Copy Is Right

Wednesday, August 16, 2006

Papa

“Papa,” bisik Liza di dalam hati. Berkali-kali dia memerhatikan lelaki yang berada di dalam Restoran Rasa Utara itu. Memang sah itu papanya. Tetapi, siapa pula wanita cantik di sebelah papa. Takkanlah papa mahu main kayu tiga dengan mamanya pula.

“Eh, itu papa Liza, kan?” tegur Riezman.

Airmuka Liza berubah serta-merta. Liza terus merenung papanya yang kelihatan gembira melayani wanita itu.

“Jangan buat hal kat sini, Liza,” Riezman mengingatkan. Bimbang dia jika tunangnya ini membuat sesuatu yang tidak wajar di situ. “Mungkin client papa, agaknya,” Riezman memujuk hati Liza.

“Saya tahulah awak dan papa ngam. Tapi hal macam ni, awak kena fikirkan mama saya,” marah Liza.

“Sudahlah tu. Balik nanti tanyalah elok-elok dengan papa,” ujar Riezman.

“Saya nak masuk sekejap. Awak nak ikut ke tak?” tanya Liza.

“Okeylah, sayang. Tapi jangan main tarik-tarik rambut pula dalam tu nanti,” beritahu Riezman sambil tersengih. Liza menjeling tajam ke arah tunangnya. Lelaki itu masih ada hati mahu bergurau!

“Papa,” tegur Liza lalu bersalam dengan papanya. Papa kelihatan terkejut dengan kehadiran anak tunggalnya di situ.

“Eh, Liza. Ha, Riezman pun ada. Makan dengan papa sekali?” pelawa papa.

“Kami dah kenyang, papa,” Riezman menolak dengan lembut.

“Siapa ni papa?” tanya Liza tidak sabar.

“Ini kawan tempat kerja papa. Kenalkan Cik Hayati,” beritahu papa. Liza menghulurkan salam buat wanita yang kelihatan bergaya dan jelita itu. Wanita itu menyambutnya sambil tersenyum.

“Ini anak I. Yang lelaki ni bakal menantu I,” papa memperkenalkan. Wanita itu mengangguk-angguk.

Malam itu Liza tidak berselera untuk menjamah makanan. Hatinya sakit melihat perlakuan papa petang tadi. Papa memang pandai berlakon sehinggakan mama tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap papa. Papa mengerti Liza memarahinya. Agak lama juga Liza mengambil keputusan untuk tidak bercakap dengan papa.

“Siapa tu?” tanya Liza sebaik sahaja terdengar ketukan pintu di biliknya.

“Boleh papa masuk?”

Liza membuka pintu bilik. Kelihatan papa tersenyum ke arahnya. “Papa nak berbincang sesuatu dengan Liza,” lelaki itu memulakan bicara.

“Siapa Hayati tu, papa,” tanya Liza.

“Dia pekerja baru. Kesian dia, Liza. Suami dia dah lama meninggal. Dia terpaksa menanggung anak-anaknya untuk bersekolah,” beritahu papa simpati.

“Habis tu papa bantu ringankan beban dia dengan bawa dia pergi makan?” tanya Liza.

“Papa ingat, papa nak ambil dia jadi isteri papa,”

“Apa?” Liza memandang tepat ke arah papanya.

“Apa mama cakap?” tanya Liza.

“Papa belum beritahu mama,” beritahu papa.

“Papa ni mengarut. Hayati tu berapa umur dia?” tanya Liza.

“23 tahun.”

“Habis Liza nak panggil dia apa? Adik Hayati?” tanya Liza sambil menahan marah. “Papa dah nak masuk 50 tahun, tau? Sedarlah sikit, papa,” marah Liza.

“Papa kesiankan dia.”

“Kalau kesian hantar sajalah duit pada anak-anaknya setiap bulan. Kenapa mesti sampai nak kahwin dengan dia pula?” Airmata Liza menitis perlahan. Liza berbaring di atas katil lalu menekup mukanya dengan bantal. Papa kelihatan serba salah. Dia meninggalkan Liza menangis keseorangan di atas katil.

“Kenapa awak ajak saya keluar malam-malam macam ni?” tanya Riezman lalu menghidupkan enjin keretanya menuju ke gerai makan.

“Awak, papa nak kahwin dengan perempuan tu,” Liza mengadu.

“Apa? Biar betul?”

“Betullah. Awak ingat saya buat lawak ke?” marah Liza.

“Taklah. Sampai hati papa buat macam tu,” ujar Riezman kesal.

“Lelaki memang macam itulah. Ada banyak duit, tau nak kahwin aje,” marah Liza.

“Awak ni. Saya tak macam tu, pun,” balas Riezman.

“Sekarang memanglah. Dah kahwin nanti taulah macam mana.”

“Taklah, sayang. Mama dah tau ke?”

“Tak, apa kita nak buat ni, wak.”

“Wak, wak. Cuba-cubalah belajar panggil saya ni abang. Sedap sikit telinga saya dengar,” ujar Riezman cuba berlucu. Liza hanya mencebik.

“Mm, Sofi ada kat rumah awak lagi?” tanya Liza.

“Ada. Awak nak buat apa dengan dia?” tanya Riezman.

“Awak bawa dia keluar makan esok. Saya nak ajak papa makan dengan saya,” beritahu Liza.

“Awak nak suruh Sofi jadi makwe saya ke? Hish, tak baik main-mainkan orang tua,” marah Riezman.

“Bolehlah, please?” rayu Liza.

“Okeylah sayang, nanti saya beritahu Sofi,” setuju Riezman.

Wajah papa nampak gelisah. Liza tahu Riezman dan Sofi telah berada di belakangnya sejak dari tadi.

“Siapa yang tak henti-henti SMS kat Liza tu?” tanya papa.

“Riezman. Dia kata dia outstation. Baru sampai Johor,” bohong Liza. Sebenarnya Riezman memberitahunya bahawa dia sudah sampai di situ dan meminta supaya Liza jangan menoleh ke belakang. Airmuka papa berubah. Wajahnya masam mencuka.

“Kenapa papa?” tanya Liza pura-pura ingin tahu.

“Liza percaya dia outstation?” tanya papa.

“Percaya. Mama pesan pada Liza, kalau kita sayang seseorang kita mesti ada rasa saling mempercayai. Liza sayangkan dia, papa. Liza percaya pada dia, macam mama percaya pada papa. Tapi, sekarang ni, papa yang lunturkan kepercayaan mama. Kalau Riezman menduakan Liza. Hancur hati Liza, papa,” beritahu Liza bersungguh-sungguh.

Papa hanya diam membisu. Papa sayangkan Liza. Liza satu-satunya anak yang papa ada. Geram sungguh papa melihat Riezman begitu mesra dengan gadis manis itu. Papa hanya menunggu masa Riezman menoleh ke arah mereka. Malangnya sehingga selesai makan, Riezman langsung tidak nampak kewujudan mereka di situ.

****

“Hello, Riezman,”

“Riezman cakap.”

“Liza kata Riezman outstation, betul ke?” tanya papa.

“Kenapa papa?”

“Wedding day Riezman dah nak dekat, ni. Papa harap Riezman tak main-mainkan Liza,” tegas suara papa.

Riezman terdiam. “Betul ke papa nak kahwin dengan perempuan yang kami jumpa tempohari.”

“Taklah. Ramai lagi lelaki bujang dan duda yang masih muda dan lebih sesuai dengan dia. Kenapa tiba-tiba tanya papa macam ni?”

“Minta maaf papa. Liza beritahu Riezman semalam.”

“Ingat ya, Riezman. Anak papa cuma dia seorang. Jangan main-mainkan perasaannya,” marah papa lalu segera meletakkan gagang telefon. Riezman tersenyum sendirian.

****

“Terima kasih, Sofi,” ujar Liza sebelum Sofi pulang menaiki pesawat ke kota London.

“Don’t mention it. Wedding you all nanti tak dapatlah Sofi datang,” beritahu Sofi lalu memeluk tubuh Liza dengan mesra. Sofi merupakan sepupu Riezman. Dia kini menuntut di luar negara.

Setelah Sofi meninggalkan Riezman sekeluarga, mereka membawa haluan masing-masing. Ayah dan ibu serta adik-adik Riezman pulang ke rumah. Manakala Riezman pula berjanji untuk menghantar Liza setelah menjamu selera nanti.

“Marah agaknya papa kalau dia tau siapa Sofi sebenarnya,” ujar Riezman dalam perjalanan menghantar Liza pulang ke rumah.

“Thank you tolong saya,” balas Liza sambil tersenyum. Liza berharap papa tidak lagi bermain kayu tiga di belakang mama.

“Thank you aje,” usik Riezman.

“Yelah, habis tu?”

“Ciumlah saya sekali,” pinta Riezman.

“Cubalah belajar sabar sikit. Lagi seminggu aje,” marah Liza.

“Tak kira. Sekali aje.”

“Degillah awak ni,” balas Liza lagi.

“Awak ni cute, tapi garang sangat, kan? Kesian saya, saya tak pernah pun marah awak,” ujar Riezman. “Awak tak sayangkan saya, agaknya,” Riezman pura-pura merajuk.

“Sayanglah,” ujar Liza perlahan.

“Sayanglah,” Riezman mengajuk semula gaya percakapan Liza terhadapnya. Liza tertawa gelihati.

“Cuba romantik sikit bila cakap dengan saya, tak boleh ke?” tanya Riezman. Liza hanya tersenyum.

“Okey, dah sampai rumah dah. Pergilah keluar. Kirim salam pada papa dan mama,” beritahu Riezman selamba. Liza memandang wajah Riezman agak lama.

“Kenapa?” tanya Riezman. Hatinya gementar melihat Liza memandangnya begitu.

“Good night, sayang. I love you,” bisik Liza di telinga Riezman penuh romantik.

Riezman memandang Liza lama. Terkejut melihat sikap Liza yang tiba-tiba begitu. “A.. a.. pa Liza cakap?” tanya Riezman. Terasa seluruh tubuhnya gementar melihat aksi Liza yang manja dan masih tersenyum memandangnya.

“Lecehlah awak ni, baru intro dah gabra,” usik Liza lalu menutup pintu kereta. Liza melambaikan tangannya terhadap Riezman yang masih tidak percaya dengan apa yang didengar dan dilihatnya sebentar tadi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home