Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Padaku Usah Kau Rayu Lagi

KERANA perut terasa lapar, Anizah mengajak adiknya makan di McDonalds Api-Api Center. Pelanggan-pelanggan agak berkurangan di sebelah petang ini, maklumlah masih dalam waktu pejabat. Yang kelihatan, para pelajar dengan seragam sekolah dan ada juga seorang ibu yang membawa anak kecilnya makan di sini.

Sebenarnya, kedua-dua beradik ini baru sahaja sampai dari pejabat MAS di Kompleks Karamunsing. Anizah membeli tiket penerbangan untuk kembali semula ke Michigan esok. Lusa, dia kena mendaftar untuk sidang akademik yang baru.

Ketika Anizah dan adiknya sedang asyik menikmati hidangan di atas meja, tiba-tiba dia terlihat sesusuk tubuh yang dikenali memasuki premis. Dia berpura-pura tidak nampak orang tersebut dan makan sepeti biasa. Dalam hati mengharapkan agar orang itu tidak menuju ke mejanya. Dia mahu makan dengan aman lagi berselera.

Anizah makan seperti orang ketakutan sahaja. Dia berdoa tanpa henti agar minta dijauhi dari orang yang membuatkan dia hampir-hampir hilang selera untuk makan. Namun, memang kalau sudah ujian mahu datang menduga, mata Anizah ikut memerhatikan apa yang tertangkap dek mata adiknya.

Bagaikan terpadam seluruh keghairahan gadis ini untuk hidup pabila sasaran matanya jatuh pada wajah dan senyuman itu. Senyum itu tidak lagi menjadi kekagumannya, sebaliknya membuakkan darah daripada liang luka yang terkuak lagi untuk kesekian kali.

“Anis sudah ndak ingat sama aku ya?”

Anizah tetap makan tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Untuk apa harus aku ladeni lelaki sepertimu, Fadli?

"Alah, sombong pulak….. Janganlah begini….. Buat-buat lupa pulak dengan kawan… "

Kawan? Ya Tuhan! Meluat hati Anizah mendengar perkataan demi perkataan dari mulut Fadli. Seandainya kemesraan ini ditunjukkan padanya di zaman persekolahan dulu tanpa mengira apapun bentuk rupa dirinya di zaman itu, dia tidak tersiksa dengan kemesraan yang ditunjukkan Fadli pada saat ini!...... Masih tidak dapat melupakan penghinaan demi penghinaan yang ditujukan hanya kerana satu 'dosa'nya pada Fadli. Dia tidak cantik.

"…… tengoklah rupa tu dulu….. Perasan!" Gema kata-kata itu masih kuat kedengaran di telinga Anizah. Itulah petikan daripada kata-kata bernada mengherdik lagi menghina yang pernah diucapkan Fadli di hadapan seisi kelas ketika guru tiada. Kata-kata angkuh yang tidak menghiraukan maruah orang yang ditujukan herdikan itu!

Terkilan rasa hati, Anizah tidak pernah pun meminta agar duduk sekelas dengan Fadli di Tingkatan Dua Damai. Masa Tingkatan Satu dulu, mereka duduk di kelas yang berasingan. Entah macam mana, satu pertandingan debat antara kelas sempena minggu Bahasa Malaysia, mempertemukan kelas Anizah dan kelas Adli. Kefasihan, ketegasan dan keberanian Fadli mempertahankan hujah-hujahnya mempesonakan Anizah yang hanya menjadi penonton pertandingan debat itu. Fadli membantu kelasnya memenangi pertandingan yang cukup sengit itu. Sejak itu pemikiran dan hati nurani si cilik ini enggan melupakan Fadli.

Fadli datang dengan pakej yang lengkap pada pandangannya. Kacak, pintar dan mempunyai karekter yang berlainan berbanding rakan-rakan sekelasnya. Tatkala dia melihat pantulan bayangannya sendiri di cermin besar yang tergantung dekat sudut kamar, sekonyong-konyong dia melihat seorang gadis yang bertubuh rendah dan gemuk serta berkulit gelap pula.

Tiba-tiba sahaja, Anizah berasa dia tidak layak untuk berkawan dengan Fadli yang tinggi segak berbahu bidang, bermata bundar dengan hidung mancung bangir yang membuatkan wajahnya macam bintang Bollywood. Fadli lengkap segala-galanya, sedangkan aku serba kekurangan. Bagaimana kalau dia tahu aku ada hasrat untuk berkawan dengannya?

Lalu Leila teman rapatnya menjadi tempat meluah rasa hati. Banyak juga yang diketahui oleh Leila pasal Fadli. Dan Anizah meminta agar Leila merahsiakan semua apa yang telah diluahkannya.

Entah macam mana, rahsia ini diketahui oleh Fadli. Sangka Anizah, Fadli akan bersikap terbuka dengan terbongkarnya rahsia ini, tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Fadli rasa terhina pula apabila mengetahui seorang gadis yang hodoh pada pandangannya pun berminat untuk berkawan dengannya!

Dalam masa yang sama juga, Fadli meminati seorang gadis ayu lagi jelita yang merupakan seniornya. Semasa naik ke Tingkatan Dua, keadaan bertambah buruk apabila Fadli sekelas dengan Anizah. Dia sering diperli dan diejek oleh rakan-rakannya kerana Anizah. Lantaran tak tertahan, suatu hari Fadli mendapat peluang untuk bergaduh dengan Anizah. Ketika itulah, dia memanfaatkan peluang tersebut untuk melepaskan geramnya pada Anizah.

Sejak itu, semua tanggapan baik Anizah terhadap Fadli berkecai seperti berkecainya istana pasir dipukuli ombak. Sejak itu Anizah semakin membenci dirinya sendiri. Dia tak pernah meminta pun berkeadaan serupa ini. Anizah merasa dialah orang terhodoh pernah diciptakan di dunia ini.

Saban hari dia menghadap cermin dengan berendam air mata. Dia sedar, siapalah dirinya dibandingkan dengan Iffah Sabarinah, gadis ayu jelita lagi pintar yang berada di hati Fadli. Dia kesal kerana tak bercermin terlebih dahulu sebelum meladeni keinginan untuk berkawan lebih rapat dengan Fadli. Namun yang pasti, Anizah telah mengenali keburukan Fadli.

Keburukan yang telah meruntuhkan terus rasa yakin dirinya serta sanjungan demi sanjungannya untuk Fadli! Fadli yang mulia di matanya kini adalah sehina-hina manusia! Sejak penghinaaan itu, Anizah terus hilang penghormatan pada Fadli.

Dia tidak lagi berdiam diri ketika disindir hina atau diejek perli oleh Fadli. Sebaliknya melawan! Lawan tetap lawan! Saban hari ada sahaja babak pergaduhan di antara Anizah dan Fadli. Budak lelaki yang bermulut celupar itu jadi sasaran apa-apa sahaja objek yang direjam dari tangan Anizah yang sentiasa ringan untuk mempertahankan dirinya. Malah pernah satu ketika Anizah menyiram muka Fadli dengan air hingga habis kuyup. Rakan-rakan sekelas tak berani masuk campur kalau mereka sudah bercakaran. Malah ada yang berasa seronok dan mengapi-apikan pula pergaduhan antara Anizah dan Fadli. Sampailah mereka berpisah kelas pada tingkatan yang berikutnya. Namun Anizah tetap melawan. Kali ini dalam medan peperiksaan.

Apabila keputusan PMR diumumkan, nama Anizah tersenarai antara pelajar terbaik sekolah. Dengan keputusan itu serta berbekal azam dan semangat baru, Anizah berharap agar dia diterima masuk MRSM. Dia mahu melarikan dirinya dari orang yang telah menyiksa hidupnya. Orang yang telah membuatnya bangun dari tidur setiap hari dengan rasa kesal kerana dibiarkan terus hidup dan bernafas di muka bumi ini. Tapi ayah dan ibu enggan membenarkan dia pergi menyahut tawaran MRSM. Maka hiduplah si gadis ini sekali lagi dalam penderitaan yang seakan tak berkesudahan. Arghhhhh !

Namun keadilan tetap ada buat insan-insan yang teraniaya sepertinya, Anizah mendapat tawaran memasuki program A-Level selepas SPM dan dari apa yang dia dengar, Adli mengulangi SPM kerana dia hanya berupaya mendapat SAP!

Dari program A-Level, Anizah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Michigan dalam bidang kejuruteraan elektrik. Meninggalkan dunia keliling yang memandang dirinya dengan penuh kejumudan hati serta minda. Jauh dari wajah-wajah, senario-senario dan kenangan-kenangan yang dia benci.

Bukan hanya itu kejayaan yang boleh membuat Anizah tersenyum dengan mata bercahaya pabila menjejakkan kakinya kembali di bumi Kota Kinabalu ini untuk bercuti, tapi dia turut berubah menjadi seorang insan baru yang seakan tidak dikenali sebelum ini.

Kalau dulu, dia seorang gadis bertubuh rendang lagi rendah dengan isi-isi berlebihan bertumpuk di setiap sudut bahagian badannya. Tapi kini, dia tak ubah seperti Sheila Majid dengan gaya ala Waheeda! Berkat usahanya di atas kesedaran betapa perlunya menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Dan usahanya itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Dan benarlah kata orang, keadaan tidak boleh berubah untuk diri kita, sebaliknya kitalah yang kena berubah untuk menyesuaikan diri agar hidup kita lebih bahagia dan bermakna. Lalu seringkali kedapatan, keadaan turut berubah seiring dengan perubahan yang dilakukan ke atas diri kita.

Demikian jua dengan Fadli. Setelah Anizah berubah rupa, hati dan tanggapannya turut berubah terhadap gadis itu. Namun perubahan itu amat menyiksa batin si gadis. Dalam hatinya, dalam mindanya, Fadli mendekatinya, mahu mesra dengannya kerana kecantikan yang ada padanya.

Perubahan seperti itu tak membawa sebarang makna pada gadis comel ini! Setelah lama berdiam diri membiarkan kedinginan dan kebekuan menguasai senario yang wujud antara mereka berdua, Anizah mendapati Fadli tidak berganjak dari meja tempat makan yang diduduki olehnya dan adiknya.

Emosinya yang tadi bergolak mula tenang. Kini pertimbangan waras menguasai kembali diri seorang Anizah. Melihat kesungguhan Fadli ingin bercakap dengannya, Anizah rasa kesal kerana reaksinya yang tidak beradab.

Suaranya yang ditunggu-tunggu memecah benteng kebekuan, " Fahd ...Alangkah baiknya kalau kau melayaniku seperti ini, semasa zaman persekolahan kita dahulu. So, aku yakin aku tidak akan melayanimu sama seperti layananku saat ini terhadapmu. Aku mungkin masih memberimu peluang duduk bersama-sama di meja ini, mengajakmu makan bersama, dan aku tanyakan khabarmu selama ketiadaanku.

”Empat tahun berlalu di zaman persekolahan kita, empat tahun aku beri peluang untukmu berubah, tapi kau sia-siakan peluang selama empat tahun itu. Dan perlakuan baikmu terhadap diriku sukar untuk mengubah apapun… Sorry again mate!"

Seketika itu juga wajah Fadli mempamerkan kerutan. Senyumannya mati terus oleh kata-kata Anizah. Terasa kewujudannya tidak dihargai oleh gadis manis kecil molek di depannya ini. Kepalanya berputar-putar mencari punca dan munasabah sebab akibat.

Jumpa. Tidak jumpa. Jumpa. Tidak jumpa. Dia berjumpa jua apa puncanya tingkah Anizah tidak semesra yang dia harapkan setelah begitu lama tidak berjumpa. Fadli malu lagi kesal mengingati luka yang pernah ditorehkannya di hati Anizah. Dia ingin memohon permisi tapi......

“Alah, janganlah pasal itu pun kau sekarang buat aku macam begini. Yang dulu tu dulu lah... Bah, janganlah sombong sangat.”

Anizah menatap Fadli dengan satu pandangan yang cukup mudah untuk difahami oleh jejaka itu. Fadli terpaksa mengalah dengan kerasnya hati Anizah yang merencanakan kedinginan yang dia berdepan sekarang. Setelah pesanannya sampai, Fadli terus berlalu tanpa memohon diri.

“Kak Anis, siapa itu ?” tanya adiknya.

“School mate...”

“Oh ...” Lalu kedua-dua gadis itu menyambung kembali kudapan mereka.

ALANGKAH sayunya hati Fadli mendapat tahu Anizah telah kembali semula ke Michigan sebelum sempat dia melaksanakan rencananya untuk menemui semula Anizah. Sejak pertemuan tempohari, wajah manis Anizah selalu bertamu ke sukmanya biar gadis itu menunjukkan reaksi dingin terhadapnya. Rasa kesal pun ada pabila terimbas kembali masa lampaunya ketika bersekolah bersama-sama Anizah dulu.

Dia tidak menjangka Anizah akan membayanginya sedahsyat ini sekarang. Dia kesal kerana hati remajanya dulu tidak cuba menerawang jauh kesan masa hadapan dari tindakan demi tindakannya. Bukankah segala-galanya telah menjadi amat rumit buat masa ini?

Fadli cuba menjejaki kembali Anizah yang hilang bagai menapaki jejak-jejak tapak kaki di atas pepasir pantai. Pada teman-teman lama yang masih berhubungan baik dengan Anizah, ditanyakan cara bagaimanakah harus dia menghubungi gadis itu. Biarpun kedengaran sindir perli sinis dari mereka pabila dia menanyakan perihal Anizah, demi perasaan yang mula berkembang dalam hati lelakinya, Fadli membiuskan dirinya dari berasa tercuit dengan kata-kata mereka.

Setelah dia mencuba, dapatlah olehnya alamat pos dan alamat emel sekaligus. Mana satu yang lebih baik, dia tak berapa pasti sebab inilah pertama kali dia cuba mengirim perutusan kepada orang. Jika tidak disebabkan Anizah, dia tidak akan pernah cuba belajar untuk menulis surat atau paling koman, mengirim emel !

Dia mengaku dia tak pandai mengikat hati dengan orang yang jauh dari matanya. Dia lebih suka orang yang dekat pada pandangan matanya berbanding orang yang berjauhan. Dia lebih suka hubungan yang mudah-mudah tanpa perlu menyusahkan diri begitu begini.

Sebab itu, dia putus terus perhubungan dengan kawan-kawannya sekalipun satu ketika dulu mereka begitu akrab dan kamcing.Tapi anehnya Anizah yang jauh ini seakan mencabarnya pula, dan Fadli mula merasakan cabaran dari gadis itu satu keseronokan dan keasyikan pula! Jika tidak dilayan perasaan itu, rasa perit pula mencengkam tangkai hatinya. Dia menebalkan mukanya, memberanikan diri untuk mengutusi Anizah lewat emel!

Tidak mudah baginya untuk membuat perkara yang mungkin kedengaran mudah bagi orang lain. Setelah lama dia melongo serta terlopong-lopong, akhirnya dapat juga menaip ayat-ayat untuk Anizah yang kini terpampang jelas pada prompt mesej di skrin.

Anis,

Apa khabar ? Mudah-mudahan Anis tidak terkejut dengan kehadiran emel ini.

Aku tidak tahu bagaimana untuk memulakan. Dari arah mana dan ke arah mana harus aku akhirkan. Aku baru sahaja belajar mengutusi orang.

Terlalu cepat kita bertemu kembali, dan secepat itu jugalah kau kembali semula ke US. Walhal aku merencanakan untuk bertemu denganmu kembali di KK.

Kau pasti tertanya-tanya bagaimana aku bisa mengutusimu. Walhal cuma kedinginan yang kau pamerkan pada diriku. Aku cuba menjejakimu melalui kawan-kawan sekolahan dulu. Dan dari merekalah aku mendapat alamatmu. Tapi janganlah marahkan mereka pula.

Aku tiada niat lain untuk mengutusimu selain dari menginginkan perhubungan yang lebih baik antara kita. Aku sedar, aku telah tersilap dalam mengaturi langkah dulu....... Lalu kemaafan aku pinta darimu.

-Fahd-

MASUK MSN Messenger macam biasa. Nama ID dan kata laluan ditaip. Kemudian tekan Enter. Berapa ketika tingkap MSN Messenger dengan costum title yang dipilihnya sendiri terpampang di skrin LCD Dell Inspironnya.

You have 1 email in your inbox

Tetingkap yang keluar secara tiba-tiba itu menghilang kembali... Lalu Anizah masuk ke inbox untuk melihat email tersebut.

Ahmad Fadli Hj Suhaili.

Anizah terkesima dan terlopong melihat nama itu. Setahu dia, dia tak pernah memberi alamat emailnya kepada orang lain di Sabah selain teman-teman rapatnya.

Dia memberanikan diri membaca email itu. Perasaannya bercampur-baur. Dan di luar sana, angin semilir dingin kian galak menerbangkan dedaunan. Anizah merasakan pemikirannya juga seperti dedaunan itu. Ada bisikan kejujuran yang kedengaran bergema jauh di pojok hati....

Pada ketika yang sama, dia teringat kata-kata seorang teman kuliahnya, There’s a thin line between hate and love. Anizah jadi takut pada bisikan hatinya sendiri.

ANIZAH mengambil masa yang agak lama juga untuk membalas email pertama Fadli, 2-3 minggu barulah dia membalasnya. Sekali itu sahaja dan sesudah itu semakin banyak pula email yang diterimanya dari Fadli. Bukan bilangan email yang berlambak itulah yang membuat hati Anizah jadi tawar. Tetapi salah satu emel Fadli dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya membuat Anizah tergamam :

Aku mengharapkan agar kita bisa memulakan ‘a different kind of bond’, kerana seperti yang kita tahu, aku telah tersilap memulakan langkah.

Izinkanlah......

Anizah tertekan, dia tidak sanggup lagi mengingati ayat seterusnya dari email itu.

Dari kilau mata, nada suara dan roman wajah, Anizah sudah menebak kemahuan Fadli sebelum emel itu dihantar kepadanya. Biarpun ia mengusik ke sukma Anizah yang tegar, namun jawapannya tetap TIDAK untuk Fadli.

Pada ruang-jarak yang lain, tapi ruang-masa yang sama, Fadli tetap menanti balasan kasihnya tanpa menghiraukan apa jua risiko yang harus dia hadapi. Biar gadis itu tidak lagi membalas email-email yang diutuskannya saban waktu. Dia setia log-in tiap-tiap siang dan malam, menantikan kalau-kalau ada email dari Anizah.

Akhirnya, dia berjaya melihat semula nama Anizah pada senarai emel baru dalam inbox akaunnya.

Cukup panjang emel itu, yang pada perkiraaan Fadli adalah balasan kepada kesemua emel yang pernah dihantarnya dulu. Tak pernah tangan dan kakinya tiba-tiba kesejukan begini... Tubuhnya mengigil.

Buat Saudara Ahmad Fadli @ Fahd (yang sampai ke hari ini masih seorang kenalan yang saya hormati…..),

Terima kasih kerana berasa terpanggil untuk mengutusi saya di sini. Saya turut mengambil peluang ini untuk meluahkan apa yang tersimpan di hati saya atas apa yang telah berlaku bertahun-tahun dulu. Agar puas hati saudara mendengarnya dan sesudah itu tiada lagi urusan yang tidak selesai antara kita !

Ketahuilah, bahawa apa yang saya tulis ini adalah satu luahan ikhlas lagi benar, tidak berniat untuk menghentam saudara. Walaupun selepas ayat-ayat di atas, saudara rasa ingin mencampakkan sahaja surat ini ke dalam tong sampah, tapi bacalah dan teruskan baca. Sesungguhnya saudara mempunyai sekeping hati yang mulia dan terpuji seandainya saudara sanggup untuk terus membaca surat ini.

Saya masih ingat bagaimana ketika saudara mengeluarkan kata-kata ini, “…… tengoklah rupa tu dulu….. Perasan !”. Dengan kasar saudara mengucapkannya. Alangkah sakit hati dan terhinanya diri saya di saat itu.

Saya datang bukan dengan niat tertentu, melainkan agar kita dapat menjadi teman yang saling bahu-membahu dalam mengejar cita-cita di masa depan. Lain-lain, zero! Sangka saya, saya akan disambut dengan sikap wajar dan keterbukaan seorang remaja yng pintar, terbuka dan berpandangan jauh . Rupa-rupanya, satu tamparan penghinaan yang saudara beri kepada saya.

Sesudah itu saya berfikir kembali, wajarkah diri saudara menerima rasa ikhlas yang saya hulurkan? Apakah diri saudara antara ribuan serpihan kaca yang menyisihkan keunggulan permata? Saya sedar siapa diri ini yang tidak mempunyai dua perkara yang ada pada saudara - kekasih dan paras rupa cantik.

Sepanjang masa dalam kelas dan per jalanan pulang dari sekolah, saya menangis di dalam hati walau wajah masih ceria tersenyum. Bertanya diri - Bodohnya apa yang diri saya lakukan. Demi Allah, saya yakin dengan janji-Nya ke atas hamba-hambaNya yang sanggup bersabar dengan tiap dugaan. Saya yakin janji Allah yang Maha Kaya sekalipun penantian itu satu penyiksaan dan penderitaan.

Dari tingkatan satu sampai tingkatan tiga, dan seterusnya empat dan lima….Lima tahun, lima tahun saya beri kesabaran dan peluang untuk saudara Fahd berubah. Tapi saudara persia-siakan peluang itu…Saudara tetap memandang saya dengan pandangan hina dan keji. Masih berbangga dengan status saudara yang dipunyai, berpunya dan…Masih berbangga dengan paras rupa saudara yang tergolong kacak, manis, segak dan lawa. Ya, nikmat kasih sayang serta indah paras rupa yang Tuhan anugerahkan dan kurniakan untuk mempermudahkan jalan hidup saudara.

Sedarkah saudara di saat itu, nikmat itu datang dari siapa sebenarnya? Sikap sombong, angkuh dan bangga diri tidak mendatangkan apa-apa kecuali kemusnahan hidup semata-mata. Ingatlah, jangan berbangga dengan apa yang saudara punya !

Ya, benarlah kata-kata, langit tidak selalu cerah tapi mendung pasti kan berlalu… Saya mungkin dalam keadaan yang saudara lihat selama lima tahun itu, tapi ia takkan berlaku selama-lamanya!!!

Saya percaya Allah Maha Adil lagi Maha Kaya kerana buktinya ada di sekeliling saya, sama ada yang saya alami atau dari melihat pengalaman orang lain. Kita tidak ada kuasa sedikitpun untuk memuliakan atau menghinakan sesiapa… Saya ingin bersuara seperti itu sekian lama…tapi belum diberi kekuatan dan ketentuan berbuat demikian. Syukur saya melihat perubahan pada diri saudara sekembalinya saya di sini di kita dipertemukan kembali…

Alhamdulillah !

Namun jika kebaikan hati budi saudara sekarang ini hanya kerana terpesona dengan nikmat yang saya terima sekarang iaitu yang saudara lihat, ingatlah, Allah boleh kurniakan nikmat itu tapi Dia juga boleh menarik balik nikmat yang sebenarnya hanya pinjaman untuk kita. Anytime !!!!!

Terlalu banyak rasanya yang saya telah sampaikan… Rasanya cukup apa yang terluah dari apa yang terpendam di hati saya. Terima kasih seandainya saudara telah membaca hingga sampai ke perenggan ini. Sesungguhnya, kata-kata dari hati itu akan sampai dan jatuhnya ke hati jua.

Pada hati yang pernah menerima cacianmu ini, usahlah dirimu merayu lagi kerna sejak lima tahun lampau itu kita sudah menjadi orang, individu dan entiti asing yang betul-betul asing secara total. Betul-betul sudah tidak ada apa-apa lagi. Pintu kemaafan ini sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja, tetapi untuk menunaikan permintaan saudara adalah sesuatu yang mustahil bagi saya. Terimalah hakikat bahawa hati ini sudah dimiliki oleh insan yang berbahagia memilikinya. Yang menerima kelemahan diri ini sebagaimana saya cuba menerima kelemahannya.

Anggaplah diri saya umpama pelangi petang, yang hadirnya cuma seketika namun keindahannya tetap tertunjang di persada hati. Semoga dengan kehadiran saya dalam perjalanan hidup yang saudara tempuhi ini, saudara akan belajar untuk menghargai apa yang ada di keliling saudara sebelum ianya hilang, serta belajar untuk matang dalam menerima kelemahan orang lain.

Semoga saudara menjadi permata indah di celah ribuan kaca yang kilauannya memukau jua perangkap yang sangat melukakan. Cuma permata itu bukan untuk saya menyimpannya… Pasti ada pemiliknya yang lebih layak lagi………

Sekian, wassalam!

Anizah @ Anis


Di akhir emel, Fadli terpana. Serasakan seluruh alam ini menjadi gelap tanpa cahaya menyinari. Hanya sepi menguasai suasana. Ada air mata jua yang bertumpah, tapi alur titisannya jatuh ke sudut hatinya sendiri.

Kiranya dengan balasan akhir yang Anizah kirimkan itu, cukup untuk hati lelakinya mengerti bahawa antara gadis itu dengan dirinya, tidak pernah akan ada titik temuan…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home