Copy Is Right

Wednesday, July 19, 2006

Alamak..Dia lagi

"Apalah kau ni Hana,hari ni kan hari Sabtu! Kau dah nyanyuk ke hilang ingatan ni?" soalnya agak kasar pada pendengaranku walaupun air mukanya masih seperti tadi dan ketawanya masih lagi bersisa.

Hati aku yang selama berjam-jam asyik diselangi dengan cerita-cerita jenaka terus hilang keceriaannya serta-merta.Tak semena-mena, ada takungan jernih yang mengambil tempat di pelupuk mataku.Ya Allah, janganlah biarkan ia tumpah di hadapan insan yang telah lama bertahta di hatiku ini! Aku tak mahu dia merasakan dirinya bersalah atas kekasarannya denganku sebentar
tadi. Namun,semuanya sudah terlambat,ia telahpun gugur menyembah bumi tanpa sempat aku berpaling ke arah lain. Raut wajahnya serta-merta berubah lantaran melihatkan butiran jernih yang tumpah dari kelopak mataku. Sejurus kemudian, aku pun melangkah pergi tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulutku...

* * * * * * * * * * *

"Eh, eh budak ni! Sempat lagi dia berangan dalam kereta aku ni. Hoi, makcik! Dah tak nak balik ke? Atau kau nak terus ikut aku balik rumah aku tu?" Sergah Mila secara tiba-tiba.

Mau gugur jantung aku dibuatnya. Hishh, Mila ni kalau bercakap dengan boyfriend dia, bukan main lagi lemah-lembutnya! Tapi, bila dengan aku je terus jadi suara bagaikan petir yang mahu membelah bumi. Bukan sahaja bumi, bahkan seluruh alam semesta ni dia nak belah! Tak faham betullah aku dengan perangai sahabat aku yang seorang tu. Lain betullah dia ni berbanding pula dengan manusia yang pernah aku kenal sebelum ni. Risau juga kalau dibuatnya lepas kahwin ngan Shahril, perangainya pada aku tu diaplikasikan pula pada Shahril. Taufan la jadinya! Tak dapat dibayangkan betapa besarnya kemungkinan yang bakal terjadi.

"Engkau ni macamlah tak faham dengan perangai aku yang lain daripada lain ni. Ala-ala tajuk rancangan televisyen pun ada, 'Lain Dari Yang Lain'. Hehehe... Benda free tu lah akan menjadi hobi aku secara automatiknya, lagipun kalau nak berangan ke mimpi ke bukannya kena bayar!" selorohku sambil tertawa walaupun di dalam hati ini terselit suatu perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Fikiranku asyik sahaja menerawang mengingatkan insan yang satu itu. Satu-satu kenangan antara aku dan dia
muncul bagai tayangan slide yang dipaparkan di hadapan penglihatan mataku ini...

Tit tit,tit tit... Deringan SMS (Short Message System) dari handsetku yang telah kuprogramkan dengan lagu Meteor Garden beserta getarannya mengejutkan isi perut pacuan empat roda itu. Manakan tidak terkejut, handset itu kuletakkan di atas dashboard kereta Mila!

"Biarkan jelah. Tak de mood pula aku nak baca mesej tu. Nanti-nantilah aku tengok. Bukannya hilang pun mesej tu. Oklah, thanks a lot coz sudi juga kau tumpangkan kawan kau yang dalam kesusahan ni. Kalau tak ada kau, tak baliklah aku jawabnya. Kaulah ratu hatiku, Mila ooi!" ujarku sejurus selepas itu.

"Hek eleh, nak termuntah pula aku dibuatnya. Daripada aku melayan kerenah kanak-kanak riang ribena macam kau ni, baik aku layan blues ngan boyfriend aku yang handsome seorang tu. Yelah, senyuman dia tu yang mahal. Tak denya dapat kat Kedai Emas Poh Kong tahu tak?!" Tersenyum sumbing pula nampaknya budak seorang ni.

"Sekarang ni nampaknya giliran aku yang nak termuntah, baiklah aku bawa diri aku masuk ke dalam dahulu. Sudah-sudahlah tu merepek. Banyak sangat merepek, hidung jadi kemek, tak pasal-pasal nanti tergolek!" Ambil kau sedas daripada aku.

"Bye. Assalamualaikum," ucapku antara kedengaran dengan tidak. Lantas, tanganku segera mengambil telefon tanganku dari dalam tas tanganku untuk memeriksa siapakah yang menghantar SMS sebentar tadi. Mataku membulat. Eh, nombor siapa pula ni? Biasanya kalau nombor yang aku kenal,akan keluar namanya dan bukan nombornya sahaja. Tak pelah,baik aku baca je. Mana tahu kot-kot dia orang ni dah habis kredit, lepas tu guna telefon kawan-kawan dia orang hantar mesej pada aku.

Gumpalan awan di langit bagaikan mengaburi memori silam kita,
Hempasan ombak di laut bagaikan badai yang melanda hati kita,
Desiran angin bagaikan membisikkan rahsia hati kita,
Dan,redupnya matamu bagaikan menyembunyikan luka yang bisa...

Siapa pula yang nak buat lawak antarabangsa dengan aku petang-petang hari ni! Sahlah bukan member aku! Tapi siapa yek?! Ni dah kes parah. Better aku try hantar SMS pada nombor ni. Mungkin dia nak hantar pada makwe dia tapi tersilap send.

-Assalamualaikum. Awak baru hantar mesej pada nombor saya tapi mungkin awak tersilap hantar mesej ni.Cuba awak periksa semula nombor yang awak nak hantar tu-

Seminit, dua minit, tiga minit... Tit tit,tit tit.. Ada mesej lagi. Mungkin dia nak terima kasih pada aku sebab inform pada dia
kot. Yelah, aku dah berjasa pada dia. Mestilah kena ucap terima kasih kan?!

Aku semakin hampir denganmu,
Namun kau sering menjauhiku,
Rinduku semakin mendalam terhadap dirimu,
Tetapi rindumu kau campak jauh-jauh dari bayangan hidupmu...

Aduss, semakin parah nampaknya! Dia tak periksa ke nombor makwe dia tu? Suka-suka hati je send kat nombor orang. Nak kena manusia seorang ni... Kalau dah SMS tak jalan, senang cerita aku telefon jelah!

Trut trut, trut trut.. deringan kedengaran .Ada harapan nampaknya! Huh, apa yang lama sangat tak angkat ni? Dah nak cair tahi telinga aku dengar deringan yang tak berjawab ni! Hah, pulak dah. Masuk voicemail pula! Geram pula aku dibuatnya!

Ah, biar ajelah orang macam ni. Orang nak bagitahu yang dia tersalah hantar mesej, dia tak nak layan pula. Buat bazir bil telefon aku je. Lagi baik aku pergi bersihkan diri, solat Maghrib, lepas tu siapkan makan malam. Perut ni kena isi juga lepas seharian tenaga ni diperah di pejabat walaupun office aku tu berhawa dingin dan tiada keringat yang mengalir tapi tenaga yang dialirkan dari otak kita juga boleh bakar kalori yang terkumpul dalam badan kita ni. Secara tidak langsung, apabila kita brainstorming, badan kita akan singkir lemak-lemak yang of course banyak dan kalau lemak-lemak tu disimpan lama-lama, akan terhasillah selulit yang amat merisaukan terutama bagi golongan wanita!

Fuhh.. lega bila memikirkan esok aku tak perlu menghadap muka boss aku yang handsome tu. Dia pergi outstationlah katakan! Mana taknya aku cakap macam tu, kalau dah hari-hari aku tenung muka dia mau stress aku dibuatnya. Mula dari bilik mesyuarat membawalah ke masa nak tutup pejabat muncung je, nak je aku ngan Mila ikat riben warna pink kat muncung dia yang panjang semacam tu! Tapi,niat tu tak pernah pula aku laksanakan memandangkan dia yang bagi gaji pada aku untuk isi perut ni. Nak dapat gaji halal beb! Kadangkala tu terbabas juga mulut ni. Seperti yang semua tahu, aku ni kalau tak memprotes seseorang dalam sehari tu, rasa macam nak demam pun ade! Hehehe...

Sedang aku mencapai remote control Astro untuk menonton bagi merehatkan badan dan secara automatik otak ni sekali, pintu hadapan rumahku diketuk. Lantas,alat kawalan jauh tadi kembali tersadai di atas meja.Niatku untuk menonton National Geographic terbantut. Hairan juga, kebiasaannya tiada sesiapa yang akan mengunjungiku malam-malam begini. Jikalau ada
sekalipun, mereka akan menelefon terlebih dahulu untuk memastikan aku bersedia untuk menerima tetamu selepas sehari suntuk di pejabat. Atau... hissh seram pula jadinya! Dahlah kawan serumahku tiada kerana outstation, kepala ni pula suka betul fikir yang bukan-bukan! Tak kena masa betul kepala ni nak berimaginasi tinggi! Masa masa nilah dia nak merapu.

"Lailahaillallah, kau rupanya! Aku ingatkan siapalah tadi." Datang balik semangat aku yang hilang tadi apabila melihatkan makhluk yang berada di balik pintu rumahku adalah seorang manusia dan bukannya seperti apa yang aku bayangkan sebentar tadi! Kecut perut dibuatnya, bukannya nak bagi salam! Perangai tak berubah-ubah dari dulu,suka terperanjatkan aku...

"Lama betul aku tak dengar khabar dari kau. Nasib baik dapat alamat kau daripada Farah. Aku terus buat keputusan datang rumah kau nak buat surprise pada kau. Rindu dalam dada ni macam volcano yang dah nak muntahkan magmanya tau tak?! Apa perkembangan paling terbaru kau. Banyaknya aku nak tahu pasal kau! Siapakah sang putera yang dah berjaya mencuri hati sang puteri istimewa ni?" soal tetamuku yang telah cuba untuk menggugurkan jantungku sebentar tadi.

Aku menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan-soalannya itu. Bukan saja nak melambatkan masa, tapi cuma nak bagi dia suspense sikit! Kalau dah pekena aku, dapatlah balasannya. Tak banyak, sikit pun jadilah. Tanduk dah naik dua kat kepala ni!

"Oklah, first sekali sebelum tu aku nak mohon ampun dan maaf pada kau sebab aku dah lama tak menghubungi kau. Aku ni bukannya apa, yelah pagi-pagi buta dah keluar pergi pejabat, meredah traffic yang jarang benar surutnya. Dekat nak azan Maghrib baru sampai rumah. Tak lama terus masuk beradu. Penat campur mengantuk tau!" Ceritaku panjang lebar tanpa perlu
disoal-soal lagi sambil berpura-pura menguap di hadapannya.

"Aiik, aku baru sampai kau dah mengantuk? Kalau macam tu aku balik dululah. Lain kali aku datang balik jumpa kau," autar tetamuku itu lalu bangun dan melangkah ke arah pintu masuk rumahku. Putar alam juga kawan aku ni?!

"Eh eh, apasal la pula tu? Tiba-tiba je merajuk ngan aku.Jauh kau datang, takkan dah nak balik?" soalku serentak apabila menyedari tetamuku itu sekadar berbasa-basi denganku sebentar tadi.

"Aku baru nak pergi dapur. Jawapan-jawapan kepada soalan-soalan kau tadi pun aku belum jawab lagi. Nak jawab kena ambil masa juga untuk fikir tu. Tersilap jawab karang, tak pasal-pasal kena jerat dengan kau," sambungku sejurus kemudian.

"Tau tak pe! Kalau macam tu, aku tak jadi baliklah. Lagipun, tekak aku ni pun rasa kemarau semacam je. Rupa-rupanya, sayang juga kau pada aku yek?! Ingatkan dah lama tak jumpa aku, kau dah dapat pengganti aku sebagai bestfriend kau. Hehehe..." Tergelak aku dibuatnya dengan keletah dan telatah insan yang telah lama aku rindui.

"Oklah, aku ke dapur dulu. Jap lagi kita sambung conversation tadi yek? Kau nak minum apa? Milo, teh, nescafe atau sky juice?" Kaki aku atur ke dapur seraya tanganku lekas mencapai tin biskut yang dipenuhi dengan keropok dari Terengganu yang telah aku goreng ketika masa lapang untuk keadaan-keadaan emergency seperti ini.

"Suka hati kaulah air apa-apa pun, asalkan jangan air paip sudah. Buatnya kembung perut aku ni siapa nak jawab? Maunya merana Encik Izwan aku tu!" Sahutnya yang pada saat itu menyusulku ke dapur. Seperti kelakuannya yang biasa, lengannya dipautkan ke bahuku.

"Hah,Izwan? Eh, kau jadi ke dengan dia Ila? Bila lagi ni, kenapa aku tak tahu?" soalku agak terperanjat dengan berita yang baru sebentar tadi ku dengar dari mulut sahabat baikku yang satu itu, Ila.

"Tu lah engkau. Lama macam ni baru kau tahu. Aku dah pun bertunang dengan dia Disember tahun lepas. Insya-Allah kalau tak de apa-apa aral melintang, sebulan lagi aku akan bergelar isteri yang sah kepada Izwanshah b. Baharom," luahnya gembira.

"Ya Allah, aku ni betul-betul teruk dan tak layak jadi bestfriend kau! Peristiwa yang terlalu penting dalam hidup kau pun aku tak tahu dan tak ambil berat. Kali ni aku betul-betul ikhlas minta maaf pada kau. Tapi, aku betul-betul tak terniat nak buat pada kau macam ni! Aku minta maaf pada kau sekali lagi, tak patut aku perlakukan kau macam ni," bingkisku kesal. Nada suaraku semakin merendah dan sayu. Saat ni aku terlalu sesal dengan sikapku yang terlalu ingin melarikan diri daripada seseorang tetapi pada masa yang sama telah mengabaikan seorang lagi insan yang penting dalam hidupku!

"Kenapa ni Hana? Kau tak pernah bersalah dengan aku.Kau tak perlu meminta maaf kepada aku.Aku tak pernah meletakkan kesalahan itu di bahu kau. Kau ada di samping aku di saat aku perlukan kau pun dah cukup membuatkan aku gembira dan bahagia. Aku tak minta lebih daripada itu," tutur Ila lembut, dialah gadis yang telah berjaya memenangi hati seorang jejaka yang
bernama Hazman. Dan, kerana dia jugalah sebenarnya aku lari jauh meninggalkan suasana itu. Suasana yang telah memerangkapku antara rasa sayangku pada Hazman dan rasa sayang Hazman padanya, sahabat baikku sendiri!

Perbualan kami berkisarkan Izwan dan permulaan kisah cinta mereka sehinggalah kata sepakat diambil untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Juga tentang sesuatu yang aku risaukan selama ini, Ila telah mengetahui peristiwa yang menjadi igauan ngeriku yang berlaku lima tahun lalu. Igauan ngeriku mengenai pertemuanku dengan Hazman yang mana mulutku
sendiri melafazkan 'AKU SUKA PADA KAU' kepada Hazman sedangkan aku mengetahui yang Hazman teramat menyukai Ila! Pada masa yang sama, seorang pelajar yang brutal dan sering mempertahankan prinsipnya dengan mudahnya mencabuli prinsipnya sendiri. Tika mana aku mengenangkan peristiwa itu, dapat kurasakan betapa memalukan dan bodohnya tindakan aku waktu itu!

Dengan ungkapan keramatku yang satu itu telah memutuskan persahabatan yang telah dibina. Lantaran ungkapan keramat itu jugalah, persahabatan yang berlandaskan kepercayaan dan kejujuran itu musnah dan hancur berkecai sekelip mata. Sikapnya turut berubah terhadapku.Tiada lagi ucapan 'Selamat pagi, Hana' seperti selalu mahupun 'Suka la tengok kau senyum!'. Segalanya hambar dan sepi...

Sungguhpun begitu,Ila telah menjelaskan segala-galanya padaku. Hal itu diketahui daripada mulut Hazman sendiri dan tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan aku, Hazman, dirinya sendiri dan juga Izwan. Perkara itu terkunci kemas umpama harta Qarun yang dikunci dengan tujuh lapisan binaan! Tiada sepicing kata pun yang dapat aku lahirkan saat berdepan dengan Ila. Hanya linangan airmata dan esak tangisku yang kedengaran. Waktu-waktu seperti inilah yang membuatkan aku begitu mensyukuri nikmat seorang teman yang bergelar sahabat seperti Ila!

Semuanya sudahpun berlalu, tiada apa lagi yang bisa aku lakukan untuk memutar semula waktu ke zaman itu. Apa yang perlu aku buat sekarang adalah menanti dan terus menanti untuk episod hidupku yang seterusnya. Bukan aku mahu menjadi makhluk Allah yang cuma tahu menanti dan berharap serta tidak mahu berusaha. Tetapi, biarlah Dia yang Maha Esa menentukan
segala-galanya. Meskipun begitu,masih adakah sinar yang akan menerangi jalan-jalanku esok hari?

Sehingga ke dinihari, mataku masih belum mahu lelap-lelap juga. Entah mengapa, malam yang seringkali kurasakan begitu pendek seakan segan-segan untuk bergerak. Ia menjadi panjang dan begitu sunyi sekali. Hanya desiran angin malam yang berhembusan yang menemaniku malam itu. Berita yang kuterima daripada Ila sebentar tadi benar-benar menyusuk ke jiwa. Perihal Hazman yang masih dan tetap mahu mencari dan menemuiku itu menyebabkan begitu sukar untuk aku menenangkan mental ini. Segala kepenatan yang kudambakan sebentar tadi telah terbang menghilang entah ke mana. Yang ada cuma kegusaran dan perasaan yang tidak pasti. Semuanya bercampur baur menjadi satu...

"Ya Rabbi, dah pukul tujuh pagi. Teruklah aku macam ni, apa aku nak jawab pada boss aku ni? Dahlah Subuh pun terlepas!" Pagi itu sungguh membuatkanku menjadi kelam-kabut. Ditambah pula dengan kepalaku yang telah sedia berserabut sejak semalam. Sungguh aku tak menyangka bahawa perkara yang satu itu telah membuatkan hidupku pada hari ini menjadi serba tidak kena. Ya Allah, bantulah hamba Mu yang kerdil ini dalam mengharungi cabaran yang bakal tiba hari ini.

Setibanya aku di pejabat, aku dapati ruang legar pejabat masih lagi kosong dan sunyi daripada staf-staf sedangkan sekarang ini jam sudah menjangkau ke pukul sembilan pagi. Sepatutnya mereka semua telah memulakan tugasan masing-masing kerana waktu bekerja di pejabatku bermula pada jam lapan setengah pagi lagi. Dengan ligat serebrumku berfungsi untuk menghubungi Mila untuk merungkaikan kemusykilan aku ini. Malang lagi diriku pada hari ini kerana di dalam situasi yang kelam-kabut pagi tadi membuatkan aku tertinggal handsetku di rumah. Huh, apalah lagi musibah yang bakal menimpaku hari ini agaknya?

Langkah yang lemah-longlai kuatur ke receptionist counter di pejabatku itu untuk menggunakan telefon yang berada di situ. Tetapi, tiba-tiba... "Happy Birthday To You, Happy Birthday To You, Happy Birthday To Raihana, Happy Birthday To You!" Keseluruhan staf berkumpul sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir kepadaku. Kelihatan Mila membawa kek
coklat kegemaranku dengan disusuli oleh bossku yang seorang itu. Masya-Allah, aku terlupa dengan tarikh lahirku sendiri. Mungkin permasalahan yang berselirat di kepalaku sekarang ini membuatkan tarikh penting seperti itu boleh kulupakan kerana ruang yang ada telah diisi dengan 'perkara yang satu itu'.

Sudah bertambah umurku setahun lagi. Kini, umurku mencecah 23 tahun. Bagiku, semakin bertambah setahun umurku, semakin dekat aku menuju ke alam akhirat untuk menemui Ilahi dan semakin banyak amal ibadat yang perlu kugandakan untuk menampung kekurangan di dalam amal-amal ibadatku sebelum ini. Seperti kata-kata Abu Bakar Al-Razi, Islam menjelaskan tentang kewujudan dua alam iaitu alam dunia dan alam akhirat selepas kematian. Segala tindak-tanduk mereka di dunia bakal dihitung dan dipertanggungjawabkan di hadapan Penciptanya. Di sana mereka akan ditentukan samada ke tempat nikmat, syurga ataupun ke tempat sengsara, neraka.

Hari yang kusangka dipenuhi dengan perkara-perkara yang akan mengusutkan pemikiranku, rupa-rupanya dipenuhi dengan perkara-perkara yang menggembirakanku. Tidak pernah aku menerima kejutan sebegini sejak mula bertugas di Syarikat Angsana Puteri dua tahun yang lalu. Benarlah bahawa Allah mengetahui segala-galanya yang terbaik buat hamba-Nya dan Dia
jugalah yang menentukan hala tuju hidup kita akan datang. Aku duduk berteleku di mejaku,mengenang masa-masa yang telah berlalu dan bagaimana aku menghabiskannya. Air mata hangat menuruni pipiku, kesedihan tiba-tiba menyelubungi diriku. Entah mengapa ianya begitu menghibakan hatiku. Wajah insan itu segera datang tanpa diundang. Bertambah sayu rasanya hati ini. Bila sahaja aku mendapati Mila merenungku kehairanan, air mata yang tumpah tadi segera kuhapuskan dan kuhadiahkannya seulas senyuman pahit...

Sepulangnya aku ke rumah pada hari itu, ada satu lagi kejutan yang menungguku di ambang pintu rumahku! Sebuah bungkusan hadiah yang berbalut kemas dengan pembalut bercorak hati berlatarbelakangkan warna hijau kegemaranku. Kuamati bungkusan itu dengan rasa hairan. Aku cuba mencari sebarang kad ataupun tulisan yang menyatakan siapakah pengirimnya tetapi semuanya hampa.Yang ada cuma sekeping kertas bertulisan tangan yang dilekatkan di bahagian penjuru kanan bungkusan itu yang mengandungi,

Kenangan-kenangan lalu kita tetap ada di depanmu,
Sekalipun mata kasar kita tidak dapat melihatnya,
Sekiranya masih ada sayang dan kasihmu padaku,
Nescaya mata hatimu akan melihat semula kenangan-kenangan itu

Kutekadkan hati untuk terus membuka bungkusan misteri itu untuk mengetahui isi kandungan bungkusan itu. Kalau nak kata yang bungkusan tu housemate aku punya, mustahillah pula sebab ada nama aku di atasnya. Itu bermakna si pengirim tu memang berniat untuk menghantarnya kepadaku. Naluriku kuat mengatakan supaya membukanya. Step pertama, aku bawa masuk bungkusan itu ke dalam dan meletakkan dia atas meja. Step kedua, apalagi? Buka la! Hadiah beb, siapa tak nak kan?! Korang semua mesti tak sabar nak tahu apa benda isinya kan? Aku lagilah tak sabar berbanding korang sebab hadiah itu ditujukan untuk aku! Jeng jeng jeng... Ada kotak kecil di dalamnya. Aku pun terus buka kotak itu tetapi yang sedihnya aku masih juga mendapati ada kotak yang lebih kecil di dalamnya. Sabar jelah dalam hati ni, pelik betul aku siapalah yang nak kenakan aku! Nak kata april fool,dah lepas?!

Semakin lama aku cuba menyelongkar isi perut bungkusan itu, semakin banyak kotak yang kudapati mengisi ruang di dalam setiapnya. Akhirnya, setelah menimbun kotak-kotak yang kukeluarkan dari isi perutnya, aku lihat ada sekeping lagi nota yang tersadai di dasar kotak yang paling kecil dan ianya berbunyi,

Pandai sungguh dirimu berpura,
Laksana tiada apa pun yang terluka,
Tetapi,bodohlah aku jika tidak merasa,
Pedihnya lukamu yang berparut di dada...

Allahu akbar, hamba Allah yang mana pula ni? Bila masa pula aku kenal dia ni? Pelik betul aku, akhir-akhir ni banyak betul aku dapat madah-madah misteri yang aku sendiri pun tak tahu nak tafsirkan macam mana. Semalam punya hal pun tak settle lagi,dah datang pula musibah baru. Siapa sebenarnya orang ni? Adakah orang yang sama dengan yang hantar SMS kat handset aku semalam. Macam orang yang sama je kalau lihat daripada cara penulisannya. Dan lagi satu, kalau diperhatikan dalam-dalam maksud tersirat madah-madah ni macam bersambungan dan boleh katakan merujuk kepada keadaan aku sekarang ni! Eh,tapi yang susahnya tu aku tak tahu siapa pengirimnya...

* * * * * * * * * *

Seminggu berlalu dengan pantas sehingga aku tak berasa akan pemergiannya. Segala misteri yang bersarang di kotak fikiranku minggu lalu kubiarkan ianya kekal menjadi misteri. Sudah terlalu banyak masalah yang datang bertali arus dalam kehidupanku, tak perlulah aku tambahkan lagi dengan menyediakan ruang khusus di dalam kepalaku untuk sentiasa memikirkannya. Masih banyak perkara yang aku perlu berikan keutamaan di dalam hidupku terutama sekali keluargaku. Perjalananku untuk pulang ke
kampung atas permintaan emakku pada kali ini menjadi fokus utamaku. Entah apa pula yang menantiku di sana. Hatiku digamit resah yang berpanjangan dan turut menjemput gundah bertandang di hatiku kala ini.

Bayangan rumahku sudah pun kelihatan dari jarak beberapa meter. Semakin kuat degupan jantungku.Untuk tujuan apa ia berdegup kencang pun aku tak pasti. Tak semena-mena, mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh yang telah lama aku rindui dan dalam masa yang sama aku ingin hindari. Dialah insan yang sering mengganggu tidurku dengan mimpi-mimpi yang tak ketahuan hujung pangkalnya. Kami berada di jalan yang bertentangan tetapi mungkin dia tidak menyedari kehadiran keretaku di jalan itu. Degupan jantung yang kencang tadi secara automatik berubah menjadi normal! Huh, sampai juga aku ke rumahku, rumah yang penuh dengan keceriaan dan kegembiraan lantaran sikap emakku yang suka melatah. Dan, anaknya yang paling kuat menyakat adalah aku! Hehehe... sifat nakal tak pernah hilang daripada diriku.

"Assalamualaikum mak," aku segera memberi salam sejurus melihat emakku sedang leka memarut kelapa di belakang rumahku sambil tanganku gatal mencucuk pinggang emakku! Apa lagi, melatahlah emak aku seorang tu. Hehehe... dengan mak sendiri pun aku nak kenakan.

"Eh,Hazman? Eh, kau siapa? Eh, waalaikumsalam, Hana! Hissh, budak ni. Suka betul terkejutkan mak. Perangai tu tak pernah nak matang sikit," mukaddimah leteran emakku itu sudah pun kedengaran. Belum masuk isi, dan lambat lagilah jawabnya nak sampai ke penutupnya.

"Apa mak ni? Hana yang balik, Hazman pula yang mak latahkan," soalku agak kehairanan. Yelah, bukan nama anak dia yang keluar, tapi nama orang yang anak dia minat pula. Dah la aku baru terserempak dengan dia tadi! Nasib dia tak perasan aku balik sini. Degupan jantungku kembali berdegup kencang. Hai, apalah pula ni? Tadi elok dah berhenti, sambung balik pula dah?! Pelik betul. Nak kata Hazman akan muncul macam sebentar tadi, taklah sebab kereta dia menghala ke arah yang bertentangan dengan aku. Habis tu kenapa yek? Aku menghitung sendirian.

"Ya Allah, belakang kau tu kan Hazman," jawab emakku dengan tangannya yang masih memegang sebiji kelapa. Peluh dingin memercik di dahi tuanya.

Hah, dengan secepat kilat aku menoleh ke belakang dan mendapati..... Alamak,dia lagi! Aah, buat tak tahu jelah. Pelik betullah aku dengan dia ni, suka sangat buat magic show dengan aku.Tadi kan kereta dia menghala ke pekan? Macam mana pula boleh ada kat sini pula? Badanku sejuk menggigil, manakan tidak aku sedemikian, banyak persoalan yang meyerbu kotak fikiranku saat ini. Perlukah aku bercakap dengan dia? Nak cakap apa? Dan yang paling penting... nak ke dia bercakap dengan aku lagi? Dalam aku sedang berkira-kira itu, dia pun memulakan perbualan.

"Assalamualaikum, Hana sihat?"

Hatiku tersentuh apabila dia memanggilku dengan namaku dan bukannya 'kau' ataupun 'awak' seperti awal perkenalan kami dahulu. Suaranya seakan kelu dan terketar-ketar. Bagaikan dipaksa-paksa suara itu supaya jelas di pendangaranku. Di dalam hati ini meronta-ronta untuk segera beredar dari situ. Tidak sanggup lagi untuk mendengar bait-bait kata yang akan keluar dari mulutnya. Tidak berdaya lagi untuk melihat ketulusan dan kemurniaan hatinya yang terzahir di raut wajahnya yang tenang itu.

"Waalaikumsalam warahmatullah. Alhamdulillah Hana sihat," kugagahkan diri untuk menjawab pertanyaannya tadi. Aku tidak mahu menimbulkan sebarang perkara yang membuahkan sangkaan yang bukan-bukan daripada emakku. Anak mataku ini segera kularikan saat bertembung anak matanya itu. Aku jadi serba tak kena. Tudung yang kupakai, entah keberapa kali aku betulkan pun aku sendiri tidak pasti. Lalu, aku mengambil keputusan yang drastik.

"Mak, Hana naik ke atas dulu ye. Berkemas-kemas apa yang patut," tanganku menjinjing beg dan berlalu ke atas tanpa menoleh ke bawah buat kali yang kedua.

"Yelah, Hana. Kau mesti dah letih drive dari pagi sampai ke petang. Selesai berkemas tu, berehatlah. Bila habis kerja mak ni,mak naiklah ye," ujar emakku memahami keletihanku yang hanya pada zahirnya sahaja. Emakku terus menyambung kerjanya sambil berbual dengan Hazman. Entah apa yang dibualkan pun aku takut untuk mengetahuinya.

Keadaan bilikku masih tidak berubah, susun aturnya juga masih sama. Emak begitu mengambil berat soal kebersihan bilikku hinggakan sebesar zarah sekalipun tidak terdapat kekotoran. Lantaran sudah lama aku tidak pulang, ibuku pula yang mengambil alih tugasan membersihkan bilikku itu. Perlahan-lahan aku letakkan begku ke katil tetapi tanganku terlanggar sesuatu yang berada di meja sisi katilku itu. Rupa-rupanya album lama ketika zaman persekolahan aku dahulu. Lantas kucapai dan mula membelek gambar demi gambar yang terdapat di dalamnya. Bola mataku berhenti pada sekeping gambar yang terselit di belakang gambar lain. Gambar apa pula yang menyelit belakang ni ha?

* * * * * * * * * *

"Woi, Ila. Sini la tolong aku, kau buat apa lagi tepi sungai tu?" jeritku bila melihatkan Ila masih lagi tergaru-garu kepala. Sedangkan cikgu suruh masak air je, bukannya cari sumber air! Api pun dah siap hidupkan, tinggal jerang je. Ya Allah, terkedek-kedek pula jalannya, padahal bukannya jauh sangat pun.

"Sekejap la Hana. Aku datang ni. Nah,ambil ikan yang budak-budak tu dah tangkap ngan cikgu tadi," sahut Ila sambil menghulurkan lima ekor ikan yang masih fresh dari sungai. Banyak juga yang dia orang dapat tangkap, baru sejam lebih je!

"Apa pula bagi kat aku? Nak masak apa ni? Nanti aku main masak je kang," soalku pada Ila seraya memintanya supaya bertanyakan pada Cikgu Aznah yang turut serta dalam kem bina diri yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk pelajar-pelajar sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) yang bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar dengan arus globalisasi yang mencabar serta usaha untuk mengurangkan risiko kami menghadapi culture shock nanti.

"Cikgu suruh masak kari yang simple je. Rempah ngan bawang ada dalam bakul kat sana tu," laung Ila sambil jarinya menunjuk ke arah bakul peralatan memasak berhampiran khemah guru-guru pengiring. Isshh, budak ni main tunjuk-tunjuk je.

"Kok iyepun, meh le sini tolong aku siang ikan ni, Cik Ila ooi. Takkan la nak masak ngan perut-perutnya sekali. Silap haribulan, semua yang makan kari ni kena food poisoning lak," balasku sambil bergerak untuk mengambil bahan-bahan untuk memasak. Nasib aku la kena masak hari ni. Budak-budak yang lain entah ke mana perginya.Ah, lantaklah yang penting aku dah
dipertanggungjawabkan dan kenalah ikhlas pikul amanah tu.

"Ala, tak syok la macam ni. Aku bukannya pandai pun siang ikan, kau jelah yang siang," ucap Ila seakan berbisik, mungkin takut didengari oleh yang lain.

"Oklah, aku siangkan. Nanti kau pergi bersihkan yek?" kataku dan segera memulakan tugasan itu. Tak pelah, kawan punya pasal aku tak de halnya.

"Sayang kau, Hana! Nanti kau ajar aku macam mana nak siang tau," wajahnya berbunga ceria sebaik aku mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.

"Eh Ila pandailah awak ni siang ikan," tegur Hazman sambil duduk mencangkung bersebelahan Ila untuk membantunya. Aku ni cepat je dengar suara 'dia' tu, macam telinga kuali lak kan?! Eleh, kalau dah namanya lelaki, mestilah suara tu kuat. Nak bagi slow macam mana sekalipun, orang tetap dengar. Setuju tak?

"Bukan saya la yang siang ikan-ikan ni. Tu ha, Hana yang siang tadi. Dia suruh saya yang bersihkan sebab dia tengah prepare bahan-bahan nak masak kari untuk makan tengahari nanti," ulas Ila panjang lebar sambil mulutnya dimuncungkan kepadaku. Aku hanya buat pekak dan leka meneruskan tugasanku yang kini hampir selesai. Tinggal tunggu Ila bawa ikan-ikan yang dah bersih tu je.

"Hah, Hana yang masak? Dia tu kan brutal semacam, pandai ke buat kerja-kerja perempuan ni?" soal Hazman ragu-ragu.

"Kau ni apalah. Tak semestinya perempuan yang pada zahirnya nampak kasar tak pandai buat kerja rumah," jawab Ila lalu bingkas bangun dan menuju ke arahku.

"Oh, macam tu ke?" Hazman cuba berlawak dengan Ila. Kenapa? Tak percaya? Hehe.. Dia ketawa tapi yang sedihnya lawak dia tu tak dapat respond daripada Ila. Kelihatan Ila begitu serius.

"Kenapa ni Ila? Muncung je. Senyumlah sikit," tanyaku bila tiada segaris senyuman pun pada bibirnya. Pelik aku. Tadi elok je berborak dengan aku.

"Taklah, aku just geram je ngan Hazman tu. Dia underestimate kebolehan kau," balas Ila masih dengan muka yang masam mencuka seperti tadi.

"Walaupun dia kata pada kau, tapi aku yang terasa sebab aku kenal kau lebih daripada dia. Mana boleh suka-suka je nak perkecilkan orang. Mentang-mentang kau ni kasar," luah Ila tidak puas hati. Tersentuh hatiku dengan kata-kata sahabatku ini. Dia yang terasa sedangkan aku yang kena kata ni tidaklah begitu terasa dan segeram dia.

"It's ok. Never mind. Aku dah biasa dengan semua ni. Kau janganlah muncung-muncung macam ni lagi. Asalkan kau tahu aku siapa dah cukup, biarlah orang lain nak kata apa.Aku tetap aku, ok?" sambutku panjang lebar sambil menghadiahkannya seulas senyuman. Kemudian, Ila pun mula tersenyum walaupun agak pahit.

"Ha, macam tulah bestfriend aku. Kena senyum selalu sebab kalau kau senyum, aku pun rasa tenang. Kalau ada yang sakitkan hati kau, bagitahu aku biar aku warning dia," ujarku dengan tangan yang ligat mengacau kari pekat yang sudah hampir masak.

"Eh, apasal muka aku macam kena flash kamera je nih?" soalku serta merta.

"Hana, ada orang ambil gambar kau la!" jawab Ila pantas.

"Siapa la pula manusia tu? Macam dah tak de insan lain yang dia nak ambil gambar candid. Aku juga yang jadi mangsa," bebelku.

"Hazman la, Hana," sambung Ila tak lama kemudian.

"Apasal la mamat sekor ni? Tadi kacau kawan aku, sekarang aku pula yang kena. Tak leh jadi ni," kataku dengan dahi yang berkerut-kerut.

"Takkan la tak leh kacau kau? Bukan ke aku ni kawan kau? Marah ke?"

Hek eleh, bila la pula dia ada kat sini. "Kau Hazman. Bukan tak leh kacau tapi tak kena masa tahu tak," bidasku tanpa menoleh kepadanya. Malas pula aku nak melayan mamat ni. Tiba-tiba pula rasa boring.

"Oklah, aku minta maaf pada kau. Dah siap cuci gambar nia aku bagi pada kau,ok?

Nak pujuk orang nampaknya. "Yelah," sepatah yang keluar. Itupun bena tak bena aku menjawabnya.

* * * * * * * * * *

Kelakar pula aku tengok gambar ni. Punyalah selekeh aku pakai! Hehehe... zaman riang ria kanak-kanak la katakan. Best pula bila belek gambar-gambar lama ni. Nostalgia lalu kembali menjengah. Barulah aku sedar yang lama tu selalunya lebih berharga berbanding yang baru. Perkara-perkara yang baru ni kadangkala buat kita lupa dari mana asalnya kita kerana kita sebagai manusia yang sering membuat kesilapan ni lebih mengagungkan apa yang dimiliki sekarang. Sekaligus lupa untuk mensyukurinya.

Tit tit, tit tit...

Lamunanku terhenti dek deringan SMS yang agak kuat. Macam tahu tahu je aku tengah berangan, kacau daun betullah penghantar mesej ni. Baru nak mengelamun kejap. Mesti budak Mila nih! Aku baru je balik kejap, dah rindu nampaknya pada aku. Ada-ada jelah minah seorang ni.

Usah jauhkan dirimu dariku,
Kerna sedaya upaya kudratku cuba mendekatimu,
Mungkin suatu hari nanti kau akan sedar,
Betapa insan yang kau sering cuba untuk lupakan itu akan terus mekar...

"Issh, isshhh.. Buat balik dah," omelku sejurus mendapati siapakah pengirimnya. Meleset sangkaanku tadi. Lain yang aku sangka, lain pula yang jadi! Tak suka betulah dengan orang yang tak bernama ni. Ingatkan dah stop,at last sambung lagi. Serik aku dibuatnya. Kali ni aku nak guna telefon rumah pula call dia, sure dia tak tahu punya! Hehehe... seronoknya aku.

Trut trut, trut trut.. deringan kedengaran seperti hari tu tapi dia tetap tak angkat. Dia tahu ke nombor telefon rumah aku ni? Musykil dibuatnya. Gasaklah, semuanya tak makan saman. Baiklah aku jenguk mak aku kat bawah. Lama betul tak naik-naik. Fuhh.. nasib baik Hazman dah balik. Lega satu perkara.

"Mak nak buat apa dengan kelapa banyak-banyak ni?" soalku kehairanan.

"Sebenarnya tujuan mak panggil kau balik ni sebab mak nak buat kenduri doa selamat sikit sempena ulangtahun kelahiran kau. Nak harapkan kau balik sendiri,lambat lagilah. Lagipun,sebelah malam pula mak nak buat tahlil untuk saudara-mara kita yang dah pergi ni," jelas emakku sedetailnya.

"La... nak buat kenduri rupanya. Ingatkan apalah yang emergency sangat tu," pintasku sebaik emakku menghabiskan perkataan terakhir.

"Tu lah sebabnya Hazman datang tadi. Mak dah wakilkan dia untuk urusan pembelian barang-barang dan jemput orang-orang surau. Nak harapkan adik-adik kau tu, sampai sudah la tak selesai-selesai. Kau pula baru balik, tak sampai hati mak nak suruh kau yang buat, penat sehari dalam kereta pun belum hilang lagi," sambung emakku yang pada ketika itu sudah siap memarut kelapa-kelapa yang bertimbunan sebentar tadi.

* * * * * * * * * *

"Thanks Hazman sebab tolong mak Hana buat benda-benda tu semua. Patutnya Hana yang uruskan, bukannya Hazman. Mesti penat kan sebab pagi-pagi lagi dah ke pasar," ucapku pada Hazman saat mengambil barang-barang mentah yang telah dibelinya di pasar borong pagi itu. Agak janggal kedengaran bila aku membahasakan diriku sebagai 'Hana' dan bukannya 'aku' seperti
dulu. Kini, aku sudah mula boleh mengawal emosiku terhadapnya. Puas sudah aku mengalirkan airmata bermunajat kepada yang Esa di tikar sembahyang subuh tadi agar semuanya akan berakhir dengan baik. Aku tidak mahu terus dibayangi dengan perkara-perkara lampau itu. Aku memohon kepada Ilahi agar aku dan Hazman masih boleh kekal sebagai sahabat baik seperti di awal
pertemuan kami dahulu.

"Tak de apa-apalah Hana, perkara kecil je. Lagipun, Hazman ikhlas nak membantu," jawabnya sambil menutup bonet keretanya.

"All right, Hazman minta diri dulu ye sebab belum mandi lagi ni. Tak sempat la pagi tadi, nak cepat sangat," sambungnya sambil menahan ketawa. Akhirnya, ketawanya pecah di situ juga.

"Tak pelah kalau macam tu, baliklah mandi. Tapi, tengahari nanti datang tau," sambutku tersenyum. Sikapnya masih sama, suka berjenaka denganku. Namun, aku tidak lagi akan ketawa besar seperti dahulu bila mendengarkan lawak antarabangsanya. Cuma senyuman yang terukir di bibirku. Pengalaman hidup mengajar aku untuk menjadi lebih dewasa dan matang. Bukanlah aku mengubah sikapku untuk menjadi manusia yang bukan diriku tetapi aku hanya mengikis elemen-elemen negatif dari diriku untuk
disesuaikan dengan sekelilingku.

"Insya-Allah, Hazman datang. Hazman balik mandi dulu ye?! Kirim salam pada mak Hana," ketawanya masih lagi bersisa.

Aku hanya mengangguk perlahan seraya naik ke rumahku dengan beberapa plastik barang yang dibeli oleh Hazman tadi di tangan. Dapur adalah destinasiku dan emakku adalah sasaranku. Maunya tak begitu, barang sebegini banyak aku yang bawa seorang!

Tit tit, tit tit... berbunyi lagi handsetku. Sabarlah dulu, berat tau barang-barang ni. Ikutkan hati ni, nak aje aku offkan handset tu. Tapi, bila mengenangkan Mila terus tak jadi. Bukannya apa, Mila tu bukannya boleh kalau aku offkan handset tu. Risau katanya. Hah, baru boleh nak baca. Entah-entah orang yang bernama tu lagi kot?! Aduss, masin pula mulut aku ni! Memang dia pun.

Terima kasih untuk segalanya,
Aku tahu masih ada sisa kasih di sudut hatimu buatku,
Walau kau enggan untuk mengakuinya,
Aku bisa memahaminya kerana hatimu dan hatiku telah bersatu...

Bertambah parah nampaknya! Patut-patut dah duduk ICU ni, tak boleh dibiarkan lagi. Nanti makin kritikal pula! Masuk bab kasih, bab hati dah ni... Kalau berterusan juga kes ni, migrain aku nanti.Senang cerita,aku tukar nombor lain jelah... Tutup cerita pasal ni.

"Fuiyoo... ramainya yang datang mak!" laungku dari depan. Tak jawab pun mak ni, sibuklah tu! Aku juga yang kena jaga bahagian depan ni. Kena layan tetamu pula tu! Aiseh, lupa pula. Ni kan kenduri untuk aku! Haruslah aku yang kendalikan. Petang itu aku mengenakan baju kurung hijau yang simple dan dipadankan dengan sehelai selendang labuh yang kupakai ala-ala kadar asalkan menutup aurat cukuplah. Tak reti aku nak melilit-lilit tu, buatnya terbelit leher ni siapa nak tanggung?

Majlis yang berlangsung dimulakan dengan bacaan doa selamat. Semuanya berjalan lancar dan sempurna seperti yang dirancangkan sebelum ini.Tetamu-tetamu yang datang kelihatan gembira dan menyambut baik jemputan emakku. Alhamdulillah.Setelah kuamati satu persatu wajah hadirin yang datang, ada satu yang kurang. Puas kucari di segenap ruang, namun masih hampa. Lantaran itu, pangkin yang terletak agak jauh dari kesibukan hadirin menjadi tumpuanku untuk berehat seketika sambil menghirup udara segar kampungku yang belum tercemar oleh kepesatan pembangunan. Nafas kutarik
dalam-dalam dan kupejamkan mataku sambil fikiranku menerawang kepada pencarian siapakah penghantar SMS misteri itu. Handsetku masih di tangan. "Siapa orang ni sebenarnya?"soalku sambil membuka mata yang kupejam sekian lama dan seolah-olah menujukan soalan itu kepada handsetku yang masih setia di genggamanku. Dalam masa itu juga telingaku menangkap
sesuatu...

Akulah PUTERA yang selalu merinduimu,
Hamparkanlah kasih dan sayangmu itu buatku,
Lantaran sifatmu yang satu dalam seribu,
Membuat naluriku berkata kaulah PUTERI hatiku...

Segera aku menoleh ke arah datangnya suara itu dan dalam sekelip mata terungkailah sudah segala yang telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam hidupku akhir-akhir ini. Barulah kutahu yang selama ini, dialah insan yang bertanggungjawab atas semua madah yang kuterima tanpa nama pengirimnya itu. Dia jugalah insan yang telah menambat hatiku sejak kali pertama
bertemu dan dialah insan yang telah ditakdirkan Allah untukku. Rupa-rupanya, bossku itu adalah abangnya dan setiap gerak-geriku diperhatikan dari jauh tanpa aku sedari. Semua maklumat tentangku diperolehi daripada abangnya dan dalam masa yang sama Ila turut menjadi sumbernya. Memang benar, ada hikmah di sebalik semuanya. Tanpa kusedari, ada titisan jernih yang mengalir dari pelupuk mataku. Kali ini, titisan jernih itu bukan kerana kesedihan tetapi kerana kegembiraan dan kesyukuran terhadap Tuhan yang Maha Esa yang telah mengabulkan doa hamba-Nya yang kerdil ini untuk mengakhiri semuanya dengan baik.Insan yang kumaksudkan ialah putera hati seorang puteri,Rahazman b. Abdurrahman...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home