Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Yasmeen

Betul ke Meen nak pergi?”

“Ibu, Meen bersama ibu lebih 2 minggu. Biarlah Meen tinggal dengan ayah barang sehari dua. Ahad ni Meen kena pulang ke kolej.”

“Meen tak sayangkan ibu…”

“Anak mana yang tak sayangkan ibunya. Meen sayangkan ibu. Ibulah satu-satunya ibu Meen di dunia ini. Tapi, Meen juga sayangkan ayah.”

“Baiklah, pergilah kalau Meen nak pergi juga. Pergilah, tinggalkan ibu di sini!” Itulah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Puan Maria sebelum dia mengunci diri di dalam bilik.

Yasmeen menjadi serba salah. Pergi atau tidak.

“Ah..aku kena pergi. Aku mahu berlaku adil kepada kedua-duanya,” bisiknya bersendirian.

PON!! PON!!

Bunyi hon kereta yang begitu dikenali. Dia menjenguk ke luar tingkap. Seorang lelaki separuh umur, sudah beruban namun masih tegap, mengangkat tangan, melambai-lambai dari dalam kereta.

Yasmeen mengangkat begnya dan bersedia untuk pergi. Pintu bilik ibunya berkunci.

“Ibu, keluarlah. Meen nak pergi ni.” Senyap, tiada jawapan. Meen sedih. Ibunya sudah merajuk. Setitik demi setitik manik putih jatuh di pipi Yasmeen.

“Tak pelah, bu. Meen pergi dulu. Maafkan Meen,” dengan bertemankan air mata, Yasmeen melangkah meninggalkan banglo 2 tingkat itu. Segera disapukan air matanya agar ayahnya tidak mengesyaki apa-apa.

Yasmeen masuk ke dalam perut kereta itu dan Proton Wira itu meluncur pergi meninggalkan perkarangan banglo mewah itu.

Setiap kali cuti, inilah yang sering dialaminya. Yasmeen, anak bongsu Puan Maria hasil perkahwinan pertamanya dengan Encik Baharom. Entah di mana silapnya, perkahwinan mereka tidak dapat bertahan. Hanya mampu bertahan selama 30 tahun. Mereka bercerai tatkala usia Yasmeen genap 14 tahun.

Kini, masing-masing membawa haluan sendiri. Masing-masing mencari kehidupan baru bersama pasangan masing-masing. Maria telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan setelah menjanda 2 tahun manakala Baharom menamatkan zaman dudanya kira-kira setahun selepas mereka bercerai. Mereka bahagia dengan perkahwinan baru itu. Namun, masalah utama yang sering dibangkitkan ialah Yasmeen. Dia seringkali menjadi rebutan.

Walaupun hak penjagaan terletak pada Maria, mahkamah memberi kelonggaran kepada Baharom untuk berjumpa dengan Yasmeen pada bila-bila masa. Tetapi disebabkan kedegilan Maria yang langsung tidak memberi peluang untuk Yasmeen berjumpa dengan ayahnya menyebabkan Yasmeen tekad untuk membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Yasmeen mahu bersikap adil pada kedua-duanya.

Yasmeen bukanlah anak tunggal mereka. Yasmeen mempunyai seorang abang dan seorang kakak tetapi masing-masing telahpun mendirikan rumahtangga sebelum penceraian ibu bapa mereka. Abang sulung Yasmeen, Mohd Syafiq Affandi, seorang arkitek telahpun menemui pasangan hidupnya, Nooramilia dan kini mereka menetap di Johor Bahru. Kakak Yasmeen, Yuzlina Ashira telah mengikut suaminya berhijrah ke pantai timur. Tinggallah Yasmeen seorang untuk direbutkan.

Yasmeen Azira Baharom, pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, meneruskan pangajiannya dalam bidang perakaunan. Sudah 6 bulan dia belajar di kolej itu. Ini bermakna sudah 6 bulan dia menjauhkan diri dari kedua orang tuanya. Di kolej itulah dia mencari ketenangan diri sambil menimba ilmu.

Lebih jauh dia pergi, lebih aman rasa di hati. Tambahan pula, di kolej ini, Yasmeen mempunyai 3 orang sahabat yang memahami. Perkenalan singkat talah membuahkan bibit-bibit kemesraan antara mereka. Lia, Yon dan Fad, ketiga-tiga mereka mempunyia karektor yang berbeza. Kepada merekalah tempat Yasmeen mengadu.

“Jauh mengelamun,” suara itu membunuh lamunan Yasmeen.

“Ingatkan Asyraf ke? Aii, tadi baru ketemu, udah rindu-rinduan. Waduh!!!?” usikan Lia membuatkan Yasmeen tersenyum. Pantas tangannya mencubit peha gadis yang berasal dari negeri Penyu itu.

“Aduh!! Sakit la!!!”

“Padan muka. Perli aku lagi.”

“Dah tu, jauh giler ko mengelamun, kitorang datang pun ko tak sedar,” ujar Lia sambil mengusap-ngusap pehanya yang masih pedih itu.

“Yela, apa yang dimenungkan?” Fad yang sejak tadi berdiam diri, bersuara.

“Terkenangkan kepahitan semalam...”

“Pergh, ayat sastera ma! Budak akaun pun terer bersastera. Alamak, woit dah pukul 6 ni. Jom makan, perut dan menyanyi nie.”

“Kau ni tak abih-abih dengan lapar. Jomla, kang ade yang pengsan lak!” Mereka berempat beriringan ke kafe untuk mengisi perut masing-masing.

* * * * *

Kehidupan di kolej berjalan lancar. Yasmeen ternyata gembira bersama teman-temannya. Tambahan lagi, Lia telah memperkenalkan dirinya dengan Asyraf, jejaka yang berasal dari Hilir Perak yang menjadi pujaan pelajar perempuan kolej itu. Dia senang berkawan dengan Asyraf, pemain skuasy kolej memang gemar berjenaka.

Membuatkan Yasmeen tak kering gusi apabila bersamanya. Terlupa sebentar Yasmeen pada masalah-masalah yang dialaminya. Namun, mereka hanya sekadar teman baik. Seperti juga Lia, Yon dan Fad, dia masih belum bersedia untuk menambahkan masalah di kepalanya.

Walaupun pernah Asyraf mengutarakan hasratnya, Yasmeen tetap berdalih. Akhirnya lelaki itu akur dengan keputusan Yasmeen. Yasmeen tak mahu memikirkannya lagi. Cukup sekadar berkawan, kepalanya bagaikan ingin pecah dengan masalah yang sedia terhidang. Dia tidak mahu menambahkannya lagi.


* * * * *

Suatu hari, telefon bimbitnya berdering. “Hello, assalamualaikum, ibu...”

“Waalaikumsalam. Amboi dah tak reti nak telefon ibu lagi?” Maria memulakan khutbahnya menyebabkan Yasmeen mengunci mulutnya. Dia hanya mendengar sahaja leteran ibunya.

Sebab itulah dia malas untuk menelefon ibunya. Perkara seperti ini pasti akan terjadi. Ayahnya pula memang payah untuk dihubungi. Telefon rumah tak berjawab. Telefon bimbitnya ditutupnya pula. Akhirnya, setelah hampir setengah jam berkhutbah, ibunya meletakkan telefon. Yasmeen menghempaskan badannya di katil dan air matanya hadir tanpa diundang. Kecil hatinya mendengar kata-kata ibunya. Terlalu pedih, tajam menikam.

* * * * *

“Meen, kau nak makan apa untuk buka puasa nanti? Aku ngan Lia nak gi pasar Ramadhan. Nak pesan apa-apa tak?” soal Fad sewaktu tamat kuliah.

“Mmmm….aku nak ayam percik 3 ketul, nasi ayam 5 bungkus, air tebu 1 bungkus besar, char kuey tiow 4 bungkus, apam balik 5 keping…………”

“Mak aii!! Besarnya tembolok hang. Ni hang ka gajah yang nak makan? Alahai, debablah minah ni nanti,” kata Yon.

“Alamak, tak larat la Asyraf nak dukung kalu dah debab cam anak gajah,” sambung Lia.

“Hahaha...aku gurau ajelah. Mana perut aku nak sumbat. Lainlah ngko Fad. Ade 4 perut. Rectum,omasum,” balas Yasmeen.

“Aku pulak! “ Fad pura-pura merajuk.

“Belikan aku ayam percik seketul ngan milk shake perisa blueberry. Lagi, kirim salam kat pak cik yang jual char kuey tiaw tu.”

“Dekat abang burger, abang yong tau foo ngan mak cik nasi ayam ko tak nak kirim salam ker?” perli Fad.

“Mmmm……kirim salam satu pasar la. Lagi senang,” pintas Yon. Akhirnya keempat-empat gadis itu ketawa terbahak-bahak membuatkan pelajar lain yang berhampiran menoleh ke arah mereka.

*******

Raya semakin hampir, pelajar lain semua gembira. Ada yang sudah memperagakan baju raya masing-masing. Ada juga yang sudahpun membeli kuih raya. Namun bagi Yasmeen, hatinya semakin tidak tenang. Risau mengenangkan hari yang bakal ditempuhinya.

Hari Raya merupakan hari kesedihan baginya setiap tahun. Orang lain, pada hari rayalah hari mereka bergembira bersama keluarga tetapi bagi Yasmeen, tidak ada apa yang menggembirakan. Tidak ada apa yang perlu disambut. Sudah 5 tahun hari raya yang dilalui tidak bermakna.

Apa tidaknya, pada waktu inilah waktu klimaks perebutan antara kedua ibu bapanya. Hendak beraya bersama abang dan kakak, mereka pun dan ada keluarga sendiri. Tahun lepas dia beraya dengan ibunya. Itupun setelah ayahnya mengalah. Tahun ini, bagaimana pula? Semalam, ayahnya telefon mengatakan bahawa dia akan menjemput Yasmeen pada hari terakhir kuliah.

Pagi ini pula, ibunya telefon mengatakan bahawa dia juga akan dating menjemput Yasmeen pada hari yang sama. Sekali lagi Yasmeen dilanda serba salah. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tinggal beberapa hari sahaja kolej akan ditutup. Dia semakin risau. Pelajarannya dua tiga hari ini entah ke mana. Bukan Lia, Yon dan Fad sahaja yang perasan akan kemurungan Yasmeen malah Asyraf juga merasai perubahan pada diri Yasmeen.

Dia menjadi pendiam dan tidak lagi berbuka puasa bersama mereka seperti awal-awal Ramadan dulu. Lia, Yon dan Fad sudah sedia maklum apa yang dialami oleh Yasmeen. Asyraf yang masih terpinga-pinga dengan keadaan Yasmeen berlari-lari anak mengejarnya seketika keluar dari dewan kuliah.

“Yasmeen!!” jerit Asyraf dari belakang. Langkah Yasmeen dan kawan-kawan terhenti. Dia menoleh ke belakang. Tercungap-cungap Asyraf mendapatkannya.

“Kenapa?” soal Yasmeen pendek.

“Tanya sikit boleh?”

“Apa dia?”

“Kenapa Meen lain je dua tiga hari nie?” Lia, Yon dan Fad berjalan mendahului mereka memberi peluang kepada Asyraf untuk bercakap dengan Yasmeen. Mereka berdua berjalan beriringan.

“Tak ada apa-apa. Meen okey jer!” senyuman tawar terserlah dibibir Yasmeen.

“Meen tipu. Tell me. Bagi tau Asyraf!!”

“Asyraf, raya ni…..” Meen menceritakan serba sedikit mengenai masalah yang membelenggu mindanya. Asyraf mengangguk tanda faham.

“Jangan difikirkan sangat pasal tu. Akan mengganggu fikiran Meen je. Cuba lupakan seketika…”

“Tapi harinya semakin hampir.” Air mata Yasmeen mula jatuh membasahi pipinya yang cengkung itu. Lia yang mendengar esakan Meen segera menghulurkan tisu.

“Dah la tu, Meen. Kitorangkan ader. Jangan menangis lagi. Kitorang akan cari jalan untuk hang selesaikan masalah ni. Air mata bukan penyelesaiannya”

“Betul tu, Meen. Dahla tu, malu orang tengok hang nangis. Lebih-lebih lagi depan prince charming ni,” sempat juga Yon mengusik Yasmeen. Yasmeen menyeka air matanya dan tersenyum.

“Thanks,” perkataan itu yang mampu diucapkan oleh Yasmeen tatkala itu.


* * * * *


Hari yang tak diingini telahpun tiba. Yasmeen masih terperap di dalam biliknya. Sedangkan 2 biji kereta telah menunggu di perkarangan hostelnya. Kereta Wira biru metalik milik ayahnya dan Perdana V6 milik ibunya.Yasmeen tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang. Dia termangu di atas katil.

“Sabarlah Yasmeen,” itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Yon. Apa yang mereka boleh lakukan. Sebentar kemudian, Lia muncul dengan termengah-mengah.

“Meen, perang mulut tengah meletus tu,” Yasmeen meraung memikirkan nasibnya. Dia menekup mukanya dengan bantal. Lia dan Yon cuba menenangkannya. Sebentar kemudian, Yasmeen bangun. Air matanya diseka. Tudung yang tersangkut di tepi almari direntap sekuat hati dan dipakainya menutupi rambutnya yang separas bahu itu. Begnya yang dari tadi setia di bibir katil diangkat.

“Kau nak ke mana? Yasmeen!!” soal Lia cemas.

“Aku nak pergi dari sini!” Yasmeen mula menyusun langkah. Dia tidak segera ke tempat letak kereta di mana pertelingkahan sedang berlaku tetapi dia menyusun langkah ke arah pondok pengawal. Dia sudah memberi isyarat kepada Lia dan Yon agar membiarkan dia pergi.

Setelah menandatangani di pondok pengawal, dia memulakan langkah menuju ke pondok menunggu bas yang terletak tidak jauh dari situ. Dia tekad untuk melarikan diri. Arah tujunya masih belum diketahui namun dia harus membawa diri kali ini.

Masalah ini sudah tentunya tidak akan berlaku jika dia tidak dilahirkan ke dunia ini. Dia menyegerakan langkah. Air matanya tak henti-henti mengalir. Tak pernah mengenal erti jemu. Dalam fikirannya hanya satu, dia tekad untuk pergi sejauh mungkin berbekalkan wang simpanannya.

Dalam keadaan yang bercelaru itu, dia tidak menyedari kehadiran bunyi hon kenderaan yang begitu kuat sewaktu dia hendak melintas jalan dan ……………….


INNALILLAH…………

0 Comments:

Post a Comment

<< Home