Copy Is Right

Thursday, July 27, 2006

Terima Kasih Min

Hatiku berbunga. Senyumku mekar keriangan. Kenangan semalam menamani lenaku. Cahaya mentari mula mengintai di celahan tirai kamar, namun aku masih enggan bangkit dan meninggalkan kenangan indah itu.

“Bangun Nadia, awak tak pergi kelas?” terdengar suara halus Min, teman serumahku.

“Hmmm...”

“Kelas awakkan pukul 10, awak tak pergi ke ?” dia bertanya lagi.

“Nadia, are you ok? Kalau awak nak pergi, bolehlah kita pergi sekali,” pelawa Min.

Min memang gadis yang baik, walaupun aku baru mengenalinya tetapi Min mengambil berat terhadapku. Malah jadual waktu kuliahku turut tersimpan dalam memorinya, namun perangai Min yang suka menegur sikapku terutama sekali bab solat, menyebabkan Min aku kategorikan sebagai kaki penyibuk.

“Laa... tak siap lagi, tak pergi ke?”

“Aku M.C lah,” jawabku sambil menarik semula selimut.

“Malam semalamkan awak sihat, atau awak... ?” tekanya. Min mula duduk di tepi katilku.

“You memang the best student, tapi Nadia tengah malas ni,” sempat juga aku berseloroh.

“Awak ada masalah?”

“Minah ni tak pandai letih ke?” tanyaku di dalam hati.

“Lecturer tu tak pandai nak bagi lecture lah,” senang saja aku memprotes.

“Kalau lecturer tu tak pandai, awaklah yang kena belajar dengar lecture,” balasnya.

“Min pergi dulu, esok lusa Nadia pergi pulak,” pujukku agar Min membenarkan aku menikmati tidurku yang tergendala.

“Baiklah, Min pergi dulu.”

Nasib baik minah ni tak berceramah dengan lebih panjang lebar lagi. Sebenarnya bukan lecturer yang membosankan, tetapi aktiviti bersama Kamal budak macho yang baru kukenali malam semalam membuatkan aku enggan bangkit apatah lagi bayangannya masih membuaiku. Malah aku masih terdengar muzik techno yang rancak. Ah.. indahnya malam, kekayaan mama dan papa cukup untuk aku gunakan sepanjang hidupku. Hidup ini mesti enjoy, menjadi sloganku.


Malam Membosankan

Alat hawa dingin yang terpasang tidak dapat menghalang peluhku mengalir. Muzik yang rancak masih tidak menarik perhatianku untuk menari, oleh itu aku hanya memerhatikan teman-temanku menari berpasang-pasangan.

“You tak menari?” tegur seorang jejaka.

“No, thanks for asking,” jawabku sambil tersenyum.

“Azril,” jejaka itu memperkenalkan dirinya sambil menghulur tangan tanda perkenalan.

“Nadia,” balasku ringkas.

Aku tidak berminat berbual panjang dengannya, terlalu agresif, garfunya juga terlalu mudah menjalar. Aku tahu aku bukanlah gadis yang baik tapi aku tidak akan menyerahkan mahkotaku dengan lelaki yang bukan suamiku. Aku meneguk air berbuih sepuas hatiku dan meminta Azril meninggalkan aku sendiri. Malam ini sungguh membosankan.

“Astaghfirullah, apa nak jadi dengan awak ni Nadia?”

“Nak join? Aku belanja,” pandanganku berpinar.

“Oppss... sorry,” hayunan tanganku menjatuhkan koleksi novel Min di tepi meja.

“Salah sendiri apasal letak atas meja tu.” Sempat lagi aku mengutuk di dalam hati.

Entah berapa ratus kali aku melihat Min berteleku di atas tikar sembahyang pada waktu-waktu begini, ah... lantaklah apa dia nak buat, kubur lain-lain.

“Kalau kubur awak sebelah kubur saya, tentu bising,” tiba-tiba suara Ustazah Aida menerpa di mindaku.

“Argh..” sakit yang ku alami menjadi-jadi.

“Nadia are you okay?” tanya Min kebingungan.

“Please Min, awak ada minyak angin?” Pintaku.

“Minyak ni boleh?” tanya Min menunjukkan sebotol Minyak Angin cap Kapak.

“Agaknya... Thanks.”

Sejak beberapa hari yang lalu aku sering merasa sakit di bahagian belakang, malah air kencing juga seolah-olah bercampur darah, agaknya aku tersalah makan, tak kisahlah yang penting hidup mesti enjoy, sakit akan reda bila sapu minyak angin, lebih-lebih ubat cap percuma ni.

“Awak dah okay?” soal Min mengambil berat.

“I think so, awak pergilah tidur, I’m okay,” jawabku untuk menyenangkan hatinya. Sekalipun sakit ini menggila sekali-sekala.

“Min masuk dulu, take care,” Min berpesan sebelum kelibatnya hilang dari pandanganku.


Penantian Satu Penyeksaan

Bilik ini bagaikan Penjara Pudu, aku semakin bosan berperap di dalamnya, seingat aku entah berapa kali peti sejuk aku buka. Keluar? Aku masih belum berapa sihat untuk pergi enjoy seperti selalu, malah aku dah mencipta satu tabiat baru, tandas menjadi persinggahanku.

“Kenapa dengan awak Nadia?” Soalan Min mengejutkanku.

“Letih masuk toilet, Min tolong on kipas tu,” pintaku.

“Nadia kalau awak rasa tak sihat, lepas makan ni kita pergi klinik,” saran Min.

“Awak dah bosan Nadia lekat dekat rumah?” sempat lagi aku mengusik Min dengan pertanyaanku, aku tahu Min amat risaukan aku. Semalaman dia menemaniku, setiap kali aku mengerang Min akan menyapukan minyak angin di belakangku.

“Min nak solat dulu,” suara Min memecahkan suasana.

Aku memerhatikan Min sehingga kelibatnya hilang di bilik mandi.

Solat, hatiku berbisik, entah dah berapa lama aku melupakan tikar sembahyang, agaknya semenjak mama dan papa pergi, kehidupan tanpa mama dan papa mengajar aku hidup berdikari sekaligus melupakan nikmat solat yang pernah ku lakukan dulu. Semuanya hilang bersama mama dan papa.

“Jauh termenung, awak tak nak solat?” tanya Min sambil tersenyum.

“Muda lagi, dah tua esok I will pray,” tungkasku.

“Mati tak kira umur Nadia, bila dah ajal sekarang ni pun kita boleh mati,” panjang lebar ceramah Min kali ini.

“Kalau Min nak, Min matilah dulu,” aku berharap kata-kataku akan mematikan hujahnya.

“Min sanggup, kalau kematian Min boleh membahagiakan Nadia.”

Senang saja Min menyatakan kesanggupannya, aku mula terbayang kematian yang suatu masa dulu pernah berlaku di hadapanku.

Tiga hari lagi umurku genap 21 tahun. Kata orang 21 adalah kunci kebebasan dan kedewasaan, namun bukan hadiah yang aku nantikan, penantianku tertumpu kepada laporan perubatan yang akan keluar pada tarikh yang sama. Aku termakan pujukan Min untuk membuat pemeriksaan beberapa hari yang lalu. Penantian itu satu penyeksaan dan kini aku terseksa dan gementar menanti laporan itu dikeluarkan.

“Nadia, kain sembahyang awak dekat tepi katil, awak akan tenang bila awak mengadu kepada-Nya,” Min mengingatkan aku.

“Alahai membebel pulak makcik ni.” Tapi kata-kata itu hanya berlegar di dalam hatiku.

“Nadia dengar tak?” Min mengulangi pertanyaan, beriya-iya Min mengajak ku solat.

“Dengar.”

“Bulan depan exam, assignment dah siap?” Minah ni banyak soal pulak hari ni.

“Dah,” jawabku pendek, macamlah dia tak tahu aku siapkan assignment guna duit, bayar je kat budak yang rajin ha.. .siaplah.

“Nadia jangan lupa makan ubat tu,” laung Min sebelum meninggalkan aku.


Ketegangan

“Kronik! Ini satu kesilapan, doktor always do that,” luahku kesal.

Aku cuba meyakinkan diriku bahawa laporan itu satu kesilapan. Tetapi mampukah aku menipu diri sendiri. Aku terkenang soalan doktor mengenai lenguh bahagian belakang yang seringku alami.

“Tidak, aku tak akan percaya laporan palsu ni,” kertas tu aku campakkan ke tempat yang sepatutnya, tong sampah.Aku mengambil keputusan yang ku kira terbaik untuk diriku, aku akan menganggap perkara ini tidak pernah terjadi.

“Apa pulak ni?” sambil tanganku membelek-belek bungkusan yang comel di atas katilku.

“Happy Birthday – sesungguhnya Allah S.W.T menyayangimu” - Sahabatmu Nur Anisah Aminah.

Allah, nama suci itu perlahan-lahan meresap ke hatiku yang paling dalam.

Benarkah Dia menyayangiku, mengapa aku bersendirian di dunia ini, mengapa Dia menjemput mama dan papa malah pemergian mereka tanpa pesan, sehingga aku kesunyian? Satu-satunya cara aku menghilangkan kesunyian adalah dengan bergaul dengan kawan-kawan seperti Gee, Erin dan lelaki-lelaki yang hadir setiap kali melihat kelincahanku di pentas.

Ya Allah, sekiranya Engkau menyayangiku berikanlah petunjuk kepadaku, pertama kali aku memohon kepada-Nya selepas berlakunya kemalangan yang melibatkan mama dan papa di hadapan mataku. Itupun penuh keraguan.

Min tersenyum, sungguh ikhlas dan indah. Min sungguh ayu hari ni, baju kurung biru laut dipadankan dengan tudung biru yang agak lembut sungguh sesuai dengan kulit Min yang cerah, apatah lagi Min mengenakan kerongsang yang aku hadiahkan kepadanya.

Min beria-ia mengajak aku keluar setelah Min kerap meninggalkan aku sendiri, namun Min enggan memberitahu tujuannya mengajak aku keluar, agaknya hari ini adalah hari yang istimewa buat Min dan mungkin juga untuk diriku sendiri.

“Nadia tunggu Min!!” Jerit Min sambil menggerakkan tangan sebelum melintas.

“skreettt..... prang...!”

Dentuman yang kuat terdengar, bau getah terbakar mula menusuk hidungku.

“Min... Min...!” entah kenapa Min tidak menjawab panggilanku. Aku melihat tubuh Min terbaring kaku berhampiran lampu isyarat di seberang jalan.

Selepas itu aku tidak mampu untuk melihat atau mengingati apa-apa lagi.

“Mati tak kira umur Nadia,” terngiang-ngiang suara Min tempoh hari.

“Min sanggup kalau kematian Min boleh membahagiakan Nadia,” kesanggupan Min masih berlegar-legar di mindaku.

“Betulkah kematian Min akan menbahagiakan aku?” aku bertanya, sepi...

“Mungkin Allah menunjukkan kasih sayangnya kepadaku dengan cara ini,” teka hatiku.

“Ya Allah bantulah hamba-Mu ini, kuatkanlah hatiku untuk menerima segala dugaan-Mu,” kali ini aku benar-benar pasrah dengan ketentuan-Nya. Min terlalu banyak mengajarku erti kesabaran, aku tidak akan mengecewakannya, tidak sekali-kali.



Disayang

“Nadia bangun nak,” sayup-sayup terdengar suara seorang wanita.

“Siapa wanita ni, wajahnya seiras Min tapi agak berumur,” bisik hatiku.

“Nadia, nama makcik Rahmah, makcik mak Min, dah tiga hari Nadia tak sedarkan diri,” mungkin makcik Rahmah dapat meneka apa yang bermain di fikiranku.

“Makcik, Min mana?” aku teringat sahabatku. Makcik Rahmah tersenyum dan meminta aku berehat. Aku pasti Min selamat, takkan seorang ibu mampu tersenyum sekiranya anaknya terkena musibah, hatiku berkira-kira. Aku berehat sepuas hatiku.

“Nadia setuju?” Makcik Rahmah bertanya.

“Nadia ikut kehendak Min makcik,” aku memberi persetujuan.

“Alhamdulillah, semoga Min aman di sisi-Nya,” makcik Rahmah tersenyum lagi.

“Makcik, boleh Nadia tanya sikit?” Aku takut menyakiti hati seorang ibu yang kehilangan anak.

“Apa dia?” aku melihat wajah makcik Rahmah yang tenang.

“Bagaimana makcik boleh tersenyum setelah kehilangan Min?” terketar-ketar suaraku bertanya.

“Makcik percaya Allah lebih menyayanginya, Allah tidak akan menduga hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapinya. Min tentu lebih tersiksa sekiranya kita bersedih kerananya. Nadia kena ingat, Allah sentiasa mengasihi hamba-hambanya.”

Aku terkesima seketika. Mulianya hati seorang ibu. Aku meninggalkan persemadian Min perlahan-lahan, takku sangka Min menjumpai laporan kesihatanku dan berusaha mencarikan buah pinggang yang sesuai buatku, kau betul Min, sememangnya Allah mengasihiku, aku yang tidak sedar. Aku masih bernafas hari ini untuk mendoakan kesejahteraan mama dan papa di sisi-Nya bukan untuk terus menyalahkan takdir Ilahi, kini aku benar-benar faham dan sedar atas kesilapanku.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home