Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi

Anas! Bangunlah. Dah pukul berapa ni. Karang kau lambat masuk kuliah lagi," Suzana menjerit dari luar bilik. Aku mengeliat malas lalu duduk di birai katil.

"Anas! Bangunlah cepat," jeritnya lagi.

"Yelah! Aku dah bangunlah ni," balasku. Mengalahkan abah aku pula. Terjerit-jerit. Sekampung boleh dengar. Aku susun langkah lemah menuju ke bilik air di sebelah bilikku. Kelihatan Suzana dan Kak Zamira sedang menyediakan sarapan pagi. Aku menghampiri mereka. Sengaja ingin mengusik di pagi hari.

"Pergi mandilah!” jerit Kak Zamira pula sambil bercekak pinggang melihatku tersengih menghampirinya.

"Akak masak apa pagi ni?" tanyaku sengaja ingin bermanja.

"Roti jala kesukaan kamulah."

"Ye ke? Ni yang buat orang sayang kat akak ni," sorakku lalu mencium pipi kanannya.

"Ish! Budak ni. Busuk-busuk cium orang. Pergi mandi. Kalau tak jangan harap akak nak bagi makan," marahnya membuatkan aku mencebik mengejek.

"Alamak! Kakak Hitler dah marahlah. Zana, kau tengoklah kakak kesayangan kau ni. Dia marah kat akulah," aduku menagih simpati pada Suzana yang sedang membancuh air.

"Padan dengan muka kau. Mandi pun liat macam kambing gurun,” balasnya tumpang sekaki mengenakan aku. Aku mengejeknya lalu berhambat ke bilik air apabila langkahnya mula menghampiriku. Sempat kujeling kelibat wajah Kak Zamira yang menggeleng kepala melihat keletah kami.

Sudah dua tahun aku tinggal dengan mereka. Tapi, aku mengenali Suzana semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Kami tak pernah berpisah tempat belajar walaupun di kelas yang berbeza. Kak Zamira, kakak sepupu Suzana pula salah seorang tutor di kolej kami. Semenjak suaminya meninggal dunia, kamilah tempatnya mengisi kesunyian di rumah teres miliknya. Kamilah teman suka dan dukanya. Perbezaan umur lapan tahun membuatkan aku lebih manja dengannya berbanding Suzana.

****************

"Duduk cepat. Zana, mari makan sekali," panggil Kak Zamira apabila aku keluar dari bilikku. Suzana yang sedang menyusun buku menghampiri meja makan.

"Petang ni akak balik lambat sikit. Malam nanti tak payah masak banyak. Akak makan kat luar," pesannya. Kami berdua hanya mengangguk.

"Jom, cepat. Nanti lambat masuk kuliah," perintahnya tanpa kami membantah.

Suzana bertindak pantas mencapai begnya lalu menunggu di dalam kereta sebelum sempat aku bertindak. Begitulah setiap kali menaiki kereta masing-masing berebut nak duduk depan. Kak Zamira hanya memandang kosong. Malas nak layan karenah kami agaknya.

Perjalanan ke kuliah agak sepi. Masing-masing seperti mengelamun jauh. Sesekali lagu di radio menjadi ikutanku. Suzana berjalan pantas menuju ke kafetaria. Aku masih leka mengira batu di jalan untuk tiba ke dewan kuliah. Jam di lengan sudah menjangkau ke angka sembilan pagi. Alang-alang lambat biar lambat betul, bisikku.

Dewan kuliah agak hingar-bingar. Wajah bengis Encik Taufik masih belum kelihatan. Aku duduk di tempat biasaku. Atikah di sebelahku masih menatap nota kuliah semalam.

"Kau ni asyik lambat je. Nasib baik satu rumah dengan Kak Zamira. Kalau tak mesti jadi attention," tegurnya. Aku mencebik. Malas nak jawab soalan hariannya. Buku nota kukeluarkan sebaik sahaja wajah bengis yang paling aku anti muncul di dewan kuliah.


***************


"Class dismiss," suara garau itu kedengaran. Aku segera masukkan buku ke dalam beg lalu menuju ke kafetaria.

"Anas! Tunggu kejap", aku menoleh apabila mendengar suara Syamrin menjerit-jerit namaku.

"Kenapa kau tercungap-cungap macam kena kejar hantu ni? Buat latihan larian merdeka, ke?" perliku. Syamrin memberi isyarat memberinya peluang untuk bernafas. Alahai mamat ni. Masa aku nak cepat nilah dia buat hal.

"Ni untuk kau. Ada orang bagi. Dia kirim salam. Dia nak nak berkenalan dengan kau. Dia kata dia kawan lama kau. Nanti dia telefon kau," bagaikan bertih jagung Syamrin melepaskan ayat-ayat yang telah dipesan. Berkerut dahiku mendengarnya. Sekuntum mawar merah kusambut. Bersamanya terselit sekeping nota ringkas.

"Siapa pula yang malang bagi kat aku ni?" tanyaku perlahan. Syamrin hanya menjungkit bahu lalu beredar meninggalkan aku termangu sendiri.

Puteri Anastasia,

Sebuah irama takan indah pada pendengaran
Andai tiada lagu mengiringinya
Lantaran, kau adalah irama
Wajarlah aku menjadi lagumu

Putera Am

"Hai! Jauh menung? Ingatkan buah hati, ke?" tegur Kak Zamira. Aku hanya mencebik lalu memandang bulan yang tetap setia di malam hari.

"Zana mana, kak?"

"Balik kampung sekejap. Ada hal katanya. Dia tak bagitahu Anas ke?" Aku hanya menggelengkan kepala. Aku bangun lalu menghampiri kolam mini yang berisi anak-anak ikan kap jepun. Lima ekor semuanya.

"Apasal ni? Macam cacing kepanasan je akak tengok sehari dua ni," tegur Kak Zamira lagi.

"Tak adalah, kak. Cuma sikit pusing je," jawabku selamba lalu kembali duduk di kerusi taman menghadap Kak Zamira.

"Dah tu yang asyik menung tu kenapa halnya?" tanyanya lagi cuba mengorek rahsia.

"Akak tak perasan ke sejak minggu lepas setiap hari Anas balik bawa bunga ros sekuntum?" tanyaku menguji ingatannya.

"Akak perasan tapi malas nak tanya. Ingatkan buah hati Anas yang bagi. Manalah tahu dah jumpa tapi tak nak cerita dengan akak," tekanya.

Aku menggaru kepala yang tak gatal. "Tulah masalahnya kak," akhirnya aku mengalah.

"Kenapa pula? Apa yang tak kena?"

"Sebenarnya orang tak tau siapa mamat tu. Kata nak telefon tapi tak muncul-muncul pun. Ramai sangat despatch dia sampai orang pun naik lupa nak ingat muka diorang tu. Puas dah orang pikir sapa tapi tak ke mana," luahku. Kak Zamira mengangguk perlahan.

"Anas tak tanya budak-budak tu siapa dia?" cadang Kak Zamira.

"Dah. Semua cakap tak kenal sebab dia budak luar. Bukan student. Tapi yang peliknya mana dia tahu Anas belajar kat situ. Jadual Anas pun dalam tangan dia," rungutku pula. Kak Zamira mencapai mug yang dibawanya tadi. Milo panas dihirupnya perlahan.

"Mungkin dia memang kenal Anas. Mungkin kenalan lama Anas ke?"

"Entahlah. Pening orang piker."

"Don't take it seriously. Awak tu ada migraine. Kang jadi macam dulu lagi. Tapi, kalau rasa rindu nak duduk kat wad tu akak boleh tolong hantarkan,” pesannya sambil mengusikku. Aku hanya mencebik lalu beredar meninggalkannya sendirian menuju ke bilikku. Orang tengah serius dia buat lawak pula.

***************

KLCC masih hidup walau jam sudah mencecah ke angka sembilan setengah malam. Lot-lot kedai banyak yang sudah bersiap untuk menutup kedai. Aku masih membuntuti langkah Kak Zamira dan Suzana menuju ke tempat meletak kereta di tingkat 4P. Beg plastik sudah penuh di tangan membeli barang dapur.

"Anastasia, ye?" tegur seorang jejaka tampan. Kak Zamira dan Suzana sudah menghampiri kereta. Aku hanya mengiakan sambil menatap lama wajah yang seakan kukenali itu.

"Tak kenal abang dah?" tanyanya. Aku amati lagi wajah putih kemerahan itu. Rambut lurus yang mencecah bahu itu membuatkan wajah itu cukup tampan. Berkerut dahiku mencari pengenalan si jejaka.

"Sorrylah ye. Saya rasa macam kenal tapi tak ingatlah siapa. Siapa ni ye?" tanyaku balik.

"Abang Amirul. Lupa dah ke? Senior Anas masa kat sekolah dulu," perkenalnya. Melopong mulutku mendengarnya.

"Abang Am ke ni?" dugaku. Dia hanya mengangguk sambil tersenyum.

"Yelah, siapa lagi. Ingat lagi rupanya."

"Siapa sanggup lupakan pengawas yang paling anti dengan pelajar yang suka datang lambat," balasku.

"Sekarang masuk kuliah, datang lambat lagi ke?" usiknya sambil tergelak kecil.

"Mana tahu saya belajar lagi?" tanyaku pelik.

"Agaknyalah. So, sekarang dah kerja ke atau masih belajar lagi?"

"Belajar. Dekat UM. Dah tahun ketiga. Insya-Allah, tahun depan habislah," jelasku. Dari jauh kelihatan Suzana melambai-lambaikan tangannya.

"Anas balik dulu ye. Kawan dah panggil tu," pintaku. Dia menyeluk poketnya lalu menghulurkan sekeping kad padaku.

"Call lah kalau free. Dah lama tak dengar cerita pasal geng budak datang lambat. Tengoklah. Rasanya macam nak buat reunion je nanti," usiknya. Aku hanya tergelak lalu meminta diri.

***************

Sudah lama aku tidak menerima sekuntum mawar merah bersama puisinya lagi. Aku sendiri tidak ambil pusing sejak bila si pengirim bunga memberhentikan rutinnya. Barangkali dia sudah tawar hati melihat kemesraan di antara aku dan Abang Amirul. Hubungan kami juga semakin mesra. Bahkan Suzana juga mulai rapat dengannya. Kami bagaikan adik dan abang.

"Anas, Abang Am on the line," jerit Suzana dari ruang tamu. Aku berlari mendapatkan telefon.

"Hai, Abang Am."

"Apasal tercungap-cungap ni? Anas lari 100 meter ke?" usiknya.

"Bukan 100 meter tapi 1000 meterlah," balasku mengundang ketawanya.

Usikannya selalu mencuit hatiku. Menghiburkan diriku. Suzana juga merasai situasi yang sama. Adakalanya hingga aku merajuk panjang.

"Oh! Cakap dengan Suzana dulu baru nak cakap dengan adik ye," sambungku lagi.

"Dah adik abang ni dok menung ingat kat pengirim mawar merah, malaslah abang nak kacau," balasnya.

"Habis tu, ni bukan mengacau ke?" sengaja aku melawan usikannya.

"Kalau macam tu, tak apalah. Abang letak phone dululah," suaranya tiba-tiba kendur. Terkedu aku sejenak. Aik! Sejak bila pula abang aku yang seorang ni dah pandai cepat merajuk. Selalu aku yang tarik muncung empat belas. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena. "Takan merajuk kot, bang?"

"Abang nak jumpa Anas hari ni boleh tak? Sejam lagi abang datang jemput. Anas seorang je tau. Abang dah cakap kat Zana," pintanya. Bila masa pula dia mula minta izin ni. Pelik bin ajaib. Dah buang tebiat ke abang aku ni?

"Okeylah. Anas tunggu," putusku lalu kedengaran gagang kembali ke tempatnya setelah salam dihulurkan. Aku masih termangu di sofa. Pelik abang aku ni. Apasal tiba-tiba berubah? Janganlah. Aku tak sanggup kehilangan dia. Aku tak puas nak bermanja dengan dia ni. Aik! Apasal aku jiwang pula ni? Ah! Dia abang aku. Kenapa pula aku nak susah hati. Aku bergerak pantas menuju ke bilik apabila masa yang tinggal hanya setengah jam.

***************

Restoran Pizza Hut Shakey's di Megamall agak lengang tengahari itu. Barangkali ramai yang masih belum keluar mengisi masa di hujung minggu.

Abang Amirul kemas bergaya walaupun hanya berkemeja dan berseluar jeans hitam. Sedondon denganku. Macam berjanji pula. Pizza kegemaranku sudah mula kusuakan ke mulut. Abang Amirul masih merenungku tajam.

"Anas habis belajar bila?" tanyanya lembut.

"Insya-Allah, empat bulan lagi. Kenapa?" tanyaku pelik. Macam dia tak tahu. Dah berbulan kenal aku, hari ni soalan itu yang ditanya?

"Dah jumpa si pengirim bunga mawar merah dengan puisi tu?" soalnya lagi.

Aku hanya menggelengkan kepala. Wajah tenang itu kupandang lama. Ini bukan Abang Amirul yang aku kenal.

"Macam mana kalau Anas dah jumpa dia nanti? Apa Anas nak buat?" ajunya lagi.

"Kenapa hari ni abang tanya Anas soalan yang pelik-pelik ni?" sambutku.

Hanya ketawa kecil kedengaran. ”Saja nak tahu," jawabnya lalu mencapai pizza lalu disuakan ke mulutnya membiarkan soalanku tak berjawab. Seterusnya, kami membisu seribu bahasa. Tapi, aku dapat rasakan ada sesuatu yang sedang dirahsiakannya dari pengetahuan aku.

"Abang nak bagitahu Anas satu berita baik," akhirnya dia bersuara ceria setelah puas aku menatap wajahnya dan mengisi kesunyian kami dengan melihat keletah pengunjung yang semakin sesak.

"Apa dia?" dingin aku bersuara.

"Insyaallah, empat bulan lagi, abang nak bertunang," khabarnya dengan senyuman yang lebar. Kalah senyuman yang selalu aku tengok kat badut tu. Tak lepas-lepas senyuman itu.

"Ye ke? Tahniah, "ucapku ringkas. Tiba-tiba aku dapat rasakan ada sesuatu yang menjalar di hatiku. Perasaan cemburu terbit tanpa aku duga. Takkan aku cemburu kot? Kan dia dah aku anggap macam abang aku sendiri. Tuhan, kenapa aku rasa macam nak tercabut jantung aku mendengar kata-katanya itu?

"So, who's that lucky woman?" tanyaku cuba melawan arus gelora yang mula mengganggu jiwaku.

"Orang jauh tapi dia tinggal di KL ni. Abang tunggu dia habis belajar. Famili dia pun dah setuju," jawabnya. Keceriaan terserlah di wajah tampannya. Aku hanya mengangguk tanda faham. Suaraku bagai tidak terkeluar lagi mendengarnya. Ketenangan tidak lagi bertapa di jiwa.

"Kenapa senyap je ni? Anas cemburu ke?" duganya. Aku hanya mencebik mengejek. Silap besarlah aku nak mengaku.

"Tak adalah. Anas cuma tengah risau tentang exam ni. Takutlah. Dah final semester. Kalau tak lepas macam mana?" dalihku. Pandainya aku berlakon. Kalaulah dia tahu apa yang bersarang dalam kepala otak aku mesti dia akan jaja ke seluruh dunia.

"Abang ingatkan Anas cemburu. Yelah, kan. Dulu abang nak, Anas pula jual mahal sangat," usiknya. Aku hanya tersengih. Tuhan, tabahkanlah hati aku yang dah separuh nanar ni.

"Abang, Anas nak baliklah. Nak study mana yang patut," pintaku tiba-tiba. Abang Amirul merenungku lama. Kalut aku dibuatnya.

"Apasal abang pandang Anas macam tu? Macam nak telan orang je," tegurku.

Dia hanya tersenyum. "Lepas ni abang tak boleh jumpa Anas lagi. Abang nak setia pada bakal tunang abang sepenuhnya. Abang terlalu sayangkan dia. Sejak pertama kali abang jumpa dia," jelasnya membuatkan aku tersentak.

"Walaupun Anas ni adik abang, abang dah tak sudi nak jumpa Anas ke?" tanyaku sebak. Kali ini aku tidak mampu menahan air mata yang sudah lama bertakung. Abang Amirul hanya ketawa kecil. Sakitnya hati aku. Aku tengah sedih dia boleh ketawa pula. Pipiku dicubitnya geram.

"Abang akan jumpa Anas lepas majlis pertunangan abang nanti. Abang akan kenalkan Anas pada bakal tunang abang. Abang janji," pujuknya lalu menggenggam jemariku lalu mengajak aku pulang.

Suasana petang semakin suram. Sesuram wajahku yang masih sembab dengan air mata. Kereta Abang Amirul sudah berhenti di hadapan rumah sewaku. Aku tatap wajah Abang Amirul lama. Aku bakal merindui wajah itu. Aku bakal merindui segala-galanya tentang lelaki itu.

Tanpa sedar, aku merangkul erat tubuh tegap Abang Amirul. Aku tidak mampu menipu diriku sendiri lagi. Abang Amirul yang tergamam dengan tindakanku mengusap belakangku bagai memujuk adik kesayangan dari rajuk yang panjang.

"Anas ni macamlah dah tak jumpa dengan abang lagi," usiknya lalu meleraikan pelukanku. Aku hanya mencebik. Pipiku diusapnya lembut. Kenapa baru sekarang aku menyedari perasaan ini sedangkan dia bakal menjadi tunangan orang lain?

"Abang, Anas sayangkan abang," ucapku lalu pantas keluar dari kereta tanpa sempat Abang Amirul menahan. Aku berlari masuk ke rumah. Mujur juga pintu pagar dan pintu utama tidak berkunci. Memudahkan lagi untuk aku melarikan diri. Aku rebahkan diriku di atas tilam empuk lima inci itu. Aku lenjunkan bantalku dengan air mataku yang entah bila akan berhentinya.

***************

Hujan di luar masih gerimis sedari tadi. Ibu sudah mula membebel di dapur merungut Andi kotorkan banyak baju di musim hujan ini. Abah masih duduk di sofa membaca suratkhabar. Aku masih berteleku di beranda di ruang tamu menghala ke jalan kampung yang agak lengang.

"Akak, ibu dengan abah panggil," tegur Andi lalu menghilang ke ruang tamu.

Aku bergerak malas duduk di sofa berhadapan dengan ibu dan abah yang tenang memandangku. Apahal pula ni? Pelik je gaya orang tua aku ni?

"Kelmarin ada orang datang merisik. Kami belum buat keputusan lagi sama ada nak terima atau tidak lamaran orang sana tu. Anas macam mana? Masih nak mencari sendiri atau serahkan pada abah dan ibu? Mereka minta kalau boleh biarlah Anas habis belajar dulu. Majlis pertunangan nak diadakan selepas tamat peperiksaan akhir nanti," abah mula bersuara. Aku memandang wajah mereka bersilih ganti. Akhirnya kata-kataku memakan diriku sendiri.

Percintaanku yang tertewas dua tahun dulu menjadikan aku serik untuk bercinta lagi. Lalu, aku telah serahkan segalanya pada orang tuaku. Tiada apa yang lebih membahagiakan diriku selain dari doa restu dari mereka. Hari ini aku akan gembira kerana mereka gembira keranaku. Aku akan belajar untuk mengenali dan mengasihinya.

"Anas ikut saja kata abah dengan ibu. Apa yang terbaik untuk Anas, Anas akan terima," putusku lalu bangun beredar ke bilikku. Tiada air mata yang mengalir. Aku pasrah dan redha dengan setiap takdir yang telah ditetapkan.

"Abang, kita akan bertunang dengan pilihan masing-masing pada bulan yang sama," bisikku di dalam hati.

Alamak! Lupa aku tanya. Siapa bakal tunang aku tu? Macam manalah aku boleh tak terpikir nak tanya tadi. Isk! Takan nak keluar tanya balik kot. Malulah aku! Ah, gasaklah.

***************

Majlis pertunangan berlangsung dengan meriah. Seluruh jiran dan saudara-mara datang berkampung. Ibu dan abah tak cukup tangan mengalahkan majlis perkahwinan lagaknya. Suzana dan Kak Zamira tersengih-sengih duduk di kiri kananku apabila nenek saudaraku memberitahu ibu bakal tunangku akan masuk ke bilik. Jantungku berdebar-debar. Darah gemuruh mula menyelubungi diriku.

Aku menghulur tanganku apabila terlihat ada tangan sedang memegang cincin bertahta berlian kecil menunggu jari di tangan kananku. Cincin sudah selamat ke jari. Aku mencium tangan tua itu lalu pipiku menjadi mangsa ciumannya pula. Aku tatap wajah bakal ibu mertuaku. Seperti pernah kulihat sebelum ini. Tapi, di mana? Bila? Alah! Barangkali perasan aku saja. Aku menyalami saudara-mara sebelah bakal tunangku sebelum aku ditinggalkan sendirian semula.

Air mata gugur tanpa aku sedari. Suzana memelukku lalu meninggalkan aku sendirian. Kak Zamira sudah lama keluar. Aku memandang ke arah luar tingkap. Cuaca yang ceria begitu indah namun tidak seceria hatiku yang berkelana. Mampukah aku mengasihinya sepertimana aku mengasihi Abang Amirul?

"Assalamualaikum," suara yang amat aku rindui kedengaran jelas di telingaku. Aku menoleh perlahan. Air mata yang mengalir perlahan kubiarkan saja. Abang Amirul menghampiriku lalu mengesat air mataku dengan jemarinya.

"Anas masih sayangkan abang?" tanyanya. Namun, bagiku ia satu soalan bodoh. Sudah gaharu cendana pula. Sendiri mau ingatlah. Ingat senang-senang aku boleh lupakan dia?

"Anas masih sayangkan abang walaupun Anas dah jadi tunangan orang?" tanyanya lagi. Kali ini aku hanya mengangguk lemah. Aku tunduk. Tidak mampu lagi aku memandang wajahnya. Rasa malu terpaksa aku buang ketepi. Yang penting, aku nak hilangkan perasaan yang ada lalu diganti perasaan untuk tunangku kini.

"Tunang abang mana?" tanyaku sebak sambil meninjau-ninjau di belakangnya.

"Tunang abang ada kat rumah dia. Dia tengah menangis sebab dia tak tahu dia bertunang dengan siapa tapi dia sayangkan orang lain," jelasnya menarik perhatianku. Wajah tampan itu kembali kurenung pelik.

"Apa maksud abang?" tanyaku pula bagaikan terlalu bingung dengan kata-katanya.

"Anas tahu Anas bertunang dengan siapa?" soalnya tiba-tiba.

"Tak," jawabku pendek sambil menggelengkan kepala.

"Anas tak tanya ibu dan abah Anas?" Sekali lagi aku menggeleng. Ada senyuman kecil di bibirnya.

"Apasal abang tersenyum ni?"

"Sayang abang ni memang. Dari dulu sampai sekarang semuanya nak disimpan dalam hati tu. Tak pernah nak bersuara," tegurnya. Kali ini aku terkedu.

"Apa maksud abang? Sayang?"

"Sayang tahu tak abang ni tunang sayang?" tanyanya lagi.

"Hah! Abang jangan nak main-mainkan Anas!" celahku terkejut.

"Tak. Abang tak tipu. Abang sengaja nak duga sejauh mana perasaan Anas pada abang. Hari terakhir kita jumpa menjawab semua soalan yang abang nak tahu. Abang jugalah Putera Am yang selalu hantar mawar merah dan sebuah puisi dulu," jelasnya ceria. Aku sempat mencubit pinggangnya sebelum memeluk tubuh tegap itu erat.

"Abang memang. Abang tipu Anas hidup-hidup. Patutlah Anas dah lama tak dapat bunga dengan puisi sebab abang dah dapat Anas. Benci abang," luahku.

"Betul dah bencikan abang?"

Aku hanya menggelengkan kepala.

"Sekuntum mawar merah sebuah puisi untuk gadis pilihan di bulan Februari," nyanyinya pendek lalu kami beriringan sambil ketawa menuju ke ruang tamu menemui saudara-mara kami yang sedang menunggu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home