Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Nasi Ayam Mee Hailam

Gila! Mama memang gila!! Bagaimana mungkin aku dapat tunaikan permintaannya dalam masa sesingkat ini. Lebih dari itu, aku belum bersedia. Aku belum puas menikmati hidup ini sebagai orang bujang.

Tapi mama tetap berkeras. Aku tegas menyatakan aku tidak mahu. Buat masa ini, aku memang tidak mahu. Sampai hendak putus urat leher aku ini bertekak dengan mama. Aku tidak mahu! Tidak sangka zaman secanggih sekarang masih ada ibu bapa yang berfikiran kuno. Primitif!

“Pilihan mama bukan sebarang orang, Syam. Anak Datuk dan Datin ternama. Mustahil kau tak kenal Suraya… anak tunggal Datuk Albar dan Datin Maznah. Fuh, cun budak tu! Memang padan sangatlah dengan Syam!”

Terbayang lintas langsung wajah Suraya Datuk Albar depan mata. Memanglah cantik. Lawa. Cun. Hatinya? Adakah secantik paras rupanya? Perangainya, aku sudah maklum. Nauzubillah! Aku menghempas satu keluhan.

“Dahlah, ma. Hentikan je la kerja mama tu. Syam tetap dengan keputusan Syam. Syam tak nak kahwin dulu, sebab pintu hati ini belum lagi terbuka…”

Menjegil biji mata mama. Marah lagi, lah tu! “Belum terbuka? Umur Syam dah masuk 28 tahun, tau! Dah patut berbini!” Mama tetap dengan paksaannya. Rasa seperti buruh paksa pula diri ku ini. Tidak tahan lagi aku mendengar bebelan mama.

Telinga ku bisa jadi bengkak, pekak, atau tuli kalau terus menerus disumbat dengan leteran mama. Atau, mungkin juga aku bisa jadi dungu, tolol, dan bahlul kalau terus tercongok mengadap mama yang tak habis-habis menyuruh aku kahwin. Aku tak mahukan Suraya. Aku tak sanggup!

Aku tinggalkan mama dengan permisi penuh hormat dan takzim. Aku tahu dia masih belum puas berkhutbah. Tapi aku bukannya boneka. Kesabaran ku ada hadnya. Sempat aku menjeling wajah mama yang masam kelat itu.

***

Petang yang damai itu, ketika aku sedang menghirup udara segar di balkoni…

“Hai, handsome! Buat apa tu?”

Mujur juga aku tidak berpenyakit lemah jantung. Aku amat terkejut disergah sebegitu tiba-tiba saja. Terdengar tawa mengekek dari belakang ku. Cukup hampir. Suraya!

“Lain kali… bagilah salam… terkejut aku!”

“Opps… sorry! Masih terkejut lagi ke? Sorry, ye…”

“Hmmm…”

Hairan sungguh aku. Banyak yang menghairankan aku. Pertama, siapa jemput Suraya Datuk Albar ini datang ke mari? Kedua, apa tujuannya? Ketiga, atas dasar apa dia datang ini, sedangkan antara kami, tak adalah rapat sangat! Dan aku kira, ini adalah pertama kali dia datang ke rumah seorang diri. Berani sungguh!

“Kau datang ni… nak jumpa siapa? Mama… tadi, kat depan… siram bunga kot…”

Suraya tersipu mendengar kataku. Terusik juga hati kecilku. Bukannya apa, cuma pelik! Tersipu-sipu pulak dia.

“Datin yang ajak minum petang bersama. Dia suruh Su panggilkan abang Syam…”

”Abang…???” Uweeekkk!!! Aku nak termuntah.

***

“Baiklah, kalau begitu… Syam sanggup terima permintaan mama. Tapi… ada syaratnya.”

Wajah mama berseri-seri. Anak matanya bersinar-sinar. Terpancar kegembiraan yang nyata, akhirnya pada wajah mama. “Syarat pun, syaratlah. Ok, apa syaratnya?”

“Mudah sahaja, mama. Kacang je! Kalau Suraya tak boleh buat, Syam terpaksa reject! Syam hanya akan kahwin dengan gadis yang berjaya memasak makanan kegemaran Syam. Nasi ayam, dan mee hailam!”

Mama terdiam. Bagaikan ahli fikir, agak lama juga barulah dia mengangguk.

“Ohh…. Itukah syaratnya?”

“Hmmm…”

***

Aku pura-pura menjenguk peti ais. Pura-pura mencari susu coklat Dutch Lady yang telah jadi minuman kegemaranku sejak zaman kanak-kanak.

Sesekali mataku menjeling ke arah dapur. Bukan main lagi Suraya. Macam lipas kudung. Sekejap ke dapur, sekejap ke sinki, sekejap ke kabinet. Ambil itu, ambil ini, simpan itu, simpan ini, semua nampak kelam kabut. Semua nampak kalut.

‘Hai, masak apa tu? Pandai ke?”

Suraya tersipu-sipu. Dia sedang menggoreng sesuatu. Entah apa. Bunyi minyak mercik dan kuali berlaga dengan senduk terbitkan satu irama dapur yang membingitkan. Aku tersengih-sengih.

“Datin minta Su masak. Su tak pandai… kalau tak sedap nanti, jangan kutuk, ye!”

“Ye ke? Mama suruh Su masak? Teruklah mama tu!” Aku berkata serius.

Dalam hati, aku gelak-gelak geli hati. Padan muka kau, Suraya Datuk Albar! Aku bergegas ke ruang tengah. Mencari mama.

***

Aku rasa amat lega. Syukur! Aku tersenyum lebar memandang mama. Mama kulihat agak kecewa dan hampa. Tapi, itulah keputusannya. Keputusan muktamad.

“Syam nak tegaskan pada mama bahawa jodoh di tangan Tuhan. Syam tetap kahwin, kalau dah sampai jodoh…” aku ukirkan senyuman paling manis buat mama. Aku tahu, mama kempunan bermenantukan Suraya Datuk Albar!

“Syarat yang Syam kenakan tu, tak adil! Dan tak patut!”

Aku fikir masalah telah selesai. Ironinya, mama pula menyalahkan ku. “Mama tak tanya Syam mengapa Syam kenakan syarat begitu?”

Mama mendengus. Masih tidak percaya. Masih tidak puas hati. Masih kecewa. Masih hampa. “Kenapa Syam buat syarat pelik-pelik dan bodoh tu?”

Tawa ku tercetus semerta. Gelihati melihat wajah mama mencuka. Makin menggelegaklah amarahnya. “Mama kata syarat tu pelik dan bodoh?” Aku tertawa lagi. Mama terlongo memandangku.

“Memang! Dan tak pernahpun dibuat orang!”

Aku diam, serius menatap wajah mama. “Mama fikirlah dulu sebabnya. Nanti, Syam akan terangkan pada mama. Bukan sekarang.”

***

Ketika aku tergesa-gesa hendak masuk ke lif, nyaris-nyaris aku bertembung dengan seseorang. Terkesima aku antara waktu. Ayunya! Bertudung dan berbaju kurung. Dia tersenyum nipis. Aku rasa bagaikan telah dihembus virus angau. Semerta. Cinta melayang-layang.

Melissa. Itulah namanya. Sejak pertemuan pertama, aku sudah mabuk kepayang. Aku telah temui gadis yang kucari-cari selama ini. Oh, sudah sampaikah jodohku? Ah, kebetulan Melissa sama bangunan tempat kerja dengan ku. Bolehlah aku jumpa dia hari-hari!

“Saya ni fresh graduate. Baru kerja kat sini hari ini.”

Aku pandang Melissa penuh minat. Wajahnya jelas kebudak-budakkan. Aku agak umurnya sekitar 23 atau 24 tahun. Itu pun sebab dia mengatakan dia fresh graduate. Kalau tidak, mati-mati aku menyangkakan umurnya baru 17 atau 18 tahun!

Setelah berkawan hampir 3 bulan, barulah aku berani meluahkan perasaan cinta dan seterusnya hendak melamarnya. Melissa bukan kepalang terkejut. Terkejut kerana pengakuan ku yang mencintainya sejak pandang pertama. Dan tambah terkejut lagi apabila aku terus hendak melamarnya!

Pada mama aku nyatakan berita gembira itu. Malang! Aku saja yang bercerita penuh semangat dan kegembiraan, mama mendengarnya dengan muka mahu tak mahu saja. Hendak tak hendak sahaja.

“Adakah dia secantik Suraya? Adakah dia anak orang ternama? Anak Datuk? Anak Datin? Anak Tan Sri? Anak Puan Sri?!”

Aku jadi berang dengan mama. Ternyata, mama memang moden pada zahirnya, tapi pemikiran mama masih kolot. “Apa ada pada semua itu?! Yang penting, Syam dan dia saling mencintai, saling menyayangi. Bukannya pangkat dan kedudukan penentu kebahagian!”

Mama menjuihkan bibirnya. Mencebikkan bibirnya. Sengaja menambah kesakitan di hati ku. “Baik. Kalau dia pilihan Syam, bawa dia berjumpa mama!”

“Betul, mama?” Sangka ku mama telah menerima pilihan hati ku itu.

“Mama hendak suruh dia masak nasi ayam dan mee hailam! Ingat syarat pelik dan bodoh yang Syam kenakan terhadap Suraya dulu?!”

Aku tersentak.

***

Aku sedang menyampaikan jemputan mama kepada Melissa, hujung minggu ini. Risau juga jika Melissa tidak sanggup. Lebih risau lagi kalau dia tidak dapat menyediakan kedua-dua makanan kegemaran ku itu. Dan aku amat tidak menyangka, bahawa mama telah membalas balik perbuatan aku terhadap Suraya dengan mengenakan syarat yang bagi mama pelik dan bodoh itu.

“Kenapa nasi ayam dan mee hailam?” Melissa mengerutkan dahi. Senyuman manis di bibirnya tetap terukir pada ku. Seperti mula kenal dulu.

“Sebab dua-duanya makanan kegemaran abang…”

“Ooo… begitu…”

Tentang syarat aku masih berahsia. Begitu juga tentang Suraya. ‘Masanya akan tiba juga untuk kau tahu, gadisku…’

***

Syukurlah, Melissa menerima pelawaan mama dengan tenang. Aku berdoa moga mama tidak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan. Sesuatu yang boleh melukakan dan menyakitkan hati dan perasaan Melissa. Sesuatu yang memalukan gadisku itu.

Tajamnya jelingan mama. Tidak putus-putus. Lebih-lebih lagi penampilan Melissa yang amat berbeza dari Suraya. Melissa bertudung. Kalau tidak berbaju kurung, dia pakai seluar jeans dengan t-shirt berlengan panjang. Atau sesekali dia berjubah. Atau memakai sut Punjabi. Itulah Melissa. Namun Melissa tetap cantik, tetap ayu. Tapi, mama lain.

“Kau bawa hantu bungkus pulang, Syam? Betul-betul memalukan!”

“Ma… perlahan sikit, nanti dia dengar! Tolonglah hormat…”

Melissa sedang duduk tenang di sofa, di ruang tengah. Tidak kelihatan sedikit kekok pun. Majalah Mingguan Wanita di bawah meja diambil, dibelek dan dibaca. Raut wajahnya mesra. Tidak canggung sedikit pun!

“Entah-entah anak driver mana yang Syam pungut, terus bawa ke rumah! Budak kampung mana tu?!” Mama masih dengan keangkuhannya.

“Malas Syam nak layan mama lagi!” rungutku, dan beredar mendapatkan Melissa. Mak Timah sedang menuang air teh di cawan. Mata tuanya sempat tersenyum penuh maksud padaku. Aku angguk, mengiyakan. Seolah-olah pandangan Mak Timah tadi minta penjelasan, dan anggukan ku pula adalah jawapan.

Mama keluar juga menemui Melissa. Mama lukis senyuman. Itupun senyum-senyum paksa. Dia duduk agak jauh dari Melissa. Terasa hati sungguh aku dengan sikap mama. Namun aku tetap menghormatinya sebagai seorang ibu. Waima apa sekali pun, dia tetap ibu ku.

“Semua barang dah ada kat dapur. You masaklah,” putus mama, kemudiannya.

Aku pula yang berdebar-debar. Melissa tidak banyak soal, dan terus ke dapur. Selama dia sibuk di dapur, aku tidak berani menjengah. Risau. Bimbang. Suspen. Semuanya berperang di fikiran ku.

Aku dan mama saling berpandangan. Aroma dan asap berkepul-kepul dari nasi ayam dan mee hailam yang terhidang di dada meja membuka selera. Melissa menguntum senyuman pada ku. Masih berdiri di tepi meja dengan apronnya. Lagak seorang tukang masak terkenal.

“Duduklah, Lissa…” aku menarik kerusi di sebelah ku. Melissa terus duduk. Mama jelas tidak tenang. Ataukah mama telah tewas?

***

“Rupa paras dan kedudukan tidak dapat mengukur kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Perempuan yang bakal menjadi suri hidup Syam tidak semestinya cantik dan kaya, ma… Syam impikan seorang isteri yang dapat mengurus segala keperluan Syam, yang pandai mengemas, pandai memasak, dan tidak bergantung pada pembantu rumah semata-mata. Dan, Melissa adalah pilihan yang paling tepat, bagi diri Syam…”

Mama akur juga. Rasa kecewa dan hampa kerana tidak dapat bermenantukan Suraya Datuk Albar, terkubur begitu saja. Walhal, aku memang tidak tahu sebelum ini bahawa Melissa adalah anak kepada Tan Sri Ellyas, seorang menteri! Dan makin lebarlah senyuman mama…


TAMAT

0 Comments:

Post a Comment

<< Home