Copy Is Right

Wednesday, July 19, 2006

Ku Pendam Sebuah Duka

"Puan Natasha, ada orang ingin jumpa puan tapi dia tak buat appointment dulu," panggilan interkom dari setiausahanya, Farah jelas kedengaran.

"Okey, suruh dia masuk," jawabnya pendek lalu mematikan talian. Natasha memusingkan kerusinya ke belakang untuk mengambil fail.

"Assalamualaikum," satu suara memberi salam. Natasha terkedu seketika sebelum berpaling ke pintu masuk perlahan. Suara itu milik seseorang yang terlalu disayanginya suatu masa dulu. Wajah tampan itu ditatapnya lama. Senyuman pada wajah itu tidak berubah semenjak dulu lagi.

"Tasha apa khabar?" tegurnya lagi setelah lama mereka membisu.

"Khabar baik. Mana tahu Tasha kerja sini?" tanya Natasha masih lagi terkejut dengan kemunculan lelaki itu.

"KL ni tak sebesar mana sebenarnya, Tasha," jawabnya selamba lalu duduk di bangku di hadapan Natasha walaupun tidak dipelawa.

"Ada apa datang jumpa Tasha ni?"soalnya lagi. Natasha masih dipagut gelisah setiap kali berhadapan dengan lelaki itu. Dari dulu sehingga kini perasaan itu tidak pernah berubah walaupun hatinya telah terluka sehingga meninggalkan parut yang tidak mampu hilang.

"Saja. Dah lama abang tak jumpa sayang. I really missed you so much," luahnya tanpa diduga. Natasha hanya tersenyum sinis. Jika rindu, mengapa harus menunggu sepuluh tahun untuk muncul, bisik hati kecilnya.

"After all these years, abang balik sini dan jumpa Tasha cuma nak bagi tahu itu? You're late, abang. Tasha dah tak fikir pasal abang sejak dulu lagi. Sejak abang tinggalkan Tasha demi kepentingan keluarga abang.

“Tasha tahu Tasha bukan menantu pilihan mak abang tapi sikap abang menggantung Tasha tak bertali buat Tasha bencikan abang," luah Natasha menghamburkan duka yang dipendam selama ini.

"Abang tahu abang bersalah tapi abang tak pernah lupakan Tasha dan anak kita."

"Anak kita?" ulang Natasha sambil tersenyum sinis. Geli hatinya mendengar pengakuan suaminya yang sanggup meninggalkan dia dahulu sewaktu masih di dalam pantang untuk bernikah dengan pilihan ibunya lalu berpindah ke luar negera dengan alasan untuk melanjutkan pelajarannya.

"Encik Annuar, for your information, anak you tak pernah anggap ayah dia masih hidup. Bagi dia ayah dia dah tak ada semenjak dia tahu ibunya telah ditinggalkan oleh ayahnya," jelas Natasha bagaikan menghukum Annuar untuk kesilapannya dulu. Wajahnya diraup dengan kedua belah tangan.

Natasha tahu Annuar terluka dengan hakikat itu. Namun, lebih baik dia tahu bahawa mereka tidak memerlukan dia lagi.

"Maaf, kalau abang mengganggu Tasha," ucapnya lalu meninggalkan Natasha termangu sendirian di dalam pejabatnya.

***************

Mereka berkenalan di universiti. Walaupun berlainan kursus mereka menjadi rapat kerana teman sebilik masing-masing adalah pasangan kekasih. Hubungan yang akrab bertukar apabila mereka menamatkan pelajaran. Jarak di antara utara dan selatan menyedarkan mereka ada perasaan yang terselit tanpa mereka sedari.

Annuar tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak. Biarpun hubungan mereka tidak direstui ibu Annuar, majlis pertunangan tetap dilangsungkan dengan sokongan ayah Annuar. Enam bulan kemudian, mereka selamat disatukan.

Rezeki Tuhan, Natasha disahkan mengandung pada bulan ketiga perkahwinan mereka. Kebahagiaan semakin menyinari hidup mereka. Meskipun terasa terasing dek layanan ibu mertuanya, Natasha masih mampu tersenyum dengan kehadiran ayah mertua yang cukup memahaminya.

Siapa sangka panas di tengahari dicemari hujan di kala petang. Di saat kandungan baru berusia lima bulan, ayah Annuar meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. Maka, bermulalah segala dukanya. Hatinya terhiris tanpa pengetahuan Annuar.

Duka sebuah perkahwinan mula mengisi ruang di hatinya. Tindakan ibu mertuanya mengahwinkan Annuar dengan pilihan ibunya di saat Natasha sedang bertarung nyawa melahirkan anak mereka benar-benar mengecewakan Natasha sehingga kasih sayang itu bertukar menjadi duka dan dendam.

Nazura Amalina. Itulah permata hatinya selama sepuluh tahun Annuar meninggalkannya. Pada anak itu tidak pernah dirahsiakan kewujudan seorang insan yang bergelar ayah. Mujur si anak memahami keadaan yang melanda walaupun masih muda untuk mengharungi keperitan tanpa seorang ayah.

Natasha masih teringat suasana muram yang harus dilaluinya apabila Nazura mengetahui kedudukan sebenar di antara mereka bertiga.

"Ibu, kenapa ayah tinggalkan kita?" sekali lagi soalan itu terbit dari kelopak bibir halus Nazura. Natasha menatap wajah anak tunggalnya lama.

Wajah itu kombinasi iras wajah mereka suami isteri. Mata Nazura saling tidak tumpah seperti Annuar. Merenungi mata itu bagaikan melihat Annuar. Biar ada benci di hatinya namun masih terselit secebis rindu buat suami yang entah berada di mana.

"Nenek Nazura tak suka ibu. Dia kahwinkan ayah Nazura dengan orang lain," jelas Natasha jujur. Dia tidak mahu Nazura dibohongi. Kelak ia akan menjadi masalah lain pula. Nazura memeluk ibunya erat.

"Nazura benci ayah. Dia tinggalkan kita. Kenapa Nenek buat macam tu? Nenek tak kesian ke tengok cucu dia tak berayah?" keluh si kecil. Natasha hanya tersenyum untuk memujuk Nazura walaupun hatinya pedih.

"Ibu tak pernah ajar anak ibu ni benci ayah. Walau macamana pun, dia tetap ayah Nazura. Dia sayangkan Nazura cuma dia terpaksa. Seorang anak tak boleh mengengkari kata-kata ibu dan bapa mereka. Berdosa tau," pujuk Natasha lembut. Nazura mencium tangan Natasha.

"Maafkan Nazura, ye ibu. Lain kali Nazura tak buat lagi," pintanya lalu memeluk Natasha erat.

***************

Annuar menunggu di tepi jalan di hadapan banglo setingkat milik Natasha. Sepuluh tahun berlalu mengubah segalanya. Natasha sudah mampu hidup mewah dan bahagia tanpa seorang suami.

Natasha berjaya membesarkan anak mereka dengan begitu sempurna sekali. Namun, setelah hampir dua hari menjadi pengintip di rumah isterinya sendiri belum mampu menemukan dia dengan anak tunggal mereka.

Kawan-kawan mereka seperti telah berkomplot untuk tidak menceritakan apa-apa tentang Natasha dan anak mereka. Annuar tahu, sememangnya dia yang harus dipersalahkan. Dia hanya menurut perintah ibunya tanpa bersuara. Dia biarkan ibunya menguruskan kehidupannya walaupun di dalam hatinya memberontak. Dia tidak mencuba mempertahankan haknya bersama Natasha dan anak di dalam kandungan.

Tidak cukup dengan dipaksa untuk berkahwin, ibunya telah menghantar dia menyambung pelajaran di luar negara dan bekerja dengan pakcik isterinya di sana. Segalanya telah diaturkan ibunya dengan begitu sempurnanya. Dayuskah dia begitu?

Natasha. Wanita itu begitu tabah dan tenang sewaktu dikhabarkan berita perkahwinannya. Sedikit pun wanita yang dicintai sepenuh hatinya tidak bersuara. Wajahnya ditundukkan memandang lantai sewaktu dia melangkah pergi meninggalkan Natasha di rumah sewaan mereka.

Sepuluh tahun tanpa Natasha menjadikan hidupnya muram dan gelap. Perkahwinan yang dibina bersama sepupunya putus ditengah jalan hanya kerana isterinya tidak mahu pulang ke tanahair. Isterinya sudah tersasar jauh di negara barat. Kehidupan mereka terlalu bebas sehingga adakalanya Annuar tertanya-tanya di mana silapnya sehingga mereka bagaikan tidak petah lagi sebagai suami isteri.

Kemewahankah yang menjadi puncanya? Atau isterinya masih terasa masih ada cinta lain? Akhirnya Annuar pulang sendirian. Apatah lagi perkahwinan keduanya tidak diserikan dengan kelahiran seorang anak.

Dia pulang membawa harapan agar Natasha masih mahu menerimanya lagi. Dia berdoa siang dan malam agar dapat dipertemukan semula dengan isteri dan anak yang dirinduinya. Berkat kesabarannya, Annuar terserempak dengan Natasha sewaktu sedang melalui hadapan tempat kerja Natasha. Dia berjaya mengekori wanita itu yang kelihatan begitu anggun bergaya. Masih seperti dulu isterinya itu. Masih isteri akukah dia? Terdetik pula soalan itu di hatinya.

Annuar menjeling jam di tangannya. Sudah hampir empat jam dia menjadi penunggu di tepi jalan itu. Kelibat Natasha tidak juga muncul. Kereta Kia Sephia milik Natasha juga tidak kelihatan seperti akan keluar dari banglo itu. Annuar mengeluh kesal lalu meninggalkan taman perumahan itu.

Rezekinya tiada untuk menjeling sekilas wajah anak yang telah ditinggalkan tanpa sempat menatap wajahnya.

***************

Natasha merenung Nazura yang masih leka bermain piano di sudut ruang tamu kedua banglo setingkatnya. Sama sepertinya sewaktu kecil dulu. Ibunya akan bertepuk tangan sebaik sahaja dia habis memainkan sesebuah lagu itu.

Kemudian, pipinya akan dicium. Ibunya suka jika dia memainkan lagu Love Story. Kata ibu, lagu itu mengingatkan ibu pada abah. Adakalanya ibu akan menangis. Rindu ibu bertamu apabila mendengar lagu itu. Kata ibu lagi, dialah pengubat kerinduan ibu pada abah yang telah meninggal dunia kerana kemalangan.

Sejarah berulang lagi. Dulu Natasha kini Nazura. Lagu Love Story telah bertukar menjadi lagu You Take My Breath Away. Itulah lagu kenangan antara Natasha dan Annuar dulu.

"Ibu," lamunan Natasha terhenti. Wajah comel Nazura dikucupnya.

"Kenapa, sayang?"

"Ibu termenung lama sangat. Ibu pikir pasal apa?" Natasha hanya tersenyum.

"Tak ada apa. Ibu teringatkan Nenek. Dah lama kita tak jumpa Nenek, kan?" Natasha cuba mengubah suasana.

"Bila Nenek nak datang sini? Asyik kita je balik kampung," rungut Nazura manja.

"Nanti Nazura cuti sekolah kita ajak Nenek datang sini ye," pujukku.

Nazura mengangguk setuju lalu menuju semula ke pianonya. Lagu Love Story berkumandang lagi.

***************

Natasha memandang jam tangannya. Hampir pukul dua petang. Perutnya sudah berkeroncong lapar. Namun, demi janjinya dengan Nazura, ditahan juga rasa yang ada. Sepatutnya, Nazura sudah sampai waktu ini. Natasha bangun menuju ke rak buku di belakangnya. Beberapa buah buku mengenai perundangan di capai lalu duduk di sofa di sisi mejanya.

Baru sedikit pembacaannya bermula, kedengaran pintu diketuk. Pasti Nazura sudah tiba. Bunyi ketukan itu sudah cukup membuatkan hati Natasha lega.

Daun pintu terselak. Kelihatan Nazura tersengih memandangnya.

"Sorry, ibu. Nazura lambat. Nazura kacau Kak Tina kat depan tadi," tegurnya lalu menghampiri Natasha. Mereka sudah mengenali Nazura semenjak kecil lagi. Di situlah masanya dihabiskan selepas sekolah jika dia tidak punya kerja di luar. Adakalanya di tempat Tina, penyambut tetamu di syarikatnya dia menghabiskan masa.

"Tak apa. Letak beg dulu lepas tu kita pergi makan. Perut ibu dah lapar," sambut Natasha. Nazura hanya menurut. Mereka beriringan keluar menuju ke restoran makanan segera di blok sebelah pejabat Natasha.

Sambil makan, Nazura bercerita tentang pelajarannya. Ada saja ceritanya tentang kawan di sekolah dan guru-gurunya. Namun, sejak dijelaskan tentang ayahnya, Nazura tidak lagi mahu bercerita atau bertanya tentang ayahnya.

Berdendamkah dia? Bagaimana penerimaannya jika bapanya muncul secara tiba-tiba di antara mereka? Soalan-soalan itu tidak pernah lari dari fikiran Natasha semenjak Annuar muncul di pejabatnya.

Mereka kembali ke pejabat sejam kemudian. Hari ini, Natasha tidak ada tugasan luar dan hal penting untuk diuruskan. Dibiarkan Nazura bersama Tina di luar. Natasha menyemak kes-kes yang baru selesai dan baru diterimanya.

"Puan Natasha, Encik Annuar ingin berjumpa dengan puan," suara interkom bergema. Natasha mengeluh perlahan sebelum membenarkan Annuar masuk menemuinya.

Daun pintu diselak perlahan. Natasha merenung wajah Annuar yang sudah berada di dalam bilik bersamanya.

"Silakan duduk," pelawa Natasha. Kali ini dia lebih berani. Dia sudah menduga Annuar pasti muncul lagi cuma dia tidak tahu bila.

"Apa khabar? Abang datang tadi tapi staff Tasha kata Tasha keluar makan."

Natasha hanya tersenyum. Kali ini hatinya sedikit lembut jika dibandingkan kali pertama mereka berjumpa selepas sepuluh tahun berpisah.

"Ada apa datang cari Tasha?" tanya Natasya selamba. Fail-fail yang berselerakan di mejanya disusun kemas di sudut meja.

"Saja. Abang rindukan Tasha. Abang nak kita balik macam dulu," akhirnya terluah juga hasrat di hati Annuar. Natasha hanya tersenyum. Terasa lucu pula mendengar permintaan Annuar sedangkan di antara mereka tidak pernah jatuh talak. Dia digantung tak bertali bukannya diceraikan. Setelah sepuluh tahun, dia masih keliru dengan status perkahwinan mereka. Masih suami isterikah mereka?

"Kenapa cari Tasha? Abang kan dah ada isteri yang lebih hebat dari Tasha," Natasha cuba menguji Annuar.

"Kami dah bercerai setahun yang lalu sebelum abang balik ke Malaysia. Abang tak mampu nak bimbing dia ke jalan yang sepatutnya. Kami tak pernah sefahaman. Mungkin sebab dalam hati abang cuma ada Tasha," luahnya.

"Anak-anak abang?"

"Kami tak ada anak. Hubungan kami tak seperti yang mak harapkan. Kami cuma berlakon bahagia di hadapan semua orang." Pengakuan jujurnya mengejutkan Natasha. Gembirakah aku dengan berita ini? Wajarkah aku bergembira di atas kedukaan yang mereka tanggung? Natasha jadi keliru.

"Mak abang?"

"Dah tiga tahun mak meninggal sebab serangan sakit jantung. Mak terdengar kami bertengkar. Rahsia perkahwinan kami terbongkar malam itu dan mak terkejut," ceritanya ringkas. Natasha mengeluh kesal.

Walaupun pernah dihina dan dicaci kerana kelahirannya sebagai anak petani, Natasha tidak pernah berdendam dengan Datin Aminah. Dia yang silap menyemai kasih. Enggang tak mungkin sebumbung dengan pipit.

"Ibu!" kedengaran suara halus memanggil dari celah pintu bilik Natasha.

Mereka berpaling ke wajah comel di celah pintu yang diselak. Annuar merenung wajah itu lama. Comel. Ada sedikit iras wajah Natasha. Annuar berpaling semula ke wajah Natasha. Mengharapkan penjelasan dari wanita itu adakah telahannya benar atau tidak.

"Mari sini, sayang," panggil Natasha. Nazura menghampiri ibunya. Lengan ibunya dipeluk erat. Wajah Annuar ditenung lama. Dia kenal wajah itu.

Wajah itulah yang selalu ditatapnya setiap malam tanpa pengetahuan Natasha semenjak dikenalkan siapa ayahnya.

"Nazura kenal siapa tu?" Natasha cuba menduga anaknya. Dia tahu Nazura kenal siapa lelaki di hadapan mereka. Wajah itu tidak asing lagi semenjak Nazura masih kecil. Nazura hanya mengangguk lemah. Matanya masih tidak berkalih memandang Annuar.

"Pergi salam dengan ayah, sayang," pinta Natasha. Nazura hanya menurut.

Huluran salam Annuar disambut lalu tangan itu diciumnya. Nazura pantas mendapatkan Natasha sebelum sempat Annuar memegangnya.

"Umur Nazura dah sebelas tahun, kan?" tanya Annuar. Nazura hanya mengiakan saja. Annuar sedikit terasa dengan sikap Nazura tapi dia tahu mengapa anak tunggalnya begitu. Semuanya salah dia.

"Maafkan ayah sebab tinggalkan Nazura dan ibu selama sepuluh tahun ni. Ayah tahu ayah berdosa dengan kalian. Ayah silap. Sepatutnya ayah pertahankan keluarga ayah sendiri. Tapi, ayah takut digelar anak derhaka.

”Ayah terima kalau Nazura bencikan ayah. Ayah cuma ada seorang anak dan isteri selama ni. Ayah pernah tak minta yang lain. Walaupun ibu bencikan ayah, ayah tetap sayangkan ibu dan Nazura," luah Annuar. Natasha tunduk.

Nazura tatap wajah ayah dan ibunya bersilih ganti. Ada air mata di wajah ibu. Ada sendu di wajah ayah.

"Ibu sayang ayah?" tanya Nazura tiba-tiba mengejutkan Natasha.

"Ayah sayangkan ibu. Mesti ibu pun sayangkan ayah lagi, kan? Sebab ibu tak cari orang gantikan ayah," sambung Nazura lagi.

"Abang nak kita jadi satu keluarga seperti yang sepatutnya sepuluh tahun dulu. Tapi, kalau Tasha tak mahu, abang tak nak paksa. Abang terima semua keputusan Tasha," putus Annuar.

"Ibu," panggil Nazura lembut. Natasha keliru. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia tahu hatinya hanya untuk Annuar. Sepuluh tahun duka itu dipendamnya. Selama itu juga rindu dan sayang itu disimpan rapi.

Wajarkah dia berundur setelah semuanya dilonggokkan di hadapannya? Bukankah ini yang dinantikan selama ini? Natasha berperang lagi dengan perasaannya.

"Abang faham apa yang Tasha rasa. Abang takkan marah walau apa pun keputusan Tasha. Abang memang layak dihukum begitu," sebak suara Annuar kedengaran. Annuar bangun perlahan. Wajah Natasha dan Nazura dipandang bersilih ganti. Natasha masih membisu. Air mata sudah membasahi pipinya.

Langkah Annuar perlahan meninggalkan bilik Natasha. Dia hanya melihat sepi. Nazura berlari mendapatkan ayahnya lalu ditahan langkah ayahnya di muka pintu.

"Kenapa ayah tak nak pujuk ibu? Dahlah ayah tinggalkan kami macam tu saja dulu. Sekarang pun ayah nak tinggalkan kami? Ayah memang tak sayangkan Nazura dan ibu!" bentak si anak marah. Annuar membongkok memeluk Nazura erat.

"Ayah akan tetap sayangkan Nazura dan ibu sampai bila-bila. Ini janji ayah," tegasnya dalam lembut.

"Abang tak nak ajak Tasha balik sekali?" Tanpa Annuar menduga Natasha sudah berada di sisinya. Pelukan dileraikan. Annuar berdiri menghadap Natasha. Ditarik Natasha ke dalam pelukannya.

"Sejak bertahun dulu, memang abang nak bawa sayang balik. Kali ni abang tak nak kita berpisah lagi. Esok kita ke pejabat Agama Islam, ye." Natasha hanya mengangguk tanda setuju. Nazura menghampiri ibu dan ayahnya.

"Nazura macamana?" tegurnya sambil mencekak pinggang. Mereka ketawa serentak. Terlupa pada si anak seketika.

"Nazura kan anak ibu dan ayah. Jadi, kenalah ikut sama," sambut Annuar setelah ketawanya reda.

Duka telah berlalu bersama mendungnya kepahitan. Nazura tidak perlu lagi menatap wajah ayahnya di dalam potret senyap-senyap. Natasha tidak perlu lagi memendam luka. Annuar tersenyum. Rindunya terlerai. Dukanya menghilang umpama kabus ditiup angin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home