Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Masih Ada Bahagia

"Eina, terima kasih sayang!"

Jeffri mengucup lembut dahi isterinya sambil merenung si comel dalam dakapannya dan si adik dipangkuan isteri kesayangannya itu.

"Tidak bang, Eina yang patut mengucapkannya pada abang. Terima kasih atas kasih sayang abang, cinta abang dan kehidupan ini. Tanpa abang mungkin Eina masih tercari-cari makna sebenar kehidupan dan kasih-sayang," Eina mengelus lembut tangan suaminya.

"Anak-anak ini adalah tanda mata dan hadiah dari Eina untuk cinta dan kasih sayang abang pada Eina." Mereka merenung sepasang bayi kembar yang baru mengenal dunia itu dengan rasa kasih yang membara. Syaffeina Raiha merenung jauh ke depan, mengimbas kembali kenangan semalam.

**********

"Tiga bulan lagi?" Dia merenung cincin yang baru tersarung di jari manisnya sebentar tadi. Tak percaya dia kini bergelar tunangan orang pada lelaki yang tidak sedikit pun wujud perasaan sayang padanya. Tiga bulan lagi, dia akan disatukan dengan satu ikatan bersama lelaki tersebut.

Apa yang harus aku katakan pada Zaki? Terlukakah dia seandainya mendengar berita ini? Maafkan Eina abang!

*******

"Kenapa Eina sekarang macam dah berubah abang tengok? Abang call susah sangat nak dapat cakap dengan Eina. Ada sesuatu yang Eina rahsiakan dari abang?" Zaki meraup wajahnya perlahan. Wajah gadis kesayangannya direnung dalam. Kata-kata Haris semalam terngiang-ngiang di telinganya.

"Bekas awek kau dah tunang, kau tak rasa apa-apa ke? Ada juga orang yang sanggup ambil bekas kau!" Rasa ingin dilayangkan penumbuknya saat itu juga,tapi bila mengenangkan yang temannya itu tak tahu hubungannya dengan Eina sudah kembali bertaut, ditahannya saja gelodak hati.

Salah dia juga kerana mengata yang bukan-bukan tentang kekasihnya itu sewaktu Eina mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka. Tapi kini dia yang separuh mati menahan derita ekoran perpisahan itu. Lantaran itulah dia merayu-rayu pada wanita itu agar menerimanya kembali. Sebulan berpisah tanpa melihat wajah dan mendengar suaranya sudah cukup menyeksakan hatinya. Dia tak boleh kehilangannya!

"Tak ada apa-apalah. Kenapa abang makin kurus? Abang tak sihat ke?" Dia terasa ingin menangis apabila melihat wajah kusut lelaki di depannya ini. Sudah dua minggu dia menjadi tunang Rahim. Selama itulah dia mengelak dari berjumpa atau menerima panggilan dari Zaki. Cincin tunang milik Rahim tidak disarungkan dijari, sebaliknya hanya digantung pada lehernya.Lelaki itu tidak kucintai, tak mungkin cincinnya aku pakai dijari. Itu prinsipnya.

Sentuhan lembut pada dahinya, membawa Zaki ke alam nyata. Jemari milik Eina diraihnya,dan dielus. Tapi,segera ditarik oleh wanita itu.

"Maafkan Eina! Hubungan kita tak boleh lagi seperti dulu. Eina rasa abang dah tahu yang Eina sudah diikat dan terikat. Bukan Eina tak sayangkan abang, tapi Eina tiada pilihan. Simpan sahaja kasih sayang itu di lubuk hati andai tak mampu abang luahkan.

”Eina tahu abang dah menyesal, tapi kita tak mungkin bersatu. Terlalu banyak yang menanti, terlalu besar pengorbanan yang harus kita lakukan. Hidup bersama abang adalah impian Eina, tapi itu tak akan jadi kenyataan. Biarlah Eina mengalah biarpun Eina sendiri akan terluka.

”Kalau abang rasa keputusan Eina ini mengecewakan abang, abang patut tahu Eina lagi menderita kerana sayang Eina pada abang tak pernah berpaling. Maafkan Eina. Lupakan Eina kerana Eina juga sedang belajar untuk melupakan abang!"

Titisan airmata yang cuba ditahan gugur jua. Kucupan lembut di tangannya terasa hangat dengan airmata. Diangkat perlahan wajah milik gadis itu yang nyata sudah basah.

"Abang faham. Abang impikan kehidupan dengan Eina walaupun abang pernah menghancurkan hati Eina. Abang ingin tebus dosa-dosa abang pada Eina, malangnya peluang itu tiada lagi setelah abang persiakan peluang yang diberi dulu.

”Mungkin ini balasan buat abang. Abang doakan agar Eina bahagia, dan maafkan abang kerana mengambil sesuatu yang bukan hak abang sebelum abang jadi suami Eina. Abang benar-benar menyesal," Zaki sedar yang dia terlalu menyayangi wanita itu biarpun dia pernah menghancurkan hidupnya dan menyakiti hatinya.

"Eina redha. Maafkan Eina. Eina balik dulu,” dia segera menghidupkan motornya. Tak sanggup lagi dia berdepan dengan lelaki itu. Cukup banyak kenangan yang mereka lalui bersama. Semoga ada hikmahnya perpisahan ini.

**************

"Eina tak pasti wajarkah Eina teruskan perkahwinan ini. Tinggal sebulan setengah je. Eina keliru bang!"

"Erm... kalau Eina rasa Eina boleh teruskan, Eina tawakkal pada Allah. Dia yang aturkan semua ini, tentu ada jalan keluarnya," Jeffri memujuk lembut adik angkatnya itu. Hiba hatinya melihat gadis yang dipuja dalam diam itu menerima nasib sebegitu.

Perkenalan yang tak diduga, akhirnya membibitkan rasa kasih dalam hatinya namun dipendamkan sahaja kerana gadis itu adalah kekasih kepada kawan baiknya, Zaki. Disebabkan sering menjadi tempat meluahkan perasaan dan masalah, dia mula menyayangi gadis itu. Ternyata dia tidak seperti yang dikatakan Zaki. Dia cukup baik, malah terlalu naif hingga masuk ke perangkap lelaki buaya seperti Zaki.

"Masalahnya, Eina tak ada perasaan langsung kat tunang Eina tu. Mak dan abah terima dia pun sebab nak elak Eina dari terus berhubung dengan Abang Zaki. Nak ikutkan, dia orang pun tak suka sangat Rahim tu. Sekadar nak lepaskan batuk kat tangga je," dia meluahkan apa yang terpendam.

Memang diakui, keluarganya tidak berapa sukakan Rahim, tapi oleh kerana terpaksa mereka terima juga pinangan anak kepada sepupunya itu. Masalahnya aku, boleh ke aku hidup dengan lelaki itu yang sikit pun aku tak cinta?

"Eina dengar tak apa abang kata?"

"Ha.... apa dia?"

"Kita kahwin?"

Kata-kata Jeffri membuatkan lidahnya kelu seketika sebelum dia tergelak. "Abang ni,orang tengah serius, dia buat lawak bangang pulak. Mengarut je!" Sebenarnya hatinya tercuit juga dengan kata-kata itu. Kerana tanpa sedar jauh di sudut hatinya dia menyayangi lelaki itu lebih dari pertalian yang dia sendiri bina, abang dan adik angkat.

"Abang serius ni. Eina ingat tak, abang pernah cakap yang abang dah jumpa wanita idaman abang, tapi dia dah berpunya? Sifat-sifat wanita pujaan abang sedikit sebanyak ada pada Eina? Einalah wanita yang abang cari selama ini. Beri abang peluang untuk jaga hidup Eina," Jeffri nekad meluahkan perasaannya. Tak sanggup lagi dia mendengar keluh-kesah gadis tersebut.

"Abang...?"

**********

"Aku terima nikahnya Syaffeina Raiha Tajuddin dengan mas kahwinnya....," akad yang meluncur laju dari bibir lelaki tersebut mengalirkan airmata yang bergenang sedari tadi. Akad itu juga memaksanya berpisah dengan keluarganya. Ini masa depanku, aku berhak tentukan. Kerana itulah dia nekad memutuskan pertunangannya dengan Rahim dan menerima lamaran Jeffri biarpun dia terpaksa dibuang keluarga.

"Maafkan Eina kerana tidak mampu beri abang apa yang sepatutnya menjadi hak abang sebagai suami sebagai hadiah malam perkahwinan kita," Eina menitiskan airmata sewaktu dahinya dikucup oleh Jeffri.

"Sudahlah,abang terima Eina seadanya," luah Jeffri ikhlas.

********************

"Eina!" Kuakan pintu memancung lamunannya. Terjengul wajah ibu bapanya.

"Mak, abah!" Tiada kata-kata yang mampu diluahkan selain tangisan gembira. Setelah setahun lebih berjauhan dari keluarganya, hari ini dia miliki kembali kebahagiaan itu.

Terima kasih Tuhan kerana memberi aku peluang menikmati kehidupan ini kembali .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home