tempoh penerbangan. Murnirah memejamkan matanya, kepalanya terasa berdenyut-denyut. Pertanyaan dari adiknya belum dijawab lagi.

"Erm.... entah la dik. Mungkin di sini saja," jawabnya ringkas. Dia cuba untuk merehatkan fikirannya. Namun serta-merta berbagai gambaran terbayang di ruang fikirannya. Bayangan yang membuatkan tidur semakin sesak dan mimpinya semakin buruk sejak akhir-akhir ini.


********************

Ketibaannya di rumah, disambut dengan suasana yang sepi. Tiada sesiapa di rumah. Hanya sebuah rumah banglo dua tingkat tersergam indah, masih setia menyambut kepulangannya. Hatinya dipagut kerinduan dan kesayuan. Dia merindui kemeriahan rumah ini. Dia ingin melihat senyuman orang tuanya, menyambutnya dengan pelukan dan ciuman di muka pintu. Namun semua itu tiada. Sepi.

"Mama dan papa tak sampai lagi....flight mereka sampai malam esok," jelas adiknya, seolah-olah faham dengan perasaan yang bergolak dihatinya ketika itu.

"Mama dan papa tak tinggal sini ker?" soal Murnirah. Hairan.

"Tak. Dah 4 tahun mereka tinggal kat Sabah. Hmm... banyak benda berlaku Long... banyak yang berubah..." Juraidah, adiknya itu mengeluh.

"Along naiklah kat atas.... bilik Along masih tempat dulu, barang-barang Along nanti saya bawa naik...."

Murnirah melangkah perlahan ke arah anak tangga yang menuju ke tingkat atas. Tangannya menyapu dinding dan kayu pemegang di tangga tersebut dengan perlahan-lahan. Setiap sentuhannya mengembalikan segala nostalgianya di rumah ini. Betapa dia amat merindui detik-detik itu.


***********************

Sarapan pagi itu ialah sepinggan nasi lemak dan secawan milo panas. Murnirah menikmatinya dengan penuh berselera sekali. Juadah seperti ini sudah lama tidak dinikmatinya. Dia melirik ke arah adiknya yang duduk bersahaja di ruang tamu. Banyak persoalan yang bermain di benaknya, namun kerana sikap adiknya yang serta-merta begitu pendiam dari semalam membuatkannya terpaksa memendamnya buat sementara waktu.

"Dik... tak de kuliah ker?" soalnya perlahan. Setahunya, adiknya masih menuntut di Universiti Malaya, dalam bidang guaman.

"Hmm... kuliah tengahari nanti.... tunggu Sham jemput," jawapan yang ringkas. Sham, tunang adiknya. Tidak banyak perkara yang diketahui tentang pertunangan adik bongsunya itu. Memang banyak perkara yang tidak diketahui. Semua ini silapnya, kerana telah lama tidak menghubungi keluarganya. Semenjak bertahun-tahun berada di Kanada, baru 5 bulan yang lepas dia mula menghubungi keluarganya. Itu pun setelah berlaku satu perkara ke atas dirinya.

"Adik......"

"Hm...?"

"Erm...papa marah ker?"

”Entah lah Long. Kalau marah, dia takkan suruh Along pulang..." jawapan yang membuat hatinya sedikit reda.

"Along... kenapa jadi begini Long?" Giliran adiknya pula bertanya.

Murnirah membisu. Nasi lemak masih banyak tersisa di pinggannya. Seleranya mati. Dia hanya meneguk milo yang sudah semakin suam. Pertanyaan dari adiknya membuatkan hatinya menjadi begitu sebak.

"I’ve made a big mistake.... big... big mistake... huge!..Along tak tahu nak mula dik. Maafkan Along....."

"Well.... what ever... I love you. We all love you, we miss you a lot..." Pengakuan dari adiknya membuatkan empangan airmatanya pecah. Dia tidak dapat menahan sendu yang begitu menyebu di dadanya.

Dia menangis, seperti kanak-kanak yang kehilangan mainan. Perasaan bersalah pada keluarganya begitu mendalam. Sekian lama dia menjauhkan diri dari keluarganya, namun kasih sayang keluarganya terhadap dirinya tidak pernah luntur. Terasa sentuhan tangan di bahunya. Dia mengangkat pandangan ke sisi. Adiknya juga menangis. Mereka saling berpelukan. Tangisan mereka menjadi satu.


**********************

"Sakit?" Soal mama perlahan. Tangannya lembut mengusap ubun-ubun kepala anaknya.

"Em.... mama.... takut ma..." ucap Murnirah dalam esak tangisnya.

Mama hanya menganggukkan kepala. Senyumannya tidak luntur dari wajahnya. Sudah hampir 6 jam mereka berada di wad kecemasan. Setibanya dari Sabah malam semalam, dia disambut dengan berita kemasukan Murnirah ke wad kecemasan. Tanpa berkesempatan untuk berehat, dia meminta anak bongsunya menghantarnya ke hospital. Dia perlu berada di sisi anaknya itu. Dia amat memahami keadaan seorang wanita yang bakal melahirkan anak pertama.

"Ma.... ampunkan saya ma...." esakan Murnirah semakin kuat. Ketakutan semakin mencengkam dirinya. Semenjak semalam, dia dilanda keresahan. Kesakitan yang dialaminya amat perit. Sakit yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Terasa seluruh jiwanya dilanda gelora kebimbangan dan kepayahan yang tidak terkata.

"Puan... doktor nak bercakap dengan suami puan.... dia datang tak?" Soal seorang jururawat yang baru muncul membawa sebotol Dextrose.

Murnirah terkedu. Esakannya tertahan, dia memandang ibunya yang berdiam diri di sisinya. Terasa masa terhenti buat seketika. Suami? Mana suamiku?

Murnirah semakin bingung. Kewarasannya terbatas di kala ini. Antara kesakitan yang ditanggungnya dan kekuatan hatinya untuk menjawab pertanyaan jururawat muda itu, membuatkannya semakin jauh dari pertimbangan yang sewajarnya. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Suaminya tak ada di sini.... tapi saya ibunya," Mama seakan memahami gelora hati Murnirah.

"Erm.... tapi doktor perlukan persetujuan suaminya," ulas jururawat berbangsa India dengan lancar.

"Mereka dah bercerai..... dia tak de hak ke atas anak saya lagi. Saya ibunya..." tegas mama. Suasana semakin tegang. Murnirah menggenggam hujung bantal di perbaringannya. Kesakitan semakin mendesak ke dadanya. Terasa seluruh anggota badannya kejang. Perutnya seperti memulas.

"Ma...!! Sakit!!...." Raung Murnirah. Jururawat tadi terus berlalu menuju ke arah seorang doktor muda yang berdekatan. Wad kecemasan menjadi gawat seketika dengan raungan dan situasi Murnirah yang membimbangkan.

"Nurse... kita tak de pilihan... siapkan OT 2 dan panggil anasthetic team untuk bersedia... and, we need to contact blood bank ... stat!" arahan dari doktor yang memeriksa keadaan Murnirah.

Dr. Zafendi bergegas ke bilik persalinannya. Hatinya turut berasa cemas melihat keadaan pesakit perempuan itu tadi. Bukan dia tidak pernah menghadapi situasi yang lebih teruk dari itu, tetapi ada sesuatu yang mengusik hatinya di saat dia melihat wajah wanita itu.


*********************

"Semua itu ada hikmahnya Long...." Pujuk Marina, adik kedua Murnirah. Seulas limau disuapkan ke bibir Murnirah. Airmata berlinangan dipipinya.

Tangan adiknya ditolak perlahan. Dia tidak berselera untuk menjamah sebarang makanan. "Along yang bunuh dia. Along sengaja membunuhnya!" Murnirah menangis lagi. Semenjak dia menerima kenyataan bahawa bayinya meninggal sehari selepas dilahirkan, dia sentiasa menangis. Ada kekesalan di hatinya.

"Dah la tu..... bina hidup baru Long.... Along berpeluang untuk kali kedua. Bina hidup baru..."

"Hidup baru....? Semuanya dah berubah dik.... tak sama..." ucap Murnirah perlahan. Dia asyik memandang keluar. Sisa hujan dan suasana dingin petang itu mengundang nostalgia pada dirinya.


*******************

"Zack , what you think of me?" soal Murnirah perlahan. Terasa hangat hembusan nafas seorang pemuda di pipinya.

"I’ll always love you Ira. You're my woman forever." Satu kucupan menyinggahi pipi gebu gadis di sisinya.

"I can't believe this happened..." ujar Murnirah separuh percaya dengan apa yang telah berlaku antara mereka.

"Honey, after you left me nine years ago.. I still love you... until now...." Pengakuan dari jejaka yang hampir sebaya dengan Murnirah. Tangannya yang perkasa, membelai rambut gadis melayu itu dengan perlahan. Sesekali dia mengucupi dahi gadis itu.

"Yeah? It's been a long time..." Duga Murnirah dengan suara manja.

"Want prove?" Kening Zack terangkat. Dia memandang wajah bujur sirih yang hampir dengan bahunya. Murnirah hanya tersenyum, manis.

"I don't need that..... time will tell..." ucap Murnirah bersahaja. Dia cuba menegakkan badannya dan membetulkan duduknya. Dia cuba merenggangkan badannya dari Zack.

"Well.... I... want... to... tell... you.......... now....." Ucap Zack perlahan. Dia merangkul kemas tubuh gadis idamannya. Satu kucupan hangat menyentuh bibir gadis itu. Kucupannya berbalas, rangkulannya semakin erat.

Berlakulah suasana yang hangat dan intim antara dua remaja yang dibuai berahi. Hujan petang itu semakin lebat. Menenggelamkan gelora asmara dalam kereta yang terpencil dari kesibukan kota. Langit merah petang itu seakan menangis keterlanjuran dua remaja ini. Sungai yang mengalir lesu, seakan turut berduka, namun mereka tidak akan pernah mengerti.


*********************

"Assalamualaikum...."

Murnirah berpaling. Seorang doktor berdiri di muka pintu. Dia tidak memakai kot putihnya, namun cukup dikenali dengan hanya melihat stetoskop yang berada di tangannya.

"Waalaikumusalam doktor..." balas Murnirah. Dia cuba untuk menegakkan badannya. Namun kesan pembedahan masih terasa pedih di bahagian bawah perutnya.

"Ops... tak payah gerak sangat. Lagipun saya bukan VIP nak disambut dengan protokol...." Dr. Zafendi tersenyum.

Murnirah membalas senyuman doktor muda itu. Tiba-tiba dia merasa malu, kerana doktor itulah yang telah melakukan pembedahan keatas dirinya dan juga merawatnya. Namun dia terus memandang doktor yang berada di depannya itu. Doktor itu tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan kerana dia begitu teliti memerhati carta perkembangan kesihatan Murnirah.

"Well.... everything seems fine to me... Insya-Allah, Ira boleh keluar dalam dua tiga hari lagi..." Dia mengambil tempat di kerusi yang tersedia berhampiran dengan katil pesakit.

"Ira, kebetulan saya off duty hari ini....banyak perkara saya nak tanyakan pada Ira...." Murnirah hanya mengangguk lemah. Bersetuju. Tangannya membetulkan skaf kepalanya, memastikan tiada rambut yang kelihatan oleh pandangan doktor lelaki itu.

"Hmm... maaf kalau soalan saya nanti menganggu perasaan Ira..."

"Tak mengapa doktor...teruskan..."

"Panggil saya Zafendi... Fendi.. mudah kan?"

"Fendi..... erm... yer.."

"Menurut pemeriksaan saya, anak Ira dilahir tanpa cukup nutrisi. Maksudnya, seolah Ira tidak menjaga keadaan diri Ira sepanjang mengandung. Setahu saya, Kanada sebuah negara yang cukup lengkap dengan kemudahan buat ibu-ibu yang mengandung." Satu pertanyaan yang panjang lebar dari doktor muda itu. Dia berdiam sebentar, menunggu jikalau Murnirah akan berkata-kata. Masa berlalu seketika, suasana tetap sepi.

"Puan Ira..... ada..."

"Jangan panggil saya puan... Ira cukup!" Pintas Murnirah kasar. Dr. Zafendi sedikit tergamam. Namun dia meneruskan juga kata-katanya.

"Adakah Ira menghadapi masalah untuk menerima anak ini? Ataupun mengalami tekanan?" Satu tamparan buat Murnirah. Kesayuan hatinya semakin memuncak. Pertanyaan itu seakan cuba mencungkil rahsia yang dia cuba pendamkan.

"Saya tak tahu nak cakap Doktor..... I’ve made a big mistake in life.... I want to forget it... please... tinggalkan saya. I need to be alone for a while..." ucap Murnirah menahan sedu. Dia sengaja memandang keluar. Entah berapa lama doktor itu duduk di sisi katilnya. Seketika kemudian, cuma kedengaran pintu bilik wadnya dibuka dan tertutup kembali.


**********************

"Hello, may I speak to Zakaria please?"

"May I know who's speaking?"

"His friend.... um... Murnirah from KL"

"Hold on a second."

"Hello, Zakaria speaking..." Suara seorang lelaki kedengaran di hujung sana. Murnirah terkedu seketika. Hatinya tidak habis-habis berdoa, semoga Tuhan memberikan kekuatan pada dirinya.

"Zack.... its me, Ira..."

"Hey.... nice surprise!.. How are you honey?"

"Not that good. Listen Zack, ...I kat KL sekarang.."

"Wow! That’s even better, nak surprise apa kat I ni?"

"Zack.... I dah bersalin........" Murnirah terhenti sekejap. Kedengaran suara keluhan dari hujung talian.

"So...? You dah kawin ker? Tak jemput I pun..."

"Zack.... it's yours......." Murnirah tidak dapat menahan airmatanya. Hatinya sebak.

"What!!.. No way.... when?.... Oh.. shoot!..."

"Zack.... masa tu.... kali pertama dengan you...."

"Yeah.... I remember... Shoot!.... So... what should I do?"

"Zack.... I tak nak you bertanggungjawab untuk ini.... I just want to let you know that, you used to be a father..."

"Used to be? Apa maksud you?"

"She died... as soon as she was born........"

"Ira... honey, kita boleh bincang hal ini.... parents you tahu ker?" Kedengaran suara Zack semakin cemas.

"No.... I kept it as a secret... but... I tak nak jumpa you lagi Zack... and I tak nak kahwin dengan you...." Terasa seolah-olah seketul batu menyekat anak tekaknya. Murnirah menarik nafas panjang-panjang dan menelan air liurnya. Airmatanya bergenang dan sendunya juga tertahan. Dia tidak mahu menunjukkan dirinya lemah walaupun melalui talian telefon.

"No way!.. honey... we need to discuss this....... I love you Ira.... I selalu mencintai mu, sejak sembilan tahun dulu... since we're high school." Kedengaran rayuan dari Zack. Rayuan yang membuatkan Murnirah muak dan jijik.

"But... I don't love you Zack.... I sedar, selama lapan bulan I pregnant... actually, I was never in love with you..... Thats it Zack.... What happened between us.... is finished... end.. nothing anymore...." Murnirah meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya. Sememangnya, setelah kejadian itu berlaku, dia mula menyedari bahawa dia tidak pernah menyimpan perasaan kasih pada lelaki ini.

"Ira........ this is not happening.... please... Honey! Ira call dari mana ni?"

"Bye Zack.... Don't ever try to find me....Assalamualaikum...." Ucap Murnirah penuh yakin. Dia tidak menanti balasan dari Zack. Gagang telefon terus diletakkan. Hatinya merasa puas.


*********************

"Along nak pergi lagi?" Marina memandang kakaknya dengan penuh kehairanan.

"Erm..... along dah tempah tiket..." balas Murnirah bersahaja. Dia sengaja melarikan pandangannya ke halaman rumah. Dia tidak sanggup melihat kesedihan yang mewarnai wajah adiknya itu.

"Along....please lah...baru tiga bulan pulang, dah nak pergi lagi..... Ina tahu lah yang Along tu dah jadi P.R kat situ, but, you're still Malaysian citizen..."

"Along tahu, tapi banyak perkara yang Along kena lakukan dan mulakan..."

"No Way!...Along tinggal kat sini....tak kesian kat mama dan papa ker?"

"Don't ask me that......Along masih ada perasaan dik, tapi Along perlu lakukan sesuatu."

"You can do it here!" Marina membentak. Dia berdiri dan berlari menuju ke tingkat atas. Kedengaran bunyi pintu dihempas kuat. Murnirah hanya mengeluh. Ada benarnya kata-kata adik nya itu. Namun dia sendiri telah membuat pelbagai perancangan buat dirinya. Berusaha untuk melupakan segala peristiwa buruk yang menimpa dirinya. Dia bukan lagi seorang gadis, tetapi seorang wanita. Status yang cukup dewasa malah dia juga pernah menjadi seorang ibu, walaupun cuma sehari.


***********************

"Mama dengar Ira nak pergi lagi..... stay lah lama sikit kat sini...." ucap Mama suatu pagi. Tangannya lembut menyapu mentega pada sekeping roti bakar.

Papa tidak memberi sebarang komen. Semenjak kepulangannya, papa lebih banyak berdiam. Tidak menunjukkan sebarang reaksi apatah lagi memulakan bicara.

"Hm.... tengoklah mama.... Rumah Ira kat Kanada tu, sapa nak jaga." balas Murnirah. Fikirannya ligat mencari alasan agar tidak menyinggung perasaan orang tuanya.

"Caretaker kan ada? Apa susah?" Tingkah papanya tiba-tiba. Akhbar yang dibacanya dilipat dan diletakkan ketepi. Dia menyambut roti bakar yang dihulurkan oleh mamanya.

"Tapi....."

"Papa tak kisah... Ira dah dewasa..... .umur pun dah 29 tahun, dah cukup matang untuk bertindak dan berfikir...." Satu sindiran ditujukan buat dirinya. Murnirah tidak jadi menyambung kata-katanya. Dia hanya tunduk dan mencubit roti bakar di pinggannya. Seleranya terbantut.

Tengahari itu, adik-adiknya mengajaknya ke pusat ibukota untuk membeli-belah. Mereka berjalan beriringan sambil bergurau senda. Setiap kedai telah mereka lawati, dan banyak juga barang-barang yang telah mereka beli. Marina, adiknya yang kedua merupakan orang yang paling banyak berbelanja hari itu. Semuanya untuk keperluan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung 2 bulan lagi.

Sampai di satu sudut, mereka melewati sebuah kedai pakaian dan keperluan pengantin. Marina mengajak Murnirah dan Juraidah menemaninya untuk mencuba beberapa persalinan pengantin. Murnirah keberatan, namun demi melihat kegembiraan adik-adiknya, dia terpaksa menurut.

"Come on Long.... be a sport," pujuk Marina apabila jurujual mencadangkan Murnirah mencuba beberapa persalinan pakaian pengantin sebagai model. Oleh kerana desakan kedua orang adiknya yang begitu manja, akhirnya dia menurut. Dia memilih beberapa persalinan pengantin yang bersesuaian untuk dirinya yang bertudung. Kebetulan Marina juga bertudung.

Satu demi satu dia mencuba setiap persalinan yang ada. Jurujual tidak puas-puas memuji kesesuaian pakaian tersebut dengan potongan badannya.

Sampai pada satu persalinan pengantin yang berwarna putih, Murnirah tidak puas memandang dirinya di hadapan cermin. Potongan baju itu memang menarik. Gaun putih yang kembang dan leher baju yang tinggi, serta potongan ketat di bahagian pinggang dan dada menampakkan dirinya begitu langsing. Dipadan dengan kain satin putih dihiasi manik sebagai tudung serta veil berlapis, menambahkan seri. Murnirah begitu tertarik dengan potongan baju itu.

"Marina... you know what?.. Along rasa yang ini sesuai untuk adik......." ulas Murnirah sambil membelek pakaian yang tersarung ditubuhnya itu.

"I guess....lebih sesuai untuk Ira," Satu suara kedengaran. Murnirah berpaling. Mulutnya terlopong luas. Di tengah ruang kedai itu, berdiri seorang yang dikenalinya. Dr. Zafendi! Pipinya serta merta terasa panas. Dia cepat berlalu ke bilik persalinan. Hatinya tidak habis-habis menyumpah adik-adiknya yang sengaja berdiam diri.

Setelah menukar pakaiannya, Murnirah keluar menuju ke ruang depan kedai. Dr. Zafendi sedang berbual dengan kedua orang adiknya. Kelihatan mereka begitu mesra sekali. Kedengaran gelak dan ketawa mereka. Murnirah hanya berdiam diri, dan menghampiri mereka.

"Along.... tentu tak percaya... Ini abang Fendi lah...ingat tak?" Murnirah mengerutkan dahi. Dia keliru. Sejak bila doktor yang pernah merawatnya menjadi abangnya pula.

"Ala.... abang kepada Hanis... .jiran kita masa kat JB dulu. Ingat tak? Abang Fendi 'mercun'.... laaa along ni," ujar Juraidah bersungguh-sungguh.

"Tak per...kak long lupa la tu...anyway, itu yang abang rasa familiar sangat dengan nama dan rupa Murnirah tu....rupanya Ira, bekas mangsa mercun katak abang...." Seloroh Doktor Zafendi bersahaja. Dia mencuri pandang wajah Murnirah yang kelihatan agak keliru.

"Erm....Fendi mercun...? Dah lebih 20 tahun....."

"Opss... correction... dah 18 tahun. Ira pindah lepas UPSR sebab masuk asrama penuh..... masa tu abang kat MRSM Melaka tunggu keputusan SRP. Ingat?" Murnirah tersenyum. Kenangan zaman kanak-kanaknya kini bermain di ingatan. Alangkah indahnya kenangan waktu itu. Sungguh tidak disangka, Zafendi yang berada di hadapannya, dan juga doktor yang merawatnya merupakan kawan sepermainannya dahulu.

Zafendi, anak Lebai Osman, sebuah keluarga yang warak dan baik budi pekerti. Murnirah tidak akan lupa jasa baik keluarga itu ketika mamanya mengalami keguguran, dan papanya ketika itu berada di London, sedang melanjutkan pengajian. Dia tersenyum sendiri.

"Senyum seorang?" usik adiknya. Murnirah kembali ke alam nyata. Senyumannya serta merta hilang.

"Well... thanks for those memories... but i'm not in the mood of meeting you. If you'll excuse me," ungkap Murnirah kasar sambil berlalu meninggalkan mereka dan menuju keluar. Senyuman di wajah Zafendi hilang.

Gilirannya pula mengerutkan dahi. Hairan dengan perubahan mendadak dari Murnirah. Dia tidak berpuas hati, adik-adik Murnirah kelihatan ingin mengejar kakak mereka itu, namun dia menegah dan memberi isyarat bahawa dia akan pergi mendapatkan kakak mereka. Mereka diam dan membiarkan Dr. Zafendi menghampiri kakak mereka yang sudah jauh meninggalkan mereka.

"Ira.... tunggu! ..Kenapa ni? All of sudden Ira marah? Kami salah cakap ker?" Zafendi menghampiri Murnirah sambil berlari anak. Kedengaran nafasnya tidak teratur.

"Hm... Kenapa cakap begitu tadi?" Zafendi berhenti berlari. Fikirannya ligat mencari makna kata-kata Murnirah. Murnirah berhenti melangkah. Dia berpaling menghadap Zafendi dan menghampiri doktor itu.

"What you said in that shop just now......You tahu I dah pernah jadi ibu... kenapa kata baju tu sesuai untuk I? Macam lah you tak tahu status I... itu macam satu penghinaan.... Understand? " Murnirah berkata dengan penuh perasaan menahan kemarahannya. Dia tidak mahu menimbulkan suasana yang memalukan di khalayak ramai.

"Ira.... sorry... I didn't mean that.....Sebenarnya..."

"Okay... thats it... get away from me...." Pintas Murnirah tanpa menghiraukan sebarang penjelasan dari doktor itu.


************************

"Mama dengar Ira jumpa doktor yang rawat Ira kat mall tadi...." Mama memulakan bicara malam itu sambil mengurut kaki papanya. Sudah menjadi kebiasaan, selepas makan malam, mereka akan berkumpul di ruang tamu untuk menonton rancangan televisyen. Marina dan Juraidah saling berpandangan.

Murnirah merenung tajam ke arah adik-adiknya. Dia dapat mengangak apa yang disampaikan oleh adiknya pada mama.

"Bukan jumpa... terserempak... tu jer..." Murnirah membalas sambil lewa. Dia ingin segera meninggalkan ruang tamu itu. Dia tidak mahu mama memanjangkan pertanyaannya.

"Erm.... Zafendi tu bukan orang lain..... Anak lebai Osman dan cikgu Fatima. Mama tahu dia anak yang berbudi, sebab masa kat hospital tempoh hari, dia yang tegur mama. Mama rasa dah macam anak sendiri. Walaupun dah hampir 20 tahun tak jumpa... mama tak lupa kebaikan keluarga tu..."

"Opss.. correction mama.... 18 tahun...." Murnirah mengajuk percakapan Dr. Zafendi siang tadi. Kedua-dua adiknya tersenyum nakal. Tiba-tiba hatinya merasa lucu, dia ikut tersenyum dan tergelak kecil.

"Ha..apa yang lucu tu?" Soal papa tiba-tiba. Mama hanya mengangkat bahu. Tidak tahu.

Murnirah tidak mahu mengambil risiko. Dia mengangkat punggung dan mula mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.

"Ira.... mama tak habis cerita lagi... ada perkara mama nak bagitahu tentang Zafendi tu...." Tegur mama apabila melihat Murnirah mula mendaki anak tangga. Murnirah mengeluh. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi tentang doktor lelaki itu. Kalau boleh dia tidak mahu mendengar apa-apa tentang semua lelaki buat masa sekarang.

"Nantilah mama... Ira mengantuk..... Good night!" Murnirah tidak menghiraukan keluhan mama. Apa yang penting baginya, mengelak daripada sebarang celoteh mama tentang lelaki.


***************************

"Tahniah adik..... Selamat pengantin baru," ucap Murnirah dengan gembira. Dia memeluk adiknya erat. Hatinya menjadi syahdu. Kini adiknya telah bergelar isteri. Suaminya seorang jurutera berkelulusan luar negara. Bukan orang lain, malah dari kalangan saudara mara mereka sendiri.

"Along..... Ina, melangkahi Along...." ucap adiknya perlahan. Kelihatan airmata bergenang di kelopak mata.

"Hush.... jangan nangis... nanti hilang mekap tu..." usik Murnirah. Dia cuba untuk ketawa, namun tawanya hambar. Dia segera melarikan dirinya ke ruang tamu rumahnya. Sengaja menyibukkan dirinya di antara para tetamu yang hadir.

Tiba-tiba matanya menangkap kelibat sesusuk tubuh yang cuba dielak oleh nya semenjak 2 bulan lepas. Dia mencari ruang yang berjauhan dari susuk tubuh itu. Namun dia terlewat, kerana mama melambai ke arahnya meminta agar dia menghampirinya.

"Ira... dari tadi Zafendi cari Ira.... katanya dia nak pulang JB esok..." jelas mama tanpa disuruh.

"Erm... so? Nak bekalkan apa untuk perjalanan esok?" soal Murnirah sinis. Kelihatan mamanya memasamkan muka. Terasa pinggangnya dicubit halus.

"Takde apa lah Ira...Fendi dengar Ira nak berangkat kembali ke Kanada....bila?" Doktor itu memang pandai meredakan suasana.

"Insya-Allah bulan depan..... dah confirm tiket dah....pada 10 September depan," jelas Murnirah ringkas. Matanya bertemu pandang dengan mata doktor itu. Seperti ada sesuatu yang menyayat hati terbayang di anak mata doktor muda itu. Seolah-olah ada kesayuan, kesedihan dan kehilangan. Murnirah tersenyum. Dia tidak mahu tahu apa yang bermain di fikiran doktor itu.

"Esok Fendi balik JB.....nak pesan apa-apa dari JB?" soal Zafendi bersahaja. Murnirah terkedu. Pesan? Murnirah memandang sekelilingnya. Mungkin soalan itu ditujukan pada mama. Namun mamanya tiada, hanya dia sahaja yang berhadapan dengan Zafendi.

"Hm... kirim salam jer pada parents you kat kampung...." ujar Murnirah ringkas. Dia meminta diri sesudah itu. Selepas majlis petang itu, Zafendi sudah tiada. Murnirah tidak kisah. Datang dan perginya seorang lelaki, baginya tidak meninggalkan kesan pada dirinya.


*************************

"Betul ker Along nak pergi ni?" Juraidah yang duduk di hujung katil memandang sayu pada kakaknya.

"La.... bukan ker Along dah packing ni? Lagi seminggu Along nak pergi, kenapa tanya macam tu?" Murnirah muncubit hidung adik bongsunya itu. Dia tahu, seluruh keluarga keberatan melepaskannya pergi. Namun dia perlu bertegas untuk meneruskan perancangannya.

"Along, cuba lah tukar. Kita boleh mulakan hidup baru di sini Long, tak perlu ke Kanada tu..." pinta Marina pula, yang dari tadi asyik berdiri memerhati kakaknya dari muka pintu.

"Nope... Along tahu, di sini, ada famili Along. Tapi Along tetap nak bina kehidupan Along di sana...." tegas Murnirah berdegil.

"Come on my sisters...... Along akan selalu kirim khabar..okay?" pujuk Murnirah.

"Really? Dulu pun Along kata begitu. Sembilan tahun yang lalu, Along berjanji yang sama, tapi apa yang jadi? Along sepi tanpa berita sampailah ketika Along pulang dengan perkhabaran yang mendukakan...."

"Ju!... Don’t ever say that again!...." Marina yang terkenal dengan sikap memberontaknya, menengking adiknya Juraidah.

"Sorry Along..... please... don't go... please...."

"Dah la tu... korang ni, macam tak tahu kakak kamu tu degil...biar kan dia...." Tiba-tiba mama muncul dari belakang Marina. Dia turut mendengar perbualan anak-anaknya tanpa mereka sedari.

"But.. mama......"

"It's okay.... kalau Along tetap nak pergi... relakanlah... tapi mama nak tahu sejauh mana Along kamu ni boleh menghampakan hati orang lain. I know her very well.... Betul tak Ira?" Mama berkata sambil berkias. Satu senyuman sinis terukir di bibir mama. Murnirah hanya terdiam. Dia tahu, hanya mama yang faham tentang dirinya. Hanya mama yang tahu di mana kelemahannya.


************************

"Thanks for coming Ira....." Dr. Zafendi melabuhkan punggungnya di atas batu yang berhampiran dengan tempat duduk Murnirah.

"Don't mention it!.... Kalau bukan sebab mama, I tak akan datang..." ujar Murnirah tanpa mengalihkan pandangannya dari laut.

"Iye ker? Begitu senang ker nak pujuk Ira ni?" Zafendi sempat mengusik.

Murnirah tidak menunjukkan sebarang reaksi. Zafendi mengeluh. Ternyata dia sedang berhadapan dengan seorang insan yang telah mati jiwanya. Seorang insan yang telah banyak terluka dan menderita.

"Ira... I know you will laugh at me.... but please listen..." Satu persatu perkataan dilafazkan. Terasa seolah ada duri yang menyucuk kerongkongnya.

"You have my attention...." Jawab Ira bersahaja. Masih tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Ira.... remember? Masa Fendi lepaskan kata-kata tu kat kedai pengantin tempohari?"

Murnirah hanya mengangguk tanpa bersuara. Zafendi mengeluh lagi, terasa dadanya semakin sebu.

"I really mean it Ira..... Fendi memang nak Ira berpakaian begitu suatu hari nanti...." Murnirah berpaling. Kali ini renungannya begitu tajam, seakan menembusi dada lelaki yang duduk bersebelahan dengannya.

"Jangan ungkit hal itu lagi...... Ira tak suka.... kalau itu tujuan tuan doktor berjumpa dengan saya petang ini... saya rasa itu satu penghinaan khusus buat saya...." Murnirah berdiri dan menyapu sisa pasir yang melekat di gaun labuhnya.

"No!... Tunggu Ira...." Zafendi cepat-cepat menangkap tangan Murnirah. Dia perlu menjelaskan sesuatu.

"Fendi sayangkan Ira. Berilah Fendi peluang untuk membimbing Ira... Please... janganlah berdegil. Lembutkanlah hati tu. Fendi tahu, apa yang telah berlaku Ira.... mama Ira dah jelaskan. I want to accept you as you are. Kita boleh bina hidup baru di mana pun, yang penting ikhlas untuk memulakan. Please Ira... I want to grow old and be with you.... Insya Allah, tuhan akan membantu kita." Kata-kata yang membuatkan hati Murnirah sebak.

Murnirah cuba merentap tangannya, namun genggaman pemuda itu begitu perkasa. Dia terduduk dan tidak dapat menahan airmatanya. Petang itu, di hadapan lelaki itu dia mengalirkan airmatanya semahu-mahunya.


**************************

"I knew he was right... it really fit you well...... congratulations! You’re going to be a perfect and happiest bride," ucap seorang gadis muda berbangsa Cina. Dia sendiri tidak berhenti memuji kecantikan model yang berada di depannya.

Murnirah hanya tersenyum dan hatinya turut mengiyakan. Betapa damainya hati ini. Semoga bahagia berkekalan.


------------------------------------------------------------------------

Karya Izaherdine a.k.a iszhardine

University of Manitoba, Canada

6.45 pm / 16 October 2002




quote:

--------------------------------------------------------------------------

------

Betapa damai hati ini... Akan ku jelajahi keindahan alam percintaan ini... Saat kau terima diri ku seadanya.... Hanya satu impianku.. Semoga kebahagiaan ini berkekalan... Terima kasih abang.....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home