Copy Is Right

Thursday, July 20, 2006

Sesuatu Yg Hilang

Hukum Lenz, arus aruhan yang dihasilkan sentiasa mengalir dalam arah yang menentang perubahan fluks magnet yang menghasilkannya.

"Kau seperti arus aruhan itu, dalam diam-diam menentang,"

"Aku tidak menentang tapi memperjuang."

"Apa yang sebenarnya kau perjuangkan sahabatku. Apa yang kulihat adalah kemusnahan dirimu satu persatu. Itu kau namakan perjuangan?"

"Perjuangan perlukan pengorbanan..."

"Pengorbanan? Kau terlalu mengikut amarahmu. Amarahmu bawaan, hasutan syaitan. Beristighfarlah..."

Pertemuan petang itu berakhir singkat, hanya perdebatan dingin bukannya penyurai masalah dan kekusutan. Malah semakin menyesakkan.

Sejak dari hari itu, Syikin lihat Nazrel terlalu banyak berubah. Perubahan yang begitu drastik! Nazrel tidak seperti selalu, jika sebelum ini mereka kerap bersama. Baik dalam soal pelajaran ataupun masalah peribadi.

Persahabatan mereka bagai isi dan kuku, utuh dan bersatu. Tapi, kini Nazrel sudah lain. Nazrel seolah-olah terlalu asing pada kaca mata Syikin. Dia lebih rela berdiam dari berkata-kata.

"Bukankah diam itu lebih baik dari berkata-kata yang sia-sia?" Alasan Nazrel terlalu janggal untuk diterima, apakah kerna kurang bicara perlu menjarakkan persahabatan?

Perubahan yang bagaimana? Segala-galanya janggal pada mata hati Syikin, malah rakan-rakan turut mengakui dinginnya sikap Nazrel. Persoalan demi persoalan merantai tangkai hatinya namun pengertiannya belum pasti.

Kenangan 2 tahun lalu mengimbau rasa..... Pertama kali menjejakkan kaki ke SMKDT perasaan takut menguasai diri. Lantaran syikin bertekad mahu menjadikan langkah kanannya itu sebagai jejak menuju sinar kejayaan. Dia mahu berusaha dan menjadi yang terbaik.

Nyata rakan-rakan baru banyak membantu,memberikan sokongan moral. Sememangnya mereka terlalu baik. Tapi entahlah, rasa sayangnya pada Alin dan Farah terlalu untuh untuk dirempuh. Benteng itu dibina dari batu kesetiaan, konkrit pengorbanan, jeriji kejujuran dan dihiasi nilai kasih sayang yang tak terhingga harganya.Ia terlalu utuh. Tapi? perpisahan pasti menjarakkan hati insan-insan ini. Perpisahan.....

"Hai,apa khabar? Saya Suzie," gadis bebrbangsa Tionghua di hadapannya menyapa mesra. Syikin menyambut dengan senyuman manis huluran salam perkenalan itu. Dia memang comel, kecil molek nampak macam cikgu apabila berkaca mata di kelas. 'Ulat buku' gelaran yang diberikan seisi kelas, mungkin kerana itu dia menjadi pelajar yang hebat di sekolah.

"Lah..Suzie, kat sini rupanya awak. Kita mencari dia di merata-rata tempat. Kat sarang tempua dia berkenan," Rani mengusik. Entah dari mana datangnya tak diketahui. Tiba-tiba tercongok di depan pintu.

"Kita berkenan pada tempua bermata galak, bertahi lalat satu di dagu." terkekeh-kekeh Suzi ketawa membalas usikan Rani. Berkias-kias pulak!

Dalam diam-diam Syikin mula mengagumi kenalan barunya itu. walau dari rumpun yang berbeza namun menyatu dalam satu bahasa, bahasa kebangsaan.

Terkejut jua bila rakan-rakan sekelas menggelar Suzie, Mek. Menurut cerita Rani. Ayah Suzie peniaga, pernah menetap di negeri Cik Siti wan Kembang mengusahakan perniagaan kain. Apabila berpindah ke Johor, perniagaan itu masih diusahakan. Cuma ayahnya telah membuka sebuah kedai runcit sebelah warung Haji Manaf berhampiran dangan simpang rumahku.

Kalau tidak kerana persaraan ayahnya dulu di SMKLH, sudah tentu Syikin tidak kembali ke sini. Tinggal bersama kedua ibu bapa ayahnya. Fikran Syikin jauh melayang, namun tumpuannya tetap pada Nazrel. Syikin gusar memikirkan perihal Nazrel.

"Kenapa kau membiarkan aku berkata-kata, kenapa kau tak membantah?"

"Membantah? Untuk apa..sedangkan kau lebih arif dariku. Kau tahu kebenarannya dan kau juga tahu di sebalik yang tersurat dan jua tersirat," suara Nazrel perlahan, teratur bunyinya.

Ekor mata Syikin jatuh pada wajah tenang Nazrel. Namun di sebalik ketenangan itu pastinya ada yang berkocak. Mungkinkah perasaannya? Syikin tidak tahu, tetapi dia cuma meneka-neka di dalam hati. Masakan tidak merasa apa-apa atas apa yang telah berlaku kini.

"Rel, kau perlu kuatkan semangatmu. Nazrel yang kukenal dulu bijak berkata-kata, banyak idea dan berfikiran terbuka. Dia amat menghormati perasaan orang lain, dia takkan menyakiti," Syikin berhujah pendek.

Membentuk kata-kata semangat yang sebolehnya mengembalikan semula senyuman mesra Nazrel yang telah lama hilang. Biarlah mendung berarak pergi, bergantilah sang mentari menebarkan jaluran cintanya. Pasti mendamiakan.

" Huh....." keluhan pendek sengaja dilepaskan. Nazrel menyisir hujung rambutnya yang hampir menutupi dahi. Lantas dia bingkas bangun berjalan meninggalkan Syikin di belakang yang masih setia membisu. Tiada apa yang dapat diperkatakannya, berikan dia sedikit masa untuk menyusun bicara.

Syikin melangkah perlahan membontoti Nazrel yang hampir melewati pintu pagar sekolah. Langkah longlai Nazrel bagai terpaku apabila mendengar namanya diseru.

"Rel kau tahukan apa yang sedang kau lakukan. Keputusanmu Rel, keputusanmu itu. Kenapa kau terlalu prejudis pada diri sendiri, yang kalah dan bersalah bukan kau. Tapi...." Kini Syikin yang mengeluh panjang. Perasaan kecewa mula menyelinap ke seluruh badannya hingga terasa pedih di hati.

Syikin meraba-raba beg tangannya, mengeluarkan sehelai sapu tangan merah hadiah pemberian ibu. Lalu disapunya perlahan-lahan peluh yang mula menitik di pipi.

Nazrel meneruskan langkahnya menuju ke tempat menunggu bas. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang duduk, masing-masing leka membelek buku nota pelajaran. Mungkin kerana itu, kehadiran mereka berdua seperti biasa, tidak diendahkan.

"Tapi...” suara Nazrel tersekat jauh di kerongkong. Patah perkataan itu terbengkalai tanpa penyatuan. Penyatuan yang bakal merungkaikan segalanya.

" Kau ikut amarahmu. Justeru kau simpulkan sesuatu yang kononnya nyata, realiti. Fahamilah, kita ada pegangan. Sujudlah pada-Nya, mohonlah ketenangan," Syikin memberikan usul. Entah apa lagi yang harus diperkatakan, akalnya tiba-tiba buntu.

Nazrel melepaskan pendangannya jauh ke padang bola. Leka memerhatikan pelajar sesi petang sedang menjalankan Pendidikan Jasmani. Hatinya terhibur seketika melihat gelagat mereka. Mungkin seusia Naquib, adik bongsu kesayangannya itu. Tingkah Nazrl di dalam hati.

Syikin menunggu penuh sabar, mengharapkan bicara Nazrel.

"Ibu...” Nazrel diam lagi, ada sebak.

"Kenapa dengan ibumu Rel?" Syikin mula menyoal di dlam hati. Apakah musibah lain yang menimpa diri Makcik Mazni.

"Rel benci ayah!" spontan bicaranya. Sepotong ayat itu sudah cukup untuk membuat Syikin terpaku. Hatinya panas seketika.

"Cuba Rel beritahu Syikin. Siapa dia dan siapa dirimu. Tanpa dia kau takkan hadir di dunia ini, walaupun cuma untuk sesaat. Sejahat dan seteruk manapun dia, dia adalah ayah kau. Itu kenyataan yang tak boleh ditidakkan..."

Syikin berbicara persis seorang kaunselor yang berhadapan dengan pelajar bermasalah. Kau sesungguhnya terlalu bermasalah, Nazrel.

Nazrel tunduk membisu lagi, membiarkan Syikin bermain dengan kata-katanya.

Dia akui dia bersalah. Dia tidak patut membenci ayahnya sendiri apalagi untuk menghinanya. Dia tidak pernah dididik untuk berkelakuan biadap, dia cemerlang dalam Pendidikan Islam. Tetapi mengapa tidak di sisi...

Namun hati dan perasaannya kecewa, terluka bagai disiat-siat. Mereka pasti tidakkan dapat menyelami perasaannya. hanya dia dan Tuhan, ya hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Syikni melabuhkan punggung berhampiran tempat Nazrel berdiri. Mengambil tempat pelajar-pelajar yang mula beredar menuju ke bas sekolah.

Nazrel bungkam memerhatikan kenderaan yang tidak putus-putus lalu lalang seperti dirinya ini yang tidak pernah putus-putus menanggung masalah.

Terkadang terdetik di hatinya, adakah mereka jua sepertinya?

Dugaan apakah ini tuhanku? Terlau berat menyaksikan keruntuhan hubungan ibu dan ayah. Ibu membawa haluannya, ayah meloloskan diri dari tanggungjawab yang telah diamanahkan. Terlalu mudah perkiraan ayah.

Ya Allah, tabahkanlah hatiku melalui semua cubaanmu ini. Nazrel berdoa di dalam hati. Tapi, bagaimana pula dengan Nazere, Nabil dan Naquib. Mereka terlalu kerdil untuk memahami sandiwara dunia ini, Tuhanku.

Memang itu yang telah diduga. Setelah kian lama mahligai perkahwinan yang dibina penghujungnya adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan, bagai hempedu. Menurut Nazrel lagi keretakan hubungan mereka sekeluarga sudah lama, 5 tahun yang lalu sewaktu pakcik Rosli, ayah Nazrel mula melebarkan ayap perniagaan bergelar usahawan berjaya.

Nazrel dan keluarga ditaburi harta dan kekayaan yang melimpah ruah. Kononnya wang ringgit dan kekayaan adalah pengganti nilai kasih sayang ayahnya. Lucu, harga sebuah kasih sayang terlalu murah dinilai dengan wang. Nazrel mengejek-ngejek dirinya sendiri. Punyai kehidupan yang dibebani kekecewaan walau yang melihat menyangkanya terlalu mewah dalam bahagia.

Keretakan rumah tangga ibu dan ayahnya menanti belah apabila pakcik Rosli beristeri dua. Madu itu manis, bermadu itu.....

Syikin mengagumi makcik Mazni, ibu Nazrel. Simbol wanita yang sarat dengan ketabahan dan kesabaran. Pernah sekali dia mendengar bicara,"...apabila seorang isteri menuntut talak dari seorang suami, maka bergegarlah tiang arash. Apatah lagi untuk mencium nikmat syurga..."

"Syikin, Rel perlukan pengertianmu. Rel ingin mencari nilai kehidupan yang sebenarnya. Rel ingin lihat nilai kasih sayang dari kaca mata ibu, bukan dari telunjuk ayah. Ayah terlalu mementingkan diri. Tak pernahkah terlintas di hati ayah betapa pentingnya kami? Rel terima, tapi bagaimana pula dengan adik-adik Rel yang lain. Kasihan, mereka terlalu kecil untuk melalui semua ini," Nazrel meraup wajahnya rapat-rapat. Membiarkan titisan kecil mengalir di pipi.

Pandangan Syikin kosong, sengaja memberikan peluang untuk Nazrel bertenang. Nazrel menuntut pengertian, kasihan dikau sahabatku....

"Syikin faham, sesuatu masalah mestilah diiringi dengan penyelesaian berhikmah. Bukan mengikut kata hati. Hidup ini tidak boleh dipandu hati semata Rel. Akal perlu bertindak dengan waras. Jika tidak inilah akibatnya."

Nazrel tidak pantas menjawab tapi telinganya dapat menangkap dengan jelas setiap butir bicara Syikin. Melihat reaksi yang tidak memuaskan daripada Nazrel, Syikin menyambung bicara.

"Rel ingin lihat reaksi ayah Rel kan?" Syikin cuba menduga. Nazrel akhirnya mengangguk kecil didiringi sebuah senyuman pendek.

" Tapi, Rel memang tak faham dengan ayah Rel, Syikin. Kenapa ayah seolah-olah buta, tidak dapat melihat kebenaran di depan mata. Bagai ada tembok yang memisahkan ayah dengan realiti dunia. Inilah padahnya jikalau manusia menjadi hamba wang ringgit. Segalanya menyesatkan," Nazrel menyudahkan kata-katanya penuh keyakinan. Kata hikmah itu menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak bertuhankan wang ringgit semata.

Syikin tahu Nazrel mencari pengertian ayahnya. Sikap protes itu dipamerkan pada kelakuannya sejak akhir-akhir ini. Tapi ayahnya seperti enggan mengerti. Padahnya dia menerima sebirat rotan Cikgu Amin ditangan. Merah muka menahan malu.

Seingat dirinya, tak pernah pun dimarahi oleh guru-guru apatah lagi didenda di hadapan rakan-rakan sekelas. Kamal rakan sekelas Nazrel yang mengkhabarkan, puncanya Nazrel sengaja ponteng kelas Ibn Sina, padahal tiap-tiap petang dia lihat kelibat Nazrel di perpustakaan.

Perlakuan yang menuntut perhatian tetapi tidak dibalas.

Syikin ingin ketawa tetapi ketawa yang ditahan-tahan itu berhamburan keluar satu persatu. Nazrel memerhati penuh kehairanan.

" Apa yang lucu sangat ni?" soal nazrel yang mula merasa diri dipersendakan.

" Seorang budak baik yang sengaja menempah rotan Cikgiu Amin, memang tak masuk akal, kan?" Syikin mencemikkan bibirnya meniru perlakuan Nazrel sebetar tadi, macam botol cencaluk!

Kini giliran Nazrel yang tertawa. Malah lebih besar, dan lebih meriah.

"Entahlah, gimik tak menjadi agaknya," bicara Nazrel dengan tawa yang masih bersisa. Syikin ingin ikut serta bergembira bersama Nazrel.

Mentari semakin hilang serinya, kenderaan yang lalu lalang kian bertambah. Syikin melihat jam dipergelangan tangan. Jam menunjukkan hampir ke pukul 5.30 petang, waktu habis kerja. Jalan raya sesak, tentu mama sampai lewat, tekanya.

"Kalaupun Rel tak sudi nak berubah demi diri Rel, berubahlah demi adik-adik Rel yang terabai, Nazera, Nabil dan Naquib. Mereka ada impian mereka sendiri.Rel yang harus membantu. Bukan macam ni, memberontak tak tentu pasal, jadi contoh teladan yang baik. Jangan malukan 2005 tau!"

Nazrel memandang tepat, menjelajahi anak mata Syikin mencari keihklasan bicara. Renungan itu cukup membuatkan Nazrel mengutuk dirinya.

" Tunjukkan pada ayahmu, dia tak berjaya membuat kalian kalah. Buktikan kau boleh berdiri tanpa kehadirannya. Tentang ibumu pula, biarlah dia menenangkan fikiran. Aku pasti makcik Mazni takkan tinggalkan kalian, percayalah. Demi 2005..."

Demi 2005

Suzie dan Rani suka membuat rancangan yang bukan-bukan. Nazrel kenalan barunya itu berjaya dipertemukan oleh Rani dan Suzie semasa menyambut majlis hari lahir Syikin yang ke-16 tahun. Tanpa disangka-sangka Nazrel jua dilahirkan pada tarikh yang sama. 20 Mei. Maka setiap tanggal 20 Mei itu, mereka saling bertukar hadiah.

"Ya, kita tunggu sambutan 2005 yang ke tiga tahun depan. Semeriah mana kita saksikan nanti," Nazrel bicara perlahan. Senyumannya meleret-leret jauh penuh bermakna. Ada azam baru kot!

Lamunan Syikin yang mekar berputik tercantas seketika apabila pukulan tangan Suzie di bahu kiriya bertukar ganas. Tanpa di pinta-pinta Suzie tersenyum, sambil menyua sehelai kertas putih.

BM A, MATE A, BI B SEJARAH A, BIO A.

"Tahniah...." nada Syikin penuh gembira melihat keputusan SPM rakan-rakannya yang telah diumumkan sebentar tadi.

Kelihatan para pelajar yang mengambil keputusan berebut-rebut untuk masuk ke Bilik Guru, Cuma ada jua yang keluar dengan tafsiran wajah yang berbeza.

Ada pelajar yang menahan esakkan. Suasana tersebut cukup buat hati Syikin gundah gulana.

Insan yang dicari tak muncul tiba. Di mana? Syikin bertinjau-tinjau.

"Cari buah hati ke?" Syikin hendak marah sekali lagi. Sudah dua kali dia disergah sedemikian rupa. Terasa bagai nak gugur jantungnya.

Belumpun sempat kaki Syikin melangkah dia digamit oleh kelibat seseorang yang sedang mengatur langkah di hadapannya.

Itukah Nazrel?

Sudah lama tidak bersua semenjak cuti persekolahan yang lalu.

Nazrel nampak sedikit gelap, dalam surat-suratnya yang lalu ada dinyatakan perihal pekerjaannya di chalet penginapan bapa saudaranya.

Terik mentari pantai...mana tak membakar, sampai hangus sekali.

Namun kata-kata itu cuma dihati, tak terluah di lidah bila lihat Nazrel mengukir senyum.

Masih manis seperti dulu.

"Terima kasih," ujar Nazrel pendek. Sopan dan teratur bunyinya. Syikin terpempan seketika, mengangguk lalu mengiakan. Kertas putih bertukar tangan.

"Tahniah untuk awak juga,"

Ya, Nazrel telah membuktikan sesuatu. Sesuatu yang bakal membuka mata ayahnya. Menjadi pendorong pada Nazera, Nabil dan Naquib. Pasti impian mereka tercapai.

"Kita teruskan sambutan 2005 yang seterusnya bergelar mahasiswa," seloroh Rani diikuti deraian tawa Nazrel, Suzie dan Syikin yang berbunga.

Ada harapan lain yang mekar di sudut hati Nazrel....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home