Copy Is Right

Wednesday, August 16, 2006

Aku , Dia dan Semalam

Aku keluar dari perut Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Mama dan Papa sudah mendahului langkahku yang lemah menuju ke lobi menunggu kenderaan. Aku susuri dengan langkah yang perlahan menghampiri kedua orang tuaku. Kelihatan Pak Long sibuk membantu Papa mengangkat bagasi kami ke dalam bonet kereta. Mama sudah hilang di dalam perut kereta.

"Balik juga anak sedara Pak Long yang seorang ni," tegurnya sewaktu aku menyalami dan mencium tangannya. Aku hanya tersenyum hambar. Sepatutnya aku tidak berada di sini. Aku juga tidak sepatutnya pulang di kala ini.

Jika tidak kerana kejadian yang menimpa diriku sebulan yang lalu, pasti aku masih bebas di bumi asing. Pasti aku sedang sibuk dengan tugasku sebagai pensyarah. Sibuk melayani teman serumah yang juga merupakan pelajar tahun akhir di tempat aku mengajar. Paling tidak, aku akan banyak menghabiskan masa di rumah membaca novel yang selalu dikirimkan oleh Mama dan Papa dari Malaysia.

Aku duduk di sebelah Mama di kerusi belakang. Tidak banyak perubahan yang dapat aku lihat semenjak pemergianku dua tahun yang lalu. Bezanya, semakin banyak pembangunan dijalankan. Menaikkan lagi taraf kedudukan Malaysia di serata dunia setara dengan negara luar terutamanya negara Amerika. Bandar Putrajaya semakin gah di perkatakan. Ekonomi negara juga semakin memberansangkan.

***************

Aku tersedar apabila Mama mengejutkanku. Aku terpaku di hadapan sebuah banglo dua tingkat yang agak asing padaku. Barangkali inilah rumah baru kami yang Mama dan Papa maksudkan. Banglo yang berjaya dibeli hasil duit simpanan yang kuberikan sepanjang aku mula bekerja di negara orang. Nama Villa Desa Permai atas permintaanku terpampang indah di pintu pagar rumahku.

Pak Long membantu Mama dan Papa mengangkat bagasi ke dalam rumah. Aku duduk di bangku batu berhadapan kolam kecil buatan yang amat menarik perhatianku. Ikan kap emas berenang riang. Sesekali air pancur memecah kesunyian banglo yang terletak di hujung simpang.

"Akak!" Satu suara kedengaran nyaring menjerit namaku. Belum sempat aku menoleh, tubuhku telah diterkamnya dari belakang. Nadia ketawa riang menyambut kepulanganku. Bertalu-talu pipiku menjadi mangsa ciumannya.

"Rindu akak," ulasnya lalu mencium pipiku lagi.

"Bila Dia balik? Mama tak bagitahu akak pun tadi?" tanyaku terkejut.

"Dah dua hari. Saja suruh Mama dan Papa rahsiakan. Saja Dia nak bagi surprise kat akak," luahnya lalu duduk di sebelahku. Lenganku dipeluknya manja.

"Akak sihat?" tanyanya risau. Aku hanya mengangguk. Risau agaknya dia apabila mendapat tahu keadaan diriku yang tidak lagi sesihat dulu.

"Mama dah bagitahu Dia, ye?" dugaku apabila jemarinya mengusap pipiku.

"Lepas ni Dia tak nak pisah dengan akak lagi. Dia nak kerja kat sini. Dia nak tolong Mama dan Papa jaga akak," putusnya tegas.

"Akak tak ada apa-apa. Akak dah beransur sihat."

"Itu kata akak. Kata doktor lain. Lepas ni, Dia akan temankan akak pergi hospital," janjinya. Aku hanya mengiakan saja. Aku tahu, Nadia ingin melawan kesedihan di hatinya.

"Jom masuk ke dalam, kak. Dah lama kita tak bercerita panjang, kan? Mulai malam ni, Dia nak tidur dengan akak. Sampai bila-bila."

"Tak malunya adik akak ni! Dah boleh jadi mak orang pun nak tidur dengan akak," usikku.

"Lebih baik daripada tidur bawah ketiak Mama," pintasnya mengundang ketawaku. Manjanya tidak berubah.

"Mama rasa macam ada orang seru nama Mamalah," celah Mama dari belakang. Kami ketawa kecil apabila Mama cuba mengorek rahsia perbualan kami.

***************

Aku hanya menurut apabila Nadia menarik tanganku menuju ke butik Kirana di KLCC. Aku hanya memberi pandangan apabila dia memilih beberapa helai kebaya untuk majlis pertemuan semula pelajar kolejnya dulu. Walaupun letih aku hanya menurut kerana tidak mahu mengecewakan permintaannya. Sehelai kebaya berwarna biji kundang lembut menjadi pilihannya.

"Akak tunggu kat luar, ye?" pintaku. Nadia hanya mengangguk lalu aku biarkan dia sendirian. Aku berdiri di balkoni sambil melihat-lihat suasana di tingkat bawah sekali yang agak sesak dengan pengunjung.

"Nell ke ni?" tiba-tiba satu suara menegur. Aku berpaling. Seorang jejaka yang agak kukenali tersenyum girang melihatku. Raut wajah yang sudah berjambang dan sedikit botak itu kutatap lama.

"Azman!" tekaku pantas. Dia hanya mengangguk sambil ketawa.

"Ingat pun lagi. Empat tahun tak jumpa, makin lawa sekarang ye?" tegurnya mengundang ketawaku.

"Biasa sajalah. Man datang seorang saja, ke?"

"Tak. Dengan orang rumah dan Along. Rasanya Nell dah lama tak jumpa Along, kan?"

"Haah. Lebih kurang lima tahun. Apa khabar dia sekarang?".

"Alhamdulillah, sihat. Semua ada di hujung sana. Kebetulan Man lalu sini sebab nak turun ke bawah sekejap. Tak sangka terjumpa Nell di sini. Seorang? Atau dengan hubby?" usiknya pula. Tergelak aku mendengar katanya. Nadia datang menghampiriku.

"Datang dengan adik. Kenalkan ini Nadia. Dia, ni kawan sekuliah akak dulu kat kolej," perkenalku. Mereka saling bersalaman.

"Wanna join us?" pelawanya.

"Thanks but no thank you. Kami ada hal lepas ni. Anyway, telefonlah Nell kalau free". Sehelai kertas kecil yang tertera nombor telefonku kuhulurkan kepadanya.

"Insya Allah", jawabnya pendek lalu kami berpisah. Aku berlalu meninggalkannya yang masih merenungku. Sejenak terkenang aku pada kisah kami. Hanya dia tempat aku pernah mengadu tentang sikap dan tindakan Iza dan Hazrul padaku dulu. Azman tidak pernah memulaukan aku walaupun alam kuliah telah bertahun kami tinggalkan. Cuma aku yang membisukan diri apabila mendapat tahu aku menjadi punca hubungan cintanya bersama Ita putus di tengah jalan. Aku sedih dengan salah sangka yang telah wujud dalam fikiran Ita.

"Akak nak cari apa-apa lagi?" tegur Nadia mengejutkan aku dari terus mengelamun.

"Dia nak beli apa-apa lagi ke?" tanyaku pula. Nadia hanya menggeleng. Lenganku dipeluknya manja. Nadia semakin manja denganku semenjak kebelakangan ini. Mama pula yang naik runsing tengok anak bongsunya itu asyik berkepit dengan kakaknya siang malam.

"Kita balik, ye? Akak rasa letihlah," cadangku. Nadia hanya menurut lalu kami menuju ke ruang meletakkan kenderaan di tingkat bawah sekali.

***************

Kafe Coffee Bean agak lengang. Barangkali kerana waktu pejabat masih belum berakhir. Mataku terpaku pada sepasang suami isteri yang sedang berjalan berpegang tangan sambil menolak kereta sorong. Berkahwin juga mereka akhirnya. Pasti mereka sedang bahagia sehingga tidak terperasankan aku di sini. Aku tersenyum sinis. Sekurang-kurangnya pengunduran aku berbaloi untuk mereka.

Tanpa aku duga si jejaka terpandang padaku. Ada kejutan di wajahnya. Si isteri yang terperasan perubahan di wajah suaminya turut menoleh. Kelihatan wajahnya tergamam melihatku lalu segera mengajak si suami beredar segera ke tempat lain. Begitu sekali bencinya dia padaku. Sedangkan yang dirampas adalah milikku. Biarlah. Aku terima hukuman itu kerana sesungguhnya aku pasti akan meninggalkan si jejaka hari ini kerana penyakitku jika aku tidak mengundurkan diri suatu masa dulu.

"Sorry, Man lambat," tegur Azman. Aku hanya tersenyum.

"It's okey. Duduklah," pelawaku.

"Rasanya tadi macam Man ternampak junior kita dulu tapi lupa nama dia. Siapa sangka budak yang paling ligat kat kolej dulu dah berkahwin. Alhamdulillah. Berubah juga dia akhirnya. Tapi, kalau tak silap Man, dulu dia syok kat Nell, kan?" ceritanya. Aku hanya tersenyum tawar. Kalaulah Azman tahu, itulah bekas kekasihku yang telah dirampas oleh teman baikku sendiri, apakah anggapannya kelak?

"Ye ke? Nell tak perasan pula tadi," balasku ingin menutup cerita.

"So, lama menghilangkan diri Nell ke mana? Man pernah telefon rumah tapi talian dah tak digunakan lagi. Handphone pun macam tu juga," tanyanya memulakan bicara.

"Tak ke mana. Cuma, sejak tiga tahun lepas, Nell ke UK. Sambung belajar kemudian bekerja. Baru dua bulan lepas Nell balik. Mama dan Papa dah bising terpaksalah balik. Lagipun kami dah berpindah ke Rawang sejak setahun yang lepas. Jadi dah jarang turun bandar. Saja tak nak bagitahu sesiapa pun. Dah lama duduk kat KL ni sekali-sekala nak juga cari kedamaian sikit," jelasku lebar. Azman menganggukkan kepalanya tanda faham.

"Actually, Man nak jumpa Nell ni ada hajat besar."

"Aik! Lain macam je bunyinya. Nak minang Nell ke?" aku cuba mengusiknya yang suka ketawa.

"Kalau Nell sanggup bermadu, tak cukup Dataran Merdeka, Laut China Selatan Man tadahkan, tau!" sambutnya membalas gurauanku.

"Nell tak nak bermadu sebab Nell tak suka makan madu. Manis di mulut tapi perit di tekak."

"Ke situ pula, Nell ni. Macam ni, kelmarin Man jumpa Faizal. Diorang tengah buat arrangement untuk reunion night bulan depan. Dengar cerita hanya untuk batch kita saja. Lecturer pun dijemput sama. Ramai yang dah bagi respon nak datang. Dia tanya kalau ada terjumpa Nell sebab ramai sangat yang nak jumpa dengan puteri desa permai ni," terangnya membuatkan aku tergelak kecil.

"Man ingat lagi nama desa permai tu? Nell sendiri hampir lupa kalau Man tak sebut tadi," ujarku.

"Nama tu dah sinonim dengan kelas kita dulu. Tanpa desa permai, rasa tak lengkap kelas kita tu," ujarnya lagi. Aku mencebik mengejeknya.

"Ni nak puji Nell ke nak bodek Nell?"

"Dua-dua sekali. Lagipun, Hazrul ada telefon Man semalam. Dia ada sebut dah lama tak jumpa Nell. Tapi, Man tak cerita kat dia yang Man ada jumpa Nell. Man tahu Nell tak suka bila Man buka cerita pasal Hazrul dengan Iza. Man harap sangat Nell datang malam tu nanti. Man sanggup datang jemput Nell kat Rawang," pujuknya bersungguh-sungguh.

Hazrul! Sudah lama aku tidak menatap wajah tampan dan tenangnya. Sudah terlalu lama aku merindui gurauan dan saat-saat indah kami dahulu. Pada kisah semalam yang begitu indah walaupun terpaksa menuntut pengorbanan dariku. Terlalu rindu aku pada sebuah kisah semalam saat kami ceria dan mesra membelah kesibukan kota metropolitan dengan kisah remaja kami. Begitu juga dengan Iza. Aku sendiri sudah lupa tentangnya semenjak aku cuba melupakan mereka. Aku hampir membuang jauh kisah semalam aku bersamanya atas nama persahabatan.

"Tengoklah nanti macam mana. Kalau Nell lapang insya Allah Nell akan datang," putusku agak serba salah.

"Nell lupa janji kita dulu? Tentang impian dan harapan kita untuk bergabung di dalam perniagaan yang ingin kita jalankan. Nell lupa macamana kita bersusah-payah siapkan kertas kerja tu dulu?" umpannya memujukku.

"Itu sebahagian dari kenangan dan assignment kuliah yang harus kita siapkan, Man. Tak semua impian akan menjadi kenyataan. Ada kalanya impian hanya sebuah ilusi yang tak pasti. Penyeri hidup."

"Nell jangan lupa. Nell pernah cakap dulu. Walau di mana Nell berada, kami tetap di dalam ingatan Nell."

"Nell ingat dan Nell tak lupa. Nell takkan lupa Villa Desa Permai. Nell takkan lupa siapa yang telah banyak mengajar Nell tentang kehidupan di bandaraya sebesar Kuala Lumpur ni. Nell tak lupa dulu Nell pernah dijadikan tempat untuk melepaskan geram. Nell tak pernah sekali-sekali lupa bahawa dulu Nell pernah serahkan hati Nell pada dia dalam diam tapi Nell harus berpijak di bumi yang nyata, Man. Menyembunyikan diri bukan bermakna Nell membenci cuma menjarakkan diri agar tidak melukakan atau dilukai sesiapa lagi. Man lupa, siapa yang sebabkan Man putus dengan Ita? Man lupa siapa yang menjadi penghalang untuk Iza menghampiri Hazrul?" luahku panjang. Azman mengeluh kecewa.

"Nell dah berubah. Degil Nell di depan Man hari ini dah tak sama dengan degil Nell yang Man kenal dulu. Mungkin Hazrul boleh pujuk Nell.'

"Sedangkan pantai lagi akan berubah inikan pula manusia. Hari ini tak sama dengan semalam, Man. Nell semalam dah pergi jauh. Yang tinggal hanya kenangan antara mereka. Mungkin juga, malam tu, Nell langsung tak tayang muka kalau Hazrul pula yang datang cuba memujuk Nell," balasku. Azman bersandar di kerusinya.

"Man dah tunaikan permintaan mereka. Selebihnya terserahlah pada Nell sendiri. Tapi, Man berharap sangat Nell akan datang walaupun tak sampai sejam," harapnya. Aku mengeluh serba-salah.

"Nell tak boleh janji. Insya Allah", putusku mengalah. Azman tersenyum puas.

"Thanks, Nell." Aku hanya mengangguk lalu menjeling ke arah jam di lengan.

"Sorry, Nell kena balik dulu. Dah janji nak jemput adik kat pejabat dia," pintaku. Kami bersalaman lalu aku melangkah perlahan menuju ke tempat meletakkan kereta.

***************

Malam semakin kelam. Sesekali kedengaran angin malam berhembusan menerkam kedinginan sehingga ke tulang hitam. Pandanganku terhenti pada langit yang gelap tapi indah dihiasi bintang dan bulan purnama.

"Akak buat apa termenung kat luar ni?" tegur Nadia lembut. Aku hanya tersenyum.

"Saja ambil angin malam."

"Kenapa duduk kat luar ni? Kan tak elok untuk kesihatan akak," pesannya. Aku menarik lengannya duduk di sebelahku.

"Mana-mana pun sama, Dia. Kalau dah nak sakit, duduk dalam rumah pun sakit juga. Kenapa tak tidur lagi ni? Esok kan kerja?"

"Belum ngantuk lagi. Mama kata akak dapat reunion invitation card petang tadi. Akak nak pergi?" tanya Nadia. Aku menjungkit bahu.

"Akak belum buat keputusan lagi. Tengoklah macam mana nanti. Kalau Dia jadi akak, Dia pergi tak?"

"Mestilah pergi. Bila lagi Dia nak tayang muka yang dah tak comot macam sembilan tahun yang lepas. Tapi yang paling utama sekali, Dia nak pergi sebab Dia nak jumpa putera hati Dia. Manalah tahukan entah-entah selama ni dia pun rindukan Dia. Lepas tu dia datang jumpa Dia. Dia kata, Dia, I missed you so much! Masa tu Dia rasa betapa bahagianya hidup Dia. Kami akan hidup happily ever after," ceritanya lebar. Terlebih berangan pula adik aku yang seorang ini. Tergelak kecil aku melihatkan gayanya yang terlebih sudu dari kuah.

"Berangan saja kerjanya. Ingat ini fairy tale story ke?"

"Bukan berangan tapi berharap. Tanpa keberanian impian hidup tak bermaknalah jawabnya, kak. Jomlah, masuk tidur. Sejuklah," ajak Nadia. Aku hanya menurut tanpa membantah.

***************

Aku pandang wajah Doktor Amira lama. Ada keresahan pada wajah doktor muda anak kenalan Papa itu. Mata kami bertentangan lagi. Sesekali kedengaran keluhannya begitu berat untuk dilepaskan. Berat sangatkah untuknya menjelaskan hasil ujian darah yang telah dilakukan oleh mereka?

"Berterus-terang sajalah Kak Mira. Lia dah bersedia mendengar keputusan darah Lia tu," akhirnya aku terpaksa bersuara setelah bosan menanti penjelasan darinya. Mama dan Papa di kiri dan kananku hanya membisu. Barangkali kegelisahan mereka lebih terserlah berbandingku.

"Akak tahu Lia tabah dan kuat. Tapi akak nak Lia tahu, kita hanya merancang tapi Tuhan yang tentukan semuanya. Hasil dari ujian darah yang telah dibuat, kami dapati status penyakit Lia berada pada tahap serius. Tapi, kami masih ada rawatan yang dapat membantu sel kanser dari cepat merebak. Rawatan kimoterapi dapat membantu dan jalan terakhir dengan menjalani pembedahan jika perlu," akhirnya Doktor Amira bersuara. Aku hanya mengangguk. Segalanya telah aku jangka sedari awal lagi.

Aku toleh wajah Mama dan Papa yang terkesima. Kejutan di wajah mereka lebih ketara berbandingku. Titisan sejernih mutiara mulai membasahi pipi Mama. Ada sendu kecil yang berselangan. Papa membisu.

"Lia tak nak jalani sebarang rawatan atau pembedahan. Lia tak nak mati dalam keadaan yang tidak sempurna tubuh badan Lia. Lia sanggup makan berpuluh ubat tapi Lia tak sanggup nak lukakan diri Lia sendiri. Lia harap Mama dan Papa hormati keputusan Lia," pintaku. Mama memelukku erat.

"Lia jangan cepat putus asa. Kita masih boleh berikhtiar," Doktor Amira cuba memujuk.

"Lia tak putus asa cuma Lia nak hidup macam orang lain walaupun Lia sakit. Kak Mira juga kata, Tuhan yang tentukan semuanya", balasku tegas. Mereka hanya mampu mengeluh dengan keputusanku.

"Walaupun apa pun keputusan Lia, Papa akan sokong." Akhirnya Papa memberi aku sokongan yang paling aku harapkan. Mama menggenggam erat jemariku tanda turut memberi sokongan.

***************

Aku belek kad jemputan berwarna merah jambu di atas mejaku. Haruskah aku pergi? Pentingkah kehadiranku seperti yang Azman katakan? Masih ingat lagikah mereka pada aku yang terasing ini? Bagaimana penerimaan Iza dan Hazrul kelak?

"Akak belum buat keputusan lagi?" tegur Nadia.

"Entahlah. Akak tak tahu samada akak patut pergi ke tak?" balasku hambar.

"Pergilah, kak. Jangan jadikan berita pagi tadi penamat kegembiraan akak. Sepatutnya akak rebut setiap peluang yang datang sekali dalam seumur hidup kita. Dia berani kata, mungkin malam nanti akan mengubah sesuatu yang akak tak sangka. Lebih baik kita terlambat dari tidak berpeluang langsung. Akak selalu pesan macam tu pada Dia dulu. Akak dah lupa?" pujuknya.

Aku bangun menghampiri meja solekku. Wajahku masih seperti dulu. Belum terserlah perubahan yang nyata. Aku mungkin sihat hari ini dan esok tapi belum tentu lagi lusa dan hari seterusnya. Aku mungkin masih boleh bertahan untuk seketika dan mungkin juga aku sudah terlalu lemah untuk menjadi seperti hari ini. Aku tatap wajah Nadia dari cermin di hadapanku.

"Lebih baik terlambat dari tak dapat langsung, kan Dia," ulangku. Nadia memelukku dari belakang.

"Dia tahu akak takkan hampakan hati akak sendiri," ulasnya lalu mencium pipiku. Pintu almari baju dibukanya. Sepasang baju kurung kebaya moden dikeluarkan lalu dihulurkan kepadaku.

"Akak pakai baju ni. Dia belikan khas untuk akak. Dia nak pastikan malam nanti akaklah orang yang paling cantik sekali supaya putera akak tu tak boleh tidur malam ingatkan akak," usiknya lalu menarik tanganku agar mencubanya.

**************

Aku berdiri di hadapan cermin. Kelihatan jelas penampilanku yang jauh berbeza atas usaha Nadia. Wajahku sungguh berbeza. Aku memperagakan pakaianku di hadapannya.

"Macam mana?" tanyaku. Nadia menepuk tangannya.

"Cantik macam tuan puteri. Kalau putera tak pandang akak langsung, Dia sarankan dia pergi periksa mata dia kat hospital secepat mungkin. Mama mesti tak percaya tengok akak," pujinya. Kedengaran daun pintu bilikku diketuk. Nadia membuka pintu. Tersembul wajah Mama dan Papa tersenyum melihat penampilan baruku.

"Amboi! Lawanya anak Papa," Papa pula memuji. Mama mengusap pipiku lembut.

"Pergilah, Nanti terlambat. Kesian pula putera kena tunggu lama," usik Mama. Bahang mula terasa di wajahku. Malu aku dibuatnya. Aku menjeling Nadia yang sudah panjang sengihnya.

"Mama ni, malu Lia. Ni mesti Dia punya kerja ni. Tak boleh nak simpan rahsia langsung," marahku sambil menjeling Nadia yang sudah menyorok sambil ketawa di belakang Papa. Aku menyalami Mama dan Papa. Nadia menemaniku sehingga ke kereta.

"Drive carefully, kak. Anything, give me a call. Kirim salam kat putera tau," Nadia sempat mengusik.

Aku memulakan perjalananku dengan tenang. Senyuman tidak lekang di bibirku. Aku tahu aku tidak dapat membohongi diriku sendiri. Kasihku pada putera tidak pernah terpadam biar sudah ada hati yang menggantikannya. Wajah tenang itu kembali terbayang di mata. Senyuman itu semakin jelas di ingatan.

Antara aku dan dia, semalam adalah sebuah nostalgia yang terindah. Esok, ada sinar yang sedang menanti. Wahai puteraku, tunggu kedatanganku. Aku akan datang padamu. Demi sebuah cerita semalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home