Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Cinta Sakura

Belang-belang pelangi petang di kaki langit yang beraneka warna ditatapnya. Dia senyum. Dan kemudian dia melabuhkan punggungnya di kaki bukit berdekatan dengan villa-villa mewah yang terperosok daripada kesesakan dan kesibukan kota. Dia terus mengelamun.

Masih terasa hangat pelukan jejaka itu. Sehangat mentari petang sesudah berakhirnya hujan. Betapa dia berasa tenang dalam dakapan jejaka itu. Dia menguntum senyum lagi. Saat dia di dalam kegetiran, jejaka itu menjadi pengubat duka yang sukar di cari ganti. Perasaannya kini asing sekali tiap kali bertemu jejaka itu.

Dalam diam dia pasti dia jatuh cinta. Ah, tapi siapalah aku ini untuk dicintai. Kita cuma sepasang sahabat. Dan dia cuma simpati pada aku. Dia cuma anggap aku ni kawan dia. Tak lebih daripada itu! Hatinya berkata-kata. Dan kemudian dia memandang buih-buih kenangan lalu. Tak mungkin dilupakannya...

Kakinya pantas meninggalkan dewan kuliah yang telah tamat beberapa minit lalu. Perasaannya diamuk ghairah yang meluap-luap dan seakan tidak sabar-sabar lagi untuk membuka emelnya. Segera dia merapati internet yang disediakan di dalam perpustakaan itu. Tanpa berlengah lagi dia terus membuka emelnya. Hatinya jerit keriangan. Saat ini dia gembira.

Ternyata emel yang dihantar kepada sesebuah agensi majalah mendapat reaksi yang baik. Dia senyum. Cerpennya akan diterbitkan pada keluaran bulan ini. Kiranya cerpennya antara cerpen yang terpilihlah pada bulan ini. Senyumnya berpanjangan. Dia menoleh ke sebelah kanannya. Gulp! Dia terkejut. Ada wajah sedang kusyuk memandangnya. Dia kembali menatap skrin komputer yang berada di depan matanya kini. Ah! Wajah itu. Eh, macam mana dia ada kat sini pulak? Tadi aku tengok orang lain. Eh, tapi kenapa dia?

Saat ini dia malu, cuak dan takut semuanya berpadu. Eh, dia student sini ke? Kalau dia belajar kat sini, kenapa tak pernah nampak dia ha? Dibenaknya pelbagai soalan yang timbul.

“Hai...” Wajah itu menegurnya. Seakan dapat membaca benaknya. Dia terkejut. Dia serba salah. Lah, nak jawab ke tak ni? Dia menoleh.

“Hai...” Dia menjawab juga dalam keadaan teragak-agak. Suaranya bagai tersekat. Dia menggigil. Dia cuba berlagak biasa. Namun entah mengapa tangannya menggigil semasa menekan huruf di sisi keyboard.

“He..he..” Dia terdengar wajah itu ketawa. Mungkin perasan yang tangannya menggigil kini. Dia menoleh. Wajah itu masih memerhatikannya.

“Kenapa? Awak ada masalah ke?” Dia terus menyoal wajah itu. Suaranya sedikit serius. Saja nak cover dirinya yang kian gabra. Dia bukannya jenis perempuan yang biasa berbual-bual dengan mana-mana lelaki ni. Wajah itu geleng kepala. Namun senyumnya masih tak henti-henti.

“Kenapa tangan awak menggigil?” Wajah itu selamba bertanya. Dia tersentak. Mukanya kini merah padam. Alah, malunya!

“Err... nope! Tak. Tangan ni memang lenguhlah...” Dia menjawab pantas sambil memandang sepasang tangannya. Wahai tanganku sayang, janganlah menggigil…Dan kemudian dia tersenyum. Woi, bila kau nak blah ha? Suaranya bagai terdengar di dalam hatinya sahaja. Wajah itu tersenyum lagi.

“Kenapa senyum-senyum tadi?” Wajah itu bertanya lagi.

“Oh, tadi tu? Sebenarnya, saya ada menghantar karya ke sebuah majalah. Tak sangka karya saya terpilih. Sebab tu lah saya senyum!” Kini perasaan gabranya kian surut. Tapi apasal lak aku beritahu mamat ni? Perlu ke?

“Ohh... karya. Karya apa?” Wajah itu menyauk rambutnya yang jatuh menimpa batang hidungnya yang tinggi.

“Cerpen.” Hiee..sibuknya nak tau!!

“Kat majalah apa?” Wajah itu rancak bertanya.

“Remaja!” Dia jawab ringkas. Wajah itu mengangguk dan menyambung semula kerja menaipnya. Eh, mamat ni macam pendakwaraya lak!

“Ambil course apa? Nampaknya awak berbakat dalam bidang penulisan.” Sekali sekala wajah itu memandangnya. Dia menekan kekunci huruf komputer.

“Grafik.” Dia menjawab sepatah.

“Grafik? Eh, tak sangka budak grafik boleh menulis. Hebat!” Dahi jejaka itu berkerut sambil tersenyum.

“Saya memang minat menulis. Lagipun seni tu kan luas. Grafik adalah seni dan penulisan juga adalah seni. Kombinasi dua bidang yang berlainan tetapi berpadu dalam satu aliran yang sama.” Menderu aja ayatnya. Entah mengapa kini dia seakan serasi berbual dengan wajah itu. Tangannya kini pun dah kembali normal. Tak menggigil lagi. Alhamdulillah!

“Awak pulak, ambil course apa?” Tanpa diduga dia pulak yang bertanya soalan kepada wajah itu. Wajah itu menoleh memandangnya.

“Business Study.” Senyumannya persis gaya seorang model terukir indah.

“Hmm.. siapa nama awak?” Pinta wajah itu.

“Nak nama pendek ke panjang?” Dia cuba berlawak.

“Tak kisah panjang atau pendek. Tapi kalau ada yang lebih pendek lagi bagus. Senang nak ingat..” Wajah itu pula membalas lawaknya.

“Okeylah. Panggil saya Izs aje. Simple. Senang nak ingat!” Dia senyum lantas menoleh ke skrin komputer.

“Oh, Izs. Indah...” Wajah itu berbisik perlahan. Indah namanya seindah orangnya. Dia berbisik di dalam hati.

“Nama awak?” Kini giliran Izs pula bertanya. Tak adillah jika wajah itu sahaja yang tahu namanya. Dia pun nak tahu jugak nama pemilik wajah itu.

“Erm, nama saya Zarith Izskandar bin Baharudin. Just call me Zarith!” Dia menjawab penuh gaya sambil mengenyitkan sebelah mata kanannya. Eh, main kenyit-kenyit mata lak kat aku. Apa barang! Izs berbisik di dalam hati.

“Saya rasa saya pernah lihat awak..” Zarith ingat-ingat lupa.

“Yup. Kat perpustakaan awam kan?” Dia jawab cepat-cepat. Otak aku ni otak komputer. Ah, bukan sekali aku nampak kau. Tapi dua kali beb! Takkan aku lupa.. Jejaka itu menganggukkan kepalanya.

Kemesraan mereka wujud kini. Sikap ramah Zarith membuatkan dirinya tidak malu. Apatah lagi Zarith adalah humourous person! Tak sangka rupa-rupanya Zarith adalah penuntut di kampus ini. Dia baru sahaja berpindah ke kampus ini pada awal minggu lepas. Dahulu dia belajar di Sarawak. Dan kini dia bertukar ke kolej ini kerana mengikut keluarganya yang berpindah ke sini.

Dia masih ingat lagi. Kali pertama dia ternampak Zarith ialah semasa di dalam perpustakaan awam dan kali kedua semasa dia bercuti ke Genting Highland bersama keluarganya.

Keikhlasan Zarith berbicara dengannya membuatkan dirinya gembira. Gembira kerana cerpennya diterbitkan dan kini Zarith menjadi kenalan barunya. Dia menemui dua kegembiraan dalam satu masa. Setelah keluar daripada perpustakaan itu, sekaligus dia meninggalkan perkarangan Kolej Clayton.

Sebelum pulang ke rumah, dia bercadang ke kedai buku. Biasanya dia akan memperuntukkan dua buah buku setiap bulan. Sememangnya dia minat membaca. Namun dia perlu bijak membahagikan masa membaca serta menyiapkan final projek yang bakal dihadapinya pada setiap semester.

Buku itu direnung lama-lama. Nama pengarang yang tertera pada kulit buku itu amat dikenalinya. Dan kemudian dilihat pula tajuk buku tersebut. Bibirnya mengukir senyum. Dia seakan tertarik untuk membaca buku tersebut. Tanpa berlengah buku itu diambil lantas membawanya ke kaunter dan membayar harga buku tersebut.

Dia terus keluar daripada kedai buku itu dengan segera. Seboleh-bolehnya dia harus cepat kerana Mama menyuruhnya pulang awal ke rumah hari ini. Dia segera mendapatkan teksi yang sedang melintas di dada jalan raya.

“Villa Sakura Encik!” Dia memberitahu destinasi yang ingin ditujuinya.

Dan pemandu teksi itu mengangguk. Dalam kereta dia cuba membaca sinopsis buku yang dibeli sebentar tadi. Hmm.. menarik jugak buku ni! Dia berbisik di dalam hati. Sekali sekala dia melihat pemandu teksi yang sedang memandu mencuri pandang ke belakang melalui cermin. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Senyuman yang tidak ikhlas dirasakan. Ah, pandang aku macam orang gile seks jek! Tapi, tak apa. Aku ada bawa senjata untuk menyelamatkan diri apabila diserang nanti. Pisau dan spray! Hehe…

“Baca buku apa tu cik adik? Komik kartun ke?” Pemandu itu bertanya.

Hah? Cik adik?! Gilos! Dia tersentak. Dan kemudian pemandu tersebut mengenyitkan mata kepadanya. Hish, gaya yang sungguh memuntahkan!! Tak sangka pemandu tersebut berbuat begitu. Sah, ini memang gangguan seksual!

Huh! Macam-macam manusia ada! Dengan spontan dia senyum. “Erm, novel.” Dia membalas pertanyaan pemandu teksi itu. Menyembunyikan apa yang sebenarnya tersirat di benaknya.

“Novel apa?” Pemandu itu bertanya lagi. Dia angkat muka. Hem, siap ko!

“Novel mengenai boxing dan kickboxing. Saya ambik kelas boxing. Jadi terpaksalah baca buku macam tu!” Jawabnya serius. Pemandu teksi tersebut telan liur. Gulp!

Kah kah kah..! Padan muka. Biar dia tahu yang aku pandai boxing dengan tendang orang. Dan tanpa banyak soal lagi, pemandu tersebut mengangguk. Sedikitpun tidak memandangnya lagi. Dia ketawa sembunyi-sembunyi. Dia berbohong. Biar tunjuk berani sedikit. Orang macam ni memang kena ajar!

Sebenarnya novel tersebut bukanlah novel boxing ataupun kickboxing seperti yang dikatakan sebentar tadi tetapi novel cinta. Perlu ke aku beritahu itu novel cinta? Ah! Buat malu aje. Kadangkala ada baik juga berbohong. Jangan jadi lurus bendul sangat! Hatinya gelak. Kalau sesipa tahu dia baca buku cinta, hem..malulah dia!

Lima belas minit kemudian dia selamat sampai di Villa Sakura. Setelah membayar tambang dia segera keluar daripada perut teksi itu. Dia lega…

Villa Sakura berada di hadapan matanya kini. Kelihatan suasana sunyi walaupun ada dua buah kereta berjenama antarabangsa tersadai di dalam garaj bersebelahan dengan taman bunga. Pelik! Kakinya melangkah masuk.

Bibik Maryati selaku pembantu rumahnya sedang mengemas itu dan ini. Kelihatan peranggu meja di atas meja makan telah disiapkan. Pelik lagi!

Dan kemudian Mama keluar daripada ruang dapur. Dia segera merapati Mamanya. Dan Mama tersenyum memandangnya.

“Lambat Adik balik. Adik pergi mana?” Mama menyoal sebaik sahaja dia duduk di atas meja makan.

“Ala. Biasalah Ma. Pergi bookshop kejap. Beli buku...” Dia menjawab sambil memerhatikan langkah bibik menuju ke ruang dapur.

“Ada apa ni Ma? Special semacam jek..”

“Hem, malam nanti Mama nak Adik pakai lawa-lawa. Sebab kita ada tetamu istimewa malam ni.” Dia mengangguk. Dan kemudian Mama menuju ke ruang dapur. Mungkin menolong bibik menyiapkan hidangan istimewa untuk tetamu. Dia membuat andaian sendiri.

Kakinya segera melangkah menuju ke tingkat atas. Pintu bilik terbuka senget sesenget sudut 60 darjah. Beg sandang yang tersangkut di bahu, diletak kemas di atas meja belajar. Dan kemudian dia membuka jendela luas-luas. Rasanya sudah beberapa hari jendelanya dibiarkan bertutup. Udara menyimbah masuk dan dirasakan lega dan segar sekali. Matahari petang semakin malap.

Dalam kemalapan mentari petang, kelihatan seorang lelaki dan perempuan pertengahan 40-an sedang duduk berbual-bual di beranda Villa Anggerik. Setahunya sebelum ini villa tersebut kosong dan tidak berpenghuni. Mungkin itulah orang yang telah berpindah ke dalam rumah tersebut. Dia angkat bahu. Agaknya kot...

Tanpa berlengah lagi dia segera mencapai tuala mandi dan segera membersihkan diri. Dia mandi sepuas-puasnya. Jam menunjukkan pukul 8.00 malam. Dia masih di dalam bilik. Tetamu? Dia sendiri malas nak bersama tetamu yang diberitahu oleh Mamanya petang tadi.

Sebaik sahaja menunaikan solat Maghrib, dia membelek-belek novel yang baru dibelinya tadi.

Tuk! Tuk! Bunyi ketukan pintu bilik dari luar kedengaran. Pembacaannya terhenti.

“Masuk!” Arahnya lembut.

“Cik muda, Puan suruh Cik turun. Kejap lagi tetamu sampai...” Bibik Maryati memberitahu. Dia terdiam. Segala urat sendinya lemah ketika ini. Eeei..malasnya aku!

“Okey Bik. Saya turun sekarang.” Dia menjawab malas-malas. Pembantu rumahnya segera keluar. Dan kemudian dia memandang wajahnya di dada cermin. Segalanya sempurna kini. Dia segera turun ke bawah menuju ke ruang tamu kedua di mana Papa, Mama dan Abang Long sudah sedia berada di situ.

“You look so simple dear...” Mamanya menegur sebaik sahaja dia mengambil tempat di sebelah Mamanya. Dia senyum. Mamanya tidak berpuas hati terhadap pakaian yang dipakainya. Ternyata anak bongsunya ini memang degil. Keras kepala!

“Mama, ini bukan pertunjukkan fesyen Mama. Yang Adik pakai ni okey apa. Kan Papa? Bang Long?” Dia menyoal Papa dan abangnya. Papanya cuma tersenyum. Memandang anak gadisnya yang cuma berseluar jeans dan kemeja-t turtle neck.

“Tapi bukan hari ni sayang. Kan kita ada tetamu...” Papa menjawab akhirnya.

“Entah Adik ni. Pakai ler baju kurung atau kebaya. Kan manis...” Abang Long yang berada di sebelah Papanya menyampuk. Dia mengerutkan dahinya.

Apahal lak nak pakai baju-baju tradisional ni? Beliawanisnya! Lagipun hari ni bukannya hari raya. Dia mengomel dalam hati. Dia ingin berkata sesuatu untuk memprotes kata-kata abangnya. Namun tidak kesampaian pabila seketika kemudian..

“Assalamualaikum...” Nada seorang perempuan beserta lelaki memberikan salam membuatkan perbualan mereka mati seketika. Mereka menjawab salam tersebut. Papa, Mama serta Abang Longnya menyambut kedatangan tetamu yang dikatakan istimewa oleh Mama dan Papanya sebentar tadi. Dia masih duduk di sofa diruang tamu kedua rumahnya. Dia memang tidak sukakan tetamu apatah lagi melayan tetamu.

Dari jauh dia mengintai ke arah ruang tamu utama rumahnya yang sedikit tersembunyi itu. Kelihatan seorang perempuan seusia dengan Mamanya beserta seorang lelaki juga seusia dengan Papanya menuju ke ruang tamu utama rumahnya. Eh, inikan orang tua yang aku nampak kat Villa Anggerik tadi?

Bahunya ditepuk daripada belakang. Dia terkejut. Eh, bila pulak si misai ni sampai? “Apa Bang Long ni?!” Dia berbisik perlahan. Abang Longnya sengih.

“Yang Adik terhendap-hendap tu kenapa? Jangan risau, kita tak ada tetamu lelaki muda dan kacak. Semuanya orang tua. Dah, jom pergi depan. Kita sambut tetamu.” Izskandarshah menarik tangan Izs walaupun dia sedikit membentak. Dan dia akur dengan kehendak abangnya.

Dia tiada pilihan lain selain bersama seisi keluarganya melayan tetamu yang datang ke rumah. Dan malam itu dia bersama tetamu berbual-bual sambil menikmati makan malam yang istimewa. Rasanya sudah agak lama juga majlis menyambut jiran yang baru berpindah ke perkarangan villa berdekatan dengan villanya tidak diadakan. Dan kini setelah dua tahun, akhirnya dia mendapat juga jiran baru yang kini berpindah ke Villa Anggerik.

Dia melangkah masuk ke biliknya. Dia agak keletihan kerana beberapa jam melayan tetamu tersebut. Dan kini jam menunjukkan pukul 11.45 malam. Selesai menunaikan solat Isyak, dia terus rebah ke dada katil yang lembut dan empuk. Dan kini dia hanyut di alam surealisme. Dia lena…

Subuh yang damai membuatkan mindanya segar. Sesegar embun pagi. Selesai bersolat Subuh, dia berjogging melintasi taman perumahan villa mewah yang cukup tersembunyi daripada kesesakan jalanraya.

Sampai di kaki bukit di hujung taman, dia berhenti seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya kemas-kemas. Terasa damai, segar dan sihat. Segala nikmat yang ALLAH beri sukar untuk digambarkan. Hari ini dia tiada kuliah. Jadi tak perlulah tergesa-gesa pulang ke rumah. Biarlah dia bersenam sambil menghirup udara pagi yang nyaman dan segar. Hem..good for mind and soul!

“Hai..” Dengan spontan dia menoleh. Sekujur tubuh tinggi lampai dan sasa diperhatikannya. Eh??! Awak?!

“Zarith, apa awak buat kat sini?!” Dia sedikit terperanjat. Biar benar?!!

“Joginglah. Takkan main bola keranjang!” Tubuh itu bersuara. Cuba berlawak.

“Tapi kenapa awak ada kat sini?” Dia masih bingung. Cukuplah tiga kali aje aku jumpa mamat ni. Not this time!

“Jom kita duduk kat sana...” Arah jejaka itu tanpa mempedulikan pertanyaannya. Dia menurut. Kelihatan beberapa orang tua lelaki dan wanita Cina sedang mengamalkan Taichi tidak jauh daripada tempat duduk yang diduduki mereka. Nasib baik ada orang ramai. Hehe..

“Awak tinggal kat Villa Sakura kan?”

“Eh, tak la. Mana awak tahu?” Dia kaget seketika. Dia cuba menafikan. Eh, mana dia tahu aku tinggal situ ha?

“Saya nampak awak turun daripada teksi petang semalam...”

“Hoo.. Jadi awak mengekori saya lah ye? Awak ni peliklah!” Izs menjawab serius. Jejaka itu ketawa mendengar bicara gadis disebelahnya.

“Tak ada peliknya, Cik Izs. Saya ni jiran awak. Mestilah saya nampak awak,” ujar Zarith selamba. Suka melihat gadis itu bingung.

“Awak ke orang yang baru berpindah ke Villa Anggerik?” Dia meneka. Jejaka itu mengangguk.

“Tapi kenapa awak tak datang rumah saya malam tadi?” Ketika ini dia yang banyak bertanya daripada Zarith. Sebijik macam pendakwaraya!

“Oh, ye. Saya tau malam tadi parents awak ada jemput kami sekeluarga ke rumah awak. Yang pergi cuma Mummy dan Daddy aja. Saya tak pergi coz ada hal sikit.” Zarith memberitahu kedudukan yang sebenar kepada Izs. Dia ni jiran aku? Nonsense!

“Sudikah anda menerima saya sebagai jiran anda?” Pinta Zarith sambil menghulurkan tangannya.

“Sebenarnya saya tak berapa suka jiran-jiran ni. Tapi tak apelah. Anda dialu-alukan!” Tangan jejaka itu disambutnya. Dan kemudian tawa mereka pecah berderai. Sekumpulan manusia yang sedang melakukan senaman Taichi tadi memandang mereka. Mereka ketawa lagi.

Sedar tak sedar, sudah beberapa bulan berlalu hingga nak masuk satu tahun dia berkawan dengan Zarith. Dan cuma tinggal seminggu sahaja lagi pengajiannya di Kolej Clayton tamat. Final projek semakin hampir. Sudah dua projek yang telah dihantarnya. Yang tinggal cuma subjek Advertising Design dan 3D Animation. Dia masih di dalam bilik studio di rumahnya kerana sedang tekun mengerjakan final projectnya.

Dalam ketekunannya itu, dia mengingati Zarith. Jejaka itu bukan sahaja kawannya, tetapi juga jirannya. Dia bukanlah suka berkawan dengan lelaki tapi, entah mengapa hatinya terbuka dan senang berkawan dengan jejaka itu.

Namun, dirasakan jejaka itu cuma menganggapnya teman biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Ah, kenapa aku ingatkan mamat tu ha? Dia marahkan benaknya tika ini.

Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini bila dia berhadapan dengan jejaka itu dia seakan asing sekali. Dadanya berdebar-debar. Aku dah jatuh cinta kat dia ke? Eh, gilos tul lah aku ni! Nope! No way! Izsxora Sakura takkan jatuh cinta dengan sesiapa. Ada faham?

************************************************************************

“Sudahlah Izs, sabar..ini dugaan ALLAH. Sabar ye...” Zarith memujuk lembut. Dilihatnya air mata gadis itu terus-terusan mengalir. Dia tahu siapalah yang tidak sedih apabila kehilangan orang yang disayangi. Dia juga turut menangisi pemergian Datuk Ismail, Datin Asnora serta satu-satunya abang Izs iaitu Izskandarshah.

“Saya sedih Zarith. Saya sedih! Tuhan ambil Mama, Papa dan Bang Long sekaligus...!” Izs meraung seketika. Zarith masih setia memujuk lagi. Bahu gadis itu ditepuk perlahan-lahan. Dia tahu Izs amat terkejut mendapat berita kemalangan jalanraya yang melibatkan keluarganya tengahari tadi. Dan kemudian Zarith meraih gadis itu di dalam pelukannya. Gadis itu diam tanpa membantah.

“Allah lebih sayangkan mereka, Izs. Dia yang lebih mengetahui. Dari-Nya kita datang, dari-Nya juga kita kembali. Tak ada yang kekal di dunia ini, Izs. Banyakkan berdoa supaya roh mereka tenang di alam sana.”

Dia mendakap erat gadis itu. Air matanya jatuh menjunam ke rambut ikal Izs tanpa sempat disekanya. Gadis itu angguk tanpa kata. Mungkin telah dapat menerima hakikat sebenar yang telah ditentukan Ilahi. Dan petang itu ketiga-tiga jenazah insan yang paling disayanginya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan dengan villa-villa mewah di hujung jalanraya.

Izs masih muram walaupun sudah dua bulan pemergian orang yang disayanginya. Dia tahu Daddy dan Mummy Zarith ada juga mengajaknya tinggal di rumah mereka. Akan tetapi, dia menolak. Biarlah dia dan pembantu rumahnya Bibik Maryati terus tinggal di Villa Sakura. Terlalu banyak kenangan manis yang tak mampu dibuangnya walau satu sekalipun.

“Mama, Papa, Bang Long... Adik rindu! Rindu sesangat! Adik tak biasa tinggal sorang-sorang.” Air matanya tumpah untuk kesekian kalinya.

Dia mengelamun lagi. Cuma jiran terdekat seperti keluarga Zarith banyak membantunya. Memberi kata-kata semangat yang cukup bermakna. Dan kini segala sifat degil serta keras kepalanya sudah dicampak jauh-jauh. Dia lebih menjadi seorang yang matang, berdikari dan lebih bersikap tolak ansur berbanding dahulu semasa Mama, Papa serta Abang Longnya masih hidup.

Betapa setianya jejaka itu menemaninya apabila ada saja waktu yang terluang. Dia kesunyian apatah lagi setelah pengajiannya tamat, dia duduk di rumah sahaja. Manakala Zarith sudah memasuki alam pekerjaan. Tinggal dia bersendirian bertemankan Bibik Maryati. Namun, dia juga sayangkan Bibik. Wanita warga Indonesia itu terasa berat hati untuk meninggalkannya. Wanita itu rela menjaganya sehingga ke usia tuanya kerana dia tiada anak. Biarlah dia menjaga serta bersama gadis itu yang memang dianggap sebagai anaknya di rumah ini.

Ah, tapi ikhlaskah Zarith melayan aku begitu? Ikhlaskah? Atau sekadar mengambil hati aku dan simpatinya yang melimpah ruah? Ingatannya kembali semula kepada Zarith. Dia tahu, sesiapa sahaja akan berbuat begitu. Ah, aku kan kawan dan juga jiran dia. Mestilah ambil berat. Namun, tanpa disangkanya sejak kebelakangan ini dia seakan asing dan lain apabila bertemu dengan jejaka itu. Perasaannya tidak keruan. Dia senyum. Kini dia sudah jatuh cinta pada jejaka itu. Dia pasti!!

Dan kemudian senyumannya mati. Suara Zarith tiba-tiba bergendang di benaknya. Berkali-kali jejaka itu meyakinkan bahawa dia akan bersama-sama di sisi aku jika aku memerlukannya.

“Special person like you will always be my friend. Friends forever..”

Kata-kata Zarith tika itu masih diingatnya lagi. Dia takkan lupakan kalimah ‘friends forever’ itu. Dia angguk. Dia tahu jejaka itu membataskan perhubungan mereka sebagai kawan. Ah, saat dia mula mengenali cinta, betapa cinta itu sebenarnya bukan miliknya. Air mata mengalir di pipinya. Dia mengerti. Mungkin tika ini jejaka itu sudah mempunyai teman istimewa.

“Yap, Zarith. Kita kan jadi kawan selamanya.” Kata-kata itu lucut daripada mulutnya. Tanpa disedarinya ada seorang insan sedang memerhatikannya dalam diam mendengar bicaranya itu. “Walau macamana sekalipun, saya tetap cintakan awak!” Ucapan itu lucut lagi.

“Assalamualaikum..” insan itu menegurnya. Lamunannya mati. Pelangi petang di kaki langit sebentar tadi lenyap kini. Dia menoleh kebelakang.

“Eh, Zarith. Waalaikumussalam...” Cepat-cepat dia mengesat saki-baki air matanya yang bersisa. Dia gelabah dan darahnya berderau. Harap-harap jejaka itu tidak mendengar bicaranya sebentar tadi.

“Boleh tumpang duduk?” Pinta jejaka itu. Dia mengangguk. “Tadi saya ke rumah cari awak. Patutlah tak ada. Kat sini rupanya.. Buat apa kat sini sorang-sorang?” Sambungnya lagi. Jejaka itu memandang mata Izs yang merah kesan menangis.

“Tengok pelangi,” ujar Izs perlahan. Dadanya berombak kencang. Dia mengelak daripada memandang wajah Zarith.

“Tak ada pelangi pun...” Zarith bersuara semula apabila masing-masing menyepi.

“Tadi ada. Lagipun tempoh kemunculan pelangi adalah cepat. Dia tak kan tunggu kita,” Izs bersuara sambil memeluk tubuhnya yang kesejukan. Zarith angguk kecil.

“Hai, tengok pelangi pun, menangis ke? Atau awak fikirkan benda lain?” soal Zarith selamba.

“Saya teringatkan Mama, Papa dan Abang Long. Saya rindukan mereka...” jawab Izs pantas. Namun, dia juga teringatkan jejaka ini. Betapa dia menyintai jejaka ini. “Kenapa cari saya ni?” soalnya lembut. Cuba menukar topik lain.

“Saya ada beli cincin untuk seseorang. Awak rasa cincin ni sesuai tak?” Tanya Zarith sambil mengeluarkan sebentuk cincin bertatahkan berlian. Dan kemudian memberikan kepada Izs. Tangan Izs sedikit sejuk menyambut cincin itu.

“Untuk siapa ni? Mesti istimewa orang ni kan?” soal Izs perlahan sambil tersenyum. Hatinya berdebar-debar. Senyumannya itu dipaksa juga walau hatinya terguris. Hatinya menangis pabila kini Zarith ingin memberikan cincin tersebut kepada seseorang. Dan yang pastinya seorang wanita yang bergelar teman istimewa. Dia meneka di dalam hati.

“Yap. Cincin ni untuk orang yang paling istimewa di hati saya,” Zarith senyum memandang cincin di tangan Izs.

“Bertuahnya orang ni, Zarith. Siapa perempuan tu? Takkan nak berahsia dengan saya lagi kot...” Dia menyembunyikan perasaannya yang kecewa dan hampa.

“Sepanjang kita berkawan ni, saya tak pernah ceritakan siapa wanita istimewa itu yang telah mencuri hati saya. Maaflah kalau selama ni saya berahsia dengan awak.”

“Eh, tak mengapa. Kadangkala tak semua perkara perlu diberitahu kepada kawan baik betul tak? Tak apa. Saya tak ambil hati. Saya faham.” Dia memberikan kembali cincin tersebut kepada Zarith. Dan jejaka itu memandang wajah Izs lama-lama. Dan kemudian cincin itu disarungkan ke jari manis gadis itu. Gadis itu terkejut seketika.

“Sebenarnya awaklah wanita istimewa dalam hidup saya, Izs.” Zarith senyum memandang wajah Izs.

“Sudahlah Zarith. Janganlah awak nak ambil hati saya. Saya tahu. Cincin ni bukan milik saya. Dah lupa ke kata-kata awak sebelum ni? Kita adalah kawan. Friends forever..” Dan kini air mata Izs jatuh. Murah benar air matanya jatuh di hadapan Zarith tika ini.

“Awak silap, Izs. Memang saya ada mengatakan kita adalah kawan selamanya. Tetapi salahkah saya menjadi kawan sekaligus menjadi teman istimewa awak sehingga ke akhir usia? Berkawan tidak semestinya di akhiri dengan kawan sahaja, Izs. Boleh jadi diakhiri dengan percintaan. Salahkah saya menyintai awak, Izs?”

“Saya tahu awak simpati pada saya Zarith. Saya tahu. Maaf, saya tak boleh terima cincin ni,” Dia menduga hati jejaka itu lagi.

“Demi ALLAH saya cintakan awak, Izs. Saya cintakan awak dan saya bukan cintakan awak kerana simpati tetapi kerana saya memang cintakan awak. Saya cintakan awak sejak mula-mula saya nampak awak di perpustakaan awam. Dan tak sangka kita berjumpa buat kesekian kalinya di kolej dan kita bagai dijodohkan bertemu menjadi rapat apabila kita menjadi jiran, Izs...” Dan kemudian dilihatnya gadis itu tunduk. Diam seribu bahasa.

“Kenapa? Awak tak cintakan saya?” Dia menanya Izs walaupun dia tahu sebenarnya gadis itu juga amat menyintainya. Dan terbukti apabila dia mendengar pengakuan gadis itu semasa gadis itu tidak menyedari kedatangannya sebentar tadi.

“Saya cintakan awak, Zarith. Sebelum ni, tak pernah ada mana-mana lelaki mencuri hati saya selain awak...” Ucap Izs lembut dan perlahan. Dia malu seketika. Mukanya dirasakan merah saat ini.

“Saya tahu. Tadi sebelum awak sedar kedatangan saya, saya dah dengar pengakuan awak. Awak cintakan saya..”

“Awak ni . . .” Belum sempat dia berkata apa-apa Zarith sudah menariknya ke dalam pelukan yang hangat dan hebat. Dakapan hangat dan tenang itu dirasai semula oleh Izs. Sukar untuk dia mengungkapkan sebarang kata ketika ini kerana dia sungguh terharu dan gembira apabila Zarith juga turut merasai apa yang dirasainya sebelum ini. Jejaka itu amat menyintainya tanpa dapat dihidunya. Kaulah cintaku, Zarith Izskandar! Air matanya jatuh lagi. Dan kemudian Zarith melepaskan dakapan eratnya. Dia menarik lembut tangan Izs.

“Sudikah Adik menjadi isteri Abang?”

“Sebenarnya, saya memang tak suka jadi isteri sesiapa. Tapi.. tak apalah. Adik sudi menjadi isteri Abang!” Tangan Zarith yang sasa diciumnya. Dan kemudian dahi Izs dicium lembut oleh Zarith.

“Bulan depan kita kahwin ye, sayang?” Izs angguk dan senyum tanpa sebarang bicara. Namun, penuh makna. Air mata gadis itu dikesat perlahan-lahan.

Saat ini Izsxora Sakura dan Zarith Izskandar melangkah pulang dengan senyuman mekar. Semekar senyuman pelangi petang di kaki langit. Ada pujangga melihat cinta mereka. Lantas dia merangkai puisi...

Saatku
Tunggu Cinta
Kutunggu bianglala
Biar nadiku sempat menatapnya
Bila jujur sang hujan
Menyambut kehadirannya
Bagai aku menunggu cinta
Satu penghuluran yang abadi

Kulihat warna bianglala
Sama seperti dulu
Takkan lapuk ditelan zaman
Setia seperti si pungguk
Aku jua si pungguk sayu
Menunggu bulan di malam hitam
Menanti bicara cinta

Saatku tunggu cintamu
Telah berhabuk lamanya
Bagai sarang lelabah saling bertukaran
Jalin demi jalinan sarangnya
Dan dari jalinan itu
Ada urat-urat cinta

Saat-saat itu akan leka ku tunggu
Biar aku menyulam khayal
Satu suasana damai kurasakan
Sempurna ciptaanNya
Waktu itu kulihat senyuman bianglala
Penuh kecantikan yang asli
Asli lagi hati ini penuh kesucian
Setulus hati ini menyintaimu

Dan ada suara mencariku
Aku senyum bagai senyuman bidadari
Wajahmu yang kelam makin terang bersinar
Kau kembali melengkapkan cinta kita
Kau tunaikan janjimu
Seyakinnya aku padamu kini
Kita masih dengan setia yang abadi
Saat itu bianglala makin menunjukkan sinarnya
Ada warna mewarnai cintaku wahai bianglala..



-TAMAT-


Sesungguhnya cinta sebagai seorang kekasih sahaja tidak akan kekal tanpa cinta sebagai seorang sahabat. Dan usahlah kita menjadi hamba kepada cinta. Tetapi, cinta yang akan menjadi hamba kepada kita!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home