Copy Is Right

Tuesday, August 01, 2006

Kau Bukan Milikku

"Pstt.." Amira memanggilku dari belakang. Aku menoleh pandang sewaktu Prof. Azmi sibuk menulis di white board.

"Apa dia?" tanyaku sambil membulatkan mata kepadanya. Aku ingin tunjukkan yang aku marah apabila diganggu waktu belajar. Subjek Organic Chemistry memang mencabar bagiku dan disebabkan itulah aku harus menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang diajar oleh Prof. Azmi. Amira menghulurkan secebis kertas yang berlipat sambil meminta maaf.

"Main pas-pas kertas, macam budak kecik," bisik hatiku. Aku membuka lipatan kertas. 'Ada budak baru masuk kelas ni, handsome giler'.

Aku merenyukkan kertas dan melemparkannya semula kepada Amira. Aku ingatkan ada perkara penting. Rupa-rupanya pasal boy baru. Tapi taste Amira tu bukannya boleh dipercayai sangat. Handsome pada mata dia tu langsung tak berkenan pada mata aku. Low taste la katakan. Aku ketawa di dalam hati. Tapi terdetik jugak rasa di hati nak melihat handsome guy yang dikatakan Amira tu. Mungkin kali ni taste dia dah bertukar.

Selepas siap menyalin struktur resonance untuk pyridine, aku menulis di atas cebisan kertas. 'budak tu duduk kat barisan mana?' Aku berpaling ke belakang sekali lagi untuk memberi kertas kepada Amira.

'Duduk barisan selari dengan aku dan pakai baju merah'

Aku membaca balasan surat yang diterima. Setelah Prof kembali menulis di white board, aku menoleh ke sebelah kiri. Sewaktu aku memandang handsome guy yang dinyatakan, dadaku berombak kencang. Mataku dan matanya bersatu. Aku segera menoleh ke hadapan. Aku tidak ingin memandang wajah itu lagi. Insan yang pernah aku sayangi sepenuh hati dan menghilangkan diri saat aku benar-benar mencintainya.

"Baiklah, tolong cari resonance structure untuk pyrolle dan furan dan hantarkan pada saya esok sebelum jam 9.00 pagi" Suara Prof Azmi mematikan lamunanku.

Aku cepat-cepat menarik tangan Amira untuk keluar dari lecture theater.

"Yang engkau ribut-ribut ni nak pergi mana?" Amira menyoalku sewaktu kami tiba di podium.

"Aku nak ajak kau balik bilik," kataku dengan suara perlahan. Semangatku seolah-olah hilang setelah bertentang mata dengan Ikram. Sesungguhnya aku amat merindui lelaki itu.

"Aik, biasanya tengah hari camni kau ajak aku pergi kafe, takkan kau dah kenyang bila tengok handsome guy tu?" usik Amira.

Aku tidak menjawab usikannya. Fikiranku berkecamuk memikirkan Ikram. Aku pasti itu adalah dia. Matanya yang redup, keningnya yang hitam lebat dan hidungya yang sedikit mancung membuatkan aku pasti itu adalah dia.

"Woi, engkau ni kenapa?" Lamunanku tersentak bila Amira menyiku tanganku.

"Ooooo... kiranya budak lelaki tu nama dia Ikramlah ye." Amira bersuara selepas mendengar kisah cintaku sewaktu remaja dulu. Biarpun ada yang menanggap cinta remaja adalah cinta monyet, tapi tidak bagi aku. Cinta kami begitu suci walaupun masih di usia muda. Namun, mungkin telah tertulis di Loh Mahfuz bahawa cintaku terhadap Ikram tidak akan kesampaian. Aku terputus hubungan dengannya saat cintaku benar-benar memuncak.

"Ishhh. Kenapa kau tak pernah cerita kat aku yang kau ada pakwe handsome?" Tanya Amira lagi sambil tangannya melipat baju.

"Nak cerita buat apa. Cinta tak kesampaian," balasku lagi.

"Patutlah kau tak cari boy lain, kau setia tunggu Ikram ye,"

"Taklah, aku tak pernah tunggu dia, tapi tak pernah ada lelaki yang ada ciri-ciri macam Ikram yang approach aku. Bagi aku, cinta tu bukannya boleh dibuat main. Kalau aku nak mencintai seseorang tu, aku tak nak pakai tangkap muat aje. Aku nak yang betul-betul mencintai aku dan menepati ciri-ciri ideal guy aku.Bukan macam engkau, pakai tangkap muat aje. Materealistik," kataku sedikit pedas.

"Kalau harap cinta je cik kak oi, bukannya boleh makan. Kalau ada duit, semuanya jadi."

Aku menggeleng kepala dan menghempaskan badan ke atas katil.

"Nak beranganlah tu," sapa Amira dan membaling bantal kepadaku. Aku tidak ambil pusing usikannya dan terus melelapkan mata.

"Kak, ada abang bagi surat ni," seorang junior menghampiriku sewaktu aku sedang sibuk membelek suratkhabar dalam library. Amira tiada bersamaku. Katanya hendak keluar ke Bandar bersama Firdaus.

"Siapa?" tanyaku ringkas.

"Dia dah keluar tadi."

Kertas putih yang diberi kubuka perlahan. Dadaku berdegup kencang. Pastinya surat dari Ikram.

Nadia sayangku,
Saat sepi menggigit hati,
Aku jadi rindu padamu,
Perpisahan dulu mengajar aku tentang cinta dan kesetiaan,
Aku sentiasa mengingatimu walau kita berjauhan,
Berilah aku peluang kedua untuk bertakhta dalam hatimu,
Perpisahan dulu sesungguhnya bukanlah atas kehendakku,
Berilah aku kesempatan untuk menjelaskan segalanya,
Ku berharap kita dapat membina semula istana cinta,
Untuk kita berbahagia di dalamnya
Selama-lamanya.



Aku terduduk membaca sajak yang diberikan. Air mataku berderaian perlahan membasahi pipiku. Sungguh tidak aku tahu apa yang perlu aku lakukan. Melupainya sama seperti aku menipu diri sendiri, namun aku takut terluka untuk kali kedua. Pedihnya begitu terasa saat aku kehilangannya dulu. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Aku keluar dari perpustakaan Dato' Onn Jaafar. Aku berkira-kira untuk mencari ketenangan.

Kubiarkan kakiku melangkah menuju Tasik Ilham. Angin yang bertiup lembut membuatkan rambutku turut bergerak. Kuselak rambutku yang terjuntai di dahi. Aku duduk di bangku kayu di tepi tasik dan tanganku menarik daun-daun kering dengan menggunakan ranting kayu.

"Boleh saya duduk?" satu suara menyapaku. Aku seperti kenal suara itu. Kudongakkan kepala dan pandanganku bersatu lagi dengannya. Aku segera bangun untuk meninggalkan Ikram.

"Nadia, tunggu dulu. Beri aku peluang untuk jelaskan segalanya."

"Tak perlu Ikram. Kau tinggalkan aku dulu tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Aku tergapai-gapai sendirian. Aku merindui engkau setiap saat. Terlalu perit untuk aku buang ingatan terhadap engkau, semuanya aku lalui seorang diri." Kata-kataku terhenti. Aku tidak dapat mengawal perasaan. Air mataku jatuh jua. Tanpa sedar, Ikram mengesat air mataku dengan jarinya. Kutolak jarinya. Sesungguhnya aku tidak mahu ada ikatan lagi dengannya.

"Nadia, tenanglah. Berilah aku peluang untuk jelaskan segalanya"Aku duduk semula. " Aku tahu kau marah sewaktu aku meninggalkan engkau dulu. Tapi, aku tak ada pilihan. Mama dapat tahu yang aku bercinta dengan engkau. Dia naik marah sebab dia dah ada pilihan. Dia nak jodohkan aku dengan anak kawannya jadi dia berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjauhkan aku dengan engkau dan mendekatkan aku dengan Rina. Aku tak dapat berbuat apa-apa. Aku tak mahu menjadi anak derhaka andai tidak menurut kata mama dan aku juga tak mahu kehilangan engkau. Waktu tu aku pasrah, aku dapat rasa yang kita tiada jodoh."

Aku mendengar penjelasannya. Tangannya tiba-tiba memegang tanganku erat. "Tapi, mungkin tiada jodoh aku dengan Rina, Rina kembali ke rahmatullah kerana kemalangan. Aku kemudian minta pada mama untuk cari engkau semula. Tapi engkau dah berpindah. Mungkin jodoh kita kuat, aku jumpa engkau di sini." Ikram mencium tanganku bertalu-talu. Hatiku jadi sejuk mendengar penjelasannya. Aku memberinya sekuntum senyum tanda aku memaafkannya.

Cinta aku dan Ikram bertaut kembali. Setiap kali selepas solat, aku memanjatkan kesyukuran pada Tuhan kerana menemukan aku semula dengan Ikram. Aku juga turut berdoa agar kami dapat bersama sehingga ke jinjang pelamin. Hari-hari yang aku lalui begitu indah, setiap saat yang aku tempuhi bersama Ikram terasa begitu bermakna. Dia juga sering memberikan aku puisi-puisi cinta yang kadang-kadang membuatkan aku hanyut dalam dunia cinta yang penuh keindahan. Namun, tujuanku untuk menggulung sekeping ijazah tidak aku lupakan. Aku tidak mahu menghampakan harapan kedua ibu dan bapaku. Aku dan Ikram sama-sama berusaha keras untuk mencapai yang terbaik, bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah untuk kesenangan kami kelak. Banyak masa kami habiskan untuk belajar bersama.


Kadang-kadang, Amira turut ikut serta tapi dia juga ingin menghabiskan masa dengan steady boyfriendnya, Haris. Katanya, dia akan terus setia bersama Haris kerana Haris begitu menghargai dirinya. Aku juga gembira kerana persepsi cinta bagi Amira sudah berubah. Dia tidak lagi memandang wang semata-mata. Semoga Amira akan terus berbahagia bersama Haris dan aku berbahagia bersama Ikram. Itulah doaku.

Pada hari konvokesyen, keluarga Ikram datang berjumpa keluargaku. Kami sempat mengabadikan potret bersama. Sempat lagi aku terdengar yang keluarga Ikram akan datang merisikku. Saat itu aku dan Ikram diusik oleh keluarga. Merah padam muka jadinya namun hatiku gembira bukan kepalang. Memang itulah perancangan kami. Ingin mengabadikan cinta suci dengan satu ikatan yang sah.

"Abang, abang nak berapa orang baby nanti?" kuajukan soalan kepada Ikram sewaktu kami bercuti di Pulau Langkawi. Ada waktunya aku menggelarkan Ikram sebagai abang, itupun atas permintaannya. Lebih mesra katanya.

"Berapa orang pun abang tak kisah, tapi kalau boleh, abang nak satu team bola".

"Amboi, kalau macam tu, kita kena beli bas. Baru senang nak ke sana ke mari." Ketawa kami pecah mengenangkan impian yang entahkan tercapai entahkan tidak.

Tanpa sedar, masa terus pantas meninggalkanku. Hari ini aku dan Ikram akan disatukan.

"Kau jangan lupa aku pulak bila dah dapat baby nanti. Aku nak tengok hasil acuan muka engkau dengan Ikram. Mesti baby tu comel sangat".

Aku tersipu-sipu dengan usikan Amira. Perangai Amira tidak berubah. Tetap suka mengusik walau usia sudah meningkat dewasa. Aku mengerling ke arah jam tangan. Jam sudah menunjukkan pukul 2.15 petang. Telefon bimbit Ikram pula tak dapat dihubungi.

"Amira, aku rasa tak sedap hati. Kenapa Ikram masih tak sampai. Patutnya pukul 1 tadi dia dah sampai," aku menyuarakan kebimbangan.

"Engkau jangan fikir bukan-bukan. Kejap lagi sampailah Ikram tu. Takkan dah tak sabar sangat?" usik Amira lagi. Aku tersenyum hambar menyambut usikannya. Tiba-tiba ibu masuk ke dalam bilik.

"Kenapa bu?" tanyaku setelah melihat wajah ibu yang agak muram. "Nadia, ibu ada hal nak cakap."

"Kenapa ibu?" Hatiku berdebar-debar.

"Nadia, Nadia kena tabahkan hati. Semua ini kehendak Allah. Ikram dah tak ada lagi. Dia accident tadi."

Kata-kata ibu bagaikan halilintar. Aku terjelepok pengsan.

"Nadia, mari pulang sayang," Hafiz menarik tanganku.

"Abang tunggu kat kereta, kejap lagi Nadia datang." Aku membiarkan suamiku pulang dulu. Sudah lama aku tidak menziarahi kubur Ikram. Sudah jadi kemestiaan untuk aku dan suami menjenguk kubur Ikram pada setiap syawal. Hanya itu kesempatan yang aku ada untuk pulang ke kampung Ikram.

"Ikram, aku mendoakan agar engkau ditempatkan bersama insan-insan yang soleh. Walaupun kau telah tiada, aku tetap akan meningati kau selamanya. Bersemadilah engkau dengan aman." Al- fatihah.

Ikram kusayang,
Kali pertama kau meninggalkanku,
Kuanggap kau tidak mencintaiku lagi,
Pertemuan kedua kita,
Akhirnya menjalinkan semula ikatan suci,
Namun,
Di saat aku ingin memilikimu,
Kau pergi meninggalkan aku,
Pergi ke satu tempat yang abadi,
Aku merelakan perpisahan ini,
Walaupun kita di alam berbeza,
Engkau tetap selamanya dalam ingatanku,
Berbahagialah engkau di sana.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home