Sahabat Sejati
“Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami kerana takdir yang maha Esa telah menetapkan. Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan, kau sahabatku, kau teman sejati…”
Sayu rasa hatiku pabila mendengar nasyid yang didendangkan oleh Kumpulan Hijjaz berkumandang dari corong radio di bilikku. Kenangan silam menjengah kembali. Suraya, seindah namanya begitu juga sifat dan perawakannya. Sedar tidak sedar, sudah hampir enam tahun dia tak berada di samping menemaniku.
Semuanya adalah ketentuan Ilahi. Tanpa kusedari, air mataku mengalir deras. Hidupku bagaikan tidak sempurna tanpa dia di sisi. Kami ibarat adik-beradik yang rapat, ke mana sahaja kami pergi pasti berdua, kami bagaikan tidak dapat dipisahkan lagi.
Walaupun citarasa kami tak jauh berbeza, tetapi kadangkala ada juga pendapatku yang berbeza dengannya. Tetapi sesuatu yang istimewa dan jarang dapat ditemui dalam diri orang lain ialah sifatnya yang lebih terbuka. Dia tidak akan pernah mengkritik atau menyindirku apatah lagi untuk memberi komen yang menyakitkan hati. Dia seorang yang amat menghormati keputusan dan pandangan orang lain. Seandainya aku ada membuat sesuatu yang salah dan dirasakan perlu dibaiki, dia akan menegurku dengan cara yang paling berhikmah dan paling lembut. Sifatnya yang lemah-lembut membuatku lebih menyayanginya.
Jiwanya begitu mudah tersentuh, tetapi amat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain meskipun amat memeritkan. Kami sering berbincang apabila sesuatu keputusan hendak dicapai. Dari hal memilih pakaian sehinggakan hal pelajaran pun kami akan berbincang terlebih dahulu. Persahabatan kami mula bertunas sejak keluarga Suraya berpindah di sebelah rumahku dari Batu Pahat. Dengan kata lain,Suraya merupakan jiranku yang baru. Ayahnya adalah seorang arkitek yang mahir, manakala ibunya pula seorang penghias dalaman yang profesional. Ibunya membuka pejabat di rumahnya untuk memberi perhatian kepada Sofea, adik kepada Suraya yang pada ketika itu masih berusia enam tahun.
Akulah orang yang pertama sekali menyapanya. Itupun setelah aku melanggarnya secara tidak sengaja sewaktu melintasi ruangan pejabat. Bermula dari saat itu jugalah kami bergelar sahabat. Aku amat gembira kerana Suraya mahu menerimaku sebagai sahabatnya yang pertama di sekolah. Pada hari pertama Suraya di sekolah, aku menggunakan waktu rehatku untuk memperkenalkan Suraya pelbagai tempat di sekolahku.
Apabila tiba waktu pulang, Suraya mengajakku untuk singgah ke rumahnya agar boleh diperkenalkan kepada keluarganya. Alangkah terperanjatnya aku apabila mendapati rupa-rupanya Suraya adalah jiran baruku yang berpindah ke rumah pak cik Hamid sehari sebelum sesi persekolahan bermula. Malang sekali keluargaku belum sempat berkenalan dengan mereka kerana pada masa yang sama kami sekeluarga bergegas pulang ke kampungku di Melaka.
* * * * * * * *
“Suraya, nak tak kalau Lisa perkenalkan Suraya pada keluarga Lisa?” pelawaku kepada Suraya dua hari selepas pertemuan kami.
“Boleh juga, lagipun Suraya tak ikut keluarga Suraya semasa mereka ke rumah Lisa semalam,” jawab Suraya.
Aku begitu gembira apabila jawapan itu keluar dari mulut Suraya. Jawapan itulah yang aku harapkan daripadanya. Pada petang itu, dia datang ke rumahku dengan sebakul buah-buahan di tangannya.
“Nah, ambillah. Tak ada apa-apa nak bawa untuk awak, Lisa. Sebelum keluar tadi, mak Suraya pesan supaya bawa buah ni sebagai tanda permulaan persahabatan di antara keluarga kita,” katanya penuh sopan.
“Lain kali, tak payahlah susah-susah bawa semua ni, awak datang pun dah cukup memadai buat saya,” kataku sedikit berseloroh sambil menyambut pemberiannya.
“Mak, Ayah, turunlah. Suraya dah sampai ni,” panggilku. Suraya segera bangun sambil menghulurkan tangan untuk bersalam sebaik sahaja ibu dan ayahku turun.
“Mak, Ayah, inilah Suraya yang selalu Lisa cakapkan tu. Dia ni anak Uncle Shaari dengan Auntie Salmah jiran baru kita tu. Semalam dia tak dapat datang sebab ada perkara yang perlu dibereskan di sekolah,” jelasku panjang lebar tanpa perlu disoal. Aku amat gembira kerana Suraya seorang yang peramah dan bersopan-santun, dan merendah diri menyenangkan kami sekeluarga. Ibu dan ayahku juga mengizinkan kami berkawan. Bermula dari hari itu, ke mana sahaja kami pergi pasti bersama.
Persahabatan kami berlanjutan sehingga ke sekolah menengah. Kami sama-sama mendapat keputusan 5A dalam UPSR dan ditawarkan ke sekolah berasrama penuh di Perak. Kami berdua tidak sanggup untuk melepaskan peluang keemasan ini. Segala persiapan kami buat dari awal lagi agar tidak terburu-buru apabila tiba waktunya nanti.
Kami amat gembira apabila mendapati kami ditempatkan di dorm yang sama dan katil kami pula berada sebelah-menyebelah. Begitu juga di dalam kelas, kami dapat duduk bersebelahan dan ini memudahkan kami untuk mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Perkara sebegitu sememangnya kami telah jangkakan sejak awal lagi kerana kami adalah di antara pelajar yang terawal masuk ke sekolah itu untuk sesi persekolahan yang baru. Tuhan bagaikan tidak mahu memisahkan kami berdua. Alhamdulillah, kami cepat menyesuaikan diri di sana dan senang untuk mendapatkan kenalan baru. Aku sangat gembira kerana guru-guru di sana mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar mereka.
“Suraya, esok kita ada sesi pendaftaran untuk kokurikulum yang akan kita sertai tahun ni. Apa pendapat awak, Suraya?” tanyaku kepadanya pada suatu hari.
“Saya rasa elok tak payah tukar, ikut macam tahun lepas-lepas jugalah,” jawab Suraya. Salah satu keistimewaan Suraya ialah dia mempunyai pendirian yang tegas walau apa jua keadaan yang berlaku. Aku tidak membantah dengan cadangannya kerana perkara yang sama juga yang terlintas di benakku.
Prestasi kami dalam bidang akademik juga meningkat dari sehari ke sehari. Begitu juga dalam bidang kokurikulum. Kami amat bertuah kerana guru-guru dan rakan-rakan kami sering memberi pertolongan sekiranya kami berada dalam kesusahan. Pada tahun itu juga kami akan menduduki PMR.
Kami melipatgandakan usaha kami untuk mencapai kejayaan yang kami impikan iaitu mendapat 8A dalam PMR. Kami percaya kejayaan akan sentiasa menanti sesiapa sahaja yang berusaha. Kami sentiasa berbincang dan mentelaah pelajaran bersama-sama. Jika sesuatu perkara itu masih tidak kami dapati jalan penyelesaiannya, kami berdua akan segera merujuk kepada guru-guru berkenaan.
Segala nota poket telah kami sediakan. Ke mana sahaja kami pergi, kami akan membawa nota poket. Itulah amanat yang telah diberi oleh guru kami dalam ceramah motivasi tempoh hari. Segala nasihat dan petua yang diberikan, kami manfaatkan sebaiknya. Bukan itu sahaja, malah kami akan berjumpa dengan guru-guru kami untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar supaya kami lebih bersedia dalam menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Aku amat berharap agar impian kami dimakbulkan Tuhan. Sebagai usaha sampingan, kami juga mengamalkan solat hajat dan solat taubat sebagai penenang jiwa.
* * * * * * * *
“Hah, macam mana tadi, boleh jawab?” tanyaku kepada Suraya sebaik sahaja keluar dari dewan peperiksaan.
“Alhamdulillah, biiznillah. Insya-Allah, berkat usaha kita, tentu Dia akan membantu,”sambungnya lagi. Selama empat hari kami berperang dengan soalan-soalan yang telah disediakan. Pada hari terakhir persekolahan, kami dibenarkan pulang. Kami berdualah insan yang paling gembira dengan pengumuman itu. Sungguhpun begitu, terselit secebis perasaan sedih untuk meninggalkan sekolah yang telah banyak mencipta sejarah dan mengukir memori indah buat kami dan mungkin tak dapat kami perolehi di tempat lain. Walaubagaimanapun, kami tetap bersyukur kepada Tuhan kerana telah memberi segala nikmat dan kebahagiaan sepanjang usia kami di sekolah ini.
Musim cuti persekolahan selama lebih kurang dua bulan kami rancangkan dengan teliti. Masa yang ada kami penuhi dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti melibatkan diri dalam kem-kem bina sahsiah, program gotong-royong dan pelbagai agenda lain. Kesemuanya bakal mendatangkan faedah dan memberi pengalaman baru buat kami.
Manakala pada waktu hujung minggu, kami sering berkunjung ke perpustakaan untuk meminjam beberapa buah buku-buku novel dan sebagainya. Memandangkan minat kami yang tak jauh berbeza, kami tidak mempunyai masalah untuk mencari lokasi yang sesuai sebagai tempat kunjungan kami.
Saban hari, ada sahaja perkara yang dibualkan oleh kami. Tambahan pula Suraya sering mengemukakan sesuatu topik untuk dibahaskan. Dan akhirnya, aku terpaksa mengalah. Ternyata dia seorang yang tidak mudah putus asa. Ada sahaja pendapat-pendapat bernas yang lahir dari kotak fikirannya, yang kadangkala tidak terfikir sama sekali olehku. Pada suatu petang,seperti biasa Suraya mengemukakan suatu topik untuk dibincangkan.
“Apa pendapat Lisa dengan kehidupan ni?” soalnya tiba-tiba.
“Kehidupan? Bagi Lisa, kehidupan ni memang indah tetapi manusia kadang-kadang tidak sedar bahawa mereka hanya mengisi hidup mereka dengan sesuatu yang mereka rasakan amat menggembirakan hati mereka. Namun, semua itu hanyalah sia-sia semata-mata,” jawabku secara spontan kepadanya.
“Bagi Su pula, kehidupan sememangnya memberikan kita sebuah pengharapan baru setelah kita mencapai kejayaan yang diharap-harapkan. Sungguhpun begitu, kita mesti kuat dalam berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal hadir bila-bila masa sahaja tanpa diduga,” sambungnya sejurus selepas itu.
“Wah, padat betul definasi kehidupan yang Su berikan,” kataku sambil tersenyum.
“Bukan begitu Lisa, kehidupan ni adalah sesuatu yang amat bermakna dan sukar untuk dimengerti. Dalam menongkah arusnya, kita mesti tabah dan cekal agar kita tidak hanyut dan leka dengan kenikmatan dunia yang hanya akan membuatkan kita lupa akan asal-usul datangnya diri kita. Walaupun begitu,hidup ini perlu diharungi dengan cekap agar kita tidak karam di tengah lautan,” sahutnya panjang lebar.
Sedetik kemudian kami mendiamkan diri, bagaikan memberi peluang kepada diri masing-masing untuk berfikir tentang keagungan dan kekuasaan Allah yang memberikan keistimewaan kepada setiap makhluk yang berada di atas bumi ciptaan-Nya ini.
* * * * * * * *
Setelah sekian lama kami menunggu keputusan PMR, masa yang dinanti-nantikan pun kunjung tiba. Dengan dada yang berdebar-debar, kami beratur menunggu giliran. Apabila tiba giliranku, jantungku berdegup kencang , peluh memercik di dahiku. Di antara kesangsian dan kepastian. Kedua-dua perasaan itu berbaur dan melahirkan suatu perasaan yang amat berlainan.
Rasa bimbangku takut kecundang dan yakin akan berjaya dengan cemerlang lebih membuat diriku gementar. Namun segala persoalan yang lahir tadi, segera hilang lantaran melihatkan slip keputusan PMR ku yang memaparkan kejayaanku. Air mata kegembiraan dan kesyukuran terhadap yang Esa mengalir laju menuruni pipiku. Ditambah pula dengan kejayaan Suraya yang memang dapat aku agak sejak dahulu lagi.
Alhamdulillah, kami sama-sama berjaya mendapatkan apa yang diharap-harapkan sekian lama dahulu. 8A tercatat dalam slip peperiksaan kami. Rasa gembira yang amat sangat terpancar di wajah kami berdua. Tanpa berlengah-lengah lagi, kami segera bertemu dengan guru-guru kami untuk mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka. Kejayaan kami ini juga sebagai bukti ketabahan dan penat lelah para guru yang sanggup bersengkang mata demi anak didik mereka. Semoga Allah membalas yang setimpal dengannya.
Kami pulang untuk menyampaikan perkhabaran yang bakal menggembirakan hati kedua-dua ibubapa kami. Saat-saat yang menggembirakan itu pasti tak dapat dilupakan sampai bila-bila. Persekolahan untuk ke tingkatan empat bermula lewat sedikit daripada pelajar-pelajar lain. Peluang ini kami manfaatkan dengan membeli dan melengkapkan buku-buku serta alat-alat pembelajaran yang masih belum mencukupi.
Di samping itu, kami berbincang tentang aliran yang akan diambil pada tahun itu. Kami bercadang untuk mengambil aliran Sains, memandangkan keperluan negara yang amat menginginkan lebih ramai intelek muda yang pakar dalam bidang Sains. Tambahan pula dengan keputusan kami yang agak baik, pastinya permohonan kami tidak akan ditolak.
Dengan izin Allah, semuanya berjalan lancar. Sessi persekolahan kami bermula sebaik sahaja segala persiapan telah tersedia. Meskipun sudah empat tahun berada di sekolah ini, namun perasaan gementar pada hari pertama persekolahan masih tak dapat dielakkan. Walaupun begitu, rasa rindu yang mendalam kepada sekolah dan guru-guru dapat menangkis segala perasaan itu.
Kami tersangat gembira pabila mengingatkan peristiwa lalu yang berlaku di sekolah ini. Pelbagai peristiwa yang gembira, sedih, lucu dan mengharukan berlaku di sini. Semuanya meninggalkan kesan yang mendalam buat diri kami berdua. Tak mungkin sekali kami melupakan peristiwa yang mencatatkan sejarah buat diri kami dan keluarga kami tahun lalu. Di sekolah ini jugalah kami berjaya mendapat keputusan yang membanggakan.Tanpa kewujudannya,siapalah kami di mata masyarakat.
Kami tidaklah menganggap tahun ini adalah ‘honeymoon year’ buat kami. Bahkan, pada tahun ini jugalah bermulanya kerja keras kami untuk menghadapi peperiksaan yang besar akhir tahun hadapan. SPM akan membuka jalan buat kami untuk meneruskan impian dan cita-cita yang telah lama dipendamkan dalam diri masing-masing.
Suraya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli sasterawan yang dikagumi ramai. Tidak hairanlah dengan bakat yang dimilikinya itu, insya-Allah segala impiannya pasti kan jadi kenyataan. Sememangnya aku mengetahui cita-citanya itu sejak dahulu lagi. Suatu ketika dulu, secara tidak sengaja aku terbaca sebuah cerpen yang ditulis olehnya di dalam sebuah buku. Lalu, aku segera meminta maaf kepadanya kerana perbuatanku tadi. Suraya pun menceritakan tentang minatnya yang amat mendalam dalam bidang penulisan cerpen.
Mulai saat itu, aku menjadi pendorong dan perangsang buatnya. Sudah banyak karya-karya yang dihasilkannya. Aku mendesaknya supaya menghantar salah sebuah karya yang dirasakan sesuai untuk menyertai pertandingan menulis cerpen remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertujuan memberikan keyakinan kepadanya bahawa dia mempunyai bakat yang jarang diperolehi oleh orang lain. Walaupun dia enggan tetapi aku cuba untuk meyakinkannya tentang bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya. Seperti yang ku jangkakan selama ini, Suraya berjaya memperolehi tempat pertama dalam pertandingan itu. Suraya begitu terharu dengan kejayaannya itu. Namanya disiarkan di dalam akhbar sebagai penulis muda yang berbakat besar. Hasil karyanya juga turut disiarkan bersebelahan dengan berita tersebut.
Perkara ini tidak dilketahui oleh ibubapa Suraya, begitu juga dengan ibubapaku. Apabila mereka membelek suratkhabar pada hari itu, ternyata mereka terkejut besar dengan kebolehan dan bakat Suraya yang seterusnya membuahkan kejayaan serta pengiktirafan oleh pihak DBP.
Sokongan dan dorongan bertali arus buat Suraya. Ini berjaya membangkitkan kesedaran dalam dirinya untuk terus berkarya. Dari saat itulah, apa sahaja pertandingan yang melibatkan penulisan cerpen akan disertainya. Penglibatannya dalam dunia penulisan menambahkan lagi persaingan buat peserta-peserta lain.
Semangatnya berkobar-kobar dengan kehadiran idea-idea yang bernas dan menarik. Semakin besar cabaran yang harus dihadapi, lebih kental dan tabah dia mengharunginya. Oleh sebab itu, dalam waktu yang sesingkat ini, dia telah berjaya menonjolkan dirinya di arena penulisan. Sokongan dan galakan yang diberikan oleh rakan-rakan dan guru-guru banyak membantunya melayakkan dirinya ke peringkat lebih tinggi. Aku amat bangga dengan kejayaannya .
“Lisa, patutkah Su teruskan minat dalam bidang penulisan ni?” soal Suraya kepadaku pada suatu hari ketika kami sedang mentelaah pelajaran di pangkin berhadapan rumah kami.
Persoalannya pada kali ini agak pelik bagiku. Sebelum ni, tak pernah pula dia mengutarakan persoalan sebegini serius padaku, namun aku segera melemparkan sangkaanku yang satu itu jauh-jauh.
“Kenapa pula ni, kan Su sendiri pernah beritahu Lisa, setiap apa yang baik bagi kita dan kita selesa dengannya, kita tak perlu berhenti daripada meneruskannya, asal saja ia tak melanggar syariat Islam,” sambutku.
“ Tapi..........,” kata-katanya terputus setakat itu sahaja.
“Tapi apa pula Su?” tanyaku penuh kehairanan. Raut wajahnya seakan suram dan matanya yang bundar itu bagai menyembunyikan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti apakah dia perkara itu.
“Tapi, Su rasa macam ada sesuatu yang menghalang Su untuk pergi lebih jauh. Su rasa kejayaan yang Su impikan selama ni mungkin tak dapat Su capai dalam masa sesingkat ni,” sambungnya setelah sekian lama diam membisu.
“Apa maksud Su sebenarnya ni? Lisa tak faham. Masa depan kita masih jauh. Mustahil Su gagal mencapai apa yang Su impikan selama ini,” ujarku penuh semangat.
“Tak mengapalah Lisa, tak lama lagi Lisa akan faham kata-kata Su hari ni. Dah, kita lupakan semua tadi, jom kita pergi perpustakaan negeri. Dengarnya, banyak buku-buku baru yang sampai dua hari lepas, bolehlah kita pinjam sebuah dua,” kata Su mengakhiri perbincangan kami pada hari itu.
Namun, perkara tadi masih bermain-main di kotak fikiranku. Apakah maksud sebenar yang Su ingin rahsiakan daripada pengetahuanku? Walau apa sekalipun yang bakal berlaku, aku akan tetap berada di sisinya, tetap menemaninya, tetap menjadi sahabat yang boleh diharapkan dan aku akan tetap berada di sampingnya dalam mengharungi apa jua musibah yang datang.
* * * * * * * *
Dua minggu sebelum cuti penggal bermula, Suraya sudah tidak kelihatan di sekolah. Sebaik sahaja tiba di perkarangan asrama, aku segera menanyakan tentang perihal kehilangan Suraya ini. Namun,jawapan yang ku terima amatlah menghampakan. Tiada seorang pun yang mengetahui bilakah Suraya pulang.
Aku bertanyakan warden asrama mengenainya. Kata warden asramaku, Suraya pulang diambil ibunya dengan sebab-sebab yang tidak munasabah bagi pandanganku.Tempoh dua minggu yang kulalui itu, kurasakan amat menyeksakan. Setibanya hari yang kunanti sekian lama pada fikiranku, aku tidak berlengah-lengah untuk pulang ke rumah.
Sesampainya di rumahku, aku mencampakkan begku dan segera mengatur langkah ke kediaman Suraya. Penyudahnya, ku lihat pagar di rumahnya berkunci. Dengan perasaan yang sedikit kecewa, aku pulang ke rumahku. Kata ibu, sudah seminggu rumah Su tidak berpenghuni.
Hatiku berdebar-debar. Di sekolah pun dia tidak hadir. Kepada siapa harus aku ajukan pertanyaan ini, sedangkan akulah yang paling rapat dengannya. Aku mundar-mandir di dalam rumah, seperti orang yang hilang punca. Tak tahu lagi ke mana harus di cari mereka sekeluarga, tiada sebarang pesanan yang di tinggalkan kepada jiran-jiran lain. Tidak lama selepas itu,deringan telefon bergema di ruang tamu rumahku. Aku bergegas mendapatkannya.
“Lisa, ini auntie bercakap. Maaflah kami menghilang begitu sahaja. Sebenarnya, ada perkara penting yang hendak auntie beritahu Lisa. Auntie harap Lisa tak terkejut mendengarnya,” nadanya itu membimbangkan diriku.
“Apa sebenarnya yang berlaku auntie? Mana Su? Kenapa dah lama dia tak ke sekolah?” bertubi-tubi soalan yang kuajukan. Perasaanku diterjah kerisauan yang tak ketahuan hujung pangkalnya.
“Begini Lisa, Suraya....” kata-katanya berhenti setakat itu sahaja, bunyi esak tangis jelas kedengaran sekalipun di jauhkan dari gagang telefon.
“Auntie, auntie, cakap auntie, apa yang dah berlaku pada Su,” kerisauanku bertambah apabila mendengar tangisan ibu Su semakin kuat.
“Su dalam keadaan kritikal sekarang ni. Dia mengalami pendarahan otak yang amat serius,” jelasnya dengan suara yang tersekat-sekat.
Aku terjelepuk jatuh ke lantai. Gagang telefon yang ku pegang sebantar tadi telah lama terkulai daripada genggamanku. Juraian airmata yang laju menuruni pipiku bagaikan menjawab segala persoalan yang menjadi kemusykilan di hatiku sejak kebelakangan ini.
Suraya , mengapa kau tak ceritakan semuanya padaku. Padahal, kau sering berada bersamaku apabila aku berhadapan dengan sebarang masalah. Tapi apabila tiba giliran kau, kenapa kau pendamkan seorang sahaja?
Dengan langkah yang tak bermaya, berita yang baru ku terima sebentar tadi tetap ku sampaikan kepada kedua-dua orang tuaku. Mereka bagaikan tidak mempercayainya. Namun, walau masa diputarkan kembali sekalipun, perkara itu tetap akan berlaku. Semua ini adalah qada dan qadar Allah. Langkah segera diatur untuk cepat bertemu dengan Suraya.
Sesampainya aku di pintu masuk wad di mana Suraya di tempatkan, langkahku bagaikan terkaku dan mulutku terkunci tanpa bisa mengeluarkan sepatah perkataan pun. Mana mungkin aku boleh berlakon seperti biasa, sedangkan Suraya, sahabat baikku sedang terlantar sakit di depan mataku sekarang ini. ku tidak boleh sesekali pun menipu diriku yang semuanya dalam keadaan normal.
Mengapa berlaku perubahan yang begitu drastik pada diri Suraya. Sedangkan baru sahaja aku melihatnya tersenyum riang dengan aksi lincahnya, seolah-olah perkara sebegini tak akan pernah berlaku ke atas dirinya. Wajahnya yang cengkung, susuk tubuhnya yang semakin kurus, begitu juga dengan pandangannya yang seakan kosong.
Walaupun begitu, dia tetap melontarkan senyuman buat kami sekeluarga. Tetapi, aku tahu senyumannya pada kali ini mempunyai maksud tersirat yang amat mendalam sekali maknanya. Dalam pandangannya yang kosong itu dapatku lihat penderitaan yang dirasakan pada saat itu. Aku bagaikan menyalahkan diriku kerana aku tidak dapat berbuat apa-apa sebagai sahabat yang selama ini sering membebankan dirinya dengan pelbagai perkara. Bahkan, aku tidak berdaya untuk melakukan sesuatu melainkan hanya melihat dengan perasaan simpati dan linangan airmata yang tak berkesudahan.
Di bahagian tubuh dan kepalanya berselirat dengan pelbagai wayar yang aku sendiri tak pasti apakah tujuannya. Bagiku, semuanya bakal menyiksa diri sahabatku yang satu itu.
“Lisa,datanglah dekat dengan Su,” panggilnya dengan nada yang amat lemah. Aku bagaikan tersentak daripada lamunan dan melangkah ke sisi tempat pembaringan Suraya.
“Lisa......,maafkan Su ya. Bukan maksud Su nak rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Lisa. Su cuma tak mahu Lisa bimbangkan diri Su. Sebenarnya, dah lama Su nak beritahu hal yang sebenar pada Lisa, tetapi mulut Su seakan berat. Penyakit ni dah lama Su hidapi, tetapi sekarang dah semakin kronik dan tiada apa lagi yang dapat memulihkan Su. Cuma, kita sebagai hamba-Nya boleh berharap pada yang Maha Esa,” katanya dengan penuh kesabaran.
“Su,kenapa semua ni mesti berlaku pada Su? Kalau di beri peluang, Lisa akan gantikan tempat Su. Lisa tak sanggup melihat Su dalam keadaan seperti ni,” kataku dengan suara yang teresak-esak.
“Sampai hati Su tak beritahu hal yang sebenar pada Lisa. Lisa dah anggap Su macam kakak Lisa sendiri, kenapa Su buat begini?” tangisanku bagaikan tak dapat dibendung lagi.
“Lisa kena belajar terima hakikat bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui Maha Penciptanya. Walau apapun, Lisa kena pasrah atas apa yang bakal berlaku. Bila-bila masa sahaja Su akan dijemput pergi, mungkin esok, mungkin hari ini,” sambung Suraya dengan sedikit getaran pada suaranya.
“Tapi, Lisa belum bersedia untuk hadapi semua ni. Rasanya seperti baru semalam kita berjumpa, dan sekarang dah nak berpisah? Lisa tak sanggup, Lisa tak sanggup!!!!!!!!” jeritku sambil berlari keluar dari bilik itu.
* * * * * * * *
Sepuluh minit kemudian,Sofea datang menghampiriku.
“Kak Lisa, Kak Long dah.......,” katanya lalu memeluk erat tubuhku.
“Mengapa ni, Sofea? Cakap pada akak,apa yang dah jadi?”tanyaku dengan perasaan yang agak gemuruh.
“Kak Long dah tak ada lagi......,”sambungnya dengan esakan dan badannya terhenjut-henjut menahan tangis. Aku bagaikan tidak percaya apa yang baru sahaja diberitahu oleh Sofea sebentar tadi. Segala tenagaku sudah hilang dek khabar yang bagaikan halilintar merentap tangkai jantungku. Dengan memimpin tangan Sofea, aku melangkah menuju semula ke wad Suraya.
Meskipun dia melalui saat-saat yang maha hebat dalam hidupnya, dia masih mampu tersenyum buat kali terakhir. Mungkin itulah anugerah daripada Allah kepada hambanya.
“Maafkan Lisa, Su. Lisa tak dapat berbuat apa-apa di saat-saat terakhir Su,” ucapku dengan menghadiahkan sebuah kucupan di dahinya yang senantiasa sujud mengabdikan diri kepada yang Maha Esa. “Innalillahi wainna ilaihi raaji'un,” ucapku sebelum beredar.
* * * * * * * *
Setelah seminggu pemergian Su, aku mula berfikir akan kata-katanya tentang erti hidup bagi dirinya. Katanya,“........hidup ini memang memberi sebuah pengharapan baru setelah kita mencapai kejayaan yang kita harap-harapkan. Namun, kita perlu kuat untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal hadir pada bila-bila masa.....”
Masih terngiang-ngiang lagi suaranya yang lembut menuturkan ayat itu. Baru sekarang ini aku mengerti apa yang pernah dikatakan Suraya suatu ketika dulu.
Sejenak kemudian,ibu Suraya muncul dan menghulurkan sesuatu kepadaku. Surat.Tertulis bersih pada sampulnya: “Kepada Sahabatku , Lisa”. Perlahan-lahan aku membacanya.
“Assalamualaikum, Lisa. Mungkin ketika Lisa membaca surat ini, Su sudah pun pergi dijemput Ilahi. Sebagai permulaan, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lisa kerana sudi untuk menjadikan Su sebagai teman dan sahabat baik Lisa. Tak pernah Su rasakan sebahagia ketika berada di samping Lisa.
Lisa adalah segalanya bagi Su. Teruskanlah belajar dan berusahalah untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam SPM pada tahun ini. Buatlah yang terbaik bagi pihak Su, ya. Buktikan pada semua orang yang Lisa mampu untuk berjaya seperti orang lain juga. Su tahu, Lisa punya bakat dalam penulisan juga. Betul kan? Di sini, Su harap Lisa akan teruskan cita-cita Su yang terbengkalai sekerat jalan.
Baiklah, satu lagi jangan jadikan ketiadaan Su sebagai penghalang untuk Lisa berjaya dalam hidup. Kalau boleh buktikan pada satu dunia, Lisa juga mampu menjadi seorang penulis yang terkenal di mata dunia suatu hari nanti.
Akhir sekali, Su perlukan bantuan Lisa untuk mencetak novel yang telah berjaya Su siapkan seperti mana yang dicadangkan oleh rakan-rakan kita di sekolah. Berikan kepada mereka sebagai cenderahati Su yang terakhir dan berikan judul ,"Kasih Sahabat" kepada novel tersebut. Yang asal, Su mahu Lisa simpan sebagai 'masterpiece' istimewa dari Su. Novel itu ada pada ibu Su.
Assalamualaikum daripada sahabat mu yang sangat menyayangi mu. Segala pengorbanan mu tetap abadi dalam memori.”
Yang ikhlas,
Suraya Shaari.
P/S: Tolong tengok-tengokkan ibu dan Sofea ya! Sampaikan salam rindu buat rakan-rakan dan cikgu-cikgu di sekolah. Katakan pada mereka bahawa Su memohon maaf atas segala kesalahan yang telah Su lakukan pada mereka semua...
* * * * * * * *
Aku menarik nafas panjang. Bagaikan tidak ku percaya masa berlalu begitu pantas. Namun, namanya tetap bersemadi di dalam diari hidupku. Kisah di antara kami berdua tak akan pernah padam dari hati kecilku ini. Segala azimat yang telah diberikan kepadaku, kini menjadi penyuluh hidupku. Dan Alhamdulillah,aku telah memenuhi hajat Suraya kerana aku telah dikenali ramai dengan bakat yang mengalir dari diri Suraya. Nama "Malisa Mawaddah" sudah semakin terkenal di seluruh dunia.
Tirai senja sudah mula berlabuh. Burung-burung sudah pulang ke sarang masing-masing. Mentari semakin tak sudi menemani siang untuk memberi peluang kepada malam menggantikan gilirannya. Lamunanku terhenti apabila terdengar ada orang memberi salam di apartment milikku.
“Waalaikumsalamwarahmatullah. Oh, Sofea. Masuklah. Lambatnya balik adik kakak seorang ni, banyak assignment ke?”soalku kepada Sofea.
“Tak adalah banyak sangat kak. Tapi, maaflah sebab buat akak tertunggu-tunggu pula,” jawabnya.
Sekarang ini, Sofea tinggal bersamaku kerana universitinya berdekatan dengan tempat tinggalku. Dan sempurnalah sudah permintaan arwah Suraya kerana saban minggu aku akan menjenguk keluarganya di samping keluargaku sesuai dengan apa yang dihajati oleh arwah Suraya. Lega rasa hatiku kerana cita-cita Suraya dapatku teruskan hingga ke penghujungnya, meskipun perjalanan karierku masih jauh di hadapan.
“Akak, makan malam Sofea dah siapkan. Marilah kita makan,” laung Sofea dari dapur.
“Ya Allah, kenapa Sofea tak cakap nak masak, akak boleh tolong sekali. Akak ingat tadi, malam ni nak ajak Sofea makan di luar, ” ujarku sambil menutup tingkap-tingkap dan menghidupkan lampu-lampu bagi menerangkan ruangan di kediamanku itu.
“Tak apalah kak, Sofea pun rasa rajin pula nak masak hari ni. Lain kalilah kita makan di luar ya. Sofea nak bagi peluang akak berehat sekejap. Kerja tu kuat sangat, tak ada rehat langsung. Kesian Sofea tengok akak ni,” getus Sofea melahirkan rasa ihsan seorang adik kepada kakaknya.
Biarpun ketiadaan Suraya amat menyedihkanku, namun dengan adanya Sofea di sampingku, dapatlah mengurangkan sedikit kesedihan hatiku ini. Setiap kali aku memandang Sofea, aku dapat rasakan bahawa ciri-ciri ketinggian akhlak arwah Suraya berada di dalam diri Sofea. Kemurnian hati Sofea adalah ketulusan hati Suraya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Suraya. Aamiin........

0 Comments:
Post a Comment
<< Home