Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Bukannya Tak Sayang

"Saya hormatkan abang, saya sayangkan abang, saya sanjung abang. Abang adalah segala-galanya bagi saya. Saya akui abang seorang anak yang taat. Bertuah la seorang ibu jika memiliki seorang anak seperti abang. Tapi, abang bukanlah seorang suami yang baik bagi saya. Lepaskan saya bang. Saya dah tak sanggup lagi hidup dalam keadaan macam ni."

"Jangan buat abang macam ni sayang, berilah abang peluang sekali lagi. Abang janji, abang tak akan sia-siakan hidup sayang..."

"Sudahlah bang, saya dah tawar hati dengan apa yang berlaku. Saya betul-betul tertekan. Kehilangan orang yang bakal menyerikan hidup saya betul-betul membuatkan jiwa saya kosong. Lepaskan saya bang. Biarlah saya hidup dengan cara saya sendiri. Selama ini pun saya hidup sendiri walaupun saya mempunyai suami."

Farib tersentak. Kenangan lalu begitu menyesakkan. Kehilangan seorang anak yang bakal lahir serta isteri yang telah membawa diri akibat perbuatannya membuatkannya tertekan. Menyesal kemudian tiada gunanya.

Apa lagi yang harus dia lakukan? Pelbagai cara dilakukan untuk memujuk isterinya kembali namun wanita itu semakin menjauh. Walaupun dia tidak menceraikan isterinya itu, namun sudah enam bulan mereka tidak tinggal bersama.

Dia mengakui, selama Farah bersamanya, wanita itu banyak betul bersabar. Banyak betul kesilapan yang telah dilakukannya. Namun Farah masih lagi bersabar. Walaupun sekali-sekala wanita itu merajuk. Tapi rajuknya tidaklah lama. Dia akan kembali sejuk setelah dipujuk. Namun kali ini, walaupun dipujuk seribu kali, hati Farah bagaikan sudah tertutup untuknya.

"Aku meluatlah tengok kak Farah tu, mengada-ngada. Kalaulah aku jadi abang Farib, tak nak aku jadikan kak Farah tu bini."

"Tak baik hang cakap macam tu. Buruk-buruk pun bini abang hang, kakak ipaq hang juga. Kak Farah hang tu, dah cukup baik mak rasa. Lemah lembut, sopan, semua sifat yang harus ada pada seorang isteri ada pada dia. Betuah mak dapat menantu macam dia."

"Tah, yang hang dengki sangat sapa suruh. Lantak dia la nak mengada-ngada pun. Dia mengada pun bukannya dengan orang lain, dengan laki dia gak."

"Hang dengan mak sama je... menangkan sangat pompuan gedik tu. Menyampah aku!"

Farah betul-betul terkilan, dari dulu lagi dia sudah dapat mengagak yang adik ipar yang seorang itu tidak berapa menyukainya.. Namun dia diamkan saja. Perbualan tadi telah memperkukuhkan lagi syak wasangkanya selama ini. Mujurlah ibu mertuanya mempertahankan dirinya. Kalaulah semua orang di dalam rumah itu membencinya, apa lagi yang tinggal?

Dia betul-betul tidak menyangka, kebencian adik iparnya itu membawa tragedi yang sukar untuk dilupakan. Akibat ingin menyelamatkan berbalahan antara mak dan anak, dia sendiri yang mengorbankan diri, sehinggakan kehilangan anak yang bakal lahir. Farib, lelaki itu hanya menyalahkan dirinya kerana kejadian itu. Dia tidak tahu kesakitan yang dihadapi akibat tumpah darah. Semua itu Farib tidak ambil kisah. Dia hanya mementingkan ibunya yang hanya luka di dahi sedangkan isterinya meraung kesakitan. Farhana. Adik iparnya itu hanya tersenyum sinis terhadapnya. Dan dia masih ingat lagi kata-kata Farhana, ”Kak Farah yang tolak mak!”

Dengan sikap Farib yang melulu tanpa usul periksa benar-benar melukakan hatinya. Walaupun selepas menyedari perihal yang sebenar, suaminya berusaha untuk memujuknya kembali, dia sudah pun tawar hati. Ditambah pula dengan sikap adik ipar yang seorang itu. Betul-betul membuatkannya serik untuk kembali kepada suaminya semula. Bukan dia tidak sayang....

"Hang pon satu.. Lain kali selidik dulu. Ni tak, hang pi dengaq cakap budak ni buat pa? Betui cakap Farah, hang memang anak yang baik. Tapi hang tak leh jadi laki yang baik. Mak rasa, mak pun salah juga. Tak sedar yang hang dah pon berbini. Tanggungjawab pada bini juga penting, walaupun syurga tu di bawah tapak kaki mak. Hang tak leh abaikan bini hang. Kalu mak habaq kat hang awai-awai pasti tak jadi lagu ni... Si Farah tu budak baik.. Hang buat la lagu mana pon, di sabaq ja. Sampai raya pon dia balik raya sorang. Tak kan hang tak leh nak baca kot? Kalu dia tak suka kat mak, dah lama dia tunjuk perangai. Kalu dia tak da masa tu, mak ni ha ganti tempat dia kat spital tuh! Hang pon Ana, yang dok pi jadi batu api tu sapa suruh? Mak tak ajaq hang jadi lagu ni." Panjang betul emaknya bersyarah hari itu. Tidak pula dia menyangka, perbualannya dengan Farah didengari oleh emaknya. Riuh rendah jadinya.

Mana taknya, menantu yang disayangi merajuk hati.

Walau sebanyak mana pun maaf yang diminta, Farah tetap kaku. Farah memang degil. Sifat yang ada pada wanita itu sejak dari dulu lagi. Disebabkan kedegilan itulah dia tidak berjaya memujuk Farah.

Bagi Farah, sungguh pun dia merindui saat-saat manis ketika bersama dengan Farib namun adalah mustahil untuk kembali semula kepada suaminya itu, selagi ada orang yang tidak menyukainya di kalangan keluarga suaminya.

Dia mempunyai prinsip. Perkahwinan bukanlah sekadar berkahwin dengan satu pihak sahaja. Bagi dia, harus juga berkahwin dengan seluruh keluarga. Barulah kebahagiaan akan muncul disamping mempunyai perasaan saling menghormati dan percaya antara satu sama lain. Dia rasa, dia telah melakukan yang terbaik untuk kebahagian rumah tangganya. Namun, segala usahanya tidak pernah dihargai.

Apa lagi yang tinggal untuknya. Anak yang kian membesar di dalam perutnya dulu pun sudah tiada. Si suami pula seolah-olah sudah mula letih untuk memujuknya kembali. Kadang-kadang dia terasa ingin mengalah dan kembali semula kepada suaminya. Tapi bila dikenangkan kemungkinan yang bakal berlaku, dia menyepi. Khuatir segala janji suaminya semasa memujuk hanyalah satu alasan untuk mandapatkannya kembali. Dan selepas itu, dia akan kembali kepada perangai yang asal di mana, dia akan dibiarkan terluka dengan sikap Farib yang lebih mementingkan keluarganya sendiri.

"Farah.. janganlah terlalu degil. Kita mula sekali lagi. Kita masih muda sayang. Sebanyak mana pun anak yang sayang inginkan, abang boleh kasi. Yang sudah tu sudahlah. Farah merajuk macam mana sekali pun, yang pergi tak kan kembali. Melainkan kita berusaha untuk mendapatkan yang baru.

”Abang sayangkan Farah. Abang tahu, abang terlalu pentingkan keluarga abang, sehingga abang mengabaikan Farah. Tak bolehkah Farah bagi abang peluang. Abang janji, abang tak akan mensia-siakan Farah. Tolonglah Farah. Jangan seksa abang macam ni. Farah nak marah, marahlah. Nak pukul abang, abang rela. Tapi, janganla diam macam ni." Farah masih lagi menyepi. Ingin sekali dia memeluk lelaki itu. Mengubati kerinduan yang kian mencengkam. Namun keegoan dan kedegilan mengatasi segalanya.

"Abang tahu, Farah pun sayangkan abang, Farah rindukan abangkan? Abang dapat agak, dari mata Farah pun abang dah dapat agak. Farah mahukan abangkan? Dah la tu, jangan merajuk lama sangat. Nanti cepat tua." Tubuh Farah dirangkul erat. Dan Farah hanya merelakan pelukan suaminya itu. Dia rela, sudah ketentuan hidupnya bersama dengan lelaki yang bernama Farib.

Memang Farib tidak pernah memungkiri janjinya. Banyak betul perubahan yang berlaku pada diri Farib. Semuanya sama rata, Farib tidak lagi mementingkan kepentingan sebelah pihak sahaja. Walaupun kebencian Farhana terhadapnya masih belum hilang, itu semua dapat diatasi dengan kehadiran Farib. Apalah sangat yang Farhana dapat lakukan untuk menyakiti hatinya kalau Farib selalu di sisi. Kadang-kadang dia pula menjadi rimas.

Asyik berkepit saja. Namun dia tetap bahagia. Dan baru-baru ini dia merasakan kelainan pada dirinya. Satu perasaan yang datang semasa dia mengandungkan anak sulung mereka dulu. Mungkinkah...

"Tahniah, puan mengandung dua bulan." Terasa bagaikan dunia ini dia yang punya. Tak sabar rasanya untuk menyampaikan berita yang gembira ini kepada Farib. Tentu Farib juga akan gembira. Dan seluruh keuarga juga akan gembira. Dia pasti sekali tentang itu, mana tidaknya, cucu sulung.

Dia bercadang untuk menelefon saja suaminya untuk mengkhabarkan berita yang gembira itu. Alih-alih dia membuat keputusan untuk berjumpa dengan suaminya sendiri. Bercakap di telefon tidak dapat melihat tindak balas dari suaminya. Dia tidak terus pulang ke pejabat. Pacuan empat roda itu dipandu menuju ke arah Ampang tempat suaminya bekerja.

"Kak, maafkan Ana kak. Selama ni Ana banyak buat salah pada akak. Ana tak pernah layan akak selayaknya sebagai kakak ipar Ana. Ana tak pernah hormatkan akak. Ana janji kak, Ana akan berubah. Ana akan jadi adik ipar yang baik untuk akak. Tapi, akak kenalah kuatkan semangat. Akak kena la balik rumah dulu. Kalau tak macam mana Ana nak jadi adik yang baik kalau akak masih kat sini." Dia yakin, setiap kata-katanya itu dapat didengari oleh Farah. Walaupun sebenarnya Farah koma, doktor jugalah yang berpesan supaya sentiasa berbual dengan Farah untuk menguatkan semangatnya supaya cepat sembuh.

Farhana betul-betul sedih. Mulia sungguh kakak iparnya itu. Walaupun dia tidak pernah melayannya dengan baik, kakak iparnya tidak pernah berdendam. Buktinya, dia sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan dirinya dari dilanggar kereta. Kalau dulu, kakak iparnya jugalah yang menyelamatkan emaknya, sehingga kehilangan anak yang dikandung. Kini, kakak iparnya jugalah yang menyelamatkan dirinya. Dia betul-betul insaf dengan apa yang terjadi.

Peristiwa itu masih lagi terbayang di fikirannya. Berselisih dengan Farah di luar kawasan pejabat abangnya betul-betul membuatkan dia geram.

Sudahlah di rumah asyik berkepit, waktu kerja pun nak berkepit. Menyampah betul dia dengan Farah. Dia sendiri pun tak faham dengan perasaan cemburu terhadap abang sendiri. Penyudahnya, dia memaki kakak iparnya di khalayak ramai. Dan Farah, hanya mendiamkan diri walaupun dia telah dimalukan.

Habis melepaskan geramnya, dia meluru ke jalan raya tanpa sempat memerhatikan kereta yang lalu lalang. Sedar-sedar, Farah menolaknya jatuh dan Farah sendiri terhumban jauh akibat dilanggar kereta. Dia betul-betul kaget. Takut, sedih dan sebagainya bermain di fikiran. Kenapa kakak iparnya itu sanggup menyelamatkan nyawanya sedangkan baru tadi dia dimalukan?

Abangnya pula, sudah seminggu tidak bertegur sapa dengannya. Semenjak Farah dimasukkan ke hospital, semenjak itulah abangnya menjadi tidak keruan. Sudahlah kehilangan anak yang pertama, yang kedua juga tidak menjadi. Bukan itulah yang difikirkan sangat. Keselamatan isterinya adalah yang paling penting. Bimbang kalau-kalau dia akan kehilangan Farah sekali gus.

"Tak sedaq lag ika Ana? Betapa mulianya kak Farah hang. Sampai sanggup menggadai nyawa sendiri untuk hang. Hang patut berterima kasih kat dia." Terngiang-ngiang suara semua orang menyalahkan dirinya. Lebih-lebih lagi suara abangnya. "Hang suka la. Suka la kalu bini aku tu mati. Hang dengaq sini Ana, kalau apa-apa terjadi kat Farah, aku tak akan maafkan hang sampai bila-bila!" Air matanya merembes laju.

Masih terasa kesakitan di pipi akibat penampar sulung dari abangnya. Tidak berbaloi rasanya, kesakitan yang dia alami tidaklah sama dengan kesakitan yang dirasai oleh Farah, kakak iparnya itu. Dia betul-betul mengharap agar dialah yang berada di tempat Farah sekarang.

"Kak, bangun la kak, dah lama sangat akak tidur. Semua orang tengah tunggu akak bangun. Lebih-lebih lagi abang Farib. Kesian abang kak, tiap-tiap hari dia risaukan akak. Semua orang salahkan Ana, kak. Sebenci-benci Ana kat akak pun, tak sampailah Ana nak tengok akak macam ni. Ana pun ada berperikemanusiaan lagi kak. Lepas kejadian tu, Ana betul-betul insaf.

”Ana bukan bencikan akak sebenarnya. Cuma Ana takut, bila abang dah kawin, dia akan mengabaikan kami sekeluarga. Ana takut abang jadi orang lain bila kawin dengan akak. Ana tak sedar, lambat laun abang akan kawin juga walaupun bukan dengan akak. Ayah pulak dah tak de. Sebab tu Ana tak mau abang beralih kasih pada akak sorang, sedangkan kami adik beradik masih memerlukannya." Farhana masih lagi meluahkan perasaannya.

Farah tenang di dalam koma. Sesekali dadanya berombak laju, mungkin menahan kesakitan. Bagi Farib pula, dia tidak mungkin memaafkan keterlanjuran yang telah dilakukan oleh adiknya itu.

Fariblah yang paling gembira ketika doktor memberitahu yang isterinya sudah sedar. Namun kegembiraannya hanyalah untuk seketika. Tatkala Farah memohon cerai darinya buat kali kedua, dia terdiam. Hanya mampu meraup kedua belah tangannya ke muka. Tak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

Walaupun sudah puas dia memujuk, namun dia gagal. Dan dia tidak sudah untuk meletakkan Farhana di dalam keadaan yang bersalah kerana menyebabkan semua itu berlaku. Menyebabkan dia kehilangan Farah untuk kali kedua. Sampai akhir, Farib bertekad untuk berusaha mendapatkan Farah kembali. Walaupun ia mengambil masa yang lama.

Sungguh pun peristiwa itu sudah lama berlalu, namun Farah masih tidak dapat melupakannya. Berbuih mulut Farhana memohon maaf darinya, namun dia hanya mendiamkan diri. Kehilangan anak di dalam kandungan untuk kedua kali begitu menyesakkan. Dia sudah nekad, untuk bersama dengan Farib semula adalah mustahil. Farah tidak mahu perkara yang sama berulang jika dia masih dengan Farib. Walaupun Farahana bersungguh dalam menyuarakan kemaafannya…. Dia pasrah. Mungkin sudah tiada jodohnya bersama Farib.

Bukannya dia tidak sayang……

0 Comments:

Post a Comment

<< Home