Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Jangan Menangis Kerana Lelaki Itu

SATU

Duhai hati… tabahlah menghadapi dugaan yang entah bila akan berlalu dan surut dari lingkaran kehidupan. Puas kupujuk hati dan berjanji agar jangan menangis kerana lelaki itu, namun acapkali aku telah mungkiri. Terasa hari-hari yang berlalu seakan tiada erti. Terasa hidup yang dulunya manis menjadi tawar. Terasa hidup yang dulunya penuh dengan warna-warna bahagia menjadi warna duka. Hitam dan langsung tiada serinya. Tatkala ini aku terkatung-katung bersendirian dalam dunia yang tiada berpenghuni. Dengan jiwa milikku yang kerdil lagi lemah ini aku tidak mampu menolak badai yang tiba-tiba datang menjengah.

DUA

Cinta bisa merubah segalanya. Entah kuasa apa yang dimiliki oleh cinta sehingga manusia sanggup melakukan apa saja deminya. Benarlah ada sang pujangga berkata “kerana cinta pahit berubah menjadi manis, kerana cinta tembaga berubah menjadi emas, kerana cinta hampas berubah menjadi sari murni, kerana cinta pedih menjadi ubat, kerana cinta kematian berubah menjadi kehidupan dan kerana cinta raja berubah menjadi hamba”. Dan kerana cinta aku yang dulunya pemurah menjadi sangat kedekut. Kedekut untuk melempar segaris senyuman yang suatu masa dulu sentiasa menghiasi seulas bibir ini. Salahkah aku kerana membenci cinta?

TIGA

“Perasaan aku telah lama mati Dira. Kala ini kalaupun ada lelaki yang datang melamarku, aku tidak akan menerima cintanya. Aku benci dengan lelaki Dira. Bagi aku bicara lelaki sukar dicari kebenarannya.”

“Zie… kalaupun kau membenci dia, mengapa harus kau libatkan semua lelaki. Lelaki pun ada yang baik, sama macam kita.”

“Mengapa tidak? Kerana lelaki itulah air mata ini tidak putus-putus mengalir. Aku menyintainya Dira, sepenuh hatiku, tapi dia!!!!” Bicara aku mati di situ. Yang pastinya aku menangis lagi. Entah mengapa aku tidak henti-henti menangis semenjak kehilangannya.

“Zie, dulu lagi aku dah cakap dengan engkau. Jangan terlalu menyayangi orang lain. Kelak dia akan menjadi orang dibenci. Bukankah Rasulullah pernah bersabda “Janganlah kamu menyayangi seseorang itu kerana kelak kamu akan membencinya dan janganlah kamu membenci seseorang itu kerana kelak kamu akan menyayanginya.”

“Zie, dengar sini. Mulai hari ini aku tak nak tengok kamu macam ni lagi. Sedarlah dan bangunlah. Jalan hidup kita masih panjang. Jangan kerana lelaki itu kau musnahkan segalanya. Zie berjanjilah dengan aku.” Dira mengangkat wajahku. Memaksaku menatap matanya. Namun pandangan ini semakin berbalam.

EMPAT

Tiga bulan selepas kehilangannya. Terasa hari-hari yang berlalu seakan tiada erti. Fikiran ini terasa kosong, hambar dan tawar. Tiada lagi saat-saat manis dalam hidup. Entah mengapa kehilangannya telah menghanyutkan aku ke lautan duka yang maha luas, yang tiada bertepi. Belum puas kukecapi kehangatan kasihnya dia terlebih dahulu pergi tanpa pamitan. Masih jelas terpahat di layar kenangan tatkala kami sama-sama berjanji bahawasanya kami akan berterus terang andai ada apa-apa yang menghalangi perhubungan ini. tapi kini yang terjadi ternyata lain benar.

Dia menghilang tanpa sepatah kata, membiarkan aku terkontang-kanting melawan rasa rindu yang kian menggila. Tika ini aku berusaha keras melawan desakan hati, memujuk hati agar jangan menangis. Tetapi yang ternyata janji-janji itu tetap aku mungkiri.

LIMA

Suara muaazin mengalunkan azan di keheningan subuh itu mengejutkan aku dari lena. Kesayuan tiba-tiba menjengah ke tangkai hati. Terasa aku sudah lama jauh melupakan-Nya. Kehibaan tiba-tiba datang merenggus diri dan lantas kolam mata ini bergenang. Kucuba menahan namun airmata ini deras berjuntaian membasahi pipi dan menenggelamkan seluruh ruang hati. Dengan rasa sebak dura yang bergelombang dalam dada aku mengumpul kudrat.

Perlahan-lahan menuju ke bilik kecil. Mengambil wuduk dan menyerahkan diri sekaligus bermuqarrabah kepada-Nya. Dalam situasi ini apalagi yang mampu aku lakukan selain menghambakan diri ke hadrat Ilahi. Moga-moga aku beroleh kerahmatan dan maghfirah daripada-Nya. Teringat kata-kata arwah nenek, “Kemewahan di dunia hanyalah sementara Zie. Tetapi kerahmatan pada Yaumul-akhirat adalah yang kekal abadi.”

“Zie harus kuat semangat dan hendaklah selalu beristiqamah dalam apa jua tindakan. Kalau boleh nenek ingin Zie mempunyai kekuatan yang sama dengan Siti Khadijah, Siti Fatima Az-Zahra, Rabiatul Adawiyah, Asiah atau para ummul mukminin. Zie wanita solehah adalah salah seorang penghuni Jannatul-firdaus.” Bait-bait bicara nenek bergema lagi.

“Nek, Zie janji. Janji itu akan Zie qasadkan dalam hati, akan Zie pahatkan dalam hati. Moga-moga Zie akan jadi wanita terbilang seperti idaman nenek. Zie janji nek!”

ENAM

Aku tidak putus-putus memuncakkan rasa syukur setinggi langit dan seluas lautan yang tidak bertepi sebaik sahaja diangkat Tuhan menjejaki tanah suci-Nya. Syukur kerana diberi kudrat mengerjakan ibadah yang menjadi kewajipan dalam hidup seorang mukmin. Terasa ketenangan menyelusup ke segenap jiwa apabila menghambakan diri kepada-Nya. Nescaya benarlah kekuasaan dan keagungan Tuhan yang mampu mengadakan apa saja. Subhanallah.

Sepertimana mafhum Allah dalam Surah an Naml ayat 19, “Ya Tuhanku, kuatkanlah semangatku agar aku bersyukur akan nikmat Engkau yang Engkau anugerahkan ke atasku dan ke atas kedua orang tuaku; dan agar aku beramal soleh yang Engkau meredhainya; dan masukkanlah aku dengan rahmat Engkau ke dalam kalangan hamba-hamba Engkau yang soleh”.

TUJUH

Sewaktu menziarahi makam junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, rasa sebak dura ini datang lagi. Lama juga aku berteleku di pinggir kubah yang tersergam. Terasa begitu kecil diri apabila berada di tanah haram ini.

Kala ini aku benar-benar menginsafi kekuatan roh dan jasad junjungan Rasulullah, para anbia dan mujahiddin peperangan Uhud, Badar dan Khandak dalam menempuh perjuangan menegakkan syiar Islam ke segenap alam. Dan peristiwa penghijrahan “Hijratul- Rasul” dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang tidak putus-putus dihujani pahit manis dugaan. Bibir ini tidak lekang dari melafazkan kalam Ilahi apabila mengenangkan rentetan peristiwa bersejarah ini.

LAPAN

Sesungguhnya kalam Allah sudah tertulis untuk setiap hamba-Nya. Kehilangan lelaki itu rupa-rupanya terselit satu rahmat yang tersembunyi. Baru kini aku tahu dan sedar. Allah telah menganugerahkan sesuatu yang lebih baik di atas suatu kehilangan. AZIEYRA SALON DAN AZIEYRA BOUTIQUE menjadi bukti betapa aku berjaya melawan angin rindu kepada lelaki itu. Di situlah aku menghabiskan waktu saban hari.

Mempelajari ilmu-ilmu baru dalam dunia perniagaan adalah sesuatu yang menuntut pengorbanan. Aku bangga kini dan ternyata keringat yang mengalir ini membuahkan hasil. Salun dan butik mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Ternyata benih yang kutanam, kubajak dan kutuai membuahkan hasil. Insya-Allah dalam masa terdekat ini aku akan mengembangkan sayap dalam dunia perniagaan katering.

Aku ingin melupakan semuanya mengenai dia dan kini doa yang kupanjatkan siang dan malam itu telah diperkenankan oleh Ya Rabbi. Tiada lagi nama Muhd. Adam Muqrish yang telah hanyut dibuai mimpi semalam. Terima kasih Tuhan.

SEMBILAN

Pandanganku tetap menancap ke arah matahari merah di barat. Tika ini tiada apa yang mampu aku lakukan kecuali menadah tangan. Jutaan kesyukuran tetah aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana aku telah berjaya melawan dugaan yang singgah dalam sejarah hidup. Ternyata kehilangan lelaki itu membawa rahmat yang cukup besar kepada hidup ini.

Sesungguhnya telah aku junjung segunung tekad, telah aku himpun seribu istiqamah dan sejuta hasrat yang ampuh untuk menjadi seorang wanita yang kental, yang gagah dan seorang wanita yang tidak akan goyah walau seribu badai menyapa. Sesungguhnya Tuhan telah menghadiahkan sesuatu yang lebih baik di atas sesuatu kehilangan.

Duhai wanita jangan menangis kerana lelaki itu, tetapi menangislah kerana Allah S.W.T. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Satu sahaja pesanan untuk lelaki “Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Al-Zahra andai peribadimu tidak sehebat Saidina Ali Karramallahu Wajhah”.

SEPULUH

Maka benarlah mafhum Allah dalam Surah al-Nahl ayat 97.

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kehidupan yang lebih baik dan sesungguhnya Kami berikan alasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home