Copy Is Right

Tuesday, August 01, 2006

Januari

Berat bebanku
meninggalkanmu
Separuh nafas jiwaku... sirna
Bukan salahmu apa dayaku
Mungkin benar
Cinta sejati tak berpihak pada kita
Kasihku...
Sampai di sini kisah cinta
Jangan tangisi keadaannya
Bukan kerana kita berbeda
Dengarkan
Dengarkan lagu
lagu rindu
Memori rintihan hati ini
Kisah kita berakhir di Januari

Fikiran Mariana terganggu mendengar lagu dendangan Glen itu. Betapa lagu itu menceritakan kisah cintanya dan Irfan yang berkubur empat tahun lalu dan hari ini dia kembali lagi ke daerah sepi yang menemukan dia dan Irfan. Dipandangnya Pusat Latihan Belia yang pernah menyaksikan cintanya dan Irfan bertaut sembilan tahun lalu. Tiba-tiba hatinya terasa teramat sayu.

"Sudah sembilan tahun rupanya aku mengenali Irfan dan dah hampir empat tahun aku terpisah dengannya. Apa khabar dia sekarang agaknya?" ujar Mariana kepada Lisa, sahabat baiknya. Di situlah dia pertama kali mengenali Irfan yang sama-sama mengikuti kursus kepimpinan pelajar IPTA.

Walaupun dia dan Irfan berlainan universiti, kemesraan itu tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas pulang daripada kursus itu, dia telah menjemput Irfan datang ke universitinya dan menyertai seminar kerjaya yang dikendalikannya.

"Bulan Januari yang menemukan aku dengan dia, bulan Januari jugalah yang mengikat cinta aku dan dia dan bulan Januari juga menyaksikan cinta aku dan dia dirampas pergi daripada kami berdua," tutur Mariana sambil memandang Lisa dengan pandangan sayu.

"Sudahlah tu Ana! Jangan diingat lagi sejarah yang memedihkan itu. Perpisahan itu bukan kau dan dia yang minta tapi keadaan memaksanya jadi begitu,” pujuk Lisa. Dia kasihan benar dengan sahabatnya yang seorang itu.

Selepas lima tahun bercinta dan memendam segala rasa, cintanya terpaksa tunduk kepada keadaan yang tidak mengizinkan dia dan Irfan bersatu. Emak Irfan tidak dapat menerima Mariana hanya kerana Mariana orang Semenanjung. Disebabkan bimbang kasih anaknya tertumpah di Semenanjung maka dia bertindak menghalang cinta anaknya dan Mariana dengan pelbagai cara.

"Lisa, aku terlalu kecewa! Sangat-sangat kecewa! Aku tak tahu apa salah aku sampai aku diperlakukan sebegini rupa. Aku sanggup tunggu Irfan sampai dia habis belajar. Walaupun aku habis belajar dulu aku tetap setia dengan dia walaupun pelbagai lamaran aku terima. Aku terima dia walaupun dia tiada apa-apa.

”Aku sanggup bersusah dengan dia walaupun ramai yang kata aku bodoh kerana dengan aset kecantikan dan kepandaian yang aku ada aku mampu dapatkan lelaki yang lebih baik daripada dia. Tapi apa yang aku dapat akhirnya? Hanya kekecewaan dan kesedihan yang berlanjutan,” ujar Mariana penuh emosi.

"Aku terlalu terkesan dengan perpisahan ini kerana kami bukan setakat berkongsi perasaan tapi kami berkongsi segala-galanya termasuklah hobi yang suka mengembara dan berpolitik itu. Susah dan senang kami tetap bersama. Aku terlalu terluka Lisa. Kepulangan aku ke Malaysia dan lebih-lebih lagi setelah melewati tempat-tempat kenangan kami bersama, hatiku bagaikan dicarik-carik! Aku pasti kau mengerti perasaan aku kerana kau tahu cerita cinta aku sejak dari awal lagi," Mariana tidak dapat lagi menahan airmatanya daripada keluar. Lisa turut sebak. Dia sendiri hairan kenapa keras sangat hati emak Irfan untuk menerima Mariana sedangkan Mariana baik orangnya walaupun perlakuannya agak kasar, cantik, pandai memasak dan berkemas, berjaya dalam pelajaran dan berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafah dalam usia yang masih muda. Dalam usia yang kini menjangkau tiga puluh tahun dia masih setia pada cintanya yang telah pergi itu.

"Sudahlah Ana! Fikirkanlah kebaikan untuk diri kau sendiri. Jangan diikutkan sangat perasaan tu. Kau takkan tak nak buka hati kau untuk orang lain?" soal Lisa sambil memegang erat tangan sahabatnya itu memberikan semangat.

"Aku tak boleh Lisa!"

"Memanglah tak boleh kalau kau tak cuba," sanggah Lisa tidak setuju.

"Masalahnya aku memang tak boleh.”

Lisa mengeluh panjang mendengar jawapan yang keluar dari bibir Mariana.

"Mariana, mengapa mesti jadi pesimis? Kau ada pelajaran. Kau Ada gelaran doktor falsafah dan aku tahu kau cukup cerdik untuk menentukan apa yang terbaik untuk diri kau,” Lisa masih cuba menasihatkan kawan baiknya yang dikenali sejak di universiti dahulu. Walaupun dia dah kahwin tapi perkahwinan itu tak pernah memutuskan hubungan persahabatannya dengan Mariana.

"Entahlah Lisa, biarlah keadaan yang menentukan apa yang ditakdirkan untuk aku. Aku dah malas nak fikir tentang cinta. Lisa, walaupun aku ada segala-galanya tapi aku tak ada luck dalam bercinta."

"Jangan macam tu kawan! Aku tahu kau seorang yang kuat semangat," ujar Lisa. Mariana tersenyum lemah.

"Thanks Lisa. I owe you so much!" ucap Mariana terharu. Lisa turut terharu lalu memeluk erat sahabat baiknya itu.

*********************

"Sayang, abang terlalu mencintaimu. Abang berjanji kepada Sayang kalau bukan Sayang pengantin perempuan sampai bila-bila abang tak akan ada pengantin perempuan," ujar Irfan bersungguh-sungguh enam tahun lampau.

"Betul ke bang? Macam mana kalau mak abang tetap tak setuju terima Sayang?" duga Mariana.

"Abang tak kira macam mana pun abang tetap akan kahwin dengan Sayang seorang sahaja. Sehari pun abang tak dapat hidup tanpa Sayang. Whether I marry you or not at all!" ujar Irfan penuh yakin.

"Berani cakap macam tu depan mak abang?" duga Mariana lagi.

"Berani! Kenapa pulak tak?"

"Iyelah, entah-entah dia dah carikan perempuan lain untuk abang," ujar Mariana risau. Dia tahu emak Irfan tidak suka padanya dan Irfan selalu memberitahunya bahawa emaknya sedang cuba mencarikan perempuan lain sebagai pasangan anaknya.

"Mak abang tak mungkin mampu mencari perempuan sehebat Sayang buat abang," ujar Irfan cuba meyakinkan Mariana. Mariana lega untuk seketika dengan jaminan Irfan yang cuma mencintainya seorang.

Walaupun dia bukanlah cinta pertama Irfan tetapi ternyata cinta Irfan terhadapnya terlalu unggul. Tetapi kelegaan itu cuma untuk seketika kerana setahun lepas itu emak Irfan masih berkeras untuk tidak mahu menerimanya sebagai menantu dan Irfan sendiri tidak lagi berani memberi jaminan seperti dulu.

"Kita kahwin abang," ajak Mariana.

"Belum boleh lagi. Mak abang masih tak setuju."

"Ala, parents Sayangkan dapat terima abang. Kita kahwin jelah. Lagipun dah lama Sayang tunggu abang. Dah lima tahun. Nak tunggu apa lagi? Sampai bila?" rungut Mariana tak puas hati.

"Abang pun tak tahu."

"Abang tak tahu atau abang takut abang akan kehilangan harta yang mak abang bagi? Abang, Sayang tak pernah cintakan abang sebab harta. Never! Walaupun macam-macam dia kutuk Sayang, lapar harta dialah dan tak tahu malu, Sayang tetap bersabar.

” Pleaselah abang, jangan seksa jiwa Sayang lagi. Sayang dah 26 tahun dan abang dah 28 tahun. We are not children anymore! Kita boleh tentukan masa depan kita sendiri. Sayang tak mahu buat dosa lagi. Kita dah terlanjur abang. Sayang tak mahu cinta ini berkubur begitu saja. Hubungan kita dah terlalu jauh abang," ujar Mariana sebak.

"Itu abang tahu Sayang. Abang tak pernah berniat nak tinggalkan Sayang. Sabar sikit lagi Sayang," pujuk Irfan.

"Baiklah but please...jangan putus asa. Untuk yakinkan Sayang abang kenalah yakinkan diri abang dulu,” pinta Mariana. Irfan angguk lalu menarik Mariana ke dalam pelukannya. Tiba-tiba Mariana tersentak daripada lamunannya apabila telefon bimbitnya berbunyi. Irfan, di manakah kau kini?

Satu hari Irfan membawakan khabar buruk padanya.

"Sayang, mak abang dah meminang seorang gadis tanpa pengetahuan abang. Dia paksa abang mengahwini gadis itu tak lama lagi,” beritahu Irfan dengan perasaan yang bercampur-aduk antara rasa marah, sedih, terkejut dan bingung. Bagai halilintar berita itu mengejutkan Mariana.

"Abang tak sangka tindakannya sejauh itu," sambung Irfan lagi.

"Apa salah Sayang abang? Apa kurangnya Sayang pada pandangan mata dia? Dah macam cara Sayang buat untuk ambil hati dia tapi sampai hati dia nak rampas cinta Sayang pergi jauh dari Sayang,” ujar Mariana tersedu-sedan.

"Abang, kita pergi dari sini abang. Kita kahwin kat luar negara saja abang. Dalam keadaan macam ni Sayang rasa mak bapa Sayang juga mesti tak nak nikahkan kita. Mereka pun ada ego tersendiri. Takkanlah diaorang nak biarkan anak mereka dihina orang," ujar Mariana sambil memberikan cadangan.

"Nampaknya kita dah tak ada pilihan lain lagi. Kita cuba uruskan secepat mungkin," ujar Irfan tanda setuju.

Tapi seminggu selepas itu Irfan masih tidak dapat buat keputusan.

Alasannya emaknya ada penyakit jantung dan dia takut emaknya jatuh sakit kerana perbuatannya.

"Abang masih tak dapat buat keputusankan?" sindir Mariana dengan perasaan geram bercampur sedih.

"Abang terpaksa juga lakukan seperti yang emak abang hendak. Percayalah Sayang, semua ini untuk mengaburi matanya. Abang tak akan pernah mencintai perempuan lain selain daripada Sayang."

Terbeliak mata Mariana mendengarkan kata-kata Irfan.

"Maksud abang, abang nak kahwin juga dengan perempuan yang abang tak kenal tu. Apa kurangnya Sayang ni? Sayang ada master dan dia cuma cikgu lulusan maktab. Cantik sangatkah dia atau tak beradap sangatkah dia sampai nak merampas kekasih orang?" ujar Mariana sambil teresak-esak.

"Maafkan abang. Sayang tak kurang apa-apa cuma keadaan yang memaksa. Abang berjanji selepas dua tiga bulan abang akan ceraikan dia."

"Kalau abang tak mampu buat keputusan biarlah Sayang saja yang buat keputusan. Hubungan kita berakhir di sini saja. Sayang dah tak sanggup memperbodoh-bodohkan diri Sayang pada lelaki yang tidak berpendirian dan tak tahu menilai cinta Sayang. Ternyata cinta sejati bukan milik kita.

”Cinta Sayang pada abang tak akan pernah padam cuma biarlah kekusutan kita bernoktah di sini saja. Hati Sayang terlalu terluka abang diperlakukan begini. Sayang tak mampu membayangkan abang dimiliki perempuan lain.

”Pergilah abang. Nikahilah dia. Sayang reda. Andainya tempias membasahi abang tahulah abang itu tangisan hati sayang yang terluka merana. Selamat tinggal abang," ujar Mariana lalu berlalu pergi dari situ.

Irfan cuba mengejar Mariana tetapi gadis itu terlalu pantas menghilangkan diri di celah-celah orang ramai. Dia cuba mencari Mariana selepas itu tetapi hampa. Talian telefonnya ditamatkan perkhidmatan dan dia telah berhenti kerja serta menghilangkan diri.

"Kak Mariana terlalu terluka abang. Kenapa abang melukakan hati dia yang terlalu setia dengan abang dan terlalu banyak berkorban untuk abang?" soal Mastura, adik kepada Mariana apabila dia cuba mencari Mariana.

"Maafkan abang, Mastura! Abang menyesal memperlakukan dia begitu,” ujar Irfan penuh kekesalan.

"Dah sebulan dia menghilangkan diri. Kami pun tak tahu dia di mana. Cuma dia ada telefon beritahu dia selamat," beritahu Mastura dan Irfan mengeluh lagi.

********************

Sepanjang sebulan Mariana melarikan diri ke Terengganu, ke kampung Lisa. Selepas itu dia memohon untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan tiga bulan selepas itu dia meninggalkan tanahair. Siapa sangka selepas pulang dan bekerja sebagai pensyarah akhirnya dia berjumpa kembali Irfan ketika menghadiri satu seminar. Irfan kini telah menjadi seorang ahli perniagaan yang hebat.

"Bisakah abang memanggilmu dengan panggilan Sayang lagi?" soal Irfan sayu bercampur gembira. Mariana cuma membatu walaupun ternyata hatinya begitu terusik dengan pertanyaan tersebut.

"Kenapa Sayang menghilangkan diri selama ini? Puas abang mencari selama ini sehingga hampir gila dibuatnya. Jangan lari daripada abang lagi. I can’t live without you. Bila abang melintasi atau singgah di tempat-tempat kenangan kita, hati abang mesti menangis. Ingat tak kita mengembara ke Johor dengan kereta kecil abang pada Hari Raya Haji. Kita ikut jalan lama dan main redah je. Tidur tepi-tepi jalan. Abang terlalu rindukan saat-saat itu. Percaya tak kalau abang beritahu abang tak jual kereta abang tu sebab kereta tu menyimpul segala kenangan cinta kita."

Panjang-lebar Irfan meluahkan rasa hatinya. Digenggamnya erat tangan Mariana.

"Sayang masih cantik buat abang. Macam dulu juga. Abang terlalu mencintaimu Sayang. Thank God I found you back," ujar Irfan lagi sambil menahan sebak. Mariana terharu mendengar pengakuan yang begitu ikhlas itu. Dia masih kacak macam dulu juga, desis hati Mariana.

"Isteri abang macam mana?" soal Mariana ingin tahu.

"Abang tak pernah bahagia dengan dia. Hubungan kami macam retak menanti belah. Cuma sekadar nak puaskan hati emak abang dan dia perlukan abang untuk membiayai kehidupan mewahnya. Kami tak ada anak. Macam mana nak ada anak kalau abang sentiasa menyibukkan diri abang dengan kerja-kerja abang," beritahu Irfan.

"Bertuahnya dia! Masa susah Sayang dengan abang, masa senang dia yang dapat semuanya," ujar Mariana sedikit cemburu.

"Dahlah tu Sayang. Abang akan beri segalanya buat Sayang. Jangan seksa perasaan abang lagi. Kita kahwin. Abang tak mampu kehilangan sayang sekali lagi." Setelah dipujuk berkali-kali Mariana akhirnya memberikan persetujuannya.

"Isteri abang dan mak abang setuju ke?" soal Mariana ragu-ragu.

"Abang dah tak peduli. Kita patut fikirkan kebahagiaan kita jugak," jawab Irfan tegas. Mariana lega dengan pendirian irfan kini.

*************



Namun di saat-saat keindahan menyeliputi hidup mereka, isteri Irfan, Norzika datang menyerangnya dan memaki Mariana yang bukan-bukan.

Mariana kecewa lagi. Dia melarikan diri ke sebuah resort di Langkawi demi menenangkan perasaan. Kali ini ternyata Irfan berjaya menjejakinya.

Kedatangan Irfan ke situ disambut dengan tangisan terharunya.

"Jangan lari dari abang lagi. Abang dah ceraikan Norzika. Abang tak mahu ikut telunjuk orang lain lagi. Abang tak mahu kehilangan Sayang lagi", ucap Irfan begitu lirih sekali.

"Maafkan Sayang abang," pinta Mariana lalu mengucup tangan Irfan.

"Boleh dengan syarat ikut abang sekarang,” pinta Irfan sambil tersenyum simpul.

"Ke mana?" soal Mariana hairan.

"Since kita dah kat Kedah, abang nak bawa Sayang ke kampung Sayang."

"Hah, nak buat apa?" Soal Mariana hairan.

"Nak nikahlah, apa lagi? Takkan nak pi jaga lembu pulak," jawabnya sambil ketawa dan belum sempat Mariana menyoal lagi tangannya telah ditarik Irfan menuju ke kereta. Di Januari cintanya dan Irfan pertama kalinya bersemi dan di Januari jugalah cintanya dan Irfan bersemi sekali lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home